Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الحج والعمرة٠ مشاهدة

Melakukan Thawaf Dengan Cara Dipikul

الجواب

Thawaf bererti melakukan pusingan di sekeliling Ka‘bah sebanyak tujuh kali dengan syarat-syarat tertentu. Thawaf ada berbagai jenis antaranya thawaf ifâdhah, thawaf qudûm, thawaf wadâ‘, thawaf nadzar, thawaf tathawwu‘ dan thawaf tahallul. Dalam ibadat haji dan ibadat umrah, thawaf merupakan salah satu rukun bagi kedua-dua ibadat tersebut, iaitu thawaf ifâdhah bagi ibadat haji dan ibadat umrah.

Thawaf mengelilingi Ka‘bah sunat dilakukan dengan cara berjalan kaki bagi yang berupaya berbuat sedemikian sama ada thawaf yang dilakukan itu adalah thawaf rukun, thawaf wajib atau thawaf sunat. Thawaf dengan cara selain berjalan kaki seperti dengan cara menaiki binatang tunggangan atau kenderaan adalah diharuskan dan sah walaupun dilakukan tanpa sebarang keuzuran dan tidak dihukumkan makruh tetapi ia menyalahi yang utama (khilâf al-aulâ). Thawaf juga harus dilakukan dengan cara dipikul oleh orang lain. Maksud dipikul di sini ialah seperti digendong, didukung, diusung, “disikut” dan seumpamanya. Walau bagaimanapun, perkara yang afdhal bagi orang yang mampu berjalan kaki ialah melakukan thawaf dengan cara sedemikian berbanding dengan cara dipikul oleh orang lain atau menaiki kenderaan.

Khusus mengenai orang yang melakukan thawaf dengan cara dipikul oleh orang lain ini, apakah yang perlu dilakukan oleh orang yang dipikul dan orang yang memikul supaya thawaf tersebut menjadi sah? Hal ini penting diketahui terutama sekali dalam thawaf rukun bagi ibadat haji dan umrah kerana jika thawaf rukun tersebut tidak sah, ia akan menjejaskan ibadat haji dan umrah yang dikerjakan. Sepertimana yang telah dijelaskan di atas, melakukan thawaf dengan cara dipikul oleh orang lain hukumnya adalah sah sama ada ia dilakukan atas sebab sesuatu keuzuran seperti kerana sakit atau dilakukan tanpa sebarang keuzuran, kerana thawaf mengelilingi Ka‘bah itu terhasil sama ada dengan perbuatan orang yang thawaf itu sendiri atau dengan perbuatan orang lain seperti dengan cara seseorang memikulnya untuk melakukan thawaf.

Kesahan thawaf bagi orang yang dipikul itu tertakluk kepada syarat tertentu. Antaranya orang yang melakukan thawaf dengan cara dipikul itu hendaklah memenuhi syarat-syarat sah thawaf antaranya dia dalam keadaan suci daripada hadats dan najis, menutup aurat, tidak memalingkan niat thawaf iaitu berniat bahawa thawaf yang dilakukannya itu adalah untuk dirinya sendiri bukan untuk selain dirinya dan tidak memalingkan niat thawaf itu kepada selain thawaf. Bagi orang yang memikul pula, tidak disyaratkan ke atasnya untuk berada dalam keadaan suci daripada hadats ketika memikul orang lain untuk melakukan thawaf.

Kesahan thawaf bagi orang yang dipikul itu juga tertakluk kepada keadaan orang yang memikulnya. Thawaf yang dilakukan dengan cara dipikul adalah sah bagi orang yang dipikul sekiranya orang yang memikulnya itu dalam keadaan-keadaan berikut:

Keadaan Pertama:

Orang yang memikul tidak dalam keadaan berihrâm, atau dalam keadaan berihrâm dan telahpun melakukan thawaf yang dituntut ke atas dirinya, atau dalam keadaan berihrâm tetapi belum melakukan thawaf yang dituntut ke atas dirinya dan belum masuk waktu thawaf tersebut, atau orang yang memikul itu tidak dalam keadaan berihrâm dan berniat bahawa thawaf tersebut hanya untuk orang yang dipikulnya, atau dia tidak berniat apa-apa iaitu tidak berniat thawaf untuk dirinya atau orang yang dipikulnya.

Dalam hal ini, thawaf yang dilakukan itu hanya sah bagi orang yang dipikul sahaja. Jika dia memikul dua orang untuk melakukan thawaf, maka thawaf tersebut adalah sah bagi kedua-dua orang yang dipikul itu.

Maksud masuk waktu bagi thawaf yang dituntut ke atas orang yang memikul itu ialah masuk waktu mengerjakan thawaf sama ada thawaf ifâdhah, thawaf bagi ibadat umrah, thawaf qudûm atau selainnya.

Keadaan Kedua:

Orang yang memikul dalam keadaan berihrâm dan belum melakukan thawaf yang dituntut ke atas dirinya dan telah masuk waktu thawaf tersebut, dan dia berniat bahawa thawaf tersebut adalah bagi orang yang dipikulnya bukan untuk dirinya sendiri.

Menurut pendapat al-ashah, thawaf yang dilakukan itu adalah sah bagi orang yang dipikul sahaja kerana orang yang memikul itu telah memalingkan niat thawaf tersebut daripada dirinya kepada orang yang dipikul.

Walau bagaimanapun, jika orang yang memikul dan orang yang dipikul kedua-duanya dalam keadaan berihrâm dan telah masuk waktu thawaf bagi kedua-duanya, lalu masing-masing berniat bahawa thawaf yang dilakukan itu adalah untuk dirinya sendiri, maka menurut pendapat al-ashah dalam hal ini thawaf tersebut hanya sah bagi orang yang memikul sahaja dan tidak sah bagi orang yang dipikul kerana yang dikira melakukan thawaf itu ialah orang yang memikul. Ini bererti untuk menyempurnakan thawaf orang yang dipikul, maka hendaklah dilakukan thawaf tersebut sekali lagi untuk orang yang dipikul dengan niat daripada orang yang dipikul atau dengan niat orang yang memikul bahawa thawaf tersebut adalah untuk orang yang dipikul.

Berbeza halnya dengan hukum thawaf orang yang thawaf dengan cara ditunda atau ditolak seperti menggunakan kerusi roda, stroller dan lain-lain yang seumpamanya. Jika masing-masing berniat bahawa thawaf yang dilakukan itu adalah untuk dirinya sendiri, maka thawaf tersebut adalah sah bagi kedua-duanya dengan syarat orang yang ditunda atau ditolak itu hendaklah diletakkan pada alat yang mencecah bumi seperti diletak pada kerusi roda, stroller atau seumpamanya bagi mengeluarkan dari kategori dipikul.

Walau bagaimanapun menurut Imam Ibn Hajar al-Haitami Rahimahullâh, jika tujuan orang yang menolak atau menunda itu berjalan (mengelilingi Ka‘bah dengan orang yang ditolak atau ditunda) adalah untuk menolak atau menunda semata-mata, maka thawaf orang yang menolak atau menunda itu adalah batal kerana dia telah memalingkan niatnya daripada thawaf kepada sesuatu yang lain.

Demikian penjelasan mengenai melakukan thawaf dengan cara dipikul.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-15718

دليل الألوان

آية قرآنيةحديث شريفنص فقهي من كتب العلماءرد اللجنة (المرجع الأساسي للفتوى)رقمرابط لفتوى أخرى مذكورة في النص