Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الصيام٠ مشاهدة

Berpuasa Nazar Pada Hari Yang Diharamkan

الجواب

Amalan bernazar merupakan salah satu cara yang disyariatkan dalam Islam untuk mendekatkan diri kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Apabila seseorang bernazar, dia telah mewajibkan ke atas dirinya suatu qurbah iaitu ibadat sunat yang dilakukan dengan tujuan mendekatkan diri kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ yang pada asalnya tidak wajib.

Nazar wajib ditunaikan sebagaimana firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Kemudian hendaklah mereka membersihkan diri (bertahallul) dan menyempurnakan nazar-nazar mereka. ajj: 29)H-(Surah al

‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ berkata bahawa Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Sesiapa bernazar untuk mentaati Allah, maka hendaklah dia mentaatiNya (tunaikanlah nazar itu) dan sesiapa bernazar untuk menderhakaiNya, maka janganlah dia menderhakaiNya (janganlah dia menunaikan nazar itu). (Hadits riwayat al-Bukhari)

Antara contoh qurbah yang sah dijadikan nazar ialah bersedekah, sembahyang sunat, puasa sunat, berwaqaf dan sebagainya. Mengenai nazar puasa, adakala orang bernazar itu menetapkan untuk puasa pada suatu hari, bulan atau tahun yang tertentu. Dalam beberapa keadaan, ada kalanya puasa yang dinazarkan itu jatuh pada hari-hari yang diharamkan berpuasa iaitu hari raya, hari tasyrîq atau hari kedatangan haidh atau nifâs bagi perempuan. Ada kalanya pula, puasa yang dinazarkan itu jatuh pada waktu yang diwajibkan berpuasa Ramadhan. Perkara ini menimbulkan persoalan mengenai kedudukan puasa nazar pada hari-hari tersebut.

Antara contoh puasa nazar yang mungkin jatuh pada hari-hari yang diharamkan berpuasa nazar ialah seperti orang yang bernazar untuk berpuasa pada setiap hari Khamis, misalnya dia bernazar: “Kerana Allah wajib atasku berpuasa pada setiap hari Khamis seumur hidupku” atau dia bernazar: “Wajib atasku berpuasa pada setiap hari Khamis pada tahun 1446 Hijriyyah.” Pertembungan juga akan berlaku apabila dia bernazar untuk berpuasa setiap hari di sepanjang tahun yang ditentukannya dengan berkata: “Aku bernazar untuk berpuasa satu tahun penuh pada tahun 1446 Hijriyyah” atau bernazar untuk berpuasa setiap hari pada bulan yang terkandung di dalamnya hari-hari yang diharamkan berpuasa dengan berkata: “Kerana Allah wajib atasku berpuasa satu bulan penuh pada bulan Syawwal tahun 1446 Hijriyyah ini.”

Orang yang bernazar untuk berpuasa dengan lafaz-lafaz nazar seperti di atas, wajib menunaikan puasa nazarnya itu. Walau bagaimanapun, dia wajib meninggalkan puasa nazar pada hari-hari yang diharamkan padanya berpuasa nazar iaitu bulan Ramadhan, kedua-dua hari raya serta ketiga-tiga hari tasyrîq.

Dalam hal ini, wajib meninggalkan puasa nazar pada bulan Ramadhan itu kerana dia wajib mengerjakan tuntutan puasa Ramadhan. Adapun wajib meninggalkan puasa nazar pada Hari Raya Fithrah, Hari Raya Adhha dan ketiga-tiga hari tasyrîq adalah kerana dia wajib berbuka pada hari-hari tersebut. Puasa nazar yang ditinggalkan pada hari-hari berkenaan juga tidak perlu diqadha’ kerana ia tidak dikira dalam nazar.

Imam ar-Ramli Rahimahullâh ada menjelaskan dalam kitabnya Nihâyah al-Muhtâj mengenai kedudukan puasa nazar yang jatuh pada kedua-dua hari raya serta hari-hari tasyrîq. Menurut beliau, dia hendaklah melakukan puasa sepertimana yang dinazarkannya dan wajib berbuka pada kedua-dua hari raya serta hari-hari tasyrîq sepertimana katanya:

Ertinya: Dia (hendaklah) menunaikannya (puasa nazarnya sepertimana yang diniatkannya) dan wajib berbuka pada Hari Raya Fithrah dan Adhha serta hari-hari tasyrîq kerana ditegah puasa padanya (hari-hari tersebut).

Menurut Imam ar-Ramli Rahimahullâh lagi, orang yang bernazar itu wajib meninggalkan puasa nazar dan berpuasa Ramadhan apabila puasa nazar itu jatuh pada bulan Ramadhan. Katanya:

Ertinya: Dan (hendaklah) dia (orang yang bernazar) berpuasa Ramadhan untuknya (Ramadhan) kerana (pada bulan Ramadhan) tidak diterima (puasa) selainnya (puasa Ramadhan).

