Menthalaq Anggota Badan Isteri
الجواب
Mengucap thalaq atau cerai merupakan suatu perkara yang tidak boleh dipermain-mainkan kerana thalaq boleh jatuh tanpa disedari. Salah satu isu yang dibincangkan oleh para ulama ialah perkara menthalaq anggota badan isteri seperti seorang suami berkata kepada isterinya: “Aku ceraikan badanmu”, “Aku ceraikan rambutmu” dan sebagainya. Adakah jatuh thalaq dengan lafaz thalaq seperti ini?
Menurut para ulama, penetapan hukum sama ada jatuh atau tidak thalaq yang dilafazkan terhadap anggota badan isteri tertakluk kepada anggota badan mana yang disebut dalam lafaz thalaq. Anggota tersebut dinilai terlebih dahulu sama ada ia dikira sebagai sebahagian daripada badan isteri ketika dijatuhkan thalaq atau sebaliknya. Penjelasannya seperti berikut:
1) Menthalaq anggota zahir yang belum terpisah daripada badan isteri.
Sekiranya seorang suami berkata kepada isterinya: “Aku ceraikan badanmu”, “Aku ceraikan separuh badanmu”, “Aku ceraikan tanganmu”, “Aku ceraikan gigimu” dan seumpamanya, maka jatuh thalaq dengan lafaz-lafaz thalaq tersebut, sama ada anggota badan isteri disebut secara khusus seperti tangan dan gigi atau secara umum seperti separuh badan.
Begitu juga sekiranya seorang suami menthalaq anggota-anggota yang pada kebiasaannya akan berpisah daripada badan ketika hidup seperti suaminya itu berkata: “Aku ceraikan rambutmu”, “Aku ceraikan kukumu” dan sebagainya, maka jatuh thalaq dengan lafaz-lafaz tersebut walaupun yang dithalaq itu hanya sehelai rambut atau satu kuku.
Dihukumkan jatuh thalaq dengan menthalaq anggota badan isteri ini adalah berdasarkan ijmâ‘. Antara hujjah ulama bagi ketetapan ini ialah apa yang disebut oleh asy-Syaikh al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh dalam kitabnya Mughnî al-Muhtâj:
Ertinya: Kerana sesungguhnya seorang perempuan itu tidak boleh dibahagi-bahagi dirinya dalam hukum nikah, maka wajib mengumumkannya (talak kepada anggota badan isteri).
Ini bermaksud thalaq itu tidak boleh jatuh terhadap sebahagian anggota badan isteri sahaja kerana apabila seorang lelaki menikahi seorang perempuan, dia menikahi diri perempuan itu secara menyeluruh dan bukan menikahi anggota-anggota atau bahagian-bahagian tertentu perempuan itu sahaja. Oleh yang demikian, wajiblah thalaq jatuh secara menyeluruh terhadap perempuan itu sepertimana dalam perkara nikah walaupun yang dithalaq itu sebahagian anggota badannya sahaja.
2) Menthalaq anggota zahir yang sudah terpisah daripada badan isteri.
Sekiranya seorang suami berkata kepada isterinya yang kudung seluruh tangan kanannya: “Aku ceraikan tangan kananmu”, maka dalam hal ini, tidak jatuh thalaq kerana isterinya tidak memiliki anggota yang dithalaq oleh suami.
Sekiranya seorang suami menthalaq salah satu anggota badan isteri secara ta‘liq (bersyarat) lalu anggota tersebut kudung sebelum berlaku perkara yang disyaratkan, maka tidak jatuh thalaq. Sebagai contoh seorang suami berkata kepada isterinya: “Sekiranya engkau keluar daripada rumahku ini, maka terthalaqlah tangan kananmu”. Selepas suaminya melafazkan thalaq secara ta‘liq itu, tangan kanan isterinya pun kudung lalu selepas itu isterinya pun keluar daripada rumah suaminya.
Dalam contoh di atas, tidak jatuh thalaq kerana ketika isterinya melakukan perkara yang disyaratkan dalam thalaq (keluar daripada rumah), tangan kanan isterinya sudah kudung. Oleh yang demikian, dalam situasi ini suaminya dikira sebagai menthalaq anggota yang tidak lagi dimiliki isterinya.
