Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الصلاة٠ مشاهدة

Sembahyang Di Luar Masjid Al-Haram Mengikut Imam Di Dalam Masjid Al-Haram

الجواب

Makkah ialah sebaik-baik tempat di muka bumi. Peluang menjejakkan kaki ke Makkah merupakan suatu kesempatan yang diidam-idamkan oleh seluruh umat Islam. Tidak semua umat Islam berpeluang untuk menjejakkan kaki ke tanah yang mulia itu kerana adanya halangan tertentu dari segi kewangan, kesihatan, masa dan sebagainya.

Apabila berada di Makkah, salah satu peluang yang tidak wajar dilepaskan ialah mengerjakan semua sembahyang, sama ada fardhu atau sunat di Masjid al-Haram kerana ganjaran pahala mengerjakan sembahyang di Masjid al-Haram lebih besar daripada pahala mengerjakannya di masjid-masjid yang lain termasuk Masjid an-Nabawi. Jabir bin ‘Abdullah Radhiallâhu ‘anhumâ meriwayatkan bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: (Satu) sembahyang di masjidku ini (Masjid an-Nabawi) lebih afdhal daripada 1000 sembahyang di (masjid) selainnya, melainkan Masjid al-Haram. Dan (satu) sembahyang di Masjid al-Haram itu lebih afdhal daripada 100,000 sembahyang di (masjid) selainnya. (Hadits riwayat Ibn Majah)

Memandangkan besarnya kelebihan dan ganjaran pahala melakukan sembahyang di Masjid al-Haram, maka orang-orang yang datang ke Makkah sama ada untuk mengerjakan haji atau umrah tidak mahu melepaskan peluang untuk sembahyang berjemaah di dalam Masjid al-Haram sehingga berlaku kesesakan dan kesukaran untuk memasuki Masjid al-Haram. Akibatnya sebahagian jemaah haji atau umrah terpaksa mengerjakan sembahyang di luar Masjid al-Haram. Ada juga jemaah yang sengaja mengerjakan sembahyang di bilik hotelnya atau di surau hotel tempat penginapannya dengan mengikut imam di Masjid al-Haram. Adakah sah sembahyang ma’mum dalam keadaan seperti itu?

Sembahyang Berjemaah

Antara syarat-syarat sah sembahyang berjemaah atau iqtidâ’ (mengikut imam), hendaklah imam dan ma’mum dikira berhimpun pada satu tempat.

Asy-Syaikh al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh menyebut dalam kitabnya Mughnî al-Muhtâj:

Ertinya: Dan syarat yang ketiga daripada syarat-syarat iqtidâ’ ialah hendaklah kedua-duanya (imam dan ma’mum) itu dikira berhimpun bagi menzahirkan syi‘ar, saling menyayangi dan bekerjasama.

Imam ar-Ramli Rahimahullâh pula menyebut dalam kitabnya Nihâyah al-Muhtâj:

Ertinya: Antara syarat-syarat mengikut imam juga ialah: Hendaklah dihimpunkan kedua-duanya (imam dan ma’mum) oleh suatu tempat, kerana antara tujuan-tujuan iqtidâ’ ialah perhimpunan suatu kumpulan pada suatu tempat.

Isu pensyaratan “perhimpunan suatu kumpulan pada suatu tempat” dalam perkara iqtidâ’ tidak timbul bagi ma’mum yang berada dalam Masjid al-Haram walaupun mereka berada jauh daripada imam atau berada di tingkat atas dan sebagainya kerana mereka masih dikira berada dalam satu tempat iaitu Masjid al-Haram.

Adapun jika imam berada di dalam Masjid al-Haram manakala ma’mum pula berada di tempat selain Masjid al-Haram seperti di luar Masjid al-Haram atau di bangunan lain selain Masjid al-Haram, maka syarat-syarat sah iqtidâ’ dalam keadaan ini adalah seperti berikut:

1. Ma’mum hendaklah mengetahui perpindahan imam dari satu rukun ke satu rukun yang lain supaya ma’mum dapat mengikuti perbuatan-perbuatan imam. Mengetahui perpindahan imam dari satu rukun ke satu rukun yang lain ini dapat dilaksanakan sama ada dengan melihat imam atau mana-mana ma’mum lain yang mengikuti imam yang sama, atau dengan mendengar suara imam atau suara muballigh. Maksud muballigh di sini ialah sesiapa sahaja daripada kalangan ma’mum ataupun bukan ma’mum yang menyaringkan suaranya pada tempat tertentu seperti takbîr dan salam sebagai pemberitahuan kepada ma’mum yang lain mengenai perbuatan imam dalam sembahyang.

2. Jika tidak ada sesuatu yang menjadi penghalang di antara imam dan ma’mum, maka hendaklah kedudukan (jarak) antara imam dan ma’mum itu berdekatan iaitu tidak melebihi 300 hasta iaitu kira-kira 185.5 meter.

Pengiraan jarak 300 hasta antara imam yang berada di dalam masjid dengan ma’mum yang berada di luar masjid itu adalah bermula dari hujung (bahagian akhir bangunan) masjid kerana seluruh masjid itu adalah dikira sebagai satu tempat. 3. Hendaklah imam dan ma’mum itu tidak dipisahkan oleh dinding yang tidak berpintu atau dinding yang berpintu tetapi terkunci atau dinding yang hanya berjendela kerana kesemuanya itu menghalang ma’mum daripada lalu menuju kepada imam. Selain itu, hendaklah imam dan ma’mum itu tidak dipisahkan oleh pintu yang tertutup sekalipun ia tidak berkunci kerana pintu yang bertutup itu menghalang penglihatan ma’mum kepada imam.

4. Bagi dinding yang terbuka pintunya, disyaratkan supaya ada ma’mum yang berdiri di hadapan pintu tersebut yang boleh dilihat dan diikut oleh ma’mum di belakangnya dan ma’mum yang mengikutnya itu dapat menuju kepada ma’mum yang berdiri di hadapan pintu itu dengan berjalan biasa tanpa membelakangi qiblat.

Sekiranya perjalanannya menuju kepada imam itu menjadikan qiblat berada di kanannya atau di kirinya, maka menurut as-Sayyid al-Jurdani Rahimahullâh dalam kitabnya Fath al-‘Allâm, yang demikian itu tidak menjejaskan sembahyang ma’mum.

Maka berdasarkan penjelasan di atas, hukum sembahyang ma’mum yang berada di luar Masjid al-Haram atau mana-mana tempat seperti hotel, kedai atau jalan raya dengan mengikut imam yang berada di dalam Masjid al-Haram adalah tertakluk kepada syarat-syarat di atas. Sekiranya semua syarat berkenaan dipenuhi, maka sah sembahyang dan sah iqtidâ’ ma’mum tersebut. Sebaliknya, jika tidak memenuhi mana-mana syarat sah di atas, maka sembahyang dan iqtidâ’ ma’mum tersebut tidak sah dan wajib i‘âdah (diulang atau diqadha’) sembahyangnya.

Demikian penjelasan mengenai kedudukan sembahyang yang dilakukan di luar Masjid al-Haram mengikut imam di dalam Masjid al-Haram.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-15713

دليل الألوان

آية قرآنيةحديث شريفنص فقهي من كتب العلماءرد اللجنة (المرجع الأساسي للفتوى)رقمرابط لفتوى أخرى مذكورة في النص