Melakukan Nafar Awwal Sebelum Matahari Tergelincir
الجواب
Bermalam (mabît) di Mina pada hari-hari tasyrîq iaitu 11, 12 dan 13 Zulhijjah adalah salah satu daripada perkara-perkara wajib haji. Orang haji yang bermalam di Mina wajib berada di Mina pada sebahagian besar waktu malam hari-hari tasyrîq dengan melebihi tempoh separuh waktu malam walaupun lebihan tempoh tersebut hanya sebentar sahaja. Dalam melaksanakan perkara wajib bermalam di Mina, orang yang mengerjakan haji boleh meninggalkan Mina pada 12 Zulhijjah atau tetap bermalam di Mina dan kemudian meninggalkan Mina pada 13 Zulhijjah sebagaimana firman Allah Subhânahu Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Dan berzikirlah mengingat Allah (dengan mengucapkan takbîr) dalam beberapa hari yang tertentu bilangannya (iaitu pada hari-hari tasyrîq). Kemudian sesiapa yang bersegera (meninggalkan Mina) pada hari yang kedua (dan selepas dia melontar jamrah pada hari itu) maka tidaklah dia berdosa dan sesiapa yang melambatkan (meninggalkan Mina dan melontar hingga hari ketiga belas) maka dia juga tidaklah berdosa, (ketiadaan dosa bagi kedua-duanya itu adalah) bagi orang-orang yang bertaqwa. Maka bertaqwalah kamu kepada Allah dan ketahuilah sesungguhnya kamu akan dihimpunkan kepadaNya. (Surah al-Baqarah: 203)
Orang mengerjakan haji yang bermalam di Mina pada 11 dan 12 Zulhijjah dan meninggalkan Mina setelah melontar ketiga-tiga jamrah pada 12 Zulhijjah adalah dikategorikan sebagai orang yang melakukan nafar awwal. Manakala orang mengerjakan haji yang bermalam di Mina pada 11, 12 dan 13 Zulhijjah dan meninggalkan Mina setelah melontar ketiga-tiga jamrah pada 13 Zulhijjah adalah dikategorikan sebagai orang yang melakukan nafar tsâni.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Kerajaan Arab Saudi telah menetapkan jadual waktu melontar jamrah bagi jemaah haji daripada setiap negara mengikut kumpulan masing-masing sehingga terdapat sebahagian jemaah haji diarahkan untuk melontar ketiga-tiga jamrah sebelum matahari tergelincir.
Khusus bagi jemaah haji yang melakukan nafar awwal, mereka juga melakukan lontaran ketiga-tiga jamrah sebelum matahari tergelincir. Persoalannya, setelah selesai melontar ketiga-tiga jamrah, adakah mereka boleh meninggalkan Mina sebelum matahari tergelincir?
Melakukan Nafar Awwal
Bermalam di Mina wajib dilakukan pada ketiga-tiga malam hari-hari tasyrîq kecuali bagi orang yang melakukan nafar awwal. Adapun syarat-syarat sah melakukan nafar awwal adalah seperti berikut:
1. Berangkat meninggalkan Mina pada hari tasyrîq kedua (12 Zulhijjah) setelah matahari tergelincir dan sebelum matahari terbenam.
2. Bermalam di Mina pada malam ke-11 dan 12 Zulhijjah.
3. Tidak berazam untuk kembali semula ke Mina untuk bermalam.
4. Selesai melontar ketiga-tiga jamrah pada siang 11 dan 12 Zulhijjah.
5. Berniat melakukan nafar awwal.
6. Niat nafar awwal itu hendaklah dilakukan sebelum melepasi Mina.
Jika salah satu daripada syarat-syarat di atas tidak dipenuhi, maka orang yang mengerjakan haji itu wajib bermalam (mabît) pada malam yang ke-13 Zulhijjah dan melontar jamrah pada siang 13 Zulhijjah. Jika dia meneruskan juga melakukan nafar awwal dalam keadaan salah satu daripada syarat-syarat di atas tidak dipenuhinya, maka wajib ke atasnya dam iaitu menyembelih seekor kambing kerana meninggalkan kewajiban melontar jamrah pada 13 Zulhijjah. Jika dia tidak mampu berbuat demikian, maka wajib ke atasnya berpuasa sepuluh hari iaitu tiga hari semasa berada di Makkah dan tujuh hari setelah dia pulang ke tanah air. Diwajibkan juga ke atasnya satu mudd (cupak) beras kerana meninggalkan bermalam pada malam yang ke-13 Zulhijjah.
