Mengucapkan Tahniah Sempena ‘Idul-Fithri
الجواب
Umat Islam pada lazimnya menyambut kedatangan Hari Raya Fithrah atau yang biasa disebut sebagai ‘Idul-Fithri dengan sambutan yang meriah. Sambutan itu pula pada kebiasaannya akan diisikan dengan amalan-amalan sunat seperti melaungkan takbîr, mengerjakan sembahyang sunat ‘Idul-Fithri, saling ziarah-menziarahi dan sebagainya. Menyambut kedatangan ‘Idul-Fithri menjadi kebiasaan bagi masyarakat Islam bukan sahaja di Negara Brunei Darussalam, bahkan juga bagi sekalian umat Islam di seluruh dunia.
Salah satu amalan yang biasa dilakukan oleh masyarakat ialah saling mengucapkan ucapan tahniah sesama orang Islam sempena menyambut kedatangan ‘Idul-Fithri. Persoalannya, adakah mengucapkan ucapan tahniah sempena kedatangan ‘Idul-Fithri itu termasuk amalan yang disunatkan dalam Islam?
Ucapan tahniah kepada orang lain merupakan do‘a untuknya. Ucapan tahniah juga adalah kata lawan bagi ucapan ta‘ziah. Imam Ibn ‘Allan Rahimahullâh dalam kitabnya al-Futûhât ar-Rabbâniyyah menjelaskan maksud tahniah dengan berkata:
Ertinya: Dan tahniah ialah do‘a dengan (memohon) kebahagiaan untuk orang yang telah berjaya mendapat kebaikan (yang bersifat) keagamaan atau keduniaan yang tidak memudharatkannya pada agamanya. Imam al-Bujairimi Rahimahullâh pula dalam kitabnya Bujairimi ‘alâ al-Khathib berkata:
Ertinya: Tahniah adalah kata lawan bagi ta‘ziah dan ia (tahniah) ialah do‘a dengan kembalinya kegembiraan.
Mendo‘akan seseorang dengan kembalinya kegembiraan adalah bertepatan dengan maksud Hari Raya itu sendiri. Menurut Imam Ibn Hajar al-Haitami Rahimahullâh dalam kitab Tuhfah al-Muhtâj, perkataan al-‘Îd berasal dari perkataan al-‘Aud yang bermaksud berulang-ulang kerana Hari Raya itu berulang-ulang setiap tahun atau kerana berulang-ulang kegembiraan dengan kembalinya Hari Raya itu setiap tahun atau kerana banyak fadhilat atau kelebihan yang Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ kurniakan kepada hamba-hambaNya pada Hari Raya. Menurut Imam asy-Syarqawi Rahimahullâh dalam Hâsyiyah asy-Syarqawi ‘alâ Tuhfah ath-Thullâb, antara kegembiraan itu ialah pengampunan dosa dan pembebasan daripada api neraka pada akhir malam bulan Ramadhan.
Hukum Mengucap Tahniah
Mengucap tahniah sempena menyambut kedatangan ‘Idul-Fithri atau sempena menyambut kedatangan suatu bulan seperti bulan Ramadhan atau suatu tahun seperti tahun 1445 Hijriyyah hukumnya adalah sunat. Perkara ini dinyatakan oleh kebanyakan ulama antaranya Imam Ibn Hajar al-Haitami, Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani, Imam asy-Syarqawi dan Imam al-Bajuri Rahimahumullâh.
Imam Ibn Hajar al-Haitami Rahimahullâh berkata dalam kitabnya al-Fatâwâ al-Kubrâ al-Fiqhiyyah:
Ertinya: (Ucapan) tahniah sempena (kedatangan) Hari Raya dan (kedatangan) bulan-bulan adalah sunat sebagaimana yang telah disebut oleh sebahagian imam-imam kami.
Imam al-Bajuri Rahimahullâh dalam kitabnya Hâsyiyah al-Bajuri ‘alâ Ibn Qasim al-Ghazzi pula berkata:
Ertinya: Dan disunatkan (mengucap) tahniah sempena (kedatangan) Hari Raya dan seumpamanya daripada (kedatangan) tahun atau bulan menurut (pendapat) al-mu‘tamad.
