Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الزكاة والصدقات٠ مشاهدة

Zakat Fithrah Anak Tiri

الجواب

Zakat fithrah wajib ke atas setiap individu yang mencukupi syarat, iaitu beragama Islam, mempunyai harta yang lebih daripada nafkah dirinya, nafkah orang-orang yang wajib ditanggungnya termasuk perbelanjaan keperluan seperti pakaian, tempat tinggal, pembantu rumah dan nafkah binatang peliharaan pada malam dan siang Hari Raya Fithrah serta hidup pada akhir Ramadhan dan awal Syawwal.

Individu yang wajib mengeluarkan zakat fithrah untuk dirinya juga wajib mengeluarkan zakat fithrah untuk orang-orang yang wajib diberikannya nafkah disebabkan pemilikan, kerabat ataupun pernikahan. Hal ini sebagaimana yang disebut oleh asy-Syaikh al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh dalam kitabnya Mughnî al-Muhtâj:

Ertinya: Dan sesiapa yang wajib ke atasnya (mengeluarkan zakat) fithrahnya iaitu fithrah dirinya, wajib (juga) ke atasnya (mengeluarkan zakat) fithrah orang yang wajib diberikannya nafkahnya dengan (sebab) pemilikan atau kerabat atau perkahwinan, iaitu jika mereka itu orang-orang Islam.

Oleh yang demikian, dapat difahami daripada nash di atas bahawa bagi anak yang ditanggung nafkahnya oleh bapa kandungnya, zakat fithrahnya adalah juga tertanggung ke atas bapa kandungnya itu.

Menyentuh mengenai kewajiban mengeluarkan zakat fithrah anak ini, antara perkara yang menjadi kemusykilan di kalangan orang awam ialah mengenai zakat fithrah anak tiri. Adakah ia masih menjadi kewajiban bapa kandung jika ibu kepada anak tersebut bernikah lagi atau adakah kewajiban tersebut berpindah kepada bapa tirinya?

Sebagaimana yang dijelaskan sebelum ini, kaedah bagi menentukan ke atas siapa diwajibkan mengeluarkan zakat fithrah menyatakan bahawa seseorang yang wajib mengeluarkan zakat fithrah untuk dirinya, adalah juga wajib mengeluarkan zakat fithrah untuk orang yang wajib diberikannya nafkah disebabkan pemilikan, kerabat ataupun pernikahan.

Apabila melihat perkaitan antara anak tiri dengan bapa tiri, hubungan mereka tidak terikat dengan mana-mana ikatan sama ada pemilikan, kerabat ataupun pernikahan. Bahkan menurut Kamus Dewan, pengertian tiri itu sendiri bermaksud anak, bapa atau ibu yang tidak ada perhubungan darah, iaitu bukan anak, bapa atau ibu sendiri. Oleh yang demikian, tidak wajib ke atas bapa tiri memberikan nafkah kepada anak tirinya dan dengan sendirinya juga, bapa tiri tidak wajib mengeluarkan zakat fithrah untuk anak tirinya tersebut.

Ini menunjukkan bahawa kewajiban mengeluarkan zakat fithrah bagi anak tiri tidak berpindah kepada bapa tiri dengan hanya tsabit berlakunya perkahwinan ibu dengan lelaki lain (bapa tiri kepada anak). Sebaliknya, kewajiban tersebut tetap tertanggung ke atas bapa kandungnya. Hatta selepas penceraian, jika bekas suami menyuruh bekas isteri menyusukan anak mereka, maka wajib ke atas bekas suami tersebut memberi upah kepada bekas isterinya itu. Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ berfirman:

Tafsirnya: Kemudian jika mereka menyusukan anak kamu maka berilah mereka upah. (Surah ath-Thalâq: 6)

Walau bagaimanapun, terdapat beberapa keadaan yang menyebabkan zakat fithrah anak tiri itu tidak wajib ditanggung oleh bapa kandungnya seperti keadaan berikut:

1. Bapa kandung kepada anak tiri itu hanya mampu mengeluarkan zakat fithrah untuk seorang sahaja. Dalam keadaan ini, bapa kandung kepada anak tiri tersebut hanya wajib mengeluarkan zakat fithrah untuk dirinya sahaja. Jika zakat fithrah itu dikeluarkan juga untuk selain dirinya, maka tidak sah zakat fithrah tersebut.

