Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الحج والعمرة٠ مشاهدة

Menyembelih Binatang Korban Pada Waktu Malam

الجواب

Ibadat korban adalah salah satu syi‘âr Islam. Asal pensyariatan ibadat korban disebut dalam firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Maka dirikanlah sembahyang kerana Tuhanmu dan sembelihlah binatang korban (kerana mensyukuri ni‘mat-ni‘matNya). (Surah al-Kautsar: 2)

Terdapat beberapa hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam yang menceritakan tentang ibadat korban antaranya hadits yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik Radhiallâhu ‘anhu:

Maksudnya: Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam melakukan ibadat korban dengan dua ekor kibasy dan aku juga melakukan ibadat korban dengan dua ekor kibasy.

Hukum melaksanakan ibadat korban ialah sunat mu’akkadah (sangat dituntut) ke atas orang Islam yang bâligh, berakal, merdeka dan berkemampuan. Jika orang yang disunatkan ini meninggalkan ibadat tersebut, hukumnya adalah makruh.

Ibadat korban mempunyai fadhilat yang besar sebagaimana sabda Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam tentang kelebihan ibadat korban:

Maksudnya: Tidak ada amalan yang dilakukan oleh anak Adam pada Hari Raya Korban yang lebih disukai Allah (selain) daripada menumpahkan darah (menyembelih binatang korban). Sesungguhnya ia akan datang pada Hari Kiamat dengan tanduk-tanduknya, bulu-bulunya, kuku-kukunya dan sesungguhnya darah (korban itu) akan jatuh di suatu tempat (yang mendapat keredhaan) daripada Allah sebelum darah binatang korban itu jatuh ke bumi. Maka, elokkanlah jiwa (kamu) dengannya (ibadat korban itu). (Hadits riwayat at-Tirmidzi)

Dalam masyarakat kita, kesedaran orang ramai dalam melaksanakan ibadat korban pada Hari Raya ‘Idul-Adhha dan tiga hari tasyrîq sangat menggalakkan sehingga majlis-majlis ibadat korban banyak diadakan oleh jabatan-jabatan, syarikat-syarikat swasta, penduduk mukim dan kampung, jawatankuasa masjid, pertubuhan-pertubuhan awam yang lain dan orang persendirian. Namun keadaan ini sudah setentunya memerlukan khidmat penyembelihan binatang korban yang banyak. Pusat-pusat penyembelihan binatang pula sudah pasti sibuk melayani tempahan orang ramai untuk menyembelih binatang korban mereka mengikut hari-hari yang ditetapkan sehingga terpaksa menyembelihnya pada waktu malam. Persoalan yang timbul dalam perkara ini, adakah menyembelih binatang korban pada waktu malam itu dibolehkan oleh syara‘? Berikut penjelasan mengenainya.

Hukum Menyembelih Binatang Korban Pada Waktu Malam

Waktu menyembelih binatang korban adalah bermula selepas naik matahari pada Hari Raya ‘Idul-Adhha sekadar berlalu dua rakaat sembahyang dan dua khutbah yang ringkas. Waktu tersebut berkekalan sehingga terbenam matahari pada hari tasyrîq yang ketiga iaitu tiga belas Zulhijjah. Jika penyembelihan dilakukan sebelum waktu yang ditetapkan, maka sembelihan tersebut tidak dikira sebagai ibadat korban sebagaimana hadits yang diriwayatkan daripada al-Bara’ Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Sesungguhnya (perkara) awal yang (perlu) kami mulakan dengannya pada hari kami ini (Hari Raya ‘Idul-Adhha) ialah kami sembahyang (sembahyang sunat Hari Raya ‘Idul-Adhha), kemudian kami pulang lalu menyembelih (binatang korban). Sesiapa yang melakukan demikian, maka dia mengikut sunnah kami dan sesiapa yang menyembelih sebelum (sembahyang sunat Hari Raya ‘Idul-Adhha), maka ia adalah daging (biasa) yang diberinya kepada keluarganya, (ia) tidak sedikit pun daripada ibadat (korban).

Ini bererti waktu melaksanakan ibadat korban itu adalah selama empat hari iaitu Hari Raya ‘Idul-Adhha (selepas berlalu dua rakaat sembahyang sunat dan dua khutbah yang ringkas) dan tiga hari tasyrîq. Sepanjang tempoh tersebut harus menyembelih binatang korban sama ada pada siang atau malam hari. Walaupun demikian, menyembelih binatang korban pada waktu malam hukumnya adalah makruh.

Dalam kitab Tuhfah al-Muhtâj, Imam Ibn Hajar al-Haitami Rahimahullâh menyebut:

Ertinya: Dan berkekalan waktu korban sekalipun makruh menyembelih pada waktu malam kecuali kerana hajat atau mashlahat sehingga terbenam matahari (pada) akhir hari tasyrîq.

Imam asy-Syarwani Rahimahullâh menjelaskan dalam syarah kitab Tuhfah al- Muhtâj, contoh hajat atau keperluan itu ialah seperti adanya kesibukan seseorang pada waktu siang dengan perkara-perkara yang menegahnya daripada melaksanakan ibadat korban. Manakala mashlahah pula ialah seperti waktu malam lebih memudahkan golongan penerima (orang-orang fakir) hadir.

Berdasarkan penjelasan di atas, menyembelih binatang korban pada waktu malam adalah memadai, namun hukumnya adalah makruh melainkan jika terdapat hajat atau mashlahah. Maka pusat penyembelihan yang menerima banyak tempahan penyembelihan binatang korban dengan jadual waktu penyembelihan yang padat dan terhad, tidak makruh baginya melakukan penyembelihan pada waktu malam kerana ada hajat.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-15496

دليل الألوان

آية قرآنيةحديث شريفنص فقهي من كتب العلماءرد اللجنة (المرجع الأساسي للفتوى)رقمرابط لفتوى أخرى مذكورة في النص