Mencintai Rasulullah Shallallâhu ‘Alaihi Wa Sallam
الجواب
Setiap orang yang beriman dengan Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wa sallam pasti mempunyai perasaan cinta kepada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam. Walau bagaimanapun, perasaan cinta kepada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam itu berbeza di antara seseorang dengan seseorang yang lain.
Pada hakikatnya, kecintaan kepada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam itu mempunyai kaitan dengan kecintaan kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ kerana orang yang mencintai Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ pasti akan mentaati setiap perintah Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dan antara perintah Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ itu ialah mencintai Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam dengan cara mentaati perintah serta menjadikan Baginda sebagai contoh dan tauladan dalam kehidupan. Oleh itu, para ulama berpendapat bahawa mencintai Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam hukumnya adalah wajib dan merupakan salah satu daripada asas-asas iman kerana cinta kepada Baginda itu diperintahkan seiring dengan perintah untuk mencintai Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ berfirman dalam surah Âli ‘Imran, ayat 31:
Tafsirnya: Katakanlah (wahai Nabi Muhammad!): “Jika kamu mengasihi Allah maka ikutlah aku, nescaya Allah mengasihi kamu dan mengampuni dosa-dosa kamu. Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Pengasih.” (Surah Âli ‘Imran: 31)
Mendahulukan cinta kepada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam ke atas cinta kepada sekalian makhluk juga adalah wajib. Dalam sebuah hadits daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Demi (Allah) yang jiwaku berada di dalam kekuasaanNya, tidak beriman seorang daripada kamu (dengan iman yang sempurna) sehingga aku menjadi (orang) yang lebih dicintainya daripada bapanya dan anaknya. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Selain hadits di atas, terdapat satu riwayat daripada Anas bin Malik Radhiallâhu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Tidak beriman seorang daripada kamu (dengan iman yang sempurna) sehingga aku menjadi (orang) yang lebih dicintainya daripada bapanya, anaknya dan sekalian manusia. (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Menurut Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani Rahimahullâh, maksud sekalian manusia dalam hadits di atas adalah juga merangkumi diri orang itu sendiri. Ini bermakna, cinta kepada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam itu hendaklah melebihi daripada cinta kepada ibu bapa, anak, seluruh manusia lainnya dan juga melebihi daripada cinta kepada dirinya sendiri. Menurut beliau lagi, maksud tidak beriman dalam hadits di atas adalah tidak sempurna imannya.
Pengarang kitab Mirqât al-Mafâtih menyebut bahawa cinta kepada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam itu bukan sahaja mesti melebihi daripada cinta kepada seluruh manusia, bahkan juga hendaklah melebihi daripada segala-galanya termasuk harta benda, pangkat kedudukan dan keinginan.
Khusus disebut di dalam hadits di atas bahawa kecintaan kepada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam itu hendaklah melebihi kecintaan kepada bapa dan anak, kerana bapa dan anaklah yang paling dicintai oleh seseorang berbanding harta dan ahli keluarganya yang lain, bahkan melebihi daripada kecintaannya kepada dirinya sendiri.
Cinta kepada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bukan seperti cinta kepada makhluk yang lain, bahkan ia adalah cinta yang sangat istimewa kerana cinta kepada Baginda adalah ibadat yang berkait dengan kesempurnaan iman seseorang. Apabila iman seseorang itu sempurna, dia pasti akan mencintai Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam dan pasti akan mendahulukan cintanya kepada Baginda itu ke atas cintanya kepada sekalian makhluk.
Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam sememangnya layak dicintai dengan kecintaan yang paling tinggi kerana Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ telah mengurniakan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam keindahan sifat zahir dan batin yang tidak ada pada orang lain. Baginda adalah insan yang sempurna dan penuh dengan ciri-ciri kemuliaan. Bagindalah yang menyelamatkan seluruh umat Baginda dengan membimbing untuk menuju jalan yang lurus dan menjauhkan daripada azab seksa api neraka. Maka selayaknyalah Baginda merupakan orang yang paling dicintai oleh setiap orang yang beriman.
Imam an-Nawawi Rahimahullâh menyebut dalam kitabnya al-Minhaj bahawa mencintai Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam itu adalah dengan mentaati perintah Baginda dan tidak sekali-kali menderhakai Baginda.
Menurut al-Qadhi ‘Iyyadh Rahimahullâh bahawa mencintai Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bererti mempertahankan sunnah dan syariat yang diajarkan oleh Baginda. Mencintai Baginda juga bererti meninggikan darjat dan kedudukan Baginda daripada sekalian makhluk yang lain.
Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani Rahimahullâh pula menyebut bahawa termasuk juga maksud mencintai Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam itu menyuruh berbuat kebajikan dan mencegah kemungkaran.
Berdasarkan penjelasan ulama di atas, orang-orang yang mentaati perintah Baginda, mempertahankan sunnah dan syariat yang diajarkan oleh Baginda, meninggikan darjat dan kedudukan Baginda daripada sekalian makhluk yang lain serta menyuruh berbuat kebajikan dan mencegah kemungkaran, inilah hakikat sebenar orang-orang yang sempurna imannya.
Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani Rahimahullâh dalam kitabnya Fath al-Bâri ada menyebut pendapat ulama bahawa mencintai Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam itu ada dua jenis iaitu fardhu dan sunat:
(i) Fardhu iaitu cinta yang membawa kepada ketaatan terhadap perintah yang wajib dan tidak melakukan maksiat dan segala perkara yang diharamkan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam serta redha dan percaya dengan ketentuan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Dia juga redha dengan semua ajaran yang disampaikan oleh Baginda dan menerimanya dengan sepenuh hati dan dia tetap di atas landasan ajaran-ajaran Baginda.
(ii) Sunat iaitu cinta yang membawa seseorang melakukan amalan-amalan sunat dan menjauhi daripada segala perkara syubhah. Cinta ini juga membawanya untuk tetap mengamalkan adab-adab, akhlak-akhlak dan perbuatan-perbuatan Baginda sama ada dalam perkara-perkara ibadat ataupun kehidupan seharian.
Orang yang paling tinggi martabat dan paling sempurna cintanya kepada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam ialah orang yang memiliki cinta yang fardhu dan sunat berbanding orang yang hanya memiliki cinta yang fardhu sahaja.
Demikian penjelasan mengenai hukum serta huraian maksud mencintai Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-15571
دليل الألوان
