Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳المعاملات المالية٠ مشاهدة

Pengurusan Harta Haram

الجواب

Harta merupakan salah satu rezeki daripada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Mencari harta halal adalah suatu kewajiban bagi umat Islam. Dengan harta halal tersebut seseorang itu akan dapat menggunakannya untuk mendapatkan makanan yang halal, minuman yang halal, pakaian yang halal dan seumpamanya sebagaimana hadits daripada Anas bin Malik Radhiallâhu ‘anhu, Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Mencari (rezeki) yang halal adalah wajib ke atas setiap orang Islam. (Hadits riwayat ath-Thabarani)

Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ memerintahkan untuk memakan makanan yang halal sebagaimana firmanNya:

Tafsirnya: Dan makanlah yang halal lagi baik daripada rezeki yang Allah telah kurniakan kepada kamu dan bertaqwalah kepada Allah yang kepadaNya sahaja kamu beriman. (Surah al-Mâ’idah: 88)

Menurut Imam al-Qurthubi Rahimahullâh ketika menafsirkan ayat tersebut dalam kitabnya al-Jâmi‘ li Ahkâm al-Qur’ân, makan itu secara khusus disebut dalam ayat tersebut kerana ia merupakan tujuan yang paling besar daripada rezeki dan pengambilan manfaat yang paling khusus bagi insan. Perintah memakan makanan yang halal lagi baik itu termasuk juga perintah meminum minuman, memakai pakaian, menaiki kenderaan dan lain-lain keni‘matan yang halal lagi baik.

Manakala memakan harta haram iaitu yang diperolehi dengan cara yang bertentangan dengan syara‘ adalah dilarang oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ sebagaimana firmanNya:

Tafsirnya: Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu saling memakan harta sesama kamu dengan jalan yang bâthil (seperti makan hasil riba, merampas, menipu dan berjudi), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka antara kamu. (Surah an-Nisâ’: 29)

Antara bahaya memakan harta haram ialah orang yang memakannya dimasukkan ke dalam neraka disebabkan daging dan darah yang tumbuh daripada harta haram. Dalam hadits daripada Ka‘b bin ‘Ujrah Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Wahai Ka‘b bin ‘Ujrah, sesungguhnya tidak akan masuk syurga (seseorang yang ada padanya) daging dan darah yang tumbuh daripada (harta) yang haram, setiap daging dan darah yang tumbuh daripada (harta) yang haram maka neraka adalah lebih utama baginya. (Hadits riwayat ath-Thabarani)

Jelas daripada ayat al-Qur’an dan hadits di atas bahawa Islam telah menetapkan harta yang dimiliki oleh orang Islam mestilah diperolehi dengan cara yang halal iaitu dengan cara yang dibenarkan oleh syara‘ seperti hasil daripada transaksi jual-beli yang sah dan pendapatan daripada pekerjaan yang halal di sisi syara‘. Jika harta tersebut diperolehi dengan cara yang bertentangan dengan syara‘ seperti hasil daripada transaksi riba, rasuah, perjudian, rompakan, rampasan, curi, penipuan dan seumpamanya, maka ia dipanggil sebagai harta haram.

Berkaitan dengan perkara ini, sebahagian orang mungkin menyedari bahawa dia memiliki harta haram namun dia tidak mengetahui apakah yang perlu dibuatnya dengan harta haram tersebut jika dia ingin bertaubat dan membebaskan dirinya daripadanya. Adakah dia boleh membuang atau memusnahkan sahaja harta haram itu memandangkan dia tidak boleh membelanjakannya untuk kepentingan dirinya dan keluarganya atau terdapat cara lain mengikut kaedah atau cara yang telah ditetapkan oleh syara‘?

Cara yang telah ditetapkan oleh syara‘ dalam mengurus harta haram yang diperolehi oleh orang Islam adalah sebagaimana berikut:

1. Jika harta haram yang diperolehinya itu diketahui pemiliknya seperti barang curian, maka wajib dikembalikan kepada pemiliknya atau wakil pemiliknya dengan segera. Jika pemiliknya sudah meninggal dunia, maka wajib dikembalikan harta tersebut kepada waris pemilik. Berkenaan perkara ini, Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam kitab al-Majmû‘ Syarh al-Muhadzdzab menukil pandangan Imam al-Ghazali Rahimahullâh dalam kitab Ihyâ’ ‘Ulûm ad-Dîn:

Ertinya: Al-Ghazali berkata: “Jika ada bersamanya (seseorang) harta haram dan (dia) mahu bertaubat serta membebaskan diri daripadanya (harta haram tersebut), jika harta tersebut ada pemilik tertentu, (maka) wajib menyerahkannya (harta tersebut) kepadanya atau kepada wakilnya. Jika (pemilik tersebut) telah meninggal dunia, (maka) wajib menyerahkannya (harta tersebut) kepada ahli warisnya.”

2. Jika harta haram itu tidak diketahui pemiliknya dan dia belum berputus harap untuk mencari pemiliknya, maka dia hendaklah berusaha untuk mencari pemiliknya selama dia masih belum berputus harap untuk mencarinya dan sunat hukumnya untuk dia mencanangkan tentang harta tersebut. As-Sayyid ba ‘Alawi Rahimahullâh dalam kitab Bughyah al-Mustarsyidîn berkata:

Ertinya: Jika dia tidak mengetahui pemiliknya dan dia tidak berputus harap dari mengetahui (keberadaannya), wajib ke atasnya untuk mengetahuinya dan berusaha padanya, dan sunat dia mewar-warkannya, dan berniat untuk mengembalikannya kepadanya (pemilik) apa cara sekalipun dia menjumpainya atau warisnya (jika pemiliknya meninggal dunia).

