Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الصلاة٠ مشاهدة

Sembahyang Sunat Qabliyyah Jumaat Di Tanah Haram

الجواب

Sembahyang-sembahyang sunat rawâtib itu antaranya ialah sembahyang sunat yang mengiringi sembahyang fardhu. Jika dilakukan sebelum mendirikan sembahyang fardhu ia disebut sebagai sembahyang sunat qabliyyah, manakala jika dilakukan selepas sembahyang fardhu ia disebut sebagai sembahyang sunat ba‘diyyah.

Sembahyang sunat rawâtib juga sunat dikerjakan bagi sembahyang fardhu Jumaat. Sembahyang sunat rawâtib bagi sembahyang fardhu Jumaat adalah sama kedudukannya dengan sembahyang sunat rawâtib bagi sembahyang fardhu Zhuhur, iaitu empat rakaat bagi sembahyang sunat qabliyyah dengan dua rakaat daripadanya adalah sunat mu’akkadah (sangat dituntut), dan empat rakaat bagi sembahyang sunat ba‘diyyah dengan dua rakaat daripadanya adalah sunat mu’akkadah (sangat dituntut).

Menurut Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam kitabnya Minhâj ath-Thâlibîn, masuk waktu bagi mengerjakan sembahyang sunat rawâtib qabliyyah ialah dengan masuk waktu sembahyang fardhu. Manakala masuk waktu bagi mengerjakan sembahyang sunat rawâtib ba‘diyyah ialah setelah mengerjakan sembahyang fardhu. Sembahyang sunat rawâtib qabliyyah dan ba‘diyyah itu berakhir waktunya dengan berakhir waktu sembahyang fardhu.

Walau bagaimanapun, apa yang ingin diberikan perhatian di sini khususnya bagi para jemaah yang akan melaksanakan ibadat haji dan umrah ialah mengenai laungan azan sembahyang fardhu Jumaat di Makkah dan Madinah. Azan pertama bagi waktu Jumaat dilaungkan kira-kira 30 minit sebelum masuk waktu. Manakala azan kedua pula dilaungkan setelah masuk waktu Jumaat dan khatib telah duduk di atas mimbar untuk berkhutbah setelah selesai azan dilaungkan. Timbul persoalan, bilakah masa yang sesuai untuk seseorang itu mengerjakan sembahyang sunat qabliyyah Jumaat di Tanah Haram? Oleh yang demikian, berikut akan dijelaskan mengenai sembahyang sunat qabliyyah Jumaat di tanah haram.

Dua Azan Sembahyang Fardhu Jumaat

Menurut as-Sayyid al-Bakri Rahimahullâh dalam kitabnya I‘ânah ath-Thâlibîn, pada dasarnya melaungkan azan pertama, iaitu azan yang dilaungkan sebelum khatib duduk di atas mimbar, hukumnya adalah harus dan bukan sunat. Walau bagaimanapun, menurut Imam al-Malibari Rahimahullâh dalam kitabnya Fath al-Mu‘în, jika terdapat keperluan atau hajat untuk melaungkan azan pertama itu seperti mereka akan segera hadir dengan laungan azan pertama, maka sunat hukumnya melaungkan azan pertama kerana ada hajat tersebut. Manakala melaungkan azan kedua, iaitu azan yang dilaungkan setelah khatib duduk di atas mimbar, hukumnya adalah sunat.

Melaungkan azan sebanyak dua kali pada waktu Jumaat ada disebut dalam hadits daripada as-Sa’ib bin Yazid Radhiallâhu ‘anhu, beliau berkata:

