Mengeluarkan Zakat Dan Membayar Hutang: Apa Yang Didahulukan?
الجواب
Mengeluarkan zakat dan membayar hutang merupakan suatu tuntutan syara‘ ke atas orang-orang yang berkewajiban melaksanakannya. Kewajiban mengeluarkan zakat itu disebut dengan jelas dalam firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: Dan dirikanlah sembahyang dan bayarlah zakat serta ruku‘lah bersama orang-orang yang ruku‘. (Surah al-Baqarah: 43)
Orang yang tidak mahu mengeluarkan zakat dalam keadaan dia memenuhi syarat wajib zakat akan mendapat azab yang pedih di akhirat kelak sebagaimana firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: Dan orang-orang yang menyimpan emas dan perak (yang tidak dikeluarkan zakatnya) dan tidak membelanjakannya pada jalan Allah, maka gembirakanlah mereka dengan azab yang pedih. (Iaitu) pada hari dibakar emas dan perak serta harta-benda itu dalam neraka Jahannam, lalu diseterika (dibakar) dengannya dahi mereka dan rusuk mereka serta belakang mereka (sambil dikatakan kepada mereka): “Inilah apa yang kamu telah simpan untuk diri kamu sendiri, oleh itu rasailah (balasan azab daripada) apa yang kamu simpan (dengan tidak mengeluarkan zakatnya) itu.” (Surah at-Taubah: 34-35)
Kewajiban membayar hutang pula dapat difahami dari hadits yang menjelaskan tentang orang yang tidak membayar hutang itu adalah suatu kezaliman sebagaimana hadits riwayat daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, sabda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam:
Maksudnya: Sengaja melengah-lengahkan pembayaran hutang oleh orang yang mempunyai kemampuan adalah suatu kezaliman. (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Dalam hadits yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Roh seseorang mu’min itu tergantung-gantung (dihalang daripada tempatnya yang mulia) dengan sebab hutangnya sehingga dilunaskan daripadanya. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)
Larangan berhutang ada disebut dalam sebuah hadits mauqûf daripada ‘Umar bin al-Khaththab Radhiallâhu ‘anhu, beliau berkata:
Maksudnya: Dan jauhkanlah diri kamu dari hutang, kerana sesungguhnya (hutang itu) awalnya adalah dukacita dan akhirnya pula mengambil harta orang dengan tidak mengembalikannya. (Hadis riwayat Malik)
Berdasarkan hadits di atas, perbuatan berhutang itu adalah suatu yang akan menyusahkan penghutang di dunia. Dalam hadits yang lain, kegagalan membayar hutang juga akan mengheret penghutang kepada kesusahan yang tidak terperi di akhirat kelak sekiranya dia meninggal dunia sebelum sempat melunaskan hutangnya. Demikian dijelaskan dalam sebuah hadits yang menjelaskan bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam enggan menyembahyangkan jenazah yang masih menanggung hutang.
Terdapat juga beberapa ancaman terhadap orang yang mengabaikan kewajiban membayar hutang sedangkan dia mampu melunaskannya. Antara ancaman tersebut ialah dosanya tidak diampunkan walaupun dia mati syahîd ketika berjihâd pada jalan Allah Ta‘ala. Selain itu, pahala amal kebajikan yang dilakukan oleh penghutang akan diambil dan diberikan kepada pemiutang sebagai tukaran kepada kezaliman yang dilakukannya iaitu tidak melunaskan hutang ketika di dunia, bahkan dosa pemiutang akan ditanggungkan kepada penghutang sekiranya pahala amal kebajikan penghutang tidak mencukupi.
Menyentuh tentang kewajiban mengeluarkan zakat dan membayar hutang ini, timbul persoalan jika seseorang yang wajib ke atasnya menunaikan kedua-dua perkara di atas sedangkan hartanya yang ada ketika dia hendak melaksanakan kewajiban itu hanya mencukupi untuk membayar salah satu daripadanya sahaja, yang mana satukah antara keduanya yang wajib dilaksanakannya terlebih dahulu?
