Waktu Dan Tempat Penyembelihan Binatang Untuk Dam Haji Dan Umrah
الجواب
Dam ialah tebusan atau denda yang dikenakan ke atas orang yang mengerjakan ibadat haji atau ibadat umrah disebabkan meninggalkan perkara-perkara yang wajib, melakukan perkara-perkara yang dilarang atau tidak dapat menyempurnakan haji kerana luput wuqûf di ‘Arafah atau tertegah daripada menyempurnakan haji atau umrah (ihshar).
Membayar dam haji atau umrah kerana perkara-perkara di atas adalah wajib. Dam haji atau umrah itu ialah menyembelih binatang sama ada seekor unta, lembu atau kambing tertakluk kepada kesalahan yang dilakukan. Penyembelihan binatang tersebut dilaksanakan di Makkah iaitu ketika menunaikan ibadat haji atau umrah.
Namun ada kalanya seseorang itu tidak sempat melaksanakan penyembelihan binatang untuk dam haji atau umrahnya itu di Makkah sehingga dia pulang ke negerinya atau tanah airnya. Dalam keadaan sedemikian, adakah boleh penyembelihan binatang untuk dam haji atau umrahnya yang terluput itu dilaksanakan di negerinya?
Dam Haji dan Umrah
Dam dalam ibadat haji dan umrah terbahagi kepada empat, iaitu; dam at-tartîb dan at-taqdîr, dam at-tartîb dan at-ta‘dîl, dam at-takhyîr dan at-ta‘dîl dan dam at-takhyîr dan at-taqdîr.
Maksud at-tartîb ialah mengikut susunan, tidak boleh dipilih atau diganti dengan yang lain, kecuali tidak mampu melakukannya. Sementara makna at-takhyîr pula ialah boleh dipilih salah satu daripada perkara-perkara yang ditetapkan. Adapun makna at-taqdîr ialah gantian dam mengikut kadar yang ditetapkan syara‘. Manakala makna at-ta‘dîl pula ialah gantian dam yang syara‘ menyuruh menggantikannya mengikut nilaian.
Untuk lebih jelas dihuraikan dam-dam tersebut seperti berikut:
1. Dam at-tartîb dan at-taqdîr ialah dam bagi orang yang melakukan haji tamattu‘, haji qiran, tidak melakukan wuqûf di ‘Arafah, meninggalkan ihrâm di mîqât, tidak melontar jamrah, tidak bermalam di Muzdalifah, tidak bermalam di Mina dan tidak melakukan thawaf al-Wada‘.
Dam setiap perkara di atas ialah menyembelih seekor kambing. Jika tidak mampu maka wajib berpuasa sepuluh hari, tiga hari semasa haji dan tujuh hari setelah pulang ke tanah air.
2. Dam at-tartîb dan at-ta‘dîl ialah dam bagi kesalahan yang merosakkan haji atau umrah kerana melakukan jimâ‘. Dam at-tartîb dan at-ta‘dîl juga dikenakan ke atas orang yang berniat ihrâm, kemudian dia ditegah daripada menyempurnakan ibadat haji atau umrah dari semua jalan (ihshar).
Dam bagi kesalahan melakukan jimâ‘ ialah menyembelih seekor unta. Kemudian jika tidak mampu, hendaklah menyembelih seekor lembu. Jika tidak mampu, hendaklah menyembelih tujuh ekor kambing. Jika tidak mampu, hendaklah mengeluarkan sedekah berupa makanan mengikut nilai harga seekor unta. Jika tidak mampu, hendaklah berpuasa sebanyak bilangan cupak makanan yang dapat dibeli dengan nilai seekor unta, iaitu bagi setiap satu cupak hendaklah berpuasa satu hari.
Dam ihshar pula ditunaikan dengan menyembelih seekor kambing. Jika tidak mampu, maka digantikan dengan memberikan makanan mengikut nilai harga kambing tersebut. Jika tidak mampu juga, maka digantikan dengan berpuasa sebanyak bilangan cupak makanan yang dapat dibeli dengan nilai seekor kambing, iaitu bagi setiap satu cupak hendaklah berpuasa satu hari.