Maksudnya: Sesungguhnya azan pada hari Jumaat, pada mulanya (dilaungkan) ketika imam hari Jumaat duduk di atas mimbar pada zaman Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam dan (zaman Khalifah Sayyidina) Abu Bakr dan (Khalifah Sayyidina) ‘Umar Radhiallâhu ‘anhumâ. Lalu pada ketika (zaman) Khalifah (Sayyidina) ‘Utsman Radhiallâhu ‘anhu dan (penduduk Madinah semakin) ramai, (Sayyidina) ‘Utsman memerintahkan pada hari Jumaat (untuk dilaungkan) azan ketiga, maka dilaungkan azan (ketiga) dengannya (perintah Sayyidina ‘Utsman Radhiallâhu ‘anhu) di az-Zaura’ (suatu tempat dalam suatu pasar di kota Madinah). Maka perkara tersebut berterusan sedemikian. (Hadits riwayat al-Bukhari)

Menurut Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani Rahimahullâh dalam kitabnya Fath al-Bâri ketika mensyarah hadits di atas, maksud ‘azan ketiga’ yang disebut dalam hadits tersebut ialah azan yang ditambah iaitu azan sebelum azan yang dilaungkan ketika imam telah duduk atas mimbar dan iqâmah yang juga disebut sebagai azan sepertimana dalam riwayat Waki‘ bin Ibn Abu Dzi’b Rahimahullâh, as-Sa’ib bin Yazid Radhiallâhu ‘anhu berkata:

Maksudnya: Azan (yang dilaungkan) pada zaman Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam dan (zaman Khalifah Sayyidina) Abu Bakr dan (Khalifah Sayyidina) ‘Umar Radhiallâhu ‘anhumâ adalah dua azan pada hari Jumaat. (Hadits riwayat Ibn Khuzaimah)

Imam Ibn Khuzaimah Rahimahullâh dalam kitabnya Shahîh Ibn Khuzaimah juga ada menjelaskan bahawa azan dan iqâmah itu dipanggil sebagai dua azan.

Menurut Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani Rahimahullâh lagi, maksud ‘perkara tersebut berterusan sedemikian’ ialah pelaksanaan azan tambahan sebagaimana yang dilakukan oleh Sayyidina ‘Utsman Radhiallâhu ‘anhu itu menjadi pegangan orang ramai di seluruh negeri kerana menuruti perintah beliau sebagai Khalifah pada ketika itu.

Menurut as-Sayyid al-Bakri Rahimahullâh dalam kitabnya I‘ânah ath-Thâlibîn pula, Sayyidina ‘Utsman Radhiallâhu ‘anhu mengadakan azan pada waktu Jumaat sebanyak dua kali atas dasar terdapatnya hajat pada ketika zaman pemerintahannya iaitu bilangan penduduk yang semakin ramai dan mereka akan segera hadir dengan laungan azan pertama.

Menunaikan Sunat Qabliyyah Jumaat

Azan pada waktu Jumaat di tanah haram dilaungkan sebanyak dua kali. Walau bagaimanapun, azan pertama pada waktu Jumaat di tanah haram dilaungkan sebelum masuk waktu Jumaat, iaitu kira-kira 30 minit sebelum masuk waktu Jumaat mengikut amalan penduduk Najd yang melaungkan azan pertama hari Jumaat 30 minit atau 45 minit atau sejam sebelum masuk waktu Jumaat.

Azan pertama pada waktu Jumaat yang dilaungkan sebelum masuk waktu Jumaat adalah untuk memberi peringatan kepada orang ramai bahawa hari itu adalah hari Jumaat agar mereka bersiap sedia dan bersegera ke masjid sebelum azan kedua dilaungkan yang menandakan telah masuk waktu Jumaat.

Oleh kerana sembahyang sunat qabliyyah Jumaat tidak dapat dilakukan selepas azan pertama kerana belum masuk waktu Jumaat dan tidak dapat dilakukan selepas azan kedua kerana khatib telah duduk di atas mimbar, maka sembahyang sunat qabliyyah Jumaat dikerjakan selepas menunaikan sembahyang fardhu Jumaat kerana menurut Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam kitabnya Minhâj ath-Thâlibîn, waktu sembahyang sunat qabliyyah itu berkekalan sehingga berakhir waktu sembahyang fardhu sebagaimana katanya:

Ertinya: Dan masuk waktu (mengerjakan) sunat rawâtib sebelum sembahyang fardhu (sunat qabliyyah) dengan masuk waktu sembahyang fardhu, dan (masuk waktu mengerjakan sunat rawâtib) selepasnya (sunat ba‘diyyah) dengan mengerjakannya (sembahyang fardhu). Dan berakhir (waktu mengerjakan) kedua-dua jenis itu (sunat qabliyyah dan sunat ba‘diyyah) dengan berakhir waktu sembahyang fardhu.