Puasa nazar yang ditinggalkan pada hari-hari yang diharamkan padanya berpuasa nazar tidak perlu diqadha’ kerana hari-hari tersebut tidak dikira dalam nazar. Bahkan jika seseorang bernazar untuk berpuasa pada hari-hari tersebut, contohnya dia berkata: “Kerana Allah wajib atasku berpuasa pada hari-hari tasyrîq tahun ini”, nazar tersebut adalah tidak sah. Berlainan halnya sekiranya seseorang bernazar untuk berpuasa satu tahun tanpa menentukan tahunnya dengan mensyaratkan muwâlâh (berturut-turut), contohnya dia berkata: “Kerana Allah wajib atasku berpuasa satu tahun secara berturut-turut”. Lafaz nazar sebegini mewajibkan dia berpuasa nazar setiap hari secara muwâlâh sehingga genap satu tahun iaitu dengan berpuasa penuh selama 12 bulan berturut-turut sekiranya dia mula berpuasa pada awal bulan atau berpuasa 360 hari berturut-turut sekiranya dia tidak memulakan puasa nazarnya pada awal bulan. Oleh kerana dalam 12 bulan atau 360 hari itu pasti terkandung di dalamnya hari-hari yang diharamkan padanya berpuasa nazar, maka puasa nazarnya itu belum mencukupi bilangan 12 bulan atau 360 hari kerana dia wajib meninggalkan puasa nazar pada hari-hari yang diharamkan padanya berpuasa nazar itu.

Dalam hal ini, sekiranya dia tidak mengerjakan puasa nazarnya dari awal bulan, dia wajib menqadha’ puasa nazar yang tidak dikerjakan pada bulan Ramadhan dan hari-hari yang diharamkan padanya berpuasa dengan serta-merta sebaik sahaja berlalu 360 hari dari hari dia memulakan puasa nazarnya. Ini bererti, qadha’ tersebut hendaklah dikerjakan pada hari ke 361 dari hari dia memulakan puasa nazarnya sehingga genap jumlah dia berpuasa nazar 360 hari (setahun). Sebagai contoh, dia memulakan puasa nazar yang setahun itu pada 15 Muharram, 1445 Hijriyyah, lalu hari yang ke 360 bagi puasanya itu jatuh pada 20 Muharram, 1446 Hijriyyah. Maka dalam hal ini, dia wajib mengqadha’ hari-hari yang tidak dikerjakan puasa nazar itu dengan serta-merta pada hari yang ke 361 iaitu pada 21 Muharram, 1446 Hijriyyah.

Sekiranya dia mengerjakan puasa nazarnya dari awal bulan pula, sebagai contoh dia mula berpuasa pada 1 Safar, 1446 Hijriyyah, maka hari terakhir bulan Muharram, 1447 Hijriyyah adalah hari terakhir bagi kiraan setahun bagi puasa nazarnya itu. Oleh kerana puasa nazarnya terluput beberapa hari disebabkan bulan Ramadhan, kedua-dua hari raya serta hari-hari tasyrîq, maka dia wajib mengqadha’ hari-hari yang tidak dikerjakan puasa nazar itu bermula pada 1 Safar, 1447 Hijriyyah.

Perkara ini ada disebut oleh Imam Ibn Hajar al-Haitami Rahimahullâh dalam kitabnya Tuhfah al-Muhtâj:

Ertinya: Dan (hendaklah) dia mengqadha’nya, iaitu (puasa nazar yang luput pada) bulan Ramadhan, hari raya dan hari tasyrîq, kerana dia telah menetapkan untuk berpuasa satu tahun (tanpa menentukan tahunnya) dan dia tidak mengerjakannya. (Qadha’ itu dikerjakan) secara berturut-turut iaitu mutawaliyah, bersambung dengan penghujung tahun sebagai melaksanakan syaratnya iaitu berturut-turut.

Walau bagaimanapun, sekiranya orang tersebut meniatkan untuk hanya mengerjakan puasa nazar pada hari-hari yang dibolehkan mengerjakan puasa nazar sahaja, contohnya dia berkata: “Kerana Allah wajib atasku berpuasa setahun secara berturut-turut pada hari-hari yang dibolehkan berpuasa nazar”, maka puasa nazar yang tidak dikerjakan pada bulan Ramadhan, kedua-dua hari raya serta hari-hari tasyrîq itu tidak wajib diqadha’.

Adapun bagi perempuan yang datang haidh atau nifâs pada hari yang dinazarkannya untuk berpuasa, haram dia mengerjakan puasa nazar pada hari tersebut. Walau bagaimanapun, puasa nazar itu dikira gugur daripada tanggungannya kerana puasa ketika haidh dan nifâs adalah tidak sah dan ia tidak wajib diqadha’ kerana tidak dikira dalam nazar. Muwâlâh yang diniatkan dalam puasa nazar juga tidak terputus, maka dari itu dia tidak perlu isti’nâf atau memulakan semula puasanya.

Demikian penjelasan mengenai berpuasa nazar pada hari yang diharamkan.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-15663

دليل الألوان

آية قرآنيةحديث شريفنص فقهي من كتب العلماءرد اللجنة (المرجع الأساسي للفتوى)رقمرابط لفتوى أخرى مذكورة في النص