Pemeriksaan PAP Smear Ketika Berpuasa
الجواب
Kanser serviks merupakan salah satu jenis kanser yang membimbangkan kaum perempuan kerana ia boleh menyebabkan kematian. Serviks ialah pangkal rahim yang menghubungkan rahim dengan faraj. Kanser serviks ini boleh dielakkan atau dikawal dengan melakukan pemeriksaan awal. Antara pemeriksaan awal yang boleh dilakukan ialah pemeriksaan PAP Smear (Papanicolaou examination). Pemeriksaan ini dilakukan dengan mengambil contoh sel dari serviks untuk penganalisaan.
Ketika melakukan pemeriksaan PAP Smear, doktor atau jururawat akan memasukkan spekulum iaitu alat yang berbentuk muncung itik bagi memudahkan doktor atau jururawat untuk membuka leher rahim dan melihat bahagian dalam faraj, serviks dan kawasan sekelilingnya serta mengambil sampel (sel dan lendir) menggunakan berus serviks yang dipanggil cytobrush atau menggunakan wooden spatula.
Oleh kerana alat-alat pemeriksaan dimasukkan ke dalam faraj sehingga keseluruhan serviks, timbul persoalan adakah jika pemeriksaan PAP Smear itu dilakukan ketika sedang berpuasa akan membatalkan puasa perempuan tersebut?
Memasukkan Sesuatu ke Dalam Faraj Ketika Berpuasa
Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam kitab Raudhah ath-Thâlibîn ada menyebut:
Ertinya: Antara perkara-perkara yang membatalkan puasa ialah masuk sesuatu ke dalam rongganya (orang yang berpuasa), dan mereka (para ulama asy-Syafi‘i) telah menetapkan (sesuatu) yang masuk yang membatalkan puasa adalah dengan ‘ain (benda) yang sampai (masuk) dari zahir hingga ke batin (rongga) pada lubang yang terbuka dengan sengaja serta (seseorang itu) ingat bahawa (dia) sedang berpuasa.
Maksud “sesuatu” itu ialah apa jua benda sama ada ia sesuatu yang boleh dimakan sekalipun sedikit seperti biji lenga ataupun sesuatu yang tidak boleh dimakan seperti batu. Manakala rasa, bau, wap dan asap tidak termasuk dalam kategori benda yang dimaksudkan.
Manakala maksud “rongga” pula ialah apa jua yang dinamakan sebagai rongga (جوف), tidak kira sama ada ia mempunyai fungsi untuk memproses makanan atau ubat ataupun tidak iaitu rongga otak dan di tenggorokan hingga ke rongga perut dan rongga usus. Termasuk juga dalam maksud rongga ialah batin telinga, pundi-pundi kencing, lubang tempat keluar air kencing lelaki dan lubang tempat keluar air susu.
Maksud “lubang terbuka” pula ialah tempat masuk atau keluar sesuatu, sama ada lubang itu wujud sejak lahir seperti mulut, hidung, telinga, qubûl dan dubur lelaki mahupun perempuan ataupun lubang yang baru wujud seperti luka. Walau bagaimanapun sesuatu yang masuk melalui lubang terbuka disebabkan luka, maka hukum batal atau tidaknya puasa adalah tertakluk kepada sampai mana sesuatu itu masuk dan di mana tempat lubang luka itu berada, sama ada luka pada anggota yang mempunyai rongga ataupun tidak. Ini kerana tempat kedudukan luka itu berada mempengaruhi hukum batal atau tidaknya puasa seseorang itu apabila dia menyapukan ubat padanya lalu sampai ke rongganya.
Mengenai faraj pula, ia termasuk dalam lubang terbuka sebagaimana dijelaskan di atas. Asy-Syaikh al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh dalam kitab Mughnî al-Muhtâj ada menyebutkan mengenai perbuatan memasukkan sesuatu ke dalam faraj membatalkan puasa. Katanya:
Ertinya: Dan hendaklah berhati-hati ketika istinja’, jika dia memasukkan hujung jarinya ke duburnya batal puasanya, dan begitu juga hukum faraj perempuan.
Perbuatan memasukkan sesuatu ke dalam faraj yang menyebabkan batal puasa perempuan itu ialah apabila sesuatu itu masuk ke had batin faraj. Sekiranya ia hanya berada di had zahir faraj, maka ia tidak membatalkan puasanya.
Had zahir faraj ialah bahagian yang nampak apabila perempuan duduk mencangkung ketika qadha hajat. Manakala bahagian yang tidak nampak pula adalah dikira batin faraj. Dalam kitab al-Majmû‘ Syarh al-Muhadzdzab ada disebut mengenai had zahir faraj iaitu:
Ertinya: Berkata ashhâbunâ (para ulama asy-Syafi‘i): “Dan hendaklah bagi perempuan yang berpuasa untuk tidak berlebih-lebihan dengan (memasukkan) jarinya ketika beristinjâ‘”. Mereka berkata: “Maka (bahagian) yang zahir dari farajnya ialah apabila dia duduk (mencangkung) untuk qadha hajat adalah dihukumkan (had) zahir, maka diwajibkan baginya membersihkannya (had zahir faraj) dan tidak melebihinya. Sekiranya dia melebihinya dengan memasukkan jarinya lebih dari itu, batal puasanya.”
Oleh itu, melakukan pemeriksaan PAP Smear termasuk lain-lain pemeriksaan serviks yang perlu memasukkan alat-alat pemeriksaan ke dalam faraj seperti Vaginal Examination yang menggunakan kaedah memasukkan tangan dalam faraj untuk memeriksa serviks dan kawasan di dalamnya dan Transvaginal Ultra Sound yang perlu memasukkan alat ultrasonografi (USG) dalam faraj untuk memeriksa organ reproduktif dalaman perempuan adalah semuanya membatalkan puasa jika dilakukan dengan sengaja serta tahu dia sedang berpuasa.
Demikian penjelasan mengenai perempuan yang melakukan pemeriksaan PAP Smear ketika berpuasa.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-15671
دليل الألوان
