Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الصيام٠ مشاهدة

Menyediakan Makanan Untuk Orang Berbuka Puasa

الجواب

Bulan Ramadhan merupakan bulan yang sentiasa dirindui dan ditunggu-tunggu oleh umat Islam. Ia merupakan sebaik-baik bulan yang dipenuhi dengan banyak keberkatan dan keistimewaan yang tidak ada pada bulan-bulan yang lain. Antara keistimewaan bulan Ramadhan ialah terdapat di dalamnya lailatul-qadr dan bulan Ramadhan menjadi medan tempat meraih pahala kerana semua amalan di dalamnya dilipatgandakan pahalanya.

Bulan Ramadhan juga menjadi istimewa kerana di dalamnya terdapat beberapa amalan yang tidak terdapat pada bulan-bulan yang lain seperti sembahyang sunat Tarawih dan puasa Ramadhan. Satu lagi amalan yang menjadi peluang untuk meraih pahala dalam bulan Ramadhan ialah menyediakan makanan untuk orang berbuka puasa.

Menyediakan makanan untuk dimakan oleh orang yang berpuasa ketika berbuka puasa merupakan satu amalan mulia yang dianjurkan oleh syara‘ dan mempunyai kelebihan yang tersendiri. Para ulama bersepakat bahawa sunat hukumnya menjemput orang yang berpuasa dengan tujuan memberinya makan untuk dia berbuka. Anjuran amalan ini adalah berdasarkan hadits daripada Zaid bin Khalid al-Juhani Radhiallâhu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Sesiapa memberi makan orang yang berpuasa (untuk dia berbuka) nescaya baginya (pahala) seperti pahala (puasa)

mereka, tanpa mengurangi sedikit pun daripada pahala-pahala mereka. (Hadits riwayat at-Tirmidzi dan Ibn Majah)

Hadits di atas menyebut bahawa ganjaran bagi orang yang menyediakan makanan untuk orang berbuka puasa ialah dia dikurniakan pahala sepertimana pahala puasa orang yang diberinya makan. Orang yang diberi hidangan berbuka itu pula tidak akan kehilangan pahala puasanya walau sedikitpun kerana hadits berkenaan bukan bermaksud pahala puasanya diberikan kepada orang yang memberinya makan, bahkan ia bermaksud orang yang memberinya makan itu akan diberikan pahala yang sama sepertimana pahala puasa orang yang diberinya makan itu.

Sekiranya orang berpuasa yang diberinya makan ketika berbuka itu melakukan sesuatu yang merosakkan pahala puasanya, maka menurut ulama, orang yang menyediakan makanan itu tetap dikurniai pahala puasa yang sempurna iaitu seperti pahala puasa orang yang tidak rosak pahalanya sesuai dengan keluasan rahmat Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.

Menurut Imam al-Munawi Rahimahullâh dalam kitabnya al-Faidh al-Qadîr, ganjaran pahala menyediakan makanan untuk orang berbuka puasa tetap akan diperolehi sama ada orang yang diberi makan itu sememangnya orang kaya yang mampu menyediakan juadah untuknya berbuka atau orang miskin yang tidak mampu berbuat demikian. Apa yang penting, bagi mendapatkan ganjaran tersebut, menurut Imam Mulla ‘Ali al-Qari Rahimahullâh dalam kitabnya Mirqah al-Mafâtîh, hidangan berbuka itu hendaklah bersumber daripada pendapatan yang halal.

Menurut Imam Ibn Hajar al-Haitami Rahimahullâh, amalan yang paling sempurna ialah dengan menyediakan hidangan berbuka yang boleh mengenyangkan orang yang diberi makan. Sekiranya tidak mampu menyediakan hidangan yang mengenyangkan, maka memadai menyediakan hidangan itu walaupun hanya dengan memberi sebiji kurma atau seteguk air atau susu atau yang seumpamanya.

Kelebihan lain lagi ialah para malaikat mendo‘akan keberkatan, kebajikan dan pengampunan bagi orang yang menyediakan makanan untuk orang berbuka puasa. Dalam satu hadits daripada Anas bin Malik Radhiallâhu ‘anhu, beliau menceritakan bahawa pada suatu hari Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam telah pergi ke rumah Sa‘d bin ‘Ubadah Radhiallâhu ‘anhu lalu beliau memberikan Baginda roti dan minyak untuk Baginda berbuka. Setelah selesai memakannya, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam lalu berdo‘a dengan do‘a berikut:

Maksudnya: Orang-orang yang berpuasa telah berbuka di tempat kamu, dan orang-orang yang baik (bertaqwa dan mentaati Allah) telah makan makanan kamu dan para malaikat telah berdo‘a ke atas kamu (dengan keberkatan, kebajikan dan pengampunan). (Hadits riwayat Abu Daud)

Amalan menyediakan makanan untuk orang berbuka puasa ini juga membantu mengukuhkan ikatan ukhuwah, silaturrahim dan kasih sayang sesama Islam tanpa mengira keturunan, pangkat dan kedudukan. Ia menghidupkan budaya tolong-menolong sesama orang Islam dan membantu meringankan beban dan memenuhi keperluan saudara seagama terutama sekali golongan yang kurang bernasib baik seperti golongan fakir miskin.