Berdasarkan perkataan Imam an-Nawawi Rahimahullâh di atas, bermula waktu sembahyang sunat qabliyyah bagi sembahyang fardhu setelah masuk waktu sembahyang fardhu dan berakhir waktunya setelah berakhir waktu sembahyang fardhu. Ini bererti bahawa sembahyang sunat qabliyyah Jumaat masih boleh dikerjakan selepas menunaikan sembahyang fardhu Jumaat. Bahkan sembahyang sunat qabliyyah Jumaat yang dikerjakan selepas menunaikan sembahyang fardhu Jumaat itu adalah dikira sembahyang yang tunai sebagaimana yang dikatakan oleh Imam ar-Ramli Rahimahullâh dalam kitabnya Nihâyah al-Muhtâj:

Ertinya: Maka jika seseorang itu mengerjakan (sembahyang sunat) qabliyyah selepasnya (mengerjakan sembahyang fardhu), ia (sembahyang sunat qabliyyah) adalah (sembahyang yang) tunai.

Sembahyang Sunat Qabliyyah Jumaat Setelah Khatib Duduk di Atas Mimbar

Hukum mengerjakan sembahyang sunat qabliyyah Jumaat setelah khatib duduk di atas mimbar adalah tertakluk kepada dua keadaan berikut:

1. Orang yang sudah sedia hadir dan duduk dalam masjid sebelum khatib duduk di atas mimbar.

Seseorang yang sudah sedia hadir dan duduk dalam masjid, sama ada orang tersebut adalah orang yang wajib atasnya sembahyang fardhu Jumaat ataupun orang yang tidak wajib atasnya sembahyang fardhu Jumaat seperti perempuan, orang yang musafir dan lainnya, adalah haram ke atasnya untuk mengerjakan apa sahaja sembahyang setelah khatib naik dan duduk di atas mimbar, sama ada sembahyang fardhu atau sembahyang sunat, walaupun khatib belum lagi memulakan khutbahnya dan walaupun dia yakin dia sempat menghabiskan sembahyangnya sebelum khatib mula membaca khutbah.

Ini kerana perbuatan tersebut menggambarkan keengganannya mendengar khutbah. Jika dikerjakan juga, sembahyangnya itu tidak sah kerana ulama telah ijmâ‘ atas haramnya.

2. Orang yang baru masuk masjid ketika khatib duduk di atas mimbar.

Orang yang baru masuk masjid ketika khatib sudah duduk di atas mimbar adalah sunat dan lebih utama baginya untuk mengerjakan sembahyang sunat Tahiyyatul Masjid sebelum dia duduk atau dia mengerjakan sembahyang sunat qabliyyah Jumaat jika dia belum mengerjakannya. Namun adalah lebih utama sembahyang sunat qabliyyah Jumaat itu disatukan niatnya bersama sembahyang sunat Tahiyyatul Masjid dalam satu sembahyang dan dikerjakan sebanyak dua rakaat. Jika dia hendak mengerjakannya dengan satu niat sahaja, maka adalah lebih utama diniatkannya sembahyang sunat Tahiyyatul Masjid sahaja. Ini kerana sembahyang sunat Tahiyyatul Masjid akan luput jika tidak dikerjakan sebelum duduk. Adapun sembahyang sunat qabliyyah Jumaat pula, ia masih boleh dikerjakan sekalipun selepas menunaikan sembahyang fardhu Jumaat, bahkan boleh juga diqadha’ jika dikerjakan di luar waktu.

