Adab Memulai Dan Menyudahi Bacaan Al-Qur’an Di Pertengahan Surah
الجواب
Membaca al-Qur’an merupakan suatu ibadat sunat yang mempunyai fadhilat dan ganjaran yang berlipat ganda. Orang-orang yang tekun dan gigih mengamalkan membaca al-Qur’an dan melaksanakan ajaran-ajarannya serta melakukan ketaatan-ketaatan yang lain demi mengharap keuntungan pahala daripada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ adalah antara mereka yang akan dikurniakan fadhilat dan ganjaran yang berlipat ganda serta pengampunan daripadaNya. Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Sesungguhnya orang-orang yang sentiasa (melazimkan) membaca Kitab Allah (al-Qur’an) dan mendirikan sembahyang serta membelanjakan sebahagian daripada rezeki yang Kami kurniakan kepada mereka sama ada secara bersembunyi-sembunyi atau secara berterang-terangan, mereka itu mengharapkan perniagaan yang sekali-kali tidak akan rugi. Supaya Allah menyempurnakan pahala mereka dan menambahkan lagi limpah kurniaNya kepada mereka. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Membalas dengan sebaik-baiknya (orang-orang yang bersyukur kepadaNya). (Surah Fâthir: 29-30)
Al-Qur’an juga akan memberi syafaat kepada para pembacanya pada Hari Kiamat. Daripada Abu Umamah al-Bahiliy Radhiallâhu ‘anhu, beliau pernah mendengar Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Bacalah al-Qur’an, sesungguhnya ia akan datang pada Hari Kiamat sebagai pemberi syafaat kepada tuan-tuannya (pembaca-pembacanya). (Hadits riwayat Muslim)
Menurut para ulama, memperbanyak membaca serta tadârus al-Qur’an sangat dianjurkan di bulan Ramadhan kerana bulan Ramadhan adalah bulan yang diturunkan padanya al-Qur’an. Justeru dalam bulan Ramadhan, amalan membaca al-Qur’an lebih giat dilaksanakan sama ada secara persendirian mahupun berkumpulan di masjid-masjid, surau-surau, balai-balai ibadat, rumah-rumah persendirian, pejabat-pejabat dan selainnya.
Dalam kesungguhan mempergiat bacaan dan tadârus al-Qur’an, adalah penting bagi kita memelihara adab-adab ketika membaca al- Qur’an untuk memperolehi pahala yang sempurna.
Salah satu adab yang dianjurkan ketika membaca al-Qur’an ialah menyudahi bacaan al-Qur’an pada tempat-tempat yang sesuai yang dikenali dengan istilah husn al-waqf. Dengan menyudahi bacaan al-Qur’an pada tempat husn al-waqf itu dengan sendirinya kita akan memulai bacaan pada tempat yang sesuai terutama apabila hendak memulai atau menyudahi bacaan pada pertengahan surah.
Kebanyakan orang memahami bahawa tempat yang elok menyudahinya ialah pada ayat terakhir bagi setiap juz atau pada tanda hizb. Apabila dia hendak menyambung bacaannya pula, dia akan memulai bacaannya pada ayat permulaan juz atau hizb yang berikutnya. Persoalannya adakah amalan sedemikian menepati maksud husn al-waqf? Selain itu, dalam memulai bacaan al-Qur’an pada pertengahan surah ini adakah disunatkan membaca ta‘awwudz dan basmalah?
Memulai atau Menyudahi Bacaan Al-Qur’an
Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam kitabnya al-Adzkâr menjelaskan bahawa sunat memulai bacaan al-Qur’an atau menyudahinya pada awal cerita atau pembicaraan sesuatu perkara jika pembacaan itu dimulai atau disudahi di pertengahan surah. Kita tidak perlu terikat kepada juz, hizb dan ‘usyûr kerana banyak antara juz, hizb dan ‘usyûr itu terletak pada pertengahan cerita atau pembicaraan sesuatu perkara sebagaimana katanya:
Ertinya: Dan disunatkan bagi pembaca al-Qur’an apabila memulai (bacaan) dari pertengahan surah untuk memulakan (bacaan) dari permulaan pembicaraan yang berkaitan antara satu dengan yang lain, dan demikian juga apabila berhenti (daripada bacaan), berhenti pada (pembicaraan) yang berkaitan dan pada penyudah pembicaraan dan tidak terikat pada memulai dan tidak pada berhenti (waqf) itu dengan juz, hizb dan ‘usyûr, sesungguhnya banyak daripadanya (juz, hizb dan ‘usyûr) di pertengahan pembicaraan yang berkaitan.