Dengan melaksanakan amalan menyediakan makanan untuk orang berbuka puasa ini, orang tersebut secara langsung juga telah memenuhi satu tuntutan sunat yang lain yang juga dianjurkan untuk dilakukan pada bulan Ramadhan iaitu memperbanyakkan bersedekah dan bermurah hati terhadap anak isteri, keluarga, sanak saudara, jiran tetangga dan yang lainnya. Bermurah hati dan suka sedekah ini merupakan akhlak Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam. Sifat pemurah Baginda semakin bertambah pada bulan Ramadhan sebagaimana yang diriwayatkan oleh para sahabat Baginda. Ibn ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ berkata:

Maksudnya: Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam merupakan manusia yang paling pemurah, dan Baginda itu lebih pemurah lagi dalam bulan Ramadhan ketika Jibril ‘Alaihi as-salâm menemui Baginda. Adapun Jibril ‘Alaihi as-salâm menemui Baginda pada setiap malam di bulan Ramadhan lalu dia (Jibril ‘Alaihi as-salâm) bertadârus al-Qur‘an bersama Baginda (Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam). Maka sememangnya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam itu lebih pemurah dengan kebaikan daripada angin yang bertiup kencang. (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Menurut Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani Rahimahullâh maksud “lebih pemurah dengan kebaikan daripada angin yang bertiup kencang” itu ialah gambaran betapa cepatnya Baginda dalam menghulurkan pemberian serta tidak putusnya limpahan kebajikan yang disalurkan oleh Baginda kepada siapa sahaja tanpa pilih kasih.

Menurut Imam an-Nawawi Rahimahullâh, hadits ini merupakan anjuran kepada umat Islam supaya menanam sifat pemurah dan sentiasa mengamalkannya pada setiap masa dan sunat meningkatkannya pada bulan Ramadhan bagi mencontohi Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam. Tambahan lagi, menurut Imam Ibn Hajar al-Haitami Rahimahullâh, bulan Ramadhan merupakan waktu yang paling afdhal untuk bersedekah, terutama sekali pada sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan.

Selain sunat menyediakan makanan untuk orang berpuasa, menurut Imam Ibn Hajar al-Haitami Rahimahullâh dalam kitabnya al-Minhâj al-Qawîm, afdhal bagi orang yang menyediakan makanan untuk orang berbuka puasa itu ikut makan bersama mereka kerana perbuatan tersebut menunjukkan sifat tawâdhu‘ dan lebih menyenangkan dan menggembirakan hati orang yang dijamu. Dalam kitab Fiqh al-‘Ibâdât ‘alâ al-Madzhab asy-Syafi‘i ada disebut bahawa makan bersama orang yang diberi makan ini juga tetap disunatkan walaupun orang yang menyediakan makanan itu sendiri tidak berpuasa seperti perempuan yang haidh dan sebagainya.

Orang yang dijamu pula sunat mendo‘akan orang yang menjamunya dengan do‘a Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam seperti berikut:

Maksudnya: Orang-orang yang berpuasa telah berbuka di tempat kamu, dan orang-orang yang baik (bertaqwa dan mentaati Allah) telah makan makanan kamu dan para malaikat telah berdo‘a ke atas kamu (dengan keberkatan, kebajikan dan pengampunan).

Menurut Imam Ibn Raslan Rahimahullâh, bagi orang yang dijemput untuk berbuka, seyogia dia tidak berbuka dengan makanan yang lain sekalipun waktu berbuka sudah masuk sebelum dia sampai ke tempat orang yang menjemputnya supaya orang yang menjemput itu mendapat ganjaran yang disebut dalam hadits.

Sekiranya hidangan atau makanan berbuka itu diberi atau dihantar kepadanya pula, maka seyogia dia menerima pemberian tersebut dan berbuka dengannya bagi membantu orang yang memberi makanan berbuka itu mendapatkan ganjaran dan bagi menyampaikan hajatnya.

Demikian penjelasan mengenai anjuran dan kelebihan menyediakan makanan untuk orang berbuka puasa.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-15681

دليل الألوان

آية قرآنيةحديث شريفنص فقهي من كتب العلماءرد اللجنة (المرجع الأساسي للفتوى)رقمرابط لفتوى أخرى مذكورة في النص