Manakala jika azan kedua yang menandakan telah masuk waktu sembahyang fardhu Jumaat telah dilaungkan sebelum dia sempat mengerjakan sembahyang sunat, adalah disunatkan atasnya untuk menangguhkan sembahyang sunat sehingga dia selesai menjawab azan. Maka dalam hal ini, dia boleh menjawab azan tersebut dalam keadaan berdiri sahaja. Kemudian selepas azan selesai, baru dia mengerjakan sembahyang sunat dan wajib dia mengerjakannya secara takhfîf (ringan dan ringkas).

Walau bagaimanapun, seseorang yang baru masuk masjid pada penghujung khutbah, ataupun ketika khatib sudahpun selesai daripada khutbahnya, ataupun ketika iqâmah sudah dilaungkan dan kuat sangkaannya jika dia mengerjakan sembahyang sunat itu dia akan terluput melakukan takbîratul-ihrâm bersama imam, maka dalam hal ini, gugurlah tuntutan sunat ke atasnya untuk mendirikan sembahyang sunat Tahiyyatul Masjid bahkan makruh atasnya untuk mengerjakannya. Begitu juga makruh atasnya untuk duduk. Sebaliknya, adalah sunat baginya berdiri sahaja bagi menunggu imam menunaikan sembahyang fardhu Jumaat bagi mengelakkan dia duduk dalam masjid sebelum mengerjakan sembahyang sunat Tahiyyatul Masjid.

Kedudukan Sembahyang Sunat Qabliyyah Jumaat Dikerjakan Sebelum Waktu

Sekiranya seseorang itu mengerjakan sembahyang sunat qabliyyah Jumaat di Tanah Haram dalam keadaan dia tidak mengetahui bahawa azan pertama pada waktu Jumaat itu dilaungkan sebelum masuk waktu Jumaat dan dia menyangka bahawa azan pertama pada waktu Jumaat menandakan telah masuk waktu Jumaat lalu dia mengerjakan sembahyang sunat qabliyyah Jumaat, maka sembahyang yang telah dikerjakannya itu tidak dihukumkan batal, bahkan sembahyangnya itu menjadi sembahyang sunat muthlaq sebagaimana kata asy-Syaikh al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh dalam kitabnya Mughnî al-Muhtâj bahawa orang yang melakukan takbîratul-ihrâm sebelum masuk waktu sesuatu sembahyang itu kerana kesilapan, sembahyangnya itu jatuh menjadi sembahyang sunat muthlaq. Ketika membahaskan mengenai hukum tidak sah menambah rakaat sembahyang sunat Witir melebihi dari yang telah ditetapkan, beliau berkata:

Ertinya: Kemudian jika seseorang itu mengetahui larangan (menambah rakaat Witir melebihi dari yang telah ditetapkan) dan sengaja (mengerjakan rakaat tambahan tersebut), maka berdasarkan qiyas (hukumnya) batal (sembahyang sunat Witir tersebut), melainkan jika (tidak tahu larangan tersebut dan tidak sengaja), ia akan menjadi (sembahyang) sunat (muthlaq) seperti seseorang melakukan takbîratul-ihrâm bagi sembahyang yang dikerjakan sebelum waktunya (yang dilakukannya) dalam keadaan silap.

Manakala orang yang mengerjakan sembahyang sunat qabliyyah Jumaat di tanah haram dalam keadaan dia mengetahui bahawa azan pertama pada waktu Jumaat itu dilaungkan sebelum masuk waktu Jumaat, maka sembahyang yang dikerjakannya itu dihukumkan batal sebagaimana yang dijelaskan oleh asy-Syaikh al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh dalam nash di atas.

Demikian penjelasan mengenai sembahyang sunat qabliyyah Jumaat di Tanah Haram.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-15726

دليل الألوان

آية قرآنيةحديث شريفنص فقهي من كتب العلماءرد اللجنة (المرجع الأساسي للفتوى)رقمرابط لفتوى أخرى مذكورة في النص