Antara contoh tanda juz yang diletak pada pertengahan cerita atau pembicaraan ialah:
1. Tanda juz di awal ayat 31 surah al-Ahzâb pada permulaan juz ke-22.
Tafsirnya: Dan sesiapa antara kamu yang taat kepada Allah dan RasulNya serta mengerjakan amalan salih nescaya Kami akan mengurniakan kepadanya pahala dua kali ganda dan Kami sediakan baginya rezeki (ni‘mat) yang mulia (di syurga).
Ayat ini masih berkaitan dengan cerita atau pembicaraan ayat sebelumnya dalam juz ke-21 mengenai seksaan azab dua kali ganda kepada isteri-isteri Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam jika mereka melakukan sesuatu perbuatan keji yang nyata pada ayat 30 dan pahala dua kali ganda kepada sesiapa di antara mereka yang taat kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dan RasulNya pada ayat 31 di atas. Maka menyudahi bacaan ayat al-Qur’an pada ayat 30 surah al-Ahzâb atau memulai bacaan pada ayat 31 adalah tidak menepati husn al-waqf kerana cerita dan pembicaraan antara dua ayat tersebut masih berkaitan.
2. Tanda juz di awal ayat 28 surah Yâ Sîn pada permulaan juz ke-23.
Tafsirnya: Dan setelah dia (mati), Kami tidak menurunkan kepada kaumnya bala tentera (malaikat) dari langit (untuk membinasakan mereka), dan tidak perlu Kami menurunkannya.
Sekalipun ayat ini letaknya di permulaan juz ke-23, namun ayat ini adalah kesinambungan cerita ashhâb al-qaryah (penduduk suatu negeri) yang dijelaskan dalam juz ke-22. Maka menyudahi bacaan ayat al-Qur’an pada ayat 27 surah Yâ Sîn atau memulai bacaan pada ayat 28 adalah tidak menepati husn al-waqf kerana cerita dan pembicaraan antara dua ayat tersebut masih berkaitan.
3. Tanda juz di awal ayat 47 surah Fushshilat pada permulaan juz ke-25.
Tafsirnya: Kepada Allah jualah dikembalikan pengetahuan tentang Hari Kiamat. Dan buah-buahan tidak akan keluar daripada kelopaknya dan seorang perempuan tidak akan mengandung dan tidak pula akan melahirkan anak melainkan dengan pengetahuanNya. Dan (pada) hari Allah menyeru mereka (yang musyrik dengan berfirman): “Di manakah sekutu-sekutuKu?” Mereka menjawab: “Kami mengakui kepadaMu bahawa tidak ada seorang pun antara kami yang menjadi saksi (bahawa Engkau mempunyai sekutu).”
Ayat ini masih berkaitan dengan cerita atau pembicaraan ayat sebelumnya dalam juz ke-24 iaitu mengenai ancaman bagi orang-orang kafir bahawa setiap orang akan menerima balasan masing-masing pada Hari Kiamat pada ayat 46 di akhir juz ke-24. Manakala pada ayat 47 di permulaan juz ke-25, Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ seterusnya menjelaskan bahawa pengetahuan tentang Hari Kiamat itu hanya Dia sahaja yang mengetahuinya. Maka menyudahi bacaan ayat al-Qur’an pada ayat 46 surah Fushshilat atau memulai bacaan pada ayat 47 adalah tidak menepati husn al-waqf kerana cerita dan pembicaraan antara dua ayat tersebut masih berkaitan.
Antara contoh tanda hizb yang diletak pada pertengahan cerita atau pembicaraan pula ialah:
1. Tanda hizb di awal ayat 203 surah al-Baqarah.
Tafsirnya: Dan berzikirlah mengingat Allah (dengan mengucap takbîr) dalam beberapa hari yang tertentu bilangannya (iaitu pada hari-hari tasyrîq). Kemudian sesiapa yang bersegera (meninggalkan Mina) pada hari yang kedua (dan selepas dia melontar jamrah pada hari itu) maka tidaklah dia berdosa dan sesiapa yang melambatkan (meninggalkan Mina dan melontar pada hari ketiga belas) maka dia juga tidaklah berdosa, (ketiadaan dosa bagi kedua-duanya itu adalah) bagi orang-orang yang bertaqwa. Maka bertaqwalah kamu kepada Allah dan ketahuilah sesungguhnya kamu akan dihimpunkan kepadaNya.
Ayat ini letaknya di permulaan hizb keempat daripada juz kedua dalam Mushhaf. Ayat ini mempunyai kaitan dengan ayat-ayat sebelumnya yang menceritakan tentang hukum-hakam haji. Maka menyudahi bacaan ayat al-Qur’an pada ayat 202 surah al-Baqarah atau memulai bacaan pada ayat 203 adalah tidak menepati husn al-waqf kerana cerita dan pembicaraan antara dua ayat tersebut masih berkaitan.
