‘Iddah Perempuan Mustahâdhah
الجواب
‘Iddah ialah satu tempoh yang ditetapkan bagi seorang perempuan yang telah diceraikan suami untuk menunggu bagi memastikan rahimnya bersih daripada kehamilan atau semata-mata menunaikan tuntutan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ atau untuk menzahirkan rasa kesedihan isteri yang bercerai kerana kematian suami.
‘Iddah yang disyariatkan ke atas perempuan terbahagi kepada dua iaitu ‘iddah kerana kematian suami dan ‘iddah kerana thalaq atau fasakh.
Tempoh ‘iddah yang diwajibkan ke atas perempuan yang kematian suami jika dia tidak hamil ialah empat bulan sepuluh hari. Sekiranya dia hamil, maka tempoh ‘iddahnya ialah sehingga dia melahirkan, dengan syarat anak yang di dalam kandungannya itu adalah keturunan daripada suaminya yang telah meninggal dunia.
Manakala tempoh ‘iddah kerana thalaq atau fasakh setelah berlaku jimâ‘ (persetubuhan) di antara suami dan isteri ialah tiga qurû’ (tiga kali suci daripada haidh) jika dia tidak hamil dan masih mempunyai haidh. Sekiranya dia hamil, maka tempoh ‘iddahnya ialah sehingga dia melahirkan. Sekiranya dia sudah putus haidh (menopaus), maka tempoh ‘iddahnya ialah tiga bulan.
Mengenai tempoh ‘iddah berdasarkan waktu tiga kali suci atau waktu tiga bulan ini, timbul persoalan mengenai mustahâdhah iaitu perempuan yang mengalami darah istihâdhah. Bagaimana cara untuk menentukan tempoh ‘iddah perempuan mustahâdhah ini? Perempuan Mustahâdhah
Darah istihâdhah ialah darah penyakit yang keluar dari hujung urat di bawah rahim perempuan, sama ada keluar dengan bersambung (sebelum atau selepas) haidh atau tidak. Sebahagian ulama berpendapat bahawa istihâdhah adalah darah yang khusus bersambung dengan haidh, manakala yang selainnya dinamakan sebagai darah fasad seperti darah yang keluar daripada perempuan yang belum sampai umur kedatangan haidh (sembilan tahun qamariyyah).
Berbeza dengan perempuan yang mempunyai waktu dan kadar haidh yang konsisten setiap bulan, perempuan mustahâdhah pula mengalami situasi darah keluar berterusan yang biasanya terjadi sebelum atau selepas mengalami darah haidh dan ada kalanya pula terjadi setelah berlalu waktu maksimum keluar darah nifâs. Bahkan ada yang mengalami situasi darah berterusan sehingga menyebabkan dia lupa atau keliru bila bermula dan berakhir haidhnya lebih-lebih lagi jika sifat darah tersebut adalah sama.
Menurut para ulama, tempoh ‘iddah perempuan mustahâdhah adalah tertakluk kepada keadaan-keadaan mereka sebagaimana berikut:
1. Perempuan yang kematian suami.
Perempuan yang kematian suami dalam keadaan dia mengalami istihâdhah, maka ‘iddahnya sama seperti ‘iddah perempuan lain yang kematian suami iaitu selama empat bulan 10 hari berdasarkan kiraan bulan qamariyyah bermula dari waktu kematian suami.
2. Perempuan yang bercerai dengan suami.
Perempuan yang bercerai dengan suami disebabkan thalaq atau fasakh dan dia mengalami istihâdhah, maka ‘iddahnya adalah seperti berikut:
i. Jika dia dari golongan mubtada’ah mumayyizah, mu‘tâdah mumayyizah atau mu‘tâdah ghair mumayyizah tempoh ‘iddahnya adalah tiga qurû’ (tiga kali suci daripada haidh).
Dalam kitab Nihâyah al-Muhtâj, Imam ar-Ramli Rahimahullâh menyebut:
Ertinya: Dan ‘iddah perempuan merdeka atau hamba mustahâdhah yang bukan mutahayyirah ialah dengan qurû’ yang dirujukkan kepada (keadaan) perempuan itu iaitu dia haidh atau suci, maka dirujukkan (waktu haidh dan suci) mu‘tâdah berdasarkan kebiasaannya pada kedua-duanya (waktu haidh dan suci) dan begitu juga (dirujukkan waktu haidh dan suci) mumayyizah (berdasarkan keadaannya) yang dapat membezakan (sifat haidh atau tidak).
