Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الصلاة٠ مشاهدة

Banyakkan Berdo‘a Pada Hari Jumaat

الجواب

Hari Jumaat merupakan hari yang sangat istimewa dan mempunyai banyak kelebihan dan keistimewaan yang tersendiri. Antaranya ialah hari Jumaat merupakan hari terbaik antara semua hari dan penghulu segala hari. Umat Islam dimakruhkan berpuasa sunat pada hari Jumaat tanpa menggandingkannya dengan hari sebelum atau selepasnya. Di samping itu, umat Islam juga digalakkan untuk melakukan perkara-perkara sunat antaranya mandi, berwangi-wangian, bersiwâk, memakai pakaian terbaik, membaca surah al-Kahfi, memperbanyak selawat dan berbagai tuntutan yang lain.

Satu lagi tuntutan pada hari Jumaat yang selayaknya direbut dan jangan sekali-kali ditinggalkan ialah memperbanyak do‘a. Pada hari Jumaat itu terdapat satu waktu yang tidak akan ditolak do‘a padanya. Perkara ini berdasarkan hadits yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu bahawasanya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Padanya (hari Jumaat) terdapat suatu waktu yang tidak bertepatan dengannya seorang hamba muslim yang melazimi berdo‘a memohon sesuatu (dari) Allah Ta‘ala melainkan Dia (Allah Ta‘ala) akan memperkenankannya (memakbulkan permintaannya itu). (Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu berkata): “Dan Baginda menunjukkan isyarat dengan tangan Baginda (untuk menunjukkan) tempohnya yang singkat.” (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Menurut para ulama asy-Syafi‘i, sunat hukumnya memperbanyak do‘a pada hari Jumaat. Maksud hari Jumaat dalam hal ini merangkumi malam Jumaat dan siangnya.

Adapun sebab tuntutan memperbanyak do‘a pada siang hari Jumaat ini ialah dengan harapan do‘a tersebut bertepatan dengan waktu ijâbah (dimakbulkan do‘a). Manakala tuntutan memperbanyak do‘a pada malam Jumaat pula ialah atas dasar qiyâs terhadap tuntutan memperbanyak do‘a pada siang hari Jumaat. Di samping itu, Imam asy-Syafi‘i Rahimahullâh juga menggalakkannya dan menyatakan bahawa telah sampai kepada beliau bahawa do‘a dimakbulkan pada malam Jumaat.

Terdapat banyak pendapat tentang waktu ijâbah pada hari Jumaat ini. Menurut Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam kitabnya al-Majmû‘, para ulama berbeza pendapat dalam menentukan waktu ijâbah ini kepada 11 pendapat, iaitu:

i. Di antara terbit fajar dan terbit matahari. ii. Ketika zawâl (tergelincir matahari). iii. Dari zawâl hingga imam keluar untuk membacakan khutbah. iv. Dari zawâl hingga bayang-bayang menjadi sekira-kira satu hasta. v. Dari keluarnya imam untuk membacakan khutbah hingga dia selesai sembahyang Jumaat. vi. Di antara keluarnya imam untuk membacakan khutbah dan dia mengerjakan sembahyang Jumaat. vii. Dari permulaan dikerjakan sembahyang Jumaat hingga selesai. viii. Di antara duduknya imam di atas mimbar sehingga dia selesai sembahyang Jumaat. ix. Dari waktu ‘Ashar hingga terbenam matahari. x. Akhir waktu siang pada hari Jumaat. xi. Ia tersembunyi dan berlaku pada waktu yang berbeza pada satu Jumaat dari satu Jumaat yang lainnya, sepertimana berbezanya jatuh lailatul-qadr pada satu Ramadhan dari satu Ramadhan yang lainnya.

Namun menurut Imam an-Nawawi Rahimahullâh, pendapat yang tepat ialah pendapat yang kelapan iaitu ia berlaku di antara duduknya imam untuk membaca khutbah sehinggalah sembahyang Jumaat selesai dikerjakan.

Pendapat ini berdasarkan hadits daripada Abu Musa al-Asy‘ari Radhiallâhu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam menjelaskan waktu ijâbah pada hari Jumaat itu berlaku pada waktu berkenaan. Baginda bersabda:

Maksudnya: Ia (waktu ijâbah itu) di antara duduknya imam sehingga sembahyang (Jumaat) selesai dikerjakan. (Hadits riwayat Muslim)

Menurut Imam an-Nawawi Rahimahullâh lagi, hadits di atas ini memadai sebagai panduan bagi mengetahui waktu ijâbah pada hari Jumaat itu kerana ia adalah hadits shahîh dan secara jelas menyebut bila berlakunya waktu tersebut.

