Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳أحكام متنوعة٠ مشاهدة

Batas Aurat Sesama Perempuan

الجواب

Perkataan ‘aurat’ berasal daripada bahasa Arab. Menurut Mu‘jam Lughah al-Fuqaha’, ia bererti semua perkara yang mendatangkan malu. Dari sudut istilah syara‘, aurat ialah bahagian tubuh manusia yang wajib ditutup daripada pandangan. Hukum menutup aurat adalah wajib sebagaimana firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Dan apabila mereka melakukan perbuatan keji, mereka berkata: “Kami mendapati bapa-bapa (dan datuk nenek) kami melakukannya dan Allah memerintahkan kami melakukannya.” (Surah al-A‘râf: 28)

Menurut Ibn ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ, maksud melakukan perbuatan keji (fahisyah) dalam ayat di atas ialah mereka melakukan thawaf dalam keadaan telanjang.

Berdasarkan perkataan Ibn ‘Abbas di atas maka perbuatan tidak menutup aurat (telanjang) itu adalah perbuatan keji dan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ melarang kita melakukannya. Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Dan janganlah kamu mendekati perbuatan keji sama ada yang terang mahupun yang tersembunyi. (Surah al-An‘âm: 151)

Aurat lelaki ialah bahagian badan di antara pusat dan lutut. Manakala aurat perempuan pula ialah seluruh badannya kecuali muka dan kedua-dua tapak tangannya. Maksud kedua-dua tapak tangan itu ialah bahagian yang zhâhir (belakang tapak tangan) dan yang bâthin (perut tapak tangan) dari hujung jari sehingga pergelangan tangan.

Seorang lelaki wajib menutup auratnya walaupun di hadapan sesama lelaki dan wajib juga bagi seorang perempuan menutup auratnya walaupun di hadapan sesama perempuan. Dalam satu riwayat daripada Abu Sa‘id al-Khudri Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam telah bersabda:

Maksudnya: Tidak (harus) seorang lelaki memandang aurat seorang lelaki dan tidak (harus) seorang perempuan (memandang) aurat seorang perempuan. (Hadits riwayat Muslim)

Mengenai dengan aurat sesama perempuan, sebahagian orang tidak mengetahui tentang perbezaan batas aurat di antara perempuan Islam dengan perempuan Islam dan batas aurat di antara perempuan Islam dengan perempuan bukan Islam.

Menurut hukum syara‘, batas aurat sesama perempuan dibahagikan sebagaimana berikut:

1. Batas aurat perempuan Islam dengan perempuan Islam.

Aurat perempuan Islam di hadapan perempuan Islam yang lain adalah sama seperti aurat perempuan di hadapan lelaki dari kalangan mahramnya iaitu bahagian badan di antara pusat dan lutut. 2. Batas aurat perempuan Islam dengan perempuan bukan Islam.

Aurat perempuan Islam di hadapan perempuan bukan Islam sebagaimana menurut pendapat al-ashah adalah sama seperti auratnya di hadapan lelaki asing iaitu seluruh badannya kecuali muka dan kedua-dua tapak tangannya.

Asy-Syaikh al-Khathib asy-Syarbini dalam kitabnya Mughnî al-Muhtâj menyebut:

Ertinya: Dan mengikut pendapat al-ashah adalah diharamkan perempuan kafir dzimmi atau selainnya (daripada perempuan bukan Islam) melihat kepada (aurat) perempuan Islam, maka dari itu (wajib) perempuan Islam menutup (auratnya) dari pandangannya (perempuan bukan Islam) berdasarkan firman Allah (tafsirnya): “Atau perempuan-perempuan mereka (perempuan-perempuan Islam)” [surah an-Nûr: 31 ]. Jika harus baginya (perempuan bukan Islam) melihat (aurat perempuan Islam), nescaya tidak ada faedah pada mengkhususkannya (menyebut perempuan-perempuan Islam). Sedangkan telah sah (tsabit) riwayat daripada ‘Umar Radhiallâhu ‘anhu bahawa dia menegah perempuan-perempuan ahli kitab masuk ke bilik air bersama-sama dengan perempuan-perempuan Islam dan juga kerana dia (perempuan bukan Islam) mungkin akan menceritakannya (apa yang dilihatnya) kepada lelaki kafir.

Walau bagaimanapun perempuan bukan Islam harus melihat apa yang nampak daripada bahagian tubuh perempuan Islam (yang terpaksa dibuka) ketika sedang melakukan pekerjaan. Asy-Syaikh al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh dalam kitabnya al-Iqnâ‘ fî Hill Alfâzh Abi Syuja‘ menyebut:

Ertinya: Bahawasanya harus dia (perempuan bukan Islam) melihat apa ternampak daripadanya (perempuan Islam) ketika sedang membuat pekerjaan dan ini adalah pendapat azh-zhâhir.

Adapun bahagian yang harus dilihat oleh perempuan bukan Islam ketika perempuan Islam melakukan pekerjaan itu ialah muka, kepala, leher, tangan hingga siku dan kaki hingga lutut.

Demikian penjelasan mengenai batas aurat sesama perempuan.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-15641

دليل الألوان

آية قرآنيةحديث شريفنص فقهي من كتب العلماءرد اللجنة (المرجع الأساسي للفتوى)رقمرابط لفتوى أخرى مذكورة في النص