Mubtada’ah mumayyizah ialah perempuan yang baru pertama kali datang haidh yang keluar melebihi tempoh maksima darah haidh iaitu 15 hari dan dia dapat membezakan di antara darah haidh dan darah istihâdhah dengan melihat sifat-sifat darah seperti aspek kekuatan warna, kepekatan atau bau darah. Kekuatan warna seperti warna kehitaman lebih kuat berbanding darah warna merah, warna merah lebih kuat berbanding warna merah kekuningan (perang), warna merah kekuningan lebih kuat berbanding warna kuning dan warna kuning lebih kuat dari warna keruh. Dari aspek kepekatan darah pula, darah pekat adalah lebih kuat berbanding darah cair. Manakala dari aspek bau darah, darah yang mempunyai bau busuk lebih kuat berbanding darah yang tidak mempunyai bau.
Mereka ini menjadikan sifat-sifat darah di dalam menentukan darah yang keluar itu adalah darah haidh atau darah istihâdhah. Darah yang mempunyai sifat yang lebih kuat adalah dikira sebagai darah haidh, sementara darah yang mempunyai sifat yang lebih lemah adalah dikira sebagai darah istihâdhah dengan mengambil kira syarat berikut:
a. Darah yang mempunyai sifat kuat itu keluar tidak kurang dari sehari semalam. b. Darah yang mempunyai sifat kuat itu keluar tidak melebihi 15 hari. c. Darah yang mempunyai sifat lemah itu keluar tidak kurang dari tempoh sekurang-kurang hari bersih iaitu 15 hari.
Mu‘tâdah mumayyizah ialah perempuan yang sudah biasa mengalami haidh dan kemudian suci dari haidh tersebut, tetapi bagi haidhnya kali ini melebihi tempoh maksima haidh iaitu 15 hari dan dia dapat membezakan di antara sifat darah haidh dan darah istihâdhah. Bagi menentukan hari suci mu‘tâdah mumayyizah ini hendaklah dia mengikut perkiraannya dan pengetahuannya yang dapat membezakan sifat darah yang keluar itu, sama ada ia adalah darah haidh atau bukan. Misalnya seorang perempuan pada bulan sebelumnya didatangi haidh pada 2 haribulan selama enam hari. Tiba-tiba pada bulan ini dia melihat dan yakin darah haidh yang kehitam-hitaman cuma dalam tiga hari sahaja, kemudian diikuti dengan darah yang lemah warnanya selama 27 hari. Maka tiga hari yang pertama itulah waktu haidh, manakala selebihnya adalah waktu istihâdhah.
Mu‘tâdah ghair mumayyizah ialah perempuan yang sudah biasa mengalami haidh dan kemudian bersih dari haidh tersebut, tetapi bagi haidhnya kali ini melebihi tempoh maksima haidh iaitu 15 hari, namun dia tidak dapat membezakan di antara sifat darah haidh dan darah istihâdhah. Walau bagaimanapun dia mempunyai kebiasaan bagi hari haidh dan hari suci dan dia ingat kedua-dua perkara itu. Bagi menentukan waktu suci mu‘tâdah ghair mumayyizah ini hendaklah dikira mengikut kebiasaannya iaitu dari segi waktu dan tempoh haidhnya sebelum ini. Misalnya, jika pada bulan yang sebelumnya dia didatangi haidh pada 2 haribulan selama enam hari, maka waktu dan tempoh itulah juga yang akan digunakan sebagai ukuran pada bulan berikutnya untuk mengira jumlah hari haidh. Baki selain hari haidh itu pula adalah hari istihâdhah.
