Mahar Isteri Setelah Memeluk Agama Islam
الجواب
Mahar atau mas kahwin ialah suatu pemberian wajib yang diberikan kepada perempuan apabila berlaku pernikahan yang sah atau persetubuhan yang berlaku secara syubhah. Dalam Islam, mahar adalah hak isteri dan menjadi milik muthlaq isteri termasuk isteri yang baru memeluk agama Islam.
Suami isteri yang bukan beragama Islam kemudian kedua-duanya memeluk Islam bersama-sama, sama ada setelah atau sebelum berlaku persetubuhan, maka menurut ijmâ‘ ulama perkahwinan itu masih sah dan kekal tanpa perlu kepada ‘aqad nikah dan mahar yang baharu kecuali ada perkara yang boleh membatalkan perkahwinan tersebut seperti pasangan suami isteri yang memeluk Islam itu merupakan pasangan adik-beradik senasab atau susuan kerana dalam Islam perkahwinan adik-beradik senasab atau susuan adalah haram. Oleh itu, jika berlaku perkara seumpama ini, pasangan berkenaan wajib dipisahkan.
Berhubung dengan persoalan mahar pula, jika dalam perkahwinan orang bukan Islam itu isteri berhak menerima suatu pemberian yang serupa seperti mahar, kemudian kedua-dua suami isteri tersebut memeluk agama Islam bersama-sama, maka kedudukan pemberian itu memerlukan penjelasan hukum.
Pemberian yang sahîh dan yang fâsid
Pemberian yang berhak diterima isteri di dalam perkahwinan orang bukan Islam itu menurut pandangan syara‘ terbahagi kepada dua. Pertama ialah pemberian yang shahîh seperti wang tunai, barang kemas perempuan yang diperbuat daripada emas atau selainnya. Kedua ialah pemberian yang fâsid (rosak) antaranya kerana mahar itu daripada benda najis seperti arak, khinzîr atau selainnya.
Pemberian yang shahîh atau fâsid itu adakalanya telahpun diterima keseluruhannya oleh isteri sebelum memeluk agama Islam dan adakalanya isteri belum menerima suatu pun daripada pemberian itu. Berikut adalah penjelasan hukum mengenainya.
1. Pemberian yang shahîh menurut syara‘.
shahîh menurut pandangan syara‘ dan isteri tersebut telahpun menerima (qabdh) keseluruhan pemberian itu sebelum memeluk agama Islam. Dalam keadaan seperti ini, pemberian yang shahîh tersebut adalah memadai dan suami tidak lagi dituntut memberi isterinya mahar selainnya.
Jika isteri belum menerima (qabdh) suatu pun daripada pemberian yang shahîh itu sebelum memeluk agama Islam, maka isteri berhak mendapat pemberian yang shahîh itu sebagai mahar setelah memeluk agama Islam.
2. Pemberian yang fâsid menurut syara‘.
fâsid menurut pandangan syara‘ dan isteri tersebut telahpun menerima (qabdh) keseluruhan pemberian fâsid itu sebelum memeluk agama Islam. Dalam keadaan seperti ini, pemberian fâsid tersebut adalah memadai dan telah gugur kewajiban (dzimmah) suami untuk memberi isterinya mahar shahîh yang lain sebagai ganti kepada pemberian fâsid yang telah diterima isteri.
Manakala isteri yang belum menerima (qabdh) suatu pun daripada pemberian yang fâsid itu sebelum memeluk agama Islam atau isteri menerima pemberian yang fâsid itu setelah memeluk agama Islam, maka wajib diberi mahar mitsl kepada isteri sebagai ganti kepada pemberian yang fâsid itu.
Mahar mitsl itu ialah suatu kadar mahar yang biasanya menjadi kesukaan perempuan-perempuan yang setaranya berdasarkan nasab dan sifat daripada kalangan perempuan-perempuan sebelah bapanya (‘ashabah).
Hukum wajib mengganti pemberian yang fâsid kepada mahar mitsl kerana pemberian yang fâsid seperti arak dan khinzîr setelah kedua-duanya memeluk agama Islam adalah jelas ditegah.
Adapun perkahwinan orang bukan Islam yang tidak menghendaki suami memberi sebarang pemberian yang serupa seperti mahar kepada isteri, jika mereka memeluk agama Islam bersama-sama maka suami tidak diwajibkan memberi mahar.
Sebagai kesimpulan, isteri yang telah menerima (qabdh) keseluruhan pemberian yang serupa seperti mahar sebelum memeluk agama Islam, maka pemberian tersebut adalah memadai, sama ada pemberian itu pemberian yang shahîh atau pemberian yang fâsid.
Isteri yang belum menerima suatu pun daripada pemberian yang shahîh sebelum memeluk agama Islam, maka setelah memeluk agama Islam bersama-sama suaminya dia berhak menerima pemberian yang shahîh itu sebagai mahar. Manakala isteri yang belum menerima suatu pun daripada pemberian yang fâsid sebelum memeluk agama Islam atau menerimanya setelah memeluk agama Islam, maka wajib diberi mahar mitsl sebagai ganti kepada pemberian yang fâsid itu.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-15595
دليل الألوان
