Meminang Perempuan Dalam ‘Iddah
الجواب
Peminangan dalam bahasa Arab ialah khithbah. Maksud khithbah atau peminangan itu dari sudut syara‘ ialah permintaan peminang (khathib) untuk melakukan pernikahan daripada pihak yang dipinang (makhthûbah), sama ada pihak tersebut adalah perempuan yang hendak dipinang itu sendiri atau wali perempuan tersebut atau selain kedua-duanya.
Peminangan merupakan suatu perbuatan yang tsabit dilakukan oleh Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam berdasarkan hadits daripada ‘Urwah Radhiallâhu ‘anhu, beliau berkata:
Maksudnya: Sesungguhnya Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam telah meminang ‘Aisyah (dengan mengajukan peminangan Baginda itu) kepada Abu Bakr. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Dalam hadits yang lain, Sayyidina ‘Umar Radhiallâhu ‘anhu menceritakan bahawa ketika beliau mencarikan suami untuk anak beliau Sayyidatina Hafshah Radhiallâhu ‘anhâ, anak beliau itu lalu dipinang oleh Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam. Sayyidina ‘Umar Radhiallâhu ‘anhu berkata:
Maksudnya: Kemudian Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam meminangnya (Hafshah), maka aku pun menikahkannya (Hafshah) dengan Baginda. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Menurut para ulama, seorang lelaki harus meminang perempuan yang belum bernikah dan perempuan yang tidak menjalani ‘iddah. Namun haram hukumnya bagi seorang lelaki meminang perempuan yang sudah bernikah. Bagaimanakah pula hukum meminang perempuan yang masih dalam ‘iddah?
Menurut para ulama, hukum meminang perempuan dalam ‘iddah tertakluk kepada lafaz yang digunakan ketika melakukan peminangan, iaitu sama ada peminangan itu dilakukan dengan lafaz tashrîh atau dengan lafaz ta‘rîdh. Selain itu juga tertakluk kepada keadaan perempuan yang dalam ‘iddah sama ada dicerai dengan thalaq bâ’in atau thalaq raj‘i, perempuan yang dicerai dengan fasakh atau infisâkh, perempuan yang kematian suami atau perempuan dalam ‘iddah kerana pernikahan yang syubhah.
Maksud meminang dengan lafaz tashrîh ialah menggunakan lafaz yang pasti dan jelas menunjukkan keinginan untuk melakukan pernikahan. Contoh meminang dengan lafaz tashrîh itu ialah seperti seseorang berkata “Aku ingin menikahimu” atau “Apabila engkau selesai menjalani ‘iddah, aku akan menikahimu”.
Manakala maksud meminang dengan lafaz ta‘rîdh pula ialah menggunakan lafaz yang tidak pasti dan tidak jelas menunjukkan keinginan untuk melakukan pernikahan, bahkan lafaz yang digunakan itu berkemungkinan menunjukkan keinginannya untuk melakukan pernikahan dan berkemungkinan juga tidak bermaksud demikian. Contoh meminang dengan lafaz ta‘rîdh itu ialah seperti seseorang berkata “Engkau cantik” atau “Betapa ramai lelaki yang suka padamu” atau “Siapa yang dapat jumpa perempuan sepertimu?” atau “Sesungguhnya Allah Ta‘ala akan membawamu kepada kebaikan” atau “Engkau tidak akan kekal hidup menjanda” atau “Aku tidak membencimu” atau “Apabila engkau telah selesai menjalani ‘iddah, maka beritahu aku” atau “Aku suka padamu”.
Hukum meminang perempuan dalam ‘iddah dengan menggunakan lafaz tashrîh atau lafaz ta‘rîdh adalah seperti berikut:
1. Menggunakan lafaz tashrîh.
Menurut Imam Zainuddin al-Malibari Rahimahullâh dalam kitabnya Fath al-Mu‘în, haram hukumnya bagi seorang lelaki (selain bekas suami) meminang perempuan dalam ‘iddah dengan menggunakan lafaz tashrîh sebagaimana katanya:
Ertinya: Haram (menggunakan lafaz) tashrîh pada peminangan perempuan dalam ‘iddah (yang dilafazkan) daripada selainnya (bekas suaminya).
Perempuan dalam ‘iddah yang diharamkan untuk dipinang dengan lafaz tashrîh itu ialah perempuan yang dicerai dengan thalaq bâ’in atau thalaq raj‘i atau perempuan yang dicerai dengan fasakh kerana aib yang ada pada suami atau isteri atau perempuan yang dicerai dengan infisâkh seperti kedua-dua suami dan isteri menjadi murtad atau salah seorang menjadi murtad atau perempuan yang kematian suami atau perempuan dalam ‘iddah kerana pernikahan yang syubhah.
