Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الحج والعمرة٠ مشاهدة

Menyembelih Seekor Kambing Dengan Niat Korban Dan ‘Aqiqah

الجواب

Hukum-hakam yang berkaitan dengan korban dan ‘aqiqah mempunyai banyak persamaan dan berbeza dalam beberapa perkara. Antara persamaannya adalah dari sudut hukum melaksanakannya, binatang yang boleh dijadikan korban dan ‘aqiqah, pembahagian daging, penerima daging, memindahkan daging ke luar negeri, melaksanakannya di luar negeri dan berkongsi binatang dengan niat yang berbeza.

Manakala perbezaan antara korban dengan ‘aqiqah pula adalah seperti berbezanya sifat daging yang disedekahkan, pemilikan daging dan tidak terkecuali waktu penyembelihan binatang kerana hari untuk melaksanakan korban hanya terhad pada Hari Raya Korban, iaitu 10 Zulhijjah dan hari-hari tasyrîq, iaitu 11, 12 dan 13 Zulhijjah sedangkan ‘aqiqah tidak terikat dengan hari-hari tertentu dan harus dilakukan pada bila-bila masa, akan tetapi disunatkan untuk melaksanakannya pada hari ketujuh dari hari kelahiran anak. Jika tidak disembelih ‘aqiqah untuk anak pada hari ketujuh dari hari kelahirannya, maka disembelih pada hari keempat belas. Jika tidak demikian, maka pada hari kedua puluh satu. Begitulah seterusnya, iaitu dilaksanakan pada kiraan setiap tujuh hari berikutnya.

Persoalannya, sekiranya hari untuk melaksanakan ‘aqiqah itu bertepatan dengan Hari Raya Korban, maka apakah boleh menyembelih seekor kambing dengan menyatukan niat korban dan ‘aqiqah?

Menyatukan Niat Korban dan ‘Aqiqah

Seseorang yang berniat untuk melaksanakan korban dengan seekor kambing tidak harus menyatukan niatnya dengan ‘aqiqah. Begitu juga, tidak harus bagi seseorang yang berniat untuk melaksanakan ‘aqiqah dengan seekor kambing menyatukan niatnya dengan korban. Sekiranya seseorang itu menyembelih seekor kambing dengan niat korban dan ‘aqiqah, maka tidak terhasil satu pun daripada kedua-duanya. Hal ini berdasarkan pendapat al-ashhâb (para ulama asy-Syafi‘iyyah yang terdahulu yang terkemuka) dan pendapat Imam Ibn Hajar al-Haitami Rahimahullâh sebagaimana yang disebut oleh beliau dalam kitabnya Tuhfah al-Muhtâj:

Ertinya: Dan zahir perkataan matan dan al-ashhâb (para ulama asy-Syafi‘iyyah yang terdahulu yang terkemuka) bahawa sesungguhnya jika (seseorang itu) berniat korban dan ‘aqiqah dengan (menyembelih) seekor kambing, (maka) tidak terhasil satu pun daripada kedua-duanya.

Dalam kitab al-Fatâwâ al-Kubrâ al-Fiqhiyyah disebut bahawa Imam Ibn Hajar al-Haitami Rahimahullâh pernah ditanya mengenai penyembelihan seekor kambing pada hari-hari korban (Hari Raya Korban dan hari-hari tasyrîq) dengan niat korban dan ‘aqiqah, adakah terhasil kedua-duanya atau tidak. Beliau menjawab bahawa tidak ada bermasuk-masukan niat dalam perkara tersebut sebagaimana pendapat al-ashhâb.

Menurut para ulama, sebab-sebab tidak harus menyatukan niat korban dengan ‘aqiqah antaranya ialah:

1. Korban dan ‘aqiqah itu masing-masing merupakan ibadat sunat مقصودة لذاهتا, iaitu ibadat yang dimaksudkan oleh syara‘ untuk dikerjakan secara khusus. Imam Ibn Hajar al-Haitami Rahimahullâh dalam kitabnya Tuhfah al-Muhtâj berkata:

Ertinya: Kerana setiap daripada kedua-duanya (korban dan ‘aqiqah) adalah (ibadat) sunat maqshûdah.

Begitu juga dalam kitab al-Fatâwâ al-Kubrâ al-Fiqhiyyah, beliau berkata:

Ertinya: Tidak ada bermasuk-masukan dalam (perkara) itu (niat korban dan ‘aqiqah dengan seekor kambing) kerana setiap daripada korban dan ‘aqiqah (merupakan ibadat) sunat maqshûdah li dzâtihâ.