3) Menthalaq anggota batin badan atau organ dalaman isteri.
Sekiranya seorang suami berkata kepada isterinya: “Aku ceraikan jantungmu”, “Aku ceraikan hatimu”, “Aku ceraikan rahimmu” dan sebagainya, maka jatuh thalaq dengan lafaz tersebut kerana jantung dan seumpamanya itu dikira sebagai sebahagian daripada badan isteri.
Adapun janin atau kandungan dalam perut isteri pula adalah dikira sebagai orang lain (anak) dan tidak dikira sebagai bahagian anggota badan isteri. Oleh yang demikian, sekiranya suami menthalaq janin atau kandungan isterinya, maka tidak jatuh thalaq terhadap isterinya.
4) Menthalaq anggota badan yang tidak dimiliki isteri.
Sekiranya seorang suami berkata kepada isterinya: “Aku ceraikan zakarmu” dan sebagainya, maka tidak jatuh thalaq dengan lafaz thalaq seperti ini kerana isterinya tidak memiliki anggota yang dithalaq oleh suaminya itu.
Menurut Imam asy-Syibramallisi Rahimahullâh, sekiranya suami berkata: “Aku ceraikan janggutmu”, thalaq jatuh terhadap isterinya sekiranya isterinya itu mempunyai janggut walaupun sedikit. Jika isterinya tidak mempunyai janggut, maka tidak jatuh thalaq tersebut.
5) Menthalaq cecair badan isteri.
Sekiranya seseorang menthalaq cecair sisa-sisa badan isterinya seperti peluh, kahak, air liur, air kencing dan sebagainya, maka tidak jatuh thalaq kerana cecair-cecair tersebut bukan anggota yang bersambung secara hakiki kepada isteri.
Begitu juga tidak jatuh thalaq sekiranya suami menthalaq air susu atau air mani isteri kerana menurut para ulama, air susu dan air mani adalah cecair yang sudah tersedia untuk keluar dari badan isteri. Oleh yang demikian, kedua-duanya itu bukan sebahagian daripada anggota badan isteri.
Berlainan halnya dengan darah dan lemak badan kerana menurut para ulama kedua-duanya itu termasuk sebahagian daripada badan. Oleh yang demikian, sekiranya suami menthalaq darah dan lemak badan isteri, maka jatuh thalaq.
6) Menthalaq sifat-sifat isteri.
Seorang suami yang menthalaq akal pemikiran isteri, penglihatannya, pendengarannya atau percakapannya, atau menthalaq sifat-sifat tubuh isterinya seperti kecantikannya atau kehodohannya atau kegemukannya, maka tidak jatuh thalaq kerana semua yang disebut dalam contoh di atas bukan sebahagian daripada anggota badan isteri.
Menurut Imam Ibn Hajar al-Haitami dan Imam al-Qalyubi Rahimahumallâh, begitu juga tidak jatuh thalaq sekiranya suami menthalaq bayang-bayang isteri, kesihatannya atau penyakitnya.
Sekiranya seorang suami berkata kepada isterinya: “Aku ceraikan hayatmu”, thalaq tidak jatuh melainkan jika yang dimaksudkan oleh suami dalam lafaz thalaqnya itu adalah roh atau darah. Sekiranya dia tidak bermaksud sedemikian, iaitu hanya bermaksud hayat atau kehidupan, maka tidak jatuh thalaq.
Berdasarkan penjelasan-penjelasan di atas dapat difahami bahawa thalaq jatuh sekiranya anggota badan isteri yang dithalaq itu adalah anggota yang bersambung secara hakiki kepada isteri ketika dilafazkan thalaq. Adapun jika anggota badan tersebut tidak bersambung secara hakiki kepada isteri ketika dilafazkan thalaq, atau isteri memang tidak memiliki anggota tersebut atau yang dithalaq itu adalah sifat atau perbuatan isteri, maka tidak jatuh thalaq.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-15584
دليل الألوان
