Nafkah Isteri Selepas Kematian Suami
الجواب
Kewajiban menanggung nafkah ke atas seseorang adalah disebabkan hubungan perkahwinan, hubungan kerabat dan hubungan pemilikan (hamba atau binatang). Seorang suami berkewajiban menanggung nafkah isterinya disebabkan hubungan perkahwinan, sama ada isterinya seorang yang kaya atau mempunyai pendapatan sendiri ataupun tidak. Nafkah isteri meliputi makan minum, pakaian dan tempat tinggal. Kadar nafkah isteri adalah berdasarkan kepada kemampuan suami.
Nafkah isteri didahulukan daripada nafkah kepada anak, bapa, ibu dan kerabat mengikut urutan selepas nafkah untuk dirinya sendiri. Diriwayatkan daripada Jabir Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Mulailah dengan dirimu sendiri (terlebih dahulu), maka bersedekahlah ke atasnya (dirimu sendiri), maka jika ada berlebih sesuatu (daripada keperluan dirimu), maka untuk keluargamu (isteri dan anak-anak), maka jika berlebih (lagi) sesuatu daripada (nafkah) keluargamu, maka untuk kerabatmu. (Hadits riwayat Muslim)
Walau bagaimanapun kewajiban suami memberi nafkah kepada isteri akan terhenti apabila suami meninggal dunia. Jika berlaku demikian, timbul persoalan siapakah yang bertanggungjawab terhadap nafkah isteri ketika dia menjalani ‘iddah kematian suami dan nafkah selepas selesai tempoh ‘iddah?
Nafkah Isteri Ketika Menjalani ‘Iddah
Apabila berlaku kematian suami, seorang isteri akan menjalani ‘iddah di samping ihdâd (berkabung) kerana kematian suami. Sepanjang menjalani tempoh ‘iddah, tiada lagi nafkah makan minum, pakaian dan lain-lain bagi isteri kerana nafkahnya telah gugur disebabkan kematian suami. Walau bagaimanapun dia berhak mendapat nafkah tempat tinggal dalam tempoh ‘iddah tersebut. Asy-Syaikh al- Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh dalam kitabnya Mughnî al-Muhtâj menyebut:
Ertinya: Dan wajib juga (menyediakan) tempat tinggal bagi perempuan dalam ‘iddah yang kematian suami menurut pendapat al-azhhar.
Sekiranya dia tinggal di rumah milik suaminya, maka dia hendaklah menetap di rumah tersebut sepanjang menjalani tempoh ‘iddah. Sekiranya dia tinggal di rumah yang disewa oleh suami sebelum meninggal dunia, maka bayaran rumah sewa tersebut hendaklah diambil daripada harta pusaka suami jika ada. Sewa bagi tempat tinggal isteri yang menjalani tempoh ‘iddah adalah wajib didahulukan sebelum melunaskan hutang-hutang yang masih tertanggung ke atas suami, wasiat dan perwarisan. As-Sayyid Muhammad al-Bakri Rahimahullâh dalam kitabnya Hâsyiyah I‘ânah ath-Thâlibîn menyebut:
Ertinya: Dan wajib secara muthlaq ke atas suami (menyediakan) tempat tinggal isteri yang dipisahkan (sama ada) disebabkan kematian atau thalaq bâ’in atau thalaq raj‘i atau fasakh. Dan dalam ‘iddah kematian suami, tempat tinggal (isteri) itu adalah daripada harta pusaka suami jika ada dan didahulukan (menyediakan tempat tinggal isteri dalam ‘iddah) daripada (melunaskan) hutang-hutang yang masih dalam tanggungan (suami).
Sekiranya suami tidak meninggalkan harta pusaka, maka tidak wajib bagi ahli waris suami menyediakan tempat tinggal bagi isteri dalam tempoh ‘iddah. Jika ahli waris suami dengan sukarela menyumbang (tabarru‘) untuk menyediakan tempat tinggal isteri tersebut, maka isteri wajib menerimanya kerana perbuatan ahli waris itu ada tujuan untuk memelihara maruah suaminya. Begitu juga jika orang lain yang bukan daripada kalangan ahli waris suami sukarela menyumbang kepada isteri untuk menyediakan tempat tinggalnya, maka isteri wajib menerimanya jika penerimaannya itu tidak mendatangkan syak wasangka.