Dalil sunat mengucap tahniah sempena menyambut kedatangan ‘Idul- Fithri ini ada disebut dalam kitab al-Mu‘jam al-Kabîr dan kitab ad-Du‘â’ susunan Imam ath-Thabarani Rahimahullâh, kitab as-Sunan al-Kubrâ susunan Imam al-Baihaqi Rahimahullâh dan beberapa kitab lainnya yang menyebut bahawa para sahabat Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam seperti Abu Umamah al-Bahili dan Watsilah bin al-Asqa‘ Radhiallâhu ‘anhumâ mengucap tahniah sesama mereka sempena menyambut kedatangan ‘Idul-Fithri. Menurut Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani Rahimahullâh sebagaimana yang dinukil oleh Imam ar-Ramli Rahimahullâh dalam kitabnya Nihâyah al-Muhtâj, walaupun atsar-atsar berkenaan pada dasarnya adalah dha‘îf, akan tetapi dengan himpunan riwayat-riwayat atau atsar-atsar berkenaan menjadi hujjah dalam perkara seumpama ini.
Menurut beberapa atsar yang lain juga, mengucap tahniah sempena menyambut kedatangan ‘Idul-Fithri merupakan amalan para tâbi‘în seperti Khalifah ‘Umar bin ‘Abd al-‘Aziz Rahimahullâh sepertimana yang diriwayatkan daripada Ibrahim bin Abu ‘Ablah Rahimahullâh, beliau berkata:
Maksudnya: Kami telah menemui ‘Umar bin ‘Abdul ‘Aziz pada Hari Raya, dan orang ramai mengucapkan salam ke atasnya dan mereka berkata: “Taqabbalallâhu minnâ wa minka (Semoga Allah menerima semua amal ibadat daripada kami dan daripadamu) wahai Amîr al-Mu’minîn”, lalu beliau membalasnya dan beliau tidak melarang (ucapan) mereka. (Hadits riwayat Ibn ‘Asakir)
Menurut Imam Ibn Hajar al-Haitami Rahimahullâh dalam kitabnya ash-Shawâ‘iq al-Muhriqah fî ar-Radd ‘alâ Ahl al-Bidâ‘ wa az-Zandaqah, atsar di atas merupakan dalil yang baik bagi mengucap tahniah sempena menyambut kedatangan ‘Idul-Fithri, kedatangan tahun tertentu dan kedatangan bulan tertentu.
Menurut Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani Rahimahullâh yang dinukil oleh Imam ar-Ramli Rahimahullâh dalam kitabnya Nihâyah al-Muhtâj, ucapan tahniah hukumnya sunat secara umum sebagaimana seseorang itu disunatkan mengerjakan sujud syukur apabila berlaku padanya suatu ni‘mat atau tertolak suatu bala daripadanya dan juga sebagaimana seseorang itu disunatkan mengucap ta‘ziah kepada orang yang ditimpa musibah. Imam al-Bujairimi Rahimahullâh menjelaskan bahawa jika ucapan ta‘ziah ketika ditimpa suatu musibah adalah sunat, maka sunat juga hukumnya ucapan tahniah ketika mendapat suatu kegembiraan.
Dalil sunat mengucap tahniah secara umum ini adalah berdasarkan kisah para sahabat Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam yang mengucap tahniah kepada Ka‘b bin Malik Radhiallâhu ‘anhu yang diterima taubatnya oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ atas kesalahan tidak menyertai peperangan Tabuk. Bahkan Thalhah bin ‘Ubaidillah Radhiallâhu ‘anhu telah mengucap tahniah kepada Ka‘b bin Malik Radhiallâhu ‘anhu di hadapan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam dan Baginda memperakui (iqrâr) ucapan tahniah tersebut. Kisah berkenaan diriwayatkan dalam sebuah hadits yang panjang dalam Shahîh al-Bukhari dan Shahîh Muslim. Dalam hadits berkenaan juga diriwayatkan bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam telah bergembira dengan penerimaan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ terhadap taubat Ka‘b bin Malik Radhiallâhu ‘anhu itu dan bersabda kepadanya dengan wajah yang bersinar dan penuh kegembiraan:
Maksudnya: Bergembiralah dengan hari yang paling baik yang telah engkau lalui sejak ibumu melahirkanmu. (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Waktu Mengucap Tahniah
Menurut Imam asy-Syibramallisi Rahimahullâh dalam Hâsyiyah Nihâyah al-Muhtâj, waktu mengucap tahniah sempena menyambut kedatangan ‘Idul-Fithri bermula pada waktu fajar dan bukan ketika malam ‘Idul-Fithri. Walau bagaimanapun, menurut Imam asy-Syarwani Rahimahullâh dalam Hâsyiyah Tuhfah al-Muhtâj, tidak ada larangan jika seseorang mengucap tahniah sempena menyambut kedatangan ‘Idul-Fithri bermula pada malam ‘Idul-Fithri jika mengucap tahniah bermula pada malam ‘Idul-Fithri itu merupakan adat kebiasaan suatu masyarakat kerana tujuan mengucap tahniah itu adalah untuk menunjukkan perasaan kasih sayang serta menzahirkan kegembiraan. Keharusan mengucap tahniah pada malam ‘Idul-Fithri ini juga merupakan pendapat Imam asy-Syarqawi Rahimahullâh dalam Hâsyiyah asy-Syarqawi ‘alâ Tuhfah ath-Thullâb yang menyebut bahawa waktu mengucap tahniah sempena menyambut kedatangan ‘Idul-Fithri adalah bermula pada ketika tenggelam matahari.