Perkara ini adalah berdasarkan mafhûm daripada firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Dan tidaklah ada dosa ke atas kamu tentang apa yang kamu bayangkan (secara sindiran) untuk meminang perempuan (yang masih dalam ‘iddah kerana kematian suami). (Surah al-Baqarah: 235)
Menurut Imam al-Bujairimi Rahimahullâh dalam Hâsyiyah al-Bujairimi ‘alâ al-Khathib, ayat di atas menunjukkan bahawa peminangan yang dilakukan dengan lafaz ta‘rîdh kepada perempuan dalam ‘iddah adalah tidak haram. Ini bererti bahawa berdasarkan mafhûm daripada ayat tersebut, peminangan yang dilakukan dengan lafaz tashrîh kepada perempuan dalam ‘iddah adalah haram. Menurut Ibn ‘Athiyyah Rahimahullâh sepertimana yang dinukil oleh asy-Syaikh al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh dalam kitabnya Mughnî al-Muhtâj, pengharaman meminang perempuan dalam ‘iddah bagi selain bekas suami dengan lafaz tashrîh merupakan ijmâ‘ ulama.
Adapun hikmah diharamkan meminang perempuan dalam ‘iddah dengan lafaz tashrîh adalah kerana peminangan yang dilakukan dengan lafaz tashrîh itu membuktikan kepada perempuan tersebut bahawa lelaki yang meminang itu benar-benar menyukainya dan kemungkinan ini akan mendorong perempuan tersebut untuk melakukan penipuan tentang tempoh selesai ‘iddahnya. Perkara ini kerana menurut Imam al-Mawardi Rahimahullâh, terdapat sebahagian perempuan yang memiliki syahwat yang kuat dan suka kepada perkahwinan yang boleh mendorongnya untuk melakukan penipuan.
2. Menggunakan lafaz ta‘rîdh.
Menurut Imam Ibn Hajar al-Haitami Rahimahullâh dalam kitabnya Tuhfah al-Muhtâj, perempuan dalam ‘iddah kerana dicerai dengan thalaq raj‘i dan perempuan dalam ‘iddah kerana dicerai dengan infisâkh disebabkan suami yang murtad adalah haram dipinang oleh seorang lelaki (selain bekas suami) dengan menggunakan lafaz ta‘rîdh. Menurut Imam asy-Syarwani Rahimahullâh dalam Hâsyiyah Tuhfah al-Muhtâj, peminangan dengan lafaz ta‘rîdh itu tetap haram walaupun bekas suami memberi izin kepada bekas isterinya yang dicerai dengan thalaq raj‘i untuk dipinang.
Adapun sebab larangan itu adalah kerana perempuan dalam ‘iddah kerana dicerai dengan thalaq raj‘i masih lagi dalam makna isteri kerana dia akan kembali menjadi isteri kepada suaminya menerusi ruju‘. Manakala perempuan dalam ‘iddah kerana dicerai dengan infisâkh disebabkan suami yang murtad juga masih lagi dalam makna isteri kerana dia akan kembali menjadi isteri kepada suaminya jika suaminya kembali semula kepada Islam.
Perkara ini disebut oleh Imam Ibn Hajar al-Haitami Rahimahullâh dalam kitabnya Tuhfah al-Muhtâj:
Ertinya: Dan tidak (halal meminang menggunakan lafaz) ta‘rîdh kepada perempuan dalam ‘iddah kerana dicerai dengan thalaq raj‘i dan perempuan dalam ‘iddah disebabkan (suami) murtad kerana kedua-duanya dalam makna isteri disebabkan kedua-duanya (akan) kembali kepada (ikatan) pernikahan dengan sebab ruju‘ dan (kembali kepada) Islam.
Adapun selain perempuan dalam ‘iddah kerana dicerai dengan thalaq raj‘i dan perempuan dalam ‘iddah kerana dicerai dengan infisâkh disebabkan suami yang murtad, maka harus hukumnya bagi seorang lelaki meminang perempuan dalam ‘iddah dengan menggunakan lafaz ta‘rîdh berdasarkan firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Dan tidaklah ada dosa ke atas kamu tentang apa yang kamu bayangkan (secara sindiran) untuk meminang perempuan (yang masih dalam ‘iddah kerana kematian suami). (Surah al-Baqarah: 235)
Ini bererti perempuan dalam ‘iddah yang harus dipinang oleh seorang lelaki selain bekas suaminya dengan lafaz ta‘rîdh itu ialah perempuan yang kematian suami walaupun dia sedang hamil semasa menjalani ‘iddahnya dan perempuan yang dicerai dengan thalaq bâ’in. Perkara ini dinyatakan oleh Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam kitabnya Minhâj ath-Thâlibîn sebagaimana katanya:
Ertinya: Dan halal (meminang menggunakan lafaz) ta‘rîdh perempuan dalam ‘iddah kematian (suami) dan begitu juga bagi perempuan (dalam ‘iddah) kerana bâ’in menurut pendapat al-azhhar.
Perempuan dalam ‘iddah kerana bâ’in itu ialah seperti perempuan yang dicerai dengan fasakh dan perempuan dalam ‘iddah kerana pernikahan yang syubhah.