Selain itu, dia juga hendaklah menyerahkan harta haram tersebut kepada qadhi (penguasa) yang amanah atau kepada orang alim jika tidak terdapat qadhi yang amanah. Imam Ibn Hajar al-Haitami Rahimahullâh dalam kitabnya al-Fatâwâ al-Kubrâ al-Fiqhiyyah menyebut perkara ini dengan berkata:

Ertinya: Tidak halal membelanjakannya (harta haram) selama pemiliknya diharapkan wujud, bahkan diserahkan (harta haram tersebut) pada qadhi yang amanah jika dijumpai (qadhi sedemikian), jika tidak (dijumpai) maka (diserahkan pada) orang alim.

Menurut as-Sayyid ba ‘Alawi Rahimahullâh dalam kitabnya Bughyah al-Mustarsyidîn, jika dia tidak menjumpai qadhi yang amanah, maka tidaklah dia berdosa dengan menyimpannya dan dia hendaklah berniat untuk mengembalikannya selama pemiliknya belum ditemui.

3. Jika harta haram itu tidak diketahui pemiliknya dan dia berputus harap untuk mencari pemiliknya, maka harta haram tersebut menjadi sebahagian daripada harta Baitul-Mal untuk disalurkan kepada mashlahat umum orang-orang Islam atau disedekahkan kepada orang fakir dan miskin. Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam kitab al-Majmû‘ Syarh al-Muhadzdzab menjelaskan perkara tersebut dengan menukil pandangan Imam al-Ghazali Rahimahullâh dalam kitab Ihyâ’ ‘Ulûm ad-Dîn:

Ertinya: Jika dia tidak mengetahui pemilik harta tersebut dan dia berputus harap untuk mengetahuinya, maka (harta tersebut) hendaklah dia menyalurkannya untuk tujuan mashlahat umum orang-orang Islam seperti pembinaan jambatan-jambatan, rumah-rumah persinggahan yang dibina untuk musafir atau orang miskin, masjid-masjid, mashlahat-mashlahat jalan ke Makkah dan seumpamanya yang diguna sama (manfaatnya) sesama orang-orang Islam padanya, dan jika tidak (disalurkan untuk tujuan mashlahat umum), maka dia sedekahkan (harta tersebut) kepada seorang fakir atau orang-orang fakir.

Menurut Imam al-Ghazali Rahimahullâh lagi, harta haram itu hendaklah ditadbir oleh qadhi (penguasa) yang jujur dalam menyalurkannya kepada mashlahat umum umat Islam. Jika tidak ada qadhi yang jujur, maka diserahkan kepada orang alim (ahli agama). Jika tidak ada, maka diurus sendiri bagi kegunaan mashlahat umum umat Islam sebagaimana katanya:

Ertinya: Dan hendaklah ia diurus oleh qadhi (penguasa) jika dia jujur. Jika dia tidak jujur, tidak harus menyerahkan kepadanya. Jika dia menyerahkannya kepadanya, maka orang yang menyerahkan itu menjadi dhâmin (bertanggungjawab menggantinya), bahkan hendaklah dia melantik seorang lelaki ahli agama dari penduduk negeri (kerana) pelantikan itu lebih utama daripada bersendirian (mengurusnya). Jika dia tidak mampu berbuat demikian, maka dia mengurusnya sendiri.

As-Sayyid ba ‘Alawi Rahimahullâh dalam kitab Bughyah al-Mustarsyidîn juga menjelaskan:

Ertinya: Dan jika dia berputus harap dari mengetahui (mencari) pemiliknya iaitu jauh sekali pada adatnya dia wujud, (maka harta itu) menjadi sebahagian daripada kumpulan harta-harta Baitul- Mal seperti wadî‘ah dan harta rampasan yang telah berputus harap untuk mengetahui pemilik kedua-duanya dan (seperti) harta pusaka yang tidak diketahui waris baginya. Ketika itu, dia menyalurkan kesemuanya untuk mashlahat orang-orang Islam yang utama dengan didahulukan yang lebih utama, seperti pembinaan masjid tatkala tidak ada yang lebih umum (mashlahatnya) daripadanya. Jika ada sesiapa yang di bawah tanggungannya seorang fakir maka dia (harus) mengambil sekadar hajatnya bagi dirinya dan tanggungannya yang fakir sebagaimana (disebut) dalam kitab at-Tuhfah dan lainnya.

Menurut Imam Ibn ‘Asyur Rahimahullâh dalam kitabnya Maqâshid asy-Syarî‘ah al-Islâmiyyah, mashlahat umum bermaksud apa jua perkara yang memberi kebaikan kepada masyarakat umum atau kebanyakan orang tanpa mengambil kira kepada keadaan individu-individu itu tetapi mereka itu dilihat sebagai sebahagian daripada kumpulan masyarakat tersebut.

Demikian penjelasan mengenai pengurusan harta haram.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-15634

دليل الألوان

آية قرآنيةحديث شريفنص فقهي من كتب العلماءرد اللجنة (المرجع الأساسي للفتوى)رقمرابط لفتوى أخرى مذكورة في النص