Menurut Imam asy-Syibramallisi Rahimahullâh dalam Hâsyiyah Nihâyah al-Muhtâj lagi, mengucap tahniah sempena menyambut kedatangan ‘Idul-Fithri adalah tidak dituntut selepas berlalunya 1 Syawwal, akan tetapi tidak ada larangan jika seseorang mengucap tahniah sempena menyambut kedatangan ‘Idul-Fithri setelah berlalu 1 Syawwal jika amalan sedemikian merupakan adat kebiasaan suatu masyarakat kerana tujuan mengucap tahniah itu adalah untuk menunjukkan perasaan kasih sayang serta menzahirkan kegembiraan.
Lafaz Ucapan Tahniah
Menurut Imam asy-Syibramallisi Rahimahullâh dalam Hâsyiyah Nihâyah al-Muhtâj, selain ucapan Taqabballâhu minna wa minkum ( َ َ تَّ قَ بُلهللاَمِنَّاِ وْ مُ نْ كم ), ucapan seumpamanya juga boleh diucapkan jika ucapan sedemikian merupakan adat kebiasaan suatu masyarakat.
Antara ucapan-ucapan tahniah sempena kedatangan ‘Idul-Fithri yang merupakan adat kebiasaan masyarakat ialah:
1. ‘Îd mubârak ( ِ ْ عٌ يُدَ مَ بٌ ارك ) yang bererti: Selamat menyambut ‘Idul- Fithri yang penuh berkat.
2. Kullu ‘âm wa antum bi khair ( ُ كَلعرَامَ وُ نْ أْ تَِمبْري ) yang bererti: Setiap tahun (dido‘akan) kamu sentiasa berada dalam kebaikan.
3. Min al-‘Â’idîn wa al-Fâ’izîn ( َ َمِنَالْعَائِدِيْنوَالْفَائِزِيْن ) yang bererti: Semoga kamu tergolong dari kalangan orang-orang yang kembali (kepada fithrah) dan orang-orang yang berjaya.
4. A‘âdahullâhu ‘alaikum bi khair ( ُ ُأَعَادَهْا لِلٰهعَلَيْكُمْربَِي ) yang bererti: Semoga Allah mengembalikan (Hari Raya pada tahun ini) kepada kamu dengan kebaikan.
5. Selamat Hari Raya.
Ucapan Balas Tahniah
Adapun ucapan balas tahniah, Imam asy-Syarwani Rahimahullâh dalam Hâsyiyah Tuhfah al-Muhtâj menjelaskan bahawa sunat menjawab ucapan tahniah sempena ‘Idul-Fithri contohnya dengan ucapan seperti:
1. Taqabballâhu minkum ( ُ َقَبَّل َ ا لِلٰه ْ تمِنْكُم ) yang bererti: Semoga Allah menerima (amal ibadat) daripada kamu.
2. Ahyâkumullâhu li amtsâlihi ( ِ ُِلَِمْثَالِه أَحْيَاكُم ُا لِلٰه) yang bererti: Semoga Allah menghidupkan kamu sama sepertinya (‘Idul-Fithri).
3. Kullu ‘âm wa antum bi khair ( ُ كَلعرَامَ وُ نْ أْ تمْربَِي ) yang bererti: Setiap tahun (dido‘akan) kamu sentiasa berada dalam kebaikan.
Demikian penjelasan mengenai mengucap tahniah sempena ‘Idul- Fithri.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-15691
دليل الألوان