Imam Muslim Rahimahullâh pula berkata mengenai hadits ini:

Ertinya: (Hadits) ini adalah hadits yang paling baik dan yang paling shahîh dalam menerangkan waktu (ijâbah) hari Jumaat.

Menurut al-Qadhi ‘Iyadh Rahimahullâh, maksud “di antara duduknya imam sehingga sembahyang (Jumaat) selesai dikerjakan” itu bukan bererti keseluruhan waktu tersebut adalah waktu ijâbah. Bahkan maksudnya ialah ia berlaku dalam satu lahzhah iaitu satu waktu yang singkat di antara kedua-dua waktu berkenaan. Imam an-Nawawi Rahimahullâh berkata bahawa pendapat al-Qadhi ‘Iyadh Rahimahullâh ini adalah tepat. Pendapat berkenaan juga turut disokong oleh Imam Ibn Hajar al-Haitami dan Imam ar-Ramli Rahimahumallâh serta beberapa ulama asy-Syafi‘i yang lain.

Menurut Imam al-Bulqini Rahimahullâh, pemilihan waktu di atas ini tidak bercanggah dengan tuntutan diam ketika khutbah kerana tidak menjadi syarat ketika berdo‘a untuk melafazkannya. Bahkan memadai berdo‘a dengan menghadirkan do‘a berkenaan dalam hati.

Imam ar-Ramli Rahimahullâh menyebut dalam kitabnya Nihâyah al-Muhtâj bahawa apa yang zahir mengenai waktu ijâbah ini ialah waktu ijâbah itu berbeza mengikut tempat. Ini bererti, waktu ijâbah itu adalah mengikut bila waktu imam di tempat berkenaan duduk untuk membaca khutbah sehinggalah sembahyang Jumaat selesai dikerjakan. Sebagai contoh, waktu ijâbah bagi jemaah Masjid Omar Ali Saifuddien ialah di antara duduknya imam masjid tersebut untuk membaca khutbah sehinggalah dia memberi salam dalam sembahyang Jumaat. Manakala waktu ijâbah bagi jemaah Masjid Perpindahan Lambak Kanan pula ialah di antara duduknya imam masjid tersebut untuk membaca khutbah sehinggalah dia memberi salam dalam sembahyang Jumaat. Begitulah juga halnya bagi masjid-masjid yang lain.

Adapun mengenai riwayat serta pendapat yang menyatakan bahawa waktu ijâbah itu berlaku pada selain waktu berkenaan, maka menurut Imam an-Nawawi Rahimahullâh, ada kemungkinannya juga waktu ijâbah itu berpindah-pindah iaitu ia berlaku dalam waktu yang berlainan pada satu Jumaat dan dalam waktu yang berlainan pada satu Jumaat yang lainnya. Perkara ini serupa dengan lailatul-qadr yang tidak tetap bila berlakunya pada satu Ramadhan dengan satu Ramadhan yang lainnya.

Oleh yang demikian, sebagai usaha untuk mendapatkan waktu ijâbah ini, Imam Abu Bakr al-Atsram Rahimahullâh menyebut bahawa amalan yang terbaik ialah dengan mencari waktu ijâbah tersebut pada semua waktu yang disebut dalam pendapat-pendapat berkenaan.

Tambahan pula, malam Jumaat serta siangnya itu kesemuanya adalah waktu yang disunatkan untuk memperbanyak do‘a. Maka dari itu, umat Islam sewajarnya merebut peluang berkenaan dengan memperbanyak do‘a pada malam dan siang hari Jumaat. Selain mencari waktu ijâbah, dia juga mendapat pahala kerana mengerjakan salah satu tuntutan sunat pada hari Jumaat.

Demikian penjelasan mengenai membanyakkan berdo‘a pada hari Jumaat.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-15658

دليل الألوان

آية قرآنيةحديث شريفنص فقهي من كتب العلماءرد اللجنة (المرجع الأساسي للفتوى)رقمرابط لفتوى أخرى مذكورة في النص