3. Dam at-takhyîr dan at-ta‘dîl ialah dam bagi kesalahan memburu binatang dan mencabut tumbuh-tumbuhan di Tanah Haram.
Dam kerana memburu binatang ialah menyembelih binatang mengikut bandingan binatang yang sebanding dengan binatang yang diburu itu. Contohnya jika seseorang membunuh burung unta maka damnya ialah menyembelih seekor unta, jika dia membunuh keldai liar atau lembu maka damnya ialah menyembelih seekor lembu, jika dia membunuh seekor rusa maka damnya ialah menyembelih seekor kambing, jika dia membunuh seekor arnab maka damnya ialah menyembelih seekor anak kambing betina, jika dia membunuh seekor dhabb maka damnya ialah menyembelih seekor anak kambing.
Dam mencabut tumbuh-tumbuhan di Tanah Haram pula ialah jika seseorang memotong pohon kayu yang besar maka damnya ialah menyembelih seekor lembu, jika dia memotong pohon kayu yang kecil maka damnya ialah menyembelih seekor kambing. Ukuran besar dan kecilnya pohon itu adalah mengikut kebiasaan ukuran di Tanah Haram.
Dam bagi kesalahan memburu binatang atau mencabut tumbuh-tumbuhan ini boleh dipilih sama ada menyembelih binatang atau mengeluarkan sedekah berupa makanan dengan nilaian harga binatang tersebut atau berpuasa sebanyak bilangan cupak makanan yang dapat dibeli dengan harga nilai binatang sembelihan iaitu bagi setiap satu cupak hendaklah berpuasa satu hari.
4. Dam at-takhyîr dan at-taqdîr ialah dam bagi kesalahan melanggar larangan ketika berihrâm iaitu menggugurkan rambut, mengerat kuku, memakai minyak pada rambut dan janggut, memakai wangi-wangian, memakai pakaian yang dilarang dalam ihrâm, melakukan pendahuluan persetubuhan (bercumbu-cumbuan), melakukan persetubuhan selepas persetubuhan yang merosakkan haji, melakukan persetubuhan selepas selesai tahallul awal tetapi belum selesai tahallul kedua.
Damnya setiap perkara di atas ialah menyembelih seekor kambing, bersedekah kepada enam orang fakir miskin iaitu setiap seorang setengah gantang (dua cupak) atau berpuasa tiga hari.
Waktu dan Tempat Melaksanakan Penyembelihan Binatang Untuk Dam Haji atau Umrah
Penyembelihan binatang untuk dam haji atau umrah kerana melakukan perkara yang dilarang dan meninggalkan perkara yang wajib tidak ada waktu yang khusus untuk melaksanakannya. Ia memadai dilakukan pada bila-bila masa tetapi sunat pada hari an-nahr (10 Zulhijjah) dan hari-hari tasyrîq (11, 12 dan 13 Zulhijjah). Perkara ini dinyatakan oleh Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam kitab Minhâj ath-Thâlibîn, beliau berkata:
Ertinya: Dan (perlaksanaan penyembelihan binatang untuk) dam yang wajib kerana melakukan perkara haram dan meninggalkan perkara wajib tidak khusus (tertentu) dengan waktu.
Walau bagaimanapun, sekiranya dam itu dikenakan ke atasnya kerana dia melakukan pelanggaran secara sengaja, contohnya dia dengan sengaja meninggalkan perkara wajib haji atau melakukan larangan ketika berihrâm tanpa apa-apa rukhshah dan dharurat, maka pelanggaran tersebut dikira satu perbuatan maksiat. Oleh yang demikian, menurut Imam as-Subki Rahimahullâh, pelaksanaan dam tersebut wajib disegerakan bagi menebus kesalahan daripada perbuatan maksiat yang dilakukannya.
