Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳المواريث٠ مشاهدة

Penerima Wasiat Meninggal Dunia: Adakah Wasiat Batal?

الجواب

Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ mensyariatkan wasiat kepada manusia mempunyai pelbagai tujuan. Antaranya ialah sebagai satu cara untuk mendekatkan diri kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ, mendapatkan ganjaran pahala akhirat, menyumbang kepada perkara-perkara berkebajikan dan membantu mereka yang memerlukan.

Wasiat ialah sumbangan suatu hak berupa harta atau selainnya selepas kematian pemberi wasiat. Pada permulaan Islam, hukum wasiat adalah wajib iaitu wajib mewasiatkan semua harta kepada ibu bapa dan kaum kerabat sebagaimana firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Diwajibkan ke atas kamu, apabila seseorang di antara kamu hampir mati, sekiranya ada meninggalkan harta, berwasiat untuk kedua ibu bapa dan kaum kerabatnya dengan cara yang baik, sebagai suatu kewajiban atas orang-orang yang bertaqwa. (Surah al-Baqarah: 180(

Akan tetapi hukum wajib mewasiatkan harta tersebut dimansuhkan dengan turunnya ayat-ayat al-Qur’an mengenai perwarisan.

Menurut Imam Ibn Hajar al-Haitami Rahimahullâh, hukum mewasiatkan harta adalah sunat mu’akkadah (sangat dituntut) dan kadar yang sunat untuk diwasiatkan ialah tidak melebihi satu pertiga daripada harta dan wasiat itu untuk selain ahli waris.

Antara rukun wasiat ialah pewasiat ( ْ الِ موصي ) dan penerima wasiat ( ْ الَ مَ وصى له ). Pewasiat ialah orang yang membuat penawaran wasiat semasa hidupnya dengan tujuan menyumbang harta miliknya selepas kematiannya dan dengan tujuan mendapat ganjaran pahala daripada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Manakala penerima wasiat ialah orang yang mendapat faedah daripada wasiat untuk dimanfaatkannya.

Wasiat hanya akan terlaksana selepas kematian pewasiat. Oleh itu, wasiat tidak akan dapat ditunaikan selagi pewasiat masih hidup. Penerimaan (َبول ق) dan penolakan wasiat daripada penerima wasiat hendaklah dilakukan selepas kematian kerana penawaran wasiat (إ ِْيَْاب) daripada pewasiat itu akan berkuatkuasa selepas kematiannya. Penerima wasiat tidak mempunyai hak ke atas wasiat itu apabila dia menerimanya sebelum kematian pewasiat. Jika penerimaan dan penolakan wasiat daripada penerima wasiat itu dilakukan semasa pewasiat masih hidup, maka tidak sah penerimaan dan penolakan tersebut kerana wasiat itu belum dikuatkuasakan.

Pemilikan harta wasiat adalah tertakluk kepada penerimaan atau penolakan penerima wasiat selepas kematian pewasiat. Jika penerima wasiat menerimanya, maka dia memiliki harta wasiat tersebut. Jika penerima wasiat menolak wasiat tersebut, maka dia tidak memiliki harta wasiat itu dan ia menjadi harta waris pewasiat.

Namun bagaimana pula jika penerima wasiat meninggal dunia sebelum kematian pewasiat dan bagaimana pula jika penerima wasiat meninggal dunia sebelum menyatakan penerimaan dan penolakan wasiat?

Penerima Wasiat Meninggal Dunia Sebelum Kematian Pewasiat

Jika penerima wasiat meninggal dunia sebelum kematian pewasiat atau kedua-duanya meninggal dunia pada waktu yang sama, maka wasiat yang telah dibuat oleh pewasiat adalah batal kerana wasiat hanya berkuatkuasa selepas kematian pewasiat. Imam Ibn Hajar al-Haitami Rahimahullâh menyebut dalam kitab beliau Tuhfah al-Muhtâj:

Ertinya: Jika penerima wasiat meninggal dunia sebelumnya iaitu sebelum kematian pewasiat dan demikian juga jika penerima wasiat dan pewasiat meninggal dunia pada waktu yang sama, wasiat itu adalah batal kerana ketiadaan kuatkuasanya dan ketiadaan perpindahan hak milik untuk berkuatkuasa pada ketika ini.

Menurut jumhûr fuqahâ’ dengan batalnya wasiat yang disebabkan oleh penerima wasiat meninggal dunia sebelum kematian pewasiat, maka ahli waris kepada penerima wasiat tidak mempunyai apa-apa hak untuk menyatakan penerimaan atau penolakan terhadap wasiat tersebut setelah pewasiat meninggal dunia.