Bekas Suami Meminang Bekas Isteri yang Menjalani ‘Iddah
Pengharaman meminang dengan lafaz tashrîh atau dengan lafaz ta‘rîdh yang dijelaskan sebelum ini adalah jika yang meminang itu bukan bekas suami bagi perempuan dalam ‘iddah. Adapun jika yang meminang perempuan dalam ‘iddah itu ialah bekas suami bagi perempuan tersebut, maka hukum meminang dengan lafaz tashrîh atau dengan lafaz ta‘rîdh adalah bergantung kepada dua keadaan berikut:
i. Jika bekas isteri itu harus untuk dinikahi oleh bekas suaminya, maka harus bagi bekas suami itu meminang bekas isterinya yang masih dalam ‘iddah dengan lafaz tashrîh dan juga lafaz ta‘rîdh. Sebagai contoh, harus bagi suami untuk meminang bekas isterinya yang dicerai secara khulu‘ dengan lafaz tashrîh dalam tempoh ‘iddah.
Contoh lain lagi, jika isteri dicerai oleh suaminya secara thalaq raj‘i, maka suami harus meminang bekas isterinya dengan lafaz tashrîh yang disertai niat untuk menikahinya kerana perbuatan sedemikian dikira sebagai rujû‘ dengan lafaz kinâyah. Dalam keadaan ini, jika lafaz meminang tersebut tidak diiringi dengan niat untuk menikahinya, maka tidak terjadi rujû‘ kerana suami yang hendak rujû‘ bersama isterinya yang dicerai dengan thalaq raj‘i hanya perlu melafazkan rujû‘ dan bukan melafazkan peminangan kerana suami tidak perlu bernikah semula dengan bekas isterinya yang masih dalam ‘iddah kerana thalaq raj‘i.
ii. Jika bekas isteri itu tidak harus untuk dinikahi oleh bekas suaminya, umpamanya isteri yang dicerai dengan thalaq tiga oleh suaminya, maka dia tidak harus dipinang oleh bekas suaminya dengan lafaz tashrîh.
Dalam keadaan ini, bekas suaminya tidak harus meminang bekas isterinya yang diceraikannya dengan thalaq tiga itu sehingga berlaku perkara-perkara berikut:
▪ Isteri yang dithalaq dengan thalaq tiga itu berkahwin lagi dengan lelaki lain dengan perkahwinan yang sah setelah tamat ‘iddahnya daripada suami yang pertama;
▪ Berlaku persetubuhan antara isteri yang dithalaq dengan thalaq tiga itu dengan suaminya yang baharu;
▪ Berlaku perceraian antara isteri yang dithalaq dengan thalaq tiga itu dengan suaminya yang baharu itu.
Oleh yang demikian, jika isteri tersebut dicerai dengan thalaq raj‘i oleh suaminya yang baharu, maka bekas suami yang pertama haram meminang bekas isterinya yang sedang dalam ‘iddah daripada suami baharu itu sama ada dengan lafaz tashrîh atau ta‘rîdh sehingga bekas isterinya itu selesai menjalani ‘iddah. Walau bagaimanapun, jika isteri tersebut dicerai dengan thalaq bâ’in oleh suaminya yang baharu, maka bekas suami yang pertama harus meminangnya dengan lafaz ta‘rîdh ketika bekas isterinya menjalani ‘iddah daripada perceraiannya daripada suami yang baharu.
Jawaban Perempuan dalam ‘Iddah atau Walinya Terhadap Pinangan
Adapun jawaban perempuan dalam ‘iddah atau walinya terhadap pinangan lelaki, maka hukumnya dari segi bentuk lafaz, iaitu sama ada lafaz tashrîh atau ta‘rîdh adalah sama seperti hukum peminangan lelaki tersebut terhadap perempuan dalam ‘iddah sepertimana yang telah diterangkan sebelum ini. Imam ar-Ramli Rahimahullâh menjelaskan dalam kitabnya Nihâyah al-Muhtâj, katanya:
Ertinya: Dan (hukum) bagi jawabannya (perempuan dalam ‘iddah) dan jawaban walinya (terhadap pinangan) adalah sama seperti hukum peminangan lelaki pada penjelasan yang telah disebutkan.
Ini bererti perempuan dalam ‘iddah atau walinya haram menjawab pinangan lelaki (selain bekas suaminya) dengan jawaban lafaz tashrîh seperti katanya “Aku juga ingin menikahimu”.
Adapun menjawab dengan lafaz ta‘rîdh seperti katanya “Aku juga suka kamu”, maka jawaban sedemikian adalah haram bagi perempuan yang dicerai dengan thalaq raj‘i atau walinya dan haram juga bagi perempuan yang dicerai dengan infisâkh disebabkan suami yang murtad atau walinya, namun harus bagi selain kedua-duanya.
Adapun jika bekas suaminya yang meminangnya, maka jika bekas isteri itu harus untuk dinikahi oleh bekas suaminya, harus bagi bekas isteri itu atau walinya menjawab pinangan bekas suaminya dengan lafaz tashrîh dan juga lafaz ta‘rîdh. Namun jika bekas isteri itu tidak harus untuk dinikahi oleh bekas suaminya, maka dia tidak harus menjawab pinangan bekas suaminya dengan lafaz tashrîh.
Demikian penjelasan mengenai meminang perempuan dalam ‘iddah.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-15646
دليل الألوان
