Perempuan Haidh Berniat Ihrâm Di Mîqât
الجواب
Berniat ihrâm merupakan salah satu rukun haji dan umrah. Sekiranya ia tidak dilakukan maka ibadat haji atau umrah menjadi tidak sah. Berniat ihrâm di mîqât pula merupakan salah satu perkara wajib haji dan umrah. Sekiranya berniat ihrâm tidak dilakukan sehingga melewati mîqât, maka wajib ke atas orang yang meninggalkan perkara tersebut membayar dam (denda). Walau bagaimanapun ibadat haji atau umrah tersebut tetap sah. Berniat ihrâm di mîqât wajib dilaksanakan oleh semua orang yang hendak masuk ke Makkah dengan niat untuk mengerjakan nusuk (haji atau umrah).
Berkaitan dengan perkara wajib berniat ihrâm di mîqât ini, timbul persoalan mengenai kedudukan perempuan yang kedatangan haidh sebelum sampai di mîqât ketika hendak masuk ke Makkah untuk mengerjakan nusuk. Adakah sah perempuan yang kedatangan haidh berniat ihrâm di mîqât?
Melewati Mîqât Tanpa Berniat Ihrâm
Menurut ijmâ‘ ulama bahawa orang yang hendak masuk ke Makkah dengan tujuan mengerjakan haji atau umrah, apabila dia tiba di mîqât, wajib ke atasnya berniat ihrâm haji atau umrah di mîqât yang ditentukan. Berniat ihrâm juga boleh dilakukan sebelum sampai di mîqât tersebut sebagai langkah berhati-hati agar seseorang yang hendak mengerjakan nusuk itu tidak melewati mîqât dalam keadaan tidak berniat ihrâm. Orang yang sengaja tidak berniat ihrâm di mîqât adalah berdosa. Sekiranya dia tidak berniat ihrâm di mîqât secara tidak sengaja, sama ada kerana lupa, jahil, lalai, tidur atau tiada keahlian untuk melaksanakan ibadat seperti orang yang pengsan, maka dalam keadaan seperti yang disebutkan ini, meninggalkan berniat ihrâm di mîqât tidak dihukumkan berdosa.
Walau bagaimanapun, wajib ke atas orang yang melewati mîqât itu sama ada sengaja atau tidak sengaja kembali semula ke mîqât tersebut atau pergi ke mîqât lain yang sama jaraknya dengan mîqât tersebut untuk berniat ihrâm. Apabila dia kembali ke mîqât, dia tidak dikenakan dam.
Sekiranya orang yang melewati mîqât itu kembali ke mîqât setelah dia berniat ihrâm, maka menurut pendapat al-ashah dia juga tidak dikenakan dam selagi dia belum mengerjakan apa-apa perbuatan nusuk. Sekiranya dia kembali semula ke mîqât selepas mengerjakan perbuatan nusuk termasuk thawaf qudum, maka dalam keadaan seperti ini, kewajiban membayar dam tidak gugur darinya kerana dia mengerjakan nusuk dengan ihrâm yang tidak sempurna.
Jika dia tidak kembali semula ke mîqât untuk berniat ihrâm kerana suatu keuzuran, umpamanya kerana kesuntukan masa, perjalanan yang tidak selamat, sakit yang membebankan atau takut tertinggal daripada rombongan, maka dalam keadaan seperti ini tidak wajib ke atasnya kembali semula ke mîqât namun wajib ke atasnya membayar dam.
Perempuan Haidh Berniat Ihrâm
Perempuan yang mengalami haidh sah berniat ihrâm di mîqât sebagaimana disebut dalam sebuah hadits yang diriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Perempuan haidh dan perempuan nifâs, apabila kedua-duanya memasuki waktu (untuk melakukan ihrâm nusuk), kedua-duanya mandi (sunat ihrâm) dan berniat ihrâm serta melaksanakan semua manâsik kecuali thawaf di Baitullah. (Hadits riwayat Abu Daud)
Menurut Imam an-Nawawi Rahimahullâh, hadits di atas menunjukkan sah berniat ihrâm bagi perempuan haidh dan perempuan nifâs.
Bagi perempuan haidh yang hendak mengerjakan haji, setelah berniat ihrâm, perempuan tersebut harus melaksanakan semua kerja haji melainkan thawaf dan sembahyang sunat dua rakaat selepas thawaf. Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam kitab al-Îdhâh fî Manâsik al-Hajj wa al-‘Umrah menyebut:
Ertinya: Dan sah daripada perempuan haidh dan nifâs (melakukan) semua kerja haji kecuali thawaf dan dua rakaatnya (sembahyang sunat Thawaf).
Walau bagaimanapun, sekiranya perempuan haidh itu boleh menetap di mîqât sehingga dia suci daripada haidh, maka menetap di mîqât sehingga suci adalah afdhal baginya sebagaimana disebut oleh Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam kitab al-Îdhâh fî Manâsik al-Hajj wa al-‘Umrah, katanya:
Ertinya: Dan jika perempuan haidh boleh menetap di mîqât sehingga dia suci dan mandi kemudian berniat ihrâm, maka yang demikian adalah afdhal.
Imam Zakariyya al-Anshari Rahimahullâh dalam kitab Asnâ al-Mathâlib juga menyatakan sedemikian supaya perempuan haidh dan nifâs dapat melaksanakan ihrâm dalam keadaan diri mereka lebih sempurna dengan katanya:
Ertinya: Dan lebih utama bagi perempuan haidh dan perempuan nifâs untuk mengakhirkannya iaitu ihrâm sehingga kedua-duanya suci jika dia boleh mengakhirkannya iaitu dengan kedua-duanya boleh menetap di mîqât sehingga kedua-duanya suci supaya ihrâm kedua-duanya berlaku dalam keadaan mereka yang lebih sempurna.
Demikian penjelasan mengenai perempuan haidh berniat ihrâm di mîqât.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-15709
دليل الألوان