Dalam menentukan kebiasaan pula, adalah memadai dengan hanya satu kali berlaku haidh tersebut. Sebagai contoh: Seseorang baru pertama kali mengalami haidh pada 2 haribulan selama tempoh 6 hari, namun pada bulan seterusnya dia mengalami istihâdhah. Maka haidh yang pertama kali dialaminya itu sudah boleh dianggap kebiasaan yang akan menentukan hari haidh dan hari sucinya pada bulan-bulan seterusnya.
ii. Jika dia dari golongan mubtada’ah ghair mumayyizah, maka tempoh ‘iddahnya ialah 90 hari bermula dari awal permulaan darahnya keluar. Perkara ini adalah disebabkan kebiasaannya setiap bulan itu mengandungi waktu haidh dan waktu suci.
Imam ar-Ramli Rahimahullâh menyebut:
Ertinya: Dan mubtada’ah yang dikira sehari semalam waktu haidh dan 29 hari waktu suci, maka ‘iddahnya ialah 29 hari dari permulaan darahnya jika dia perempuan merdeka kerana setiap bulan itu pada kebiasaannya mengandungi waktu haidh dan waktu suci.
Mubtada’ah ghair mumayyizah ialah perempuan yang baru pertama kali datang haidh yang keluar melebihi tempoh maksima darah haidh iaitu 15 hari namun dia tidak dapat membezakan antara darah haidh dan darah istihâdhah kerana melihat darah yang keluar itu hanya satu sifat sahaja ataupun melihat darah yang keluar itu berbeza-beza sifatnya tetapi darah yang mempunyai sifat kuat itu keluar kurang dari sehari semalam, darah yang mempunyai sifat kuat itu keluar melebihi 15 hari dan darah yang mempunyai sifat lemah itu keluar kurang dari tempoh sekurang-kurang hari bersih iaitu 15 hari.
Bagi menentukan waktu suci mubtada’ah ghair mumayyizah ini adalah dengan mengetahui tempoh haidhnya. Tempoh haidh bagi golongan ini ialah satu hari satu malam dari waktu permulaan darah keluar sekalipun darah tersebut bersifat lemah. Ketetapan ini adalah kerana darah yang keluar dalam tempoh satu hari satu malam itu diyakini sebagai darah haidh. Manakala baki 29 hari keluar darah itu adalah dikira sebagai hari sucinya. Misalnya seorang perempuan yang baru pertama kali haidh pada 7 haribulan, namun mengalami darah berpanjangan sehingga ke hujung bulan dan dia tidak dapat membezakan darah yang keluar, maka waktu haidh ialah pada 7 haribulan itu sahaja, manakala selebihnya adalah waktu istihâdhah dan dikira sebagai hari sucinya.
iii. Jika dia dari golongan mutahayyirah iaitu mustahâdhah yang tidak dapat membezakan sifat darah dan dia juga lupa sama sekali tarikh dan jangka masa tempoh kebiasaan haidhnya, maka tempoh ‘iddahnya adalah tiga bulan berdasarkan kiraan bulan qamariyyah.
Imam ar-Ramli Rahimahullâh menyebut lagi:
Ertinya: Dan ‘iddah perempuan merdeka mutahayyirah ialah dengan (kiraan) tiga bulan qamariyyah.
Kiraan tiga bulan dalam perkara ini adalah bagi perceraian yang berlaku pada awal bulan qamariyyah atau pada pertengahan bulan yang kurang dari 15 hari dari baki hari pada bulan tersebut. Contohnya bagi perempuan yang dicerai pada 7 haribulan Safar (awal bulan), maka tempoh ‘iddahnya tamat pada hari terakhir bulan Rabi‘ul Akhir. Manakala perempuan yang dicerai pada 17 haribulan Safar (kurang dari 15 hari baki bulan Safar), maka tempoh ‘iddahnya tamat pada hari terakhir bulan Jamadil Awwal.
Adapun perceraian yang berlaku pada pertengahan bulan dan berbaki lebih dari 15 hari dari hujung bulan, maka ketika menjalani ‘iddah itu adalah dikira sebagai satu qurû’ kerana tidak mustahil dalam waktu tersebut ada terkandung waktu suci perempuan itu. Selepas itu, dia hanya perlu menyelesaikan ‘iddahnya dua bulan untuk mencukupkan tempoh tiga bulan.
Demikian penjelasan syara‘ mengenai tempoh ‘iddah perempuan mustahâdhah.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-15700
دليل الألوان