Hal ini kerana zakat fithrah itu wajib dikeluarkan untuk diri sendiri terlebih dahulu, kemudian jika masih terdapat lebihan harta, barulah dikeluarkan bagi orang-orang yang di bawah tanggungannya dengan mengikut urutan sebagaimana maksud hadits daripada Jabir bin ‘Abdullah Radhiallâhu ‘anhumâ, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Mulailah dengan dirimu sendiri (terlebih dahulu), maka bersedekahlah ke atasnya (dirimu sendiri), maka jika berlebih sesuatu (dari keperluan dirimu), maka untuk keluargamu (isteri dan anak-anak), maka jika berlebih (lagi) sesuatu dari )nafkah) keluargamu, maka untuk kerabatmu. (Hadits riwayat Muslim)

2. Bapa kandung kepada anak tiri itu meninggal dunia. Dalam keadaan ini, kewajiban mengeluarkan zakat fithrah anak tiri tersebut berpindah kepada ahli kerabatnya yang terdiri daripada ushûl (asal) keturunannya mengikut urutan sepertimana yang ditetapkan oleh syara‘ iaitu, bermula daripada bapa kandung, kemudian datuk sebelah bapa (bapa kepada bapa) hingga ke atas, kemudian ibu kandung dan seterusnya.

3. Anak tiri itu kaya sekalipun dia masih kecil, atau sudah bâligh tetapi gila, atau sudah bâligh tetapi belum rasyîd (belum mampu mengurus harta serta agamanya dengan baik). Dalam hal ini, zakat fithrah anak tiri tersebut wajib dikeluarkan oleh walinya (pengurus hartanya) menggunakan harta anak itu sendiri.

Walau bagaimanapun, sekiranya zakat fithrah anak tiri yang kaya itu dikeluarkan oleh bapa kandungnya menggunakan hartanya (bapa kandung), maka hukumnya adalah harus dan gugur kewajiban zakat fithrah bagi anak tersebut. Pembayaran zakat fithrah anak kecil yang kaya dan anak yang sudah bâligh yang kaya tetapi gila atau belum rasyîd ini tidak memerlukan keizinan daripada mereka.

4. Anak tiri itu sudah bâligh, berakal, rasyîd (mampu mengurus harta serta agamanya dengan baik) dan mempunyai harta atau berupaya mencari pendapatan sendiri. Dalam keadaan ini, tidak wajib ke atas bapa kandung anak tiri tersebut mengeluarkan zakat fithrah untuk anaknya itu kerana nafkah anak tersebut tidak lagi wajib ditanggung oleh bapa kandungnya.

Walau bagaimanapun, bagi anak tiri yang bâligh, berakal dan mempunyai harta atau yang berupaya mencari pendapatan sendiri, harus juga bagi bapa kandung anak tiri tersebut mengeluarkan zakat fithrah untuk anaknya sebagai bertabarru‘ (bersedekah) dengan syarat sudah mendapat izin daripadanya.

Bapa Tiri Mengeluarkan Zakat Fithrah Anak Tiri

Kewajiban mengeluarkan zakat fithrah anak tiri adalah tertanggung ke atas bapa kandung, bukan bapa tiri. Walau bagaimanapun, sekiranya bapa tiri ingin mengeluarkan zakat fithrah anak tirinya dengan menggunakan hartanya (bapa tiri), maka harus bagi bapa tiri tersebut mengeluarkan zakat fithrah anak tirinya dengan syarat dia hendaklah meminta izin terlebih dahulu daripada bapa kandung anak tirinya atau wali anak tirinya (pengurus hartanya) atau daripada anak tirinya jika anak tirinya itu sudah mampu menanggung nafkahnya sendiri kerana bapa tiri itu tidak ada perhubungan darah dengan anak tirinya dan tidak ada kewajiban menanggung nafkahnya.

Menurut asy-Syaikh al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh, tidak harus bagi seseorang itu mengeluarkan zakat fithrah orang yang bukan di bawah tanggungannya melainkan dengan izinnya. Sekiranya dikeluarkan juga zakat fithrah orang yang bukan di bawah tanggungannya tanpa izinnya, maka kewajiban zakat fithrah orang tersebut tetap tidak gugur kerana ia merupakan suatu ibadat yang perlu kepada niat orang yang dipertanggungjawabkan ibadat tersebut.

Demikian penjelasan mengenai zakat fithrah anak tiri.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-15686

دليل الألوان

آية قرآنيةحديث شريفنص فقهي من كتب العلماءرد اللجنة (المرجع الأساسي للفتوى)رقمرابط لفتوى أخرى مذكورة في النص