Adapun kesalahan yang menyebabkan haji tidak sah kerana terluput wuqûf di ‘Arafah maka waktu penyembelihan binatang untuk dam bagi kesalahan tersebut wajib dikemudiankan iaitu ketika dia mengqadha’ haji yang luput itu. Masuk waktu penyembelihan itu ialah sebaik saja dia berihrâm untuk melakukan haji qadha’.
Manakala tempat pelaksanaan penyembelihan binatang untuk dam haji dan umrah pula adalah khusus di Tanah Haram sahaja. Imam an-Nawawi Rahimahullâh menyatakan dalam kitabnya Minhâj ath-Thâlibîn, beliau berkata:
Ertinya: Dan dikhususkan (tempat) penyembelihannya itu di Tanah Haram menurut pendapat al-azhhar.
Perkara ini berdasarkan firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu membunuh binatang-binatang buruan (yang halal dimakan) ketika kamu sedang berihrâm. Dan sesiapa antara kamu yang membunuhnya dengan sengaja maka dendanya ialah mengganti dengan binatang yang sebanding dengan binatang buruan yang dibunuhnya mengikut keputusan (yang ditetapkan) oleh dua orang yang adil antara kamu sebagai hadyu yang dibawa ke Ka‘bah. (Surah al-Mâ’idah: 95)
Kawasan Tanah Haram yang afdhal untuk melaksanakan penyembelihan binatang untuk dam bagi orang yang melakukan kesalahan ketika menunaikan ibadat haji ialah di Mina. Manakala kawasan Tanah Haram yang afdhal untuk melaksanakan penyembelihan dam bagi orang yang melakukan kesalahan ketika menunaikan ibadat umrah pula ialah di Marwah. Adapun orang yang tertegah daripada menyempurnakan ibadat haji atau umrah dari semua jalan, penyembelihannya dilaksanakan adalah tertakluk kepada tempat dan masa berlakunya ihshar.
Dalam perkara pengagihan daging sembelihan untuk dam pula, daging-daging tersebut wajib diagihkan kepada orang-orang miskin dan fakir di Tanah Haram iaitu penduduk dan juga orang yang bukan penduduk Tanah Haram. Namun penduduk Makkah yang miskin dan fakir adalah diutamakan melainkan jika orang bukan penduduk yang miskin dan fakir itu sangat memerlukan.
Jika penyembelihan itu dilaksanakan di Tanah Halal dan kemudian dipindahkan dan diagihkan kepada orang fakir dan miskin di Tanah Haram, maka sembelihan itu adalah tidak memadai walaupun daging tersebut belum berubah sebagaimana menurut pendapat al-ashah.
Pengagihan ini tidak hanya terbatas kepada bahagian daging-dagingnya sahaja, bahkan juga bahagian-bahagian lain seperti kulit dan bulu daripada binatang tersebut juga wajib diagihkan kepada orang miskin dan fakir di Tanah Haram.
Adapun gantian (badal) dam iaitu yang berupa memberi makan orang fakir dan miskin dengan nilaian harga binatang yang disembelih sama ada unta, lembu atau kambing hendaklah diagihkan kepada orang-orang miskin dan fakir di Tanah Haram.
Maka pelaksanaan penyembelihan binatang untuk dam haji atau umrah itu adalah khusus dilakukan di kawasan Tanah Haram sahaja dan tidak memadai jika dilakukan di luar kawasan Tanah Haram.
Oleh itu, jika seseorang yang belum membayar dam atau terluput daripada membayar dam ketika menunaikan ibadat haji atau umrah sedangkan dia telah pulang ke negeri atau tanah airnya maka dia tidak boleh melaksanakan penyembelihan binatang untuk dam haji atau umrahnya itu di negerinya kerana ia wajib dilaksanakan di Tanah Haram sama ada dengan dia sendiri kembali ke Makkah atau dengan mewakilkan orang lain untuk melaksanakan penyembelihan binatang untuk dam tersebut.
Demikianlah huraian mengenai tempat dan waktu penyembelihan binatang untuk dam haji dan umrah serta perkara-perkara yang berkaitan dengannya.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-15492
دليل الألوان
