Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳أحكام متنوعة٠ مشاهدة

Hukum Bermain Claw Machine

الجواب

Pada zaman sekarang, terdapat pelbagai permainan elektronik yang menjadi kesukaan orang ramai terutama golongan remaja seperti permainan melalui aplikasi telefon bimbit dan komputer. Selain itu ada juga permainan-permainan yang dilakukan secara fizikal dan ada juga yang menggunakan mesin seperti permainan-permainan yang terdapat di arked-arked, pusat-pusat membeli belah, acara keraian atau acara fun fair. Antara permainan yang menjadi kesukaan ramai ialah permainan balloon popper atau pop the balloon, basketball machine, claw machine, wiffle ball toss, can smash, ring toss, string obstacle, tic tac toe, shooting gallery, fishing time dan seumpamanya. Kebiasaannya, orang-orang yang hendak bermain permainan-permainan yang menggunakan mesin dikehendaki membuat pembayaran sama ada dengan membeli token, kupon atau tiket dan sebagainya. Di samping itu, sebahagian permainan menyediakan hadiah-hadiah tertentu sebagai tarikan kepada orang-orang yang bermain.

Berikut adalah penjelasan mengenai hukum bermain claw machine yang masih menjadi kemusykilan di kalangan orang ramai.

Permainan claw machine ialah sejenis permainan yang berupa sebuah kabinet kaca menegak yang mempunyai alat pencengkam (claw) terletak di bahagian atas sebelah dalam kabinet tersebut. Fungsi alat pencengkam ialah untuk mengambil barangan yang disediakan dalam mesin tersebut sebagai hadiah kepada pemain.

Untuk menyertai permainan claw machine, pemain dikehendaki membeli token mengikut nilai yang ditetapkan, contohnya harga 1 token bernilai $1.00.

Cara permainannya ialah dengan memasukkan token terlebih dahulu untuk mengaktifkan mesin permainan tersebut, kemudian alat pencengkam akan mula bergerak ke bawah dan ia dikawal sendiri oleh pemain dengan menggunakan kayu bedik (joystick) yang terdapat di luar kabinet untuk mencengkam barang yang terdapat di dalam kabinet tersebut kemudian memindahkannya dan menggugurkannya ke lubang khas untuk mengeluarkan barang tersebut. Jika pemain berjaya mengeluarkannya dari mesin tersebut, dia akan memiliki barangan itu sebagai hadiah kemenangannya dan jika pemain gagal, maka dia tidak mendapat apa-apa.

Berdasarkan penelitian terhadap cara permainan claw machine ini, ia dapat disimpulkan seperti berikut:

i. Permainan ini mensyaratkan pemain membayar sejumlah wang untuk bermain. ii. Pemilik claw machine menyediakan hadiah iaitu barang yang diletakkan dalam mesin tersebut. iii. Permainan ini lebih banyak bergantung kepada nasib berbanding kemahiran (skills) dalam mendapatkan hadiah. iv. Permainan ini menyebabkan satu pihak akan untung dan satu pihak akan rugi.

Keempat-empat perkara di atas mempunyai kaitan dengan unsur-unsur yang terdapat dalam judi kerana ia melibatkan pertaruhan antara pemain dan pemilik. Harta yang dipertaruhkan oleh pemain ialah harga token yang dibeli untuk mengaktifkan mesin permainan tersebut. Manakala harta yang dipertaruhkan oleh pemilik claw machine pula ialah barang yang diletakkan dalam mesin permainan tersebut sebagai taruhan. Pemain yang menang akan memiliki harta yang dipertaruhkan. Manakala pemain yang kalah pula tidak akan mendapat apa-apa kecuali kerugian membayar token.

Menurut Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam kitabnya Minhâj ath-Thâlibîn, jika kedua-dua belah pihak mensyaratkan harta sebagai taruhan untuk dimenangi oleh salah satu pihak yang bertaruh, maka ia adalah judi sebagaimana katanya:

Ertinya: Jika disyaratkan dalamnya (suatu permainan) ada harta (yang dipertaruhkan) daripada kedua-dua belah pihak (yang bertanding), maka (itulah) judi.

Selain itu, permainan ini bergantung kepada nasib yang dikaitkan dengan pertaruhan iaitu satu pihak akan untung dan satu pihak akan rugi, maka perkara ini juga merupakan unsur judi sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam al-Mahalli Rahimahullâh dalam kitabnya Kanz ar-Râghibîn ketika mensyarah perkataan Imam an-Nawawi Rahimahullâh mengenai dengan sebab tidak sah ‘aqad pertaruhan:

Ertinya: Kerana kedua-dua belah pihak (dalam suatu permainan) kesemuanya ragu-ragu (atau tidak pasti) sama ada dia akan mendapat habuan atau dia akan menanggung kerugian, dan ini adalah gambaran judi yang diharamkan.

Maka adalah jelas permainan claw machine adalah permainan yang berunsur judi. Islam mengharamkan judi dan segala bentuk perkara yang berunsurkan perjudian sebagaimana firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya arak, judi, pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan anak panah itu adalah (perbuatan) keji daripada perbuatan syaitan. Maka hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu beroleh kemenangan (dan keberuntungan).

(Surah al-Mâ’idah: 90)

Oleh yang demikian, umat Islam adalah haram melibatkan diri dalam permainan claw machine dan juga permainan-permainan yang seumpamanya, sama ada sebagai pemain, penyedia permainan, pengiklan dan lain-lain mengenainya kerana ia merupakan suatu dosa dan menyebabkan kemurkaan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.

Demikian penjelasan mengenai hukum bermain claw machine.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-15696

دليل الألوان

آية قرآنيةحديث شريفنص فقهي من كتب العلماءرد اللجنة (المرجع الأساسي للفتوى)رقمرابط لفتوى أخرى مذكورة في النص