Fidyah Melewatkan Qadha’ Puasa Ramadhan: Bila Tidak Dikenakan?
الجواب
Seseorang yang diwajibkan melakukan qadha’ puasa Ramadhan, hendaklah dia melaksanakannya sebelum masuk bulan Ramadhan tahun berikutnya kecuali pada lima hari yang diharamkan berpuasa padanya iaitu pada dua hari raya, 1 Syawwal dan 10 Zulhijjah, dan pada hari-hari tasyriq iaitu 11, 12 dan 13 Zulhijjah bagi mengelakkan dia dikenakan fidyah melewatkan qadha’ puasa.
Orang yang tidak berpuasa Ramadhan tanpa uzur syar‘i adalah berdosa dan wajib ke atasnya mengqadha’ puasa tersebut dengan segera sebaik sahaja berlalu 1 Syawwal.
Orang yang tidak berpuasa Ramadhan kerana uzur syar‘i pula dia tidak berdosa tetapi masih juga wajib ke atasnya mengqadha’ puasa tersebut. Antara uzur syar‘i tersebut ialah haidh, sakit yang ada harapan sembuh, musafir, pengsan, lupa berniat, hamil atau perempuan yang menyusukan anak. Qadha’ puasa ke atasnya adalah sunat dilakukan dengan segera sebaik sahaja berlalu 1 Syawwal. Walau bagaimanapun apabila baki hari sebelum masuk bulan Ramadhan tahun berikutnya hanya cukup untuk mengqadha’ puasanya, maka ketika itu dia wajib melakukan qadha’ puasa tersebut dengan segera.
Jika orang yang diwajibkan mengqadha’ puasa seperti di atas tidak melakukan qadha’ puasanya sehingga masuk bulan Ramadhan tahun berikutnya, sedangkan dia ada kesempatan melakukannya, maka dia berdosa dan wajib ke atasnya fidyah, di samping wajib mengqadha’ puasa tersebut.
Fidyah bagi satu hari puasa Ramadhan adalah satu mudd (cupak) daripada makanan seperti beras atau apa-apa juga bijirin yang menjadi makanan asasi sesebuah negeri itu. Satu mudd beras adalah bersamaan dengan 15 tahil atau 567 gram. Fidyah tersebut diberikan hanya kepada golongan fakir dan miskin di kalangan orang Islam.
Fidyah tidak dikenakan ke atas orang yang lewat melakukan qadha’ puasa Ramadhan sehingga masuk bulan Ramadhan tahun berikutnya jika kelewatan itu disebabkan oleh uzur syar‘i sebagaimana yang dijelaskan di bawah ini.
Lewat Qadha’ Kerana Uzur Syar‘i
Seseorang yang diwajibkan untuk melakukan qadha’ puasa Ramadhan sama ada sengaja tidak berpuasa atau kerana uzur syar‘i sebagaimana yang dijelaskan di atas, jika dia tidak mempunyai kesempatan untuk mengqadha’ puasanya sehingga masuk bulan Ramadhan berikutnya disebabkan suatu keuzuran, adalah harus baginya melewatkan qadha’ puasa tersebut dan tidak wajib ke atasnya fidyah walaupun keuzuran tersebut berlarutan sehingga beberapa tahun. Namun kewajiban melakukan qadha’ puasa tetap tertanggung ke atasnya. Keuzuran tersebut ialah lupa atau jahil, musafir, sakit, perempuan hamil atau menyusukan anak damit.
Lupa, Jahil atau Dipaksa
Menurut Imam al-Adzra‘i Rahimahullâh sebagaimana yang dipetik oleh Imam Ibn Hajar Rahimahullâh dalam kitabnya Tuhfah al-Muhtâj, seseorang yang tidak mengqadha’ puasa Ramadhan sehingga masuk bulan Ramadhan tahun berikutnya kerana lupa, maka tidak wajib ke atasnya fidyah. Demikian juga bagi orang yang luput mengqadha’ puasa Ramadhan sehingga masuk bulan Ramadhan tahun berikutnya kerana paksaan. Dalam semua keadaan di atas, sekalipun fidyah tidak dikenakan namun kewajiban qadha’ puasa tetap tertanggung ke atasnya.
Menurut Imam al-Adzra‘i Rahimahullâh lagi, orang yang tidak tahu (jahil) tentang hukum melewatkan qadha’ puasa Ramadhan sehingga masuk bulan Ramadhan tahun berikutnya, maka tidak wajib ke atasnya fidyah. Berbeza halnya jika dia tahu bahawa melewatkan qadha’ puasa itu hukumnya adalah haram akan tetapi dia jahil mengenai fidyah, maka wajib ke atasnya fidyah puasa kerana dalam hal ini kejahilan mengenai fidyah puasa bukan suatu keuzuran. Dalam kedua-dua keadaan ini, kewajiban qadha’ puasa tersebut tetap tertanggung ke atasnya.
Musafir, Sakit, Perempuan Hamil atau Menyusukan Anak Damit
Seseorang yang berterusan musafir atau berterusan sakit daripada Ramadhan sehingga masuk bulan Ramadhan tahun berikutnya, maka tidak wajib ke atasnya fidyah kerana melewatkan qadha’ puasa. Namun dalam keadaan ini kewajiban qadha’ puasa tersebut tetap tertanggung ke atasnya.
Perempuan hamil atau perempuan yang menyusukan anak daripada Ramadhan sehingga masuk bulan Ramadhan tahun berikutnya juga tidak wajib ke atasnya fidyah jika dia melewatkan qadha’ puasa kerana keuzuran di atas. Namun kewajiban qadha’ puasa tersebut tetap tertanggung ke atasnya.
Demikian penjelasan mengenai bilakah fidyah melewatkan qadha’ puasa Ramadhan tidak dikenakan.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-15667
دليل الألوان