2. Tanda hizb di awal ayat 15 surah Âli ‘Imran.
Tafsirnya: Katakanlah (wahai Nabi Muhammad): “Mahukah kamu aku memberitahu kepada kamu yang lebih baik daripada semuanya itu? Iaitu bagi orang-orang yang bertaqwa di sisi Tuhan mereka disediakan syurga-syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya dan (disediakan juga) pasangan-pasangan yang suci bersih serta keredhaan daripada Allah. Dan Allah Maha Melihat hamba-hambaNya.”
Ayat ini letaknya di permulaan hizb keenam daripada juz ketiga dalam Mushhaf. Ayat ini mempunyai kaitan dengan ayat-ayat sebelumnya yang menceritakan tentang kecintaan terhadap harta benda duniawi. Manakala ayat 15 di permulaan hizb keenam menjelaskan tentang sesuatu yang lebih baik daripada kecintaan terhadap harta benda duniawi itu. Maka menyudahi bacaan ayat al-Qur’an pada ayat 14 surah Âli ‘Imran atau memulai bacaan pada ayat 15 adalah tidak menepati husn al-waqf kerana cerita dan pembicaraan antara dua ayat tersebut masih berkaitan.
Ayat-ayat al-Qur’an seperti yang disebutkan di atas ini adalah antara ayat-ayat yang letaknya di permulaan juz atau hizb yang mempunyai kaitan dengan ayat-ayat sebelumnya. Imam an-Nawawi Rahimahullâh menjelaskan bahawa ayat-ayat tersebut dan yang seumpama dengannya sebaiknya tidak dijadikan tempat memulai atau menyudahi bacaan kerana ayat-ayat tersebut masih mempunyai kaitan dengan makna ayat-ayat sebelumnya.
Anjuran untuk memulai atau menyudahi bacaan pada tempat yang elok (husn al-waqf) ini juga bertepatan dengan tuntutan adab tadabbur dan tartîl ketika membaca al-Qur’an kerana dengan kedua-duanya (tadabbur dan tartîl) pembaca akan membaca ayat-ayat al-Qur’an dengan perlahan dan teratur sehingga dapat memahami dan merenung makna ayat yang dibaca sesuai dengan kemampuannya.
Bagi mencapai kesempurnaan adab ini, antara inisiatif yang boleh dibuat oleh pembaca al-Qur’an ialah merujuk terjemahan ayat-ayat yang dibaca atau tafsir al-Qur’an bagi tujuan tadabbur serta mengenal pasti tempat memulai dan menyudahi bacaan yang sesuai.
Ta‘awwudz dan Basmalah
di pertengahan surah, pembaca boleh memilih sama ada membaca ta‘awwudz sahaja atau membaca ta‘awwudz dan diikuti dengan basmalah. Akan tetapi membaca ta‘awwudz yang diikuti dengan basmalah adalah afdhal. Bahkan menurut ahli al-Qurrâ’, membaca basmalah lebih ditekankan pada bacaan ayat seperti:
Tafsirnya: Dan Dialah yang menjadikan kebun-kebun yang menjalar (tumbuhnya) dan yang tidak menjalar. (Surah al-An‘âm: 141)
Membaca ayat di atas tanpa membaca basmalah selepas ta‘awwudz adalah sesuatu yang tidak elok kerana menyambung terus ta‘awwudz dengan ayat tersebut menyebabkan kesamaran ganti nama kalimah ( َ وَهُو) yang bermaksud “Dia” dalam ayat tersebut merujuk kepada syaitan.
Adapun jika seseorang itu memutus bacaannya di pertengahan surah disebabkan percakapan ajnabi (yang tidak kena mengena dengan bacaan al-Qur’an) walaupun disebabkan menjawab salam, kemudian apabila dia hendak menyambung bacaannya, maka dia dianjurkan memulai lagi bacaannya dengan ta‘awwudz dan basmalah. Manakala jika dia memutus bacaan disebabkan keperluan yang berkaitan bacaan itu sendiri seperti sujud tilawah atau perkara dharuri seperti bersin, maka dia tidak perlu memulai dengan ta‘awwudz dan basmalah.
Jika bacaan seseorang itu terputus kerana diam yang panjang, maka dia disunatkan membaca semula ta‘awwudz dan basmalah. Sebaliknya jika diamnya itu tidak panjang, maka tidak perlu dia membacanya semula. Bagaimanapun jika diamnya itu dilakukan dengan niat untuk berhenti membaca al-Qur’an, lalu selepas itu dia hendak menyambung semula bacaannya, maka dalam hal ini dia membaca semula ta‘awwudz dan basmalah.
Demikian penjelasan mengenai adab memulai dan menyudahi bacaan al-Qur’an di pertengahan surah.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-15673
دليل الألوان