Sekiranya tidak ada harta pusaka yang ditinggalkan oleh suami dan tidak ada sesiapapun yang sukarela menyumbang untuk menyediakan tempat tinggal isteri tersebut, maka sunat bagi imâm (pemimpin) menyediakan tempat tinggalnya daripada (peruntukan) Baitul-Mal terutama jika isteri tersebut ada mendapat tohmahan. Sekiranya tidak ada juga sesiapapun yang menawarkan tempat tinggal untuknya, maka dia boleh tinggal di mana sahaja yang dikehendakinya.
Manakala dari segi nafkah makan minum, pakaian dan lain-lain keperluannya, sekiranya isteri yang kematian suami itu fakir atau mempunyai harta namun harta tersebut tidak mencukupi untuk menanggung nafkah dirinya serta dia tidak mampu mencari pendapatan dengan bekerja, contohnya disebabkan tua atau gila, maka tuntutan wajib menanggung nafkah kepadanya beralih kepada ahli-ahli kerabatnya yang ditentukan oleh syara‘ sebagaimana yang akan dijelaskan kemudian.
Nafkah Isteri Setelah Selesai Menjalani ‘Iddah
Apabila seorang isteri yang kematian suami telah selesai menjalani tempoh ‘iddah, sekiranya dia fakir atau mempunyai harta namun tidak mencukupi untuk menanggung nafkah dirinya serta dia tidak mampu mencari pendapatan, maka nafkahnya adalah menjadi tanggungjawab ahli kerabatnya berdasarkan susunan yang ditentukan oleh syara‘.
Ahli kerabat yang wajib menanggung nafkah adalah mereka yang terdiri daripada kerabat al-ba‘dhiyyah (nasab) iaitu:
i. Ushûl iaitu bapa, ibu, datuk (sebelah bapa dan sebelah ibu) dan nenek (sebelah bapa dan sebelah ibu) hingga ke atas. ii. Furû‘ iaitu anak, cucu hingga ke bawah.
Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam kitab Raudhah ath-Thâlibîn menyebut:
Ertinya: Sesungguhnya nafkah itu wajib dengan sebab hubungan kerabat al-ba‘dhiyyah, maka wajib (nafkah) untuk anak ke atas bapa(nya) dan sebaliknya (nafkah untuk bapa ke atas anaknya), dan (adalah) sama di dalamnya (kewajiban nafkah) bapa, ibu, datuk-datuk dan nenek-nenek hingga ke atas serta anak-anak lelaki, anak-anak perempuan dan cucu-cucu hingga ke bawah, (sama ada) lelaki, perempuan, waris dan bukan waris, muslim dan kafir dari kedua-dua belah pihak (pemberi nafkah dan penerima nafkah).
Oleh yang demikian, nafkah isteri yang kematian suami ditanggung oleh kerabatnya yang terdiri daripada ushûl dan furû‘ isteri tersebut. Walau bagaimanapun, kewajiban ushûl dan furû‘ dalam pemberian nafkah kerabat adalah apabila dia berkemampuan untuk menanggung nafkah kepada kerabatnya iaitu dia mempunyai lebihan daripada nafkah untuk dirinya dan nafkah untuk isterinya, dan kerabat itu fakir atau mempunyai harta namun tidak mencukupi untuk menanggung nafkahnya serta tidak ada mempunyai pendapatan.
