Sembahyang Jama‘ Kerana Sakit
الجواب
Antara sebab yang mengharuskan seseorang itu melakukan sembahyang fardhu secara jama‘ ialah safar. Maksud safar di sini ialah keluar dari rumah kediaman untuk menuju ke suatu tempat yang jaraknya dua marhalah iaitu 89.04 km.
Orang yang dalam safar diberikan rukhshah oleh Allah Ta‘ala untuk melakukan sembahyang fardhu secara jama‘ taqdîm (menghimpunkan Zhuhur dan ‘Ashar pada waktu Zhuhur atau menghimpunkan Maghrib dan ‘Isya’ pada waktu Maghrib) dan secara jama‘ ta’khîr (menghimpunkan Zhuhur dan ‘Ashar pada waktu ‘Ashar atau menghimpunkan Maghrib dan ‘Isya’ pada waktu ‘Isya’). Tujuan diberikan rukhshah ini adalah untuk memberi keringanan dan menghilangkan kesusahan orang yang dalam safar kerana pada kebiasaannya mereka menghadapi kesusahan dan keletihan sepanjang safar.
Memandangkan tujuan rukhshah sembahyang jama‘ itu untuk memberi keringanan dan menghilangkan kesusahan, maka timbul tanggapan di kalangan orang ramai bahawa orang sakit juga harus melakukan sembahyang jama‘ untuk meringankan kesusahannya.
Tidak dinafikan bahawa sebahagian ulama Syafi‘iyyah seperti al-Qadhi Husain, al-Qadhi Ibn Suraij, al-Qadhi ar-Ruyani, Imam al-Mawardi, Imam ad-Darimi dan Imam al-Mutawalli Rahimahumullâh berpendapat bahawa sembahyang jama‘ harus dilakukan oleh orang yang sakit sama ada secara jama‘ taqdîm ataupun jama‘ ta’khîr.
Syaikh Zainuddin al-Malibari Rahimahullâh dalam kitabnya Fath al-Mu‘în menyebutkan:
Ertinya: Harus menjama‘ (sembahyang) kerana sakit, (sama ada secara) taqdîm ataupun ta’khîr menurut pendapat al-mukhtâr dan (dalam melaksanakannya orang yang sakit itu) memilih apa yang lebih ringan (baginya sama ada jama‘ taqdîm atau ta’khîr). Jika bertambah sakitnya seperti dia demam (kuat panasnya) pada waktu kedua misalnya, maka dia dahulukannya (sembahyang jama‘ taqdîm) dengan syarat-syarat jama‘ taqdîm atau (dia demam) waktu pertama, maka dia akhirkannya (sembahyang jama‘ ta’khîr) dengan berniat jama‘ pada waktu pertama.
Menurutnya lagi, sebahagian ulama muta’akhkhirîn juga ada menggariskan bahawa ukuran sakit yang memayahkan seseorang itu melakukan sembahyang fardhu pada waktunya adalah seperti kepayahan berjalan ketika hujan yang menyebabkan baju basah. Sebahagian ulama yang lain pula berpendapat bahawa sakit tersebut hendaklah ada masyaqqah (kesusahan) yang nyata melebihi kepayahan tersebut (berjalan ketika hujan) sekira-kira menyamai sakit yang membolehkan seseorang itu mengerjakan sembahyang fardhu dengan cara duduk.
Adapun sakit yang ringan seperti sakit kepala yang sedikit atau demam yang ringan, maka yang demikian itu tidak dikira sakit yang mengharuskan sembahyang jama‘.
Walau bagaimanapun menurut pendapat al-masyhûr (pendapat yang muktamad dalam mazhab asy-Syafi‘i) bahawa sakit itu tidak mengharuskan sembahyang jama‘ sebagaimana yang tersebut dalam kitab al-Majmû‘ Syarh al-Muhadzdzab:
Ertinya: (Pendapat) al-masyhûr dalam mazhab dan yang diketahui dari nash-nash asy-Syafi‘i dan pendapat para sahabat (Imam asy-Syafi‘i) bahawa tidak harus menjama‘ (sembahyang) dengan sebab sakit, angin (bertiup), gelap dan tidak (kerana) takut dan tidak (juga kerana) lumpur.
Imam ar-Ramli Rahimahullâh dalam kitab Nihâyah al-Muhtâj juga menyatakan:
Ertinya: Bahawasanya tidak ada (sembahyang) jama‘ dengan (sebab) selain safar dan hujan seperti sakit, angin, gelap, takut dan lumpur dan ini pendapat al-ashah dan al-masyhûr.
Para sahabat Imam asy-Syafi‘i Rahimahumullâh yang mengatakan bahawa tidak harus sembahyang jama‘ kerana sakit berdasarkan beberapa hujjah yang antaranya:
i. Terdapat hadits mengenai ketetapan waktu mengerjakan sembahyang lima waktu, ia tidak boleh disalahi melainkan ada nash yang sharîh mengenainya.
ii. Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam telah banyak kali jatuh sakit akan tetapi tidak ada diriwayatkan secara sharîh bahawa Baginda melakukan sembahyang jama‘ kerana sakit.
Berdasarkan penjelasan di atas, tidak harus melakukan sembahyang jama‘ kerana sakit sebagaimana menurut pendapat yang mu‘tamad.
Demikian penjelasan mengenai hukum sembahyang jama‘ disebabkan sakit.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-15742
دليل الألوان
