Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الصلاة٠ مشاهدة

Ganjaran Pahala Sembahyang Di Masjid Al-Haram

الجواب

Masjid al-Haram adalah masjid yang afdhal dan lebih istimewa daripada semua masjid-masjid yang lain kerana di sana terdapat Ka‘bah yang mulia, Hijr Isma‘il, Hajar al-Aswad, Safa dan Marwah serta lainnya. Sememangnya menjadi suatu kerugian besar bagi orang yang berpeluang untuk pergi ke Makkah tetapi tidak memberatkan dirinya untuk pergi ke Masjid al-Haram untuk mengerjakan semua sembahyang fardhu dan sunat di sana. Bahkan menurut Imam an-Nawawi Rahimahullâh, memperbanyak umrah, thawaf dan sembahyang di Masjid al-Haram merupakan antara perkara-perkara yang sepatutnya dilakukan oleh mereka yang berpeluang menetap di Makkah. Peluang untuk sampai lagi ke Makkah bukan peluang yang mudah dan mungkin sahaja dia tidak akan berpeluang lagi untuk pergi ke sana selepas itu.

Setiap orang Islam yang berpeluang menjejakkan kaki ke Makkah pasti tidak mahu melepaskan peluang untuk mengerjakan semua sembahyang, sama ada fardhu atau sunat di Masjid al-Haram kerana ganjaran pahala mengerjakan sembahyang di Masjid al-Haram lebih besar daripada pahala mengerjakannya di masjid-masjid yang lain termasuk Masjid an-Nabawi. Jabir bin ‘Abdullah Radhiallâhu ‘anhumâ meriwayatkan bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: (Satu) sembahyang di masjidku ini (Masjid an-Nabawi) lebih afdhal daripada 1000 sembahyang di (masjid)

selainnya, melainkan Masjid al-Haram. Dan (satu) sembahyang di Masjid al-Haram itu lebih afdhal daripada 100,000 sembahyang di (masjid) selainnya. (Hadits riwayat Ibn Majah)

Antara perkara yang menjadi persoalan orang ramai mengenai ganjaran pahala sembahyang di Masjid al-Haram yang disebut dalam hadits di atas, adakah ganjaran yang disebut dalam hadits tersebut khusus bagi orang yang sembahyang di Masjid al-Haram sahaja atau merangkumi orang yang sembahyang di luar Masjid al-Haram atau lain-lain kawasan dalam tanah haram Makkah?

Menurut Imam Ibn Hajar al-Haitami Rahimahullâh dalam kitabnya Tuhfah al-Muhtâj, ganjaran tersebut adalah khusus bagi orang yang bersembahyang di Masjid al-Haram sahaja dan ia merangkumi bangunan asal masjid serta tambahannya.

Manakala al-‘Allâmah al-‘Imrani Rahimahullâh pula menyatakan bahawa maksud Masjid al-Haram dalam hadits di atas adalah khusus bagi Ka‘bah sahaja termasuk bahagian dalam Hijr Isma‘il.

Berdasarkan pendapat Imam Ibn Hajar al-Haitami Rahimahullâh di atas, orang yang mengerjakan sembahyang di luar Masjid al-Haram tidak akan mendapat ganjaran yang disebut dalam hadits berkenaan. Walau bagaimanapun, sebahagian ulama antaranya asy-Syaikh asy-Syarif Muhammad bin Ahmad al-‘Utsmani Rahimahullâh berpendapat bahawa dia masih mendapat ganjaran berkenaan kerana menurut beliau, maksud Masjid al-Haram dalam hadits tersebut merangkumi Ka‘bah, seluruh kawasan Masjid al-Haram dan seluruh kawasan tanah haram Makkah. Pendapat ini ada dinukil oleh pengarang kitab al-Bayân Fî Madzhab al-Imam asy-Syafi‘i. Asy-Syaikh al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh dalam kitabnya Mughnî al-Muhtâj ketika menjelaskan maksud Masjid al-Haram dalam perkara nazar juga mengatakan sedemikian sebagaimana katanya:

Ertinya: Yang dimaksudkan dengan Masjid al-Haram ialah seluruh tanah haram (Makkah).

Dari segi nilai ganjaran pula, terdapat riwayat-riwayat mengenainya yang menunjukkan bahawa pahala sembahyang di Masjid al-Haram adalah berganda 100,000 kali daripada ganjaran mengerjakan sembahyang di masjid-masjid yang lain. Antaranya hadits daripada Abu ad-Darda Radhiallâhu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Kelebihan sembahyang di Masjid al-Haram ke atas (masjid-masjid) selainnya ialah 100,000 (kali ganda) sembahyang, dan (kelebihan sembahyang) di masjidku (Masjid an-Nabawi) ialah 1000 (kali ganda) sembahyang (berbanding masjid-masjid selainnya), dan (kelebihan sembahyang) di Masjid Bait al-Maqdis (Masjid al-Aqsha) ialah 500 (kali ganda) sembahyang (berbanding masjid-masjid selainnya). (Hadits riwayat al-Bazzar)

Meskipun demikian, ganjaran tersebut adalah dari segi nilai pahala semata-mata dan tetap tidak akan dapat menampung sembahyang yang tertanggung qadha’nya ke atas orang tersebut sebagaimana yang dinukil oleh Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani Rahimahullâh dalam kitabnya Fath al-Bâri daripada Imam an-Nawawi Rahimahullâh dan lainnya. Oleh yang demikian, sekiranya seseorang itu tertanggung atasnya dua sembahyang qadha’, lalu dia menqadha’ satu daripadanya di Masjid al-Haram, maka hanya satu sembahyang qadha’ yang terlepas daripada tanggungannya kerana pahala mengerjakan sembahyang di Masjid al-Haram itu tetap tidak akan dapat melepaskannya daripada kewajiban menqadha’ sembahyang yang satu lagi.

Orang yang tidak merebut peluang mengerjakan semua sembahyang di Masjid al-Haram, selain mengalami kerugian kerana terlepas ganjaran pahala mengerjakan sembahyang di sana, dia juga mengalami kerugian kerana terlepas ganjaran-ganjaran yang lain seperti kerugian tidak beri‘tikâf di Masjid al-Haram dan tidak dapat mendekati serta menatap Ka‘bah ketika beri‘tikâf di sana kerana orang yang duduk di Masjid al-Haram disunatkan untuk melihat Ka‘bah dengan penuh keimanan dan pengharapan bahkan melihat Ka‘bah itu sendiri merupakan satu ibadat yang mempunyai fadhilatnya yang tersendiri. Dia juga akan mengalami banyak kerugian yang lain seperti terlepas peluang menunaikan tuntutan sunat memperbanyakkan masuk ke Hijr Isma‘il dan memperbanyak sembahyang dan berdo‘a di sana kerana Hijr Isma‘il itu merupakan sebahagian daripada Ka‘bah dan do‘a adalah mustajâb di sana.

Demikian penjelasan mengenai ganjaran pahala sembahyang di Masjid al-Haram.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-15733

دليل الألوان

آية قرآنيةحديث شريفنص فقهي من كتب العلماءرد اللجنة (المرجع الأساسي للفتوى)رقمرابط لفتوى أخرى مذكورة في النص