Susunan ushûl dan furû‘ yang berhak menanggung nafkah ditetapkan berdasarkan dua keadaan berikut:
1. Dalam keadaan isteri yang kematian suami itu mempunyai ahli kerabat ushûl dan furû‘ dan kedua-duanya mampu menanggung nafkah, maka menurut pendapat al-ashah kewajiban memberi nafkah kepada isteri tersebut didahulukan ke atas furu‘ sekalipun hubungan furû‘ itu jauh ke bawah. Dalam keadaan ini, jika terdapat semua kerabat furû‘ yang terdiri daripada anak, cucu dan cicit, kewajiban menanggung nafkah isteri tersebut adalah mengikut susunan urutan berikut:
i. Semua anak, sama ada anak lelaki atau anak perempuan adalah didahulukan daripada kerabat-kerabat yang lain (cucu dan cicit) dalam memberi nafkah isteri tersebut.
Sekiranya isteri tersebut mempunyai seorang anak lelaki dan seorang anak perempuan, maka kedua-dua mereka wajib menanggung nafkah isteri tersebut iaitu ibu mereka kerana kedua-duanya kerabat yang aqrab (lebih dekat) dengan isteri tersebut iaitu ibu mereka, walaupun mereka mempunyai kadar hak waris yang berbeza.
ii. Semua cucu, sama ada cucu lelaki atau cucu perempuan jika anak sudah meninggal dunia atau tidak mampu menanggung nafkah isteri tersebut iaitu nenek mereka. iii. Semua cicit, sama ada cicit lelaki atau cicit perempuan jika anak dan cucu sudah meninggal dunia atau tidak mampu menanggung nafkah isteri tersebut iaitu moyang mereka.
2. Dalam keadaan isteri yang kematian suami itu hanya mempunyai kerabat ushûl atau terdapat ahli kerabat furû‘ tetapi mereka tidak mampu menanggung nafkah isteri tersebut, maka kewajiban memberi nafkah kepada isteri tersebut ditanggung oleh kerabat ushûl sekalipun hubungan ushûl itu jauh ke atas.
Dalam keadaan ini, jika terdapat semua kerabat ushûl yang terdiri daripada bapa, ibu, datuk (sebelah bapa dan sebelah ibu) dan nenek (sebelah bapa dan sebelah ibu), kewajiban memberi nafkah tersebut adalah mengikut susunan urutan berikut:
i. Bapa adalah didahulukan daripada kerabat-kerabat yang lain (ibu, datuk sebelah bapa dan sebelah ibu, nenek sebelah bapa dan sebelah ibu) dalam menanggung nafkah isteri tersebut iaitu anaknya.
ii. Datuk sebelah bapa, jika bapa meninggal dunia atau bapa tidak mampu menanggung nafkah isteri tersebut iaitu cucunya.
iii. Ibu, jika bapa dan datuk sebelah bapa meninggal dunia atau kedua-duanya tidak mampu menanggung nafkah isteri tersebut iaitu anaknya.
iv. Jika bapa, datuk sebelah bapa hingga ke atas dan ibu meninggal dunia dan ketika itu berhimpun datuk sebelah ibu (bapa kepada ibunya) dan nenek sebelah ibu (ibu kepada ibunya) dan kedua-duanya mampu menanggung nafkah, maka kewajiban menanggung nafkah kepada isteri tersebut adalah dibahagi dua di antara mereka kerana kedua-duanya adalah sama dari segi kedudukan kerabat serta tidak ada kelebihan antara satu dengan yang lain. Hal ini kerana datuk sebelah ibu dan nenek sebelah ibu tidak tergolong dalam ‘ashabah (kerabat yang termasuk dalam ahli waris yang menerima kesemua bahagian waris atau bakinya).
Begitu juga sekiranya berhimpun nenek sebelah ibu (ibu kepada ibunya) dan nenek sebelah bapa (ibu kepada bapanya) dan kedua-duanya mampu menanggung nafkah, maka menurut pendapat al-ashah wajib nafkah ke atas kedua-duanya dengan dibahagi dua di antara mereka kerana kedudukan kedua-duanya adalah sama dan kedua-duanya juga tidak tergolong dalam ‘ashabah.
Demikian penjelasan mengenai siapa yang menanggung nafkah isteri selepas kematian suaminya.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-15580
دليل الألوان