Penerima Wasiat Meninggal Dunia Sebelum Menyatakan Penerimaan atau Penolakan Wasiat

Jika penerima wasiat meninggal dunia selepas kematian pewasiat tetapi penerima wasiat itu belum menyatakan penerimaan atau penolakan terhadap wasiat tersebut, maka ahli waris penerima wasiat mengambil alih tempatnya dalam menyatakan penerimaan atau penolakan terhadap wasiat tersebut kerana hak harta berpindah dengan perwarisan. Imam Ibn Hajar al-Haitami Rahimahullâh seterusnya menyebut:

Ertinya: Atau (jika penerima wasiat meninggal dunia) selepasnya iaitu selepas kematian pewasiat dan sebelum penerimaan dan penolakan (wasiat dilakukan), (wasiat) tidak batal, maka ahli warisnya (waris penerima wasiat) yang menerima atau menolak (wasiat itu).

Apabila ahli waris penerima wasiat mengambil alih tempatnya dalam menyatakan penerimaan atau penolakan wasiat tersebut maka dalam hal ini, sah atau batal wasiat itu tertakluk kepada tiga keadaaan berikut:

i. Jika wasiat tersebut diterima (tidak ditolak) oleh semua ahli waris penerima wasiat, maka wasiat itu sah. Sebagai contoh:

A telah meninggal dunia dan telah mewasiatkan 1/3 daripada hartanya kepada B. Kemudian B meninggal dunia sebelum menyatakan penerimaan atau penolakan wasiat A. Dalam keadaan ini, ahli waris B mengambil alih tempatnya dalam menyatakan penerimaan atau penolakan wasiat tersebut. Jika semua ahli waris B bersetuju menerima wasiat tersebut, maka wasiat itu adalah sah dan semua ahli waris B berhak menerima harta wasiat A itu.

ii. Jika wasiat tersebut ditolak oleh semua ahli waris penerima wasiat, maka wasiat itu batal. Sebagai contoh:

A telah meninggal dunia dan telah mewasiatkan 1/3 daripada hartanya kepada B. Kemudian B meninggal dunia sebelum menyatakan penerimaan atau penolakan wasiat A. Dalam keadaan ini, ahli waris B mengambil alih tempatnya dalam menyatakan penerimaan atau penolakan wasiat tersebut. Jika semua ahli waris B menolak wasiat tersebut, maka wasiat A itu batal dan semua ahli waris B tidak berhak menerima harta wasiat A itu.

iii. Jika sebahagian ahli waris bersetuju menerima wasiat tersebut dan sebahagian ahli waris menolak, maka wasiat itu menjadi hak ahli waris yang menerimanya dan menjadi batal pada bahagian ahli waris yang menolaknya. Sebagai contoh:

A telah meninggal dunia dan telah mewasiatkan 1/3 daripada hartanya kepada B. Kemudian B meninggal dunia sebelum menyatakan penerimaan atau penolakan wasiat A. Dalam keadaan ini, ahli waris B mengambil alih tempatnya dalam menyatakan penerimaan atau penolakan wasiat tersebut. Jika seorang daripada ahli waris B iaitu C bersetuju menerima wasiat tersebut, maka wasiat pada bahagian C adalah sah dan C berhak menerima wasiat A. Manakala jika seorang lagi daripada ahli waris B iaitu D menolak wasiat tersebut, maka wasiat pada bahagian D daripada harta wasiat A itu batal dan D tidak berhak menerima harta wasiat A.

Adapun jika penerima wasiat telah menyatakan penerimaan wasiat sebelum dia meninggal dunia, maka dia telah memiliki wasiat itu dan wasiat beralih kepada ahli warisnya apabila dia meninggal dunia. Manakala jika penerima wasiat menolak wasiat tersebut, maka wasiat itu adalah batal dengan penolakan itu dan tidak ada hak bagi ahli warisnya untuk menyatakan penerimaan selepas kematian penerima wasiat.

Demikian penjelasan hukum mengenai kedudukan penerima wasiat yang meninggal dunia sebelum kematian pewasiat dan penerima wasiat yang meninggal dunia sebelum menyatakan penerimaan dan penolakan wasiat.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-15560

دليل الألوان

آية قرآنيةحديث شريفنص فقهي من كتب العلماءرد اللجنة (المرجع الأساسي للفتوى)رقمرابط لفتوى أخرى مذكورة في النص