Berbuat Baik Dan Berlaku Ihsan Terhadap Binatang
الجواب
Berbuat baik dan berlaku ihsan merupakan salah satu tuntutan dalam agama Islam. Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda dalam sebuah hadits yang diriwayatkan daripada ‘Abdullah bin ‘Amr Radhiallâhu ‘anhumâ:
Maksudnya: Orang-orang yang bersifat pengasih akan dikasihi oleh (Allah) Yang Maha Pengasih, maka hendaklah kamu mengasihi penduduk-penduduk bumi, nescaya kamu akan dikasihi oleh siapa yang (menguasai) di langit (Allah).
Sifat belas kasihan bukan sahaja dituntut terhadap manusia malah ia juga dituntut terhadap binatang. Oleh itu, melakukan sebarang penganiayaan atau penyeksaan terhadap binatang adalah dilarang dan merupakan satu kezaliman.
Menurut Imam Ibn Hajar al-Haitami Rahimahullâh perbuatan menyeksa binatang termasuk dalam dosa-dosa besar. Dalam hadits daripada Ibn ‘Umar Radhiallâhu ‘anhumâ, beliau berkata:
Maksudnya: Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam melaknat sesiapa yang melakukan mutslah (penyeksaan) terhadap binatang.
Perkataan mutslah bermaksud memotong anggota-anggota binatang atau sebahagiannya seperti memotong tangan, kaki, kepala, hidung, telinga dan seumpamanya untuk menyeksanya ketika hidup.
Antara gambaran penyeksaan binatang adalah seperti berikut:
1. Mengurung tanpa memberi makan.
Perbuatan mengurung binatang tanpa memberinya makan sehingga mati kelaparan adalah dilarang dan perbuatan sedemikian akan menyebabkan seseorang masuk neraka sebagaimana diceritakan dalam sebuah hadits daripada ‘Abdullah bin ‘Umar Radhiallâhu ‘anhumâ, Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Seorang perempuan diazab (kerana) dia telah mengurung seekor kucing sehingga mati kelaparan. Maka perempuan itu masuk neraka (dengan sebabnya).
2. Membunuh dengan membakar.
Membakar binatang semata-mata untuk membunuhnya adalah termasuk dalam perbuatan menyeksa binatang. Ini berdasarkan hadits yang diriwayatkan daripada ‘Abdullah bin Mas‘ud Radhiallâhu ‘anhu, beliau berkata:
Maksudnya: Dan Baginda melihat sarang semut yang telah kami bakar. Maka Baginda bersabda: “Siapa yang membakar ini?” Kami menjawab: “Kami (yang membakarnya)”. Baginda bersabda: “Sesungguhnya tidak sepatutnya (seseorang) mengazab dengan api melainkan oleh Tuhan (pemilik) api.”
3. Menjadikan sebagai sasaran.
Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam melaknat orang-orang yang menjadikan binatang sebagai sasaran semata-mata dan bukan bagi tujuan berburu sama ada dengan cara melontar, memanah, menembak, melastik atau sebagainya. Perkara ini disebut dalam hadits yang diriwayatkan daripada Ibn ‘Umar Radhiallâhu ‘anhumâ, ketika beliau mendapati burung yang dijadikan sebagai sasaran lontaran oleh sekumpulan remaja dengan berkata:
Maksudnya: Siapa yang melakukan ini? Allah melaknat siapa yang melakukan ini, sesungguhnya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam melaknat sesiapa yang menjadikan sesuatu yang bernyawa sebagai sasaran (yang bukan untuk tujuan berburu). (Hadits riwayat Muslim)
Manakala antara gambaran berbuat ihsan terhadap binatang pula ialah seperti berikut:
1. Memberi makan, minum dan tidak membebankan binatang.
Memberi binatang makan dan minum serta tidak membebankan binatang dengan kerja yang berlebihan adalah termasuk dalam perbuatan ihsan. Dalam sebuah hadits daripada ‘Abdullah bin Ja‘far Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam pernah mendapati seekor unta mengeluarkan suara rintihan kelaparan dan kesakitan dan mengalirkan air mata, lalu Baginda menegur tuan unta tersebut dengan sabdanya:
Maksudnya: Tidakkah engkau takut kepada Allah dalam (memperlakukan) binatang ini, yang Allah (kurniakan) kepada engkau memilikinya? Sesungguhnya ia (unta) mengadu kepadaku bahawa engkau membiarkannya kelaparan dan membebankannya.
2. Berlaku ihsan ketika menyembelih binatang.
Berlaku ihsan ketika menyembelih binatang antaranya ialah seperti menajamkan pisau sembelihan, tidak menajamkan pisau di hadapan binatang yang hendak disembelih, tidak menyembelih binatang di hadapan binatang yang lain, memberi minum binatang sebelum menyembelihnya dan menggiring binatang ke tempat penyembelihan dengan lemah-lembut. Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda dalam sebuah hadits yang diriwayatkan daripada Shaddad bin Aus Radhiallâhu ‘anhu:
Maksudnya: Sesungguhnya Allah telah mewajibkan ihsan (berbuat baik) atas segala sesuatu, maka apabila kamu membunuh hendaklah berlaku ihsan di dalam pembunuhan itu dan apabila kamu menyembelih hendaklah berlaku ihsan di dalam penyembelihan itu dan hendaklah salah seorang kamu menajamkan mata pisaunya dan menyelesakan binatang sembelihannya. (Hadits riwayat Muslim)
3. Memberi minum binatang kehausan.
Memberi minum binatang yang dalam kehausan adalah perbuatan ihsan sekalipun binatang itu anjing dan perbuatan tersebut mendapat pahala sebagaimana disebut dalam sebuah hadits yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Ketika seorang laki-laki sedang berjalan, dia merasa sangat kehausan, lalu dia pun turun ke dalam telaga dan minum (air) daripada telaga itu, kemudian dia keluar (naik semula), tiba-tiba dia mendapati seekor anjing menjulurkan lidahnya (sambil) menjilat tanah basah kerana kehausan. Maka dia berkata: “Sesungguhnya (anjing) ini telah merasa (kehausan) seperti yang telah aku rasa”, lalu dia (turun untuk) mengisi kasutnya (dengan air) kemudian memegangnya (kasut tersebut) dengan mulutnya, kemudian dia naik (ke atas), maka dia memberi minum anjing itu. Lalu Allah Ta‘ala memberi ganjaran (pahala) dan pengampunan kepadanya. Para sahabat pun bertanya: “Wahai Rasulullah, adakah bagi kami pahala (kerana berbuat baik) kepada binatang-binatang?” Baginda bersabda: “(Berbuat baik) kepada setiap (yang mempunyai) hati yang basah (yang bernyawa) adalah satu pahala.”
Berdasarkan penerangan di atas adalah jelas bahawa orang-orang yang berbuat baik dan berlaku ihsan terhadap binatang akan dirahmati oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Bahkan Allah Ta‘ala akan mengampuni dosanya. Manakala orang yang menganiaya dan menyeksa binatang pula akan dilaknat dan diazab oleh Allah Ta‘ala.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-15466
دليل الألوان