Adapun bagi orang haji yang melakukan nafar tsâni, dia wajib bermalam di Mina pada ketiga-tiga hari tasyrîq dan juga wajib melontar ketiga-tiga jamrah pada ketiga-tiga hari tersebut. Melakukan nafar tsâni adalah lebih utama dan afdhal sebagai ittibâ‘ iaitu mengikut perbuatan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam.
Meninggalkan Mina Sebelum Matahari Tergelincir
Sebagaimana yang dijelaskan di atas, antara syarat-syarat orang haji yang melakukan nafar awwal itu hendaklah dia berangkat meninggalkan Mina selepas matahari tergelincir pada 12 Zulhijjah setelah sempurna melakukan lontaran jamrah.
Waktu melontar ketiga-tiga jamrah pada hari-hari tasyrîq yang bukan lontaran qadha’ adalah selepas matahari tergelincir. Walau bagaimanapun, apabila dalam keadaan tidak ada pilihan kecuali terpaksa mematuhi arahan pihak berkuasa tertentu, maka para jemaah haji boleh mengambil dan beramal dengan pendapat Imam ar-Rafi‘i Rahimahullâh yang mengharuskan melontar jamrah pada hari tasyrîq sebelum matahari tergelincir sebagaimana disebut dalam Fatwa Mufti Kerajaan:
Oleh itu, para jemaah haji Negara Brunei Darussalam adalah tidak ada pilihan lain kecuali terpaksa mematuhi arahan yang telah dikeluarkan oleh pihak berkuasa kerajaan Arab Saudi itu. Maka sebagai irsyâd, bukan fatwa, para jemaah haji bolehlah mengambil dan beramal dengan pendapat Imam ar-Rafi‘i Rahimahullâhu Ta‘âlâ iaitu salah seorang ulama dari mazhab asy-Syafi‘i yang mengharuskan melontar jamrah pada hari tasyrîq sebelum matahari tergelincir.
Oleh yang demikian, apabila dalam keadaan ini, jemaah haji boleh melontar ketiga-tiga jamrah pada hari-hari tasyrîq sebelum matahari tergelincir. Ini termasuk orang haji yang melakukan nafar awwal. Namun adakah orang haji yang melakukan nafar awwal ini boleh meninggalkan Mina sebelum matahari tergelincir setelah selesai melontar ketiga-tiga jamrah memandangkan antara syarat sah nafar awwal itu ialah berangkat meninggalkan Mina selepas matahari tergelincir? Mengenai perkara ini, Imam asy-Syarwani Rahimahullâh ketika mensyarah kitab Tuhfah al-Muhtâj berkata:
Ertinya: Dan tidak tersembunyi (jelas) bahawa tidak semestinya harus melontar sebelum (matahari) tergelincir (menurut) pendapat yang dha‘îf (menunjukkan) harus (juga melakukan) nafar sebelum (matahari tergelincir) kerana kemungkinan yang pertama itu (harus melontar sebelum matahari tergelincir) adalah kerana hikmah yang tidak wujud pada yang kedua (harus nafar sebelum matahari tergelincir) seperti mudah melakukan nafar sejurus matahari tergelincir sebelum kesesakan orang ramai dalam perjalanan mereka. Dan tidak ada ruang bagi orang seperti kita untuk mengqiyâskan perkara nafar awwal (sebelum matahari tergelincir) kepada perkara melontar (jamrah sebelum matahari tergelincir).
Berdasarkan penjelasan di atas, keharusan melontar jamrah sebelum matahari tergelincir tidak membawa kepada keharusan melakukan nafar awwal sebelum matahari tergelincir kerana keharusan melontar sebelum matahari tergelincir adalah atas sesuatu sebab yang tidak terjadi pada melakukan nafar awwal. Maka keharusan nafar awwal sebelum matahari tergelincir tidak boleh berqiyâs dengan keharusan melontar sebelum matahari tergelincir.
Demikian penjelasan mengenai melakukan nafar awwal sebelum matahari tergelincir.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-15722
دليل الألوان