Oleh kerana korban dan ‘aqiqah itu masing-masing dikategorikan sebagai ibadat sunat مقصودة لذاهتا, maka penggabungan kedua-dua ibadat korban dan ‘aqiqah itu tidak boleh diqiyâskan dengan keharusan penggabungan sembahyang sunat Tahiyyatul Masjid dengan sembahyang yang lain, atau dengan penggabungan puasa hari Isnin dengan puasa yang lain, kerana sembahyang sunat Tahiyyatul Masjid dan juga puasa hari Isnin itu bukan ibadat sunat لذاهتا مقصودة. Oleh sebab itu, harus menggabungkan sembahyang sunat Tahiyyatul Masjid dengan sembahyang yang lain dan menggabungkan puasa hari Isnin dengan puasa yang lain. Berlainan dengan korban dan ‘aqiqah, kerana korban itu tidak terhasil dengan melaksanakan yang lain daripada korban. ‘Aqiqah juga tidak terhasil dengan melaksanakan yang lain daripada ‘aqiqah. Maka tidak harus menggabungkan ibadat korban dengan ‘aqiqah.

Perkara di atas dapat difahami daripada penjelasan Imam Ibn Hajar al-Haitami Rahimahullâh dalam kitab al-Fatâwâ al-Kubrâ al-Fiqhiyyah:

Ertinya: Dan adapun (sembahyang sunat) Tahiyyatul Masjid dan seumpamanya, maka ia bukan (ibadat) maqshûdah li dzâtihâ, bahkan (tujuannya) untuk tidak mencemarkan kemuliaan masjid dan yang demikian itu terhasil dengan (mendirikan) sembahyang selainnya (sembahyang sunat Tahiyyatul Masjid). Begitu juga puasa seperti (puasa hari) Isnin, kerana tujuan daripadanya (puasa hari Isnin) itu ialah menghidupkan hari tersebut dengan ibadat puasa yang tertentu dan yang demikian itu terhasil dengan (melakukan) mana-mana puasa padanya (hari Isnin). Manakala korban dan ‘aqiqah, maka kedua-duanya tidak seperti yang demikian sebagaimana yang nyata daripada apa (yang) telah aku perakukan dan ia adalah jelas.

2. Korban dan ‘aqiqah itu mempunyai sebab dan tujuan pelaksanaan yang berbeza antara satu dengan yang lain serta terdapat perbezaan antara kedua-duanya dalam beberapa masalah.

Dalam kitab al-Fatâwâ al-Kubrâ al-Fiqhiyyah, Imam Ibn Hajar al-Haitami Rahimahullâh ada menjelaskan bahawa korban dan ‘aqiqah itu mempunyai sebab dan juga tujuan yang berbeza antara satu dengan yang lain kerana korban itu penebusan untuk diri orang yang berkorban sedangkan ‘aqiqah itu penebusan untuk anak kerana dengan melaksanakan ‘aqiqah, anak tersebut membesar dan menjadi salih serta diharapkan kebaikan dan syafaat anak tersebut kepada kedua ibu bapanya pada Hari Kiamat kelak.

3. Jika dikatakan korban dan ‘aqiqah itu kedua-duanya terhasil dengan menyembelih seekor kambing, bererti korban dan ‘aqiqah itu masing-masing terhasil dengan kurang daripada seekor kambing, sedangkan menurut ketetapan syara‘, korban dan ‘aqiqah itu masing-masing tidak terhasil melainkan dengan sekurang-kurangnya seekor kambing atau seumpamanya.

Imam asy-Syarwani Rahimahullâh dalam hâsyiyah kitab Tuhfah al-Muhtâj dan Imam al-Kurdi Rahimahullâh dalam kitab al-Mawâhib al-Madaniyyah berkata bahawa korban dan ‘aqiqah itu tidak terhasil dengan kurang daripada seekor kambing dan jika terhasil kedua-duanya dengan seekor kambing, bererti terhasil setiap daripada kedua-duanya dengan kurang daripada seekor kambing.

4. Dalam kitab al-Majmû‘ dan al-Αâb Syarh al-‘Ubâb ada juga dijelaskan bahawa jika dilahirkan dua orang anak daripada perut yang sama lalu disembelih seekor kambing untuk kedua-duanya, maka tidak terhasil ‘aqiqah untuk dua orang anak tersebut. Jika penyembelihan ‘aqiqah seekor kambing untuk dua orang anak yang lahir daripada perut yang sama sahaja tidak terhasil, maka lebih utama tidak terhasil korban dan ‘aqiqah yang digabung niatnya kerana jika terhalang berhasilnya sesuatu sedangkan jenisnya sama, iaitu ‘aqiqah seekor kambing untuk dua orang anak sekalipun daripada perut yang sama, maka lebih utama terhalang berhasilnya sesuatu sedangkan jenisnya berbeza, iaitu menyembelih seekor kambing dengan niat korban dan ‘aqiqah.

Demikian penjelasan mengenai menyembelih seekor kambing dengan niat korban dan ‘aqiqah.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-15737

دليل الألوان

آية قرآنيةحديث شريفنص فقهي من كتب العلماءرد اللجنة (المرجع الأساسي للفتوى)رقمرابط لفتوى أخرى مذكورة في النص