Bagi orang yang meninggal dunia, jika tertanggung ke atasnya kewajiban mengeluarkan zakat dan membayar hutang kepada manusia dan harta pusaka si mati itu pula tidak mencukupi untuk dibayarkan bagi kedua-duanya sekaligus, maka menurut Imam ar-Ramli Rahimahullâh dalam kitabnya Nihâyah al-Muhtâj, hendaklah didahulukan hak Allah Ta‘ala iaitu dengan mengeluarkan zakat, sebagaimana katanya:
Ertinya: Sekiranya berhimpun (kewajiban membayar) zakat dan (kewajiban membayar) hutang kepada manusia dalam harta pusaka dan (harta pusaka itu) sempit (tidak cukup) untuk melunaskan apa yang (tertanggung) ke atasnya, (hendaklah) ia didahulukan iaitu zakat sekalipun zakat fithrah daripada membayar hutang.
Menurut Imam asy-Syibramallisi Rahimahullâh, bagi orang yang meninggal dunia, hendaklah didahulukan mengeluarkan zakat daripada membayar hutang kepada manusia sekalipun si mati itu adalah mahjûr ‘alaih (orang yang ditegah mengurus hartanya).
Kewajiban mengeluarkan zakat itu didahulukan kerana mengeluarkan zakat merupakan pelaksanaan hak yang dituntut oleh Allah Ta‘ala. Ini termasuk menunaikan hak-hak Allah Ta‘ala yang lain seperti membayar kaffârah, menunaikan haji dan nazar. Perkara ini ada disebut oleh Imam Zakariyya al-Anshari Rahimahullâh dalam kitabnya Asnâ al-Mathâlib Syarh Raudh at-Thâlib, katanya:
Ertinya: Dan (dalam menunaikan) hak-hak Allah Ta‘ala seperti zakat sekalipun terikat dengan dzimmah seperti harta rosak (hilang) selepas kewajibannya (zakat) dan kebolehlaksanaan (mengeluarkannya), kemudian dia meninggal dunia dan dia mempunyai harta dan (juga seperti) kaffârah, haji, nazar dan dam berburu (ketika ihrâm), jika berhimpun (kewajiban-kewajiban ini) bersama (kewajiban membayar) hutang kepada manusia pada harta pusaka, (hendaklah) didahulukan (hak-hak Allah Ta‘ala) daripada hutang tersebut.
Mendahulukan mengeluarkan zakat daripada membayar hutang dalam keadaan di atas juga disandarkan kepada hadits yang diriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Maka hutang kepada Allah itu lebih berhak untuk ditunaikan. (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Bagi orang hidup pula, jika tertanggung ke atasnya kewajiban mengeluarkan zakat dan membayar hutang kepada manusia dan harta yang dimilikinya itu pula tidak mencukupi untuk dibayarkan bagi kedua-duanya sekaligus, maka menurut Imam Zakariyya al-Anshari dan Imam ar-Ramli Rahimahumallâh, hendaklah didahulukan hak Allah Ta‘ala iaitu dengan mengeluarkan zakat.
Walau bagaimanapun, sekiranya orang tersebut adalah mahjûr ‘alaih (orang yang ditegah mengurus hartanya), hendaklah didahulukan membayar hutang kepada manusia daripada mengeluarkan zakat. Imam ar-Ramli Rahimahullâh menyebut:
Ertinya: Jika berhimpun pada orang yang hidup (kewajiban mengeluarkan zakat dan kewajiban membayar hutang) dan hartanya sempit (tidak cukup untuk melunaskan) kedua-duanya, maka sekiranya dia adalah orang yang ditegah daripada mengurus hartanya, (hendaklah) didahulukan hak manusia (membayar hutang), dan jika tidak (dilarang mengurus), hendaklah didahulukan mengeluarkan zakat.
Walau bagaimanapun, mendahulukan pembayaran hutang kepada manusia daripada pengeluaran zakat bagi orang hidup yang dilarang mengurus hartanya adalah bagi zakat yang bukan ‘ain (benda) iaitu zakat perniagaan kerana zakat perniagaan dikeluarkan daripada nilai barang jualan. Sekiranya ia adalah zakat ‘ain seperti unta, kambing, dan kerbau, maka didahulukan pengeluaran zakat daripada hutang kepada manusia.
Demikian penjelasan mengenai persoalan mendahulukan pengeluaran zakat atau pembayaran hutang kepada manusia.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-15650
دليل الألوان
