Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الصلاة٠ مشاهدة

Muballigh Menyaringkan Suara Dalam Sembahyang

الجواب

Dalam sembahyang berjemaah, ada kalanya terdapat sebahagian daripada ma’mum yang tidak boleh mendengar suara imam dengan baik walaupun mereka berkumpul di tempat yang sama atau dalam ruang yang kecil. Perkara ini terjadi sama ada kerana suara imam yang tidak nyaring, ma’mum mempunyai pendengaran yang kurang baik atau sebab-sebab selainnya. Perkara ini kadangkala boleh menyebabkan sebahagian ma’mum kurang pasti mengenai perbuatan imam dalam sembahyang. Apa yang sering berlaku dalam keadaan sebegini ialah salah seorang daripada ma’mum akan menyaringkan atau menguatkan suaranya pada tempat-tempat tertentu dalam sembahyang seperti pada bacaan takbîr sebagai pemberitahuan kepada ma’mum yang lain mengenai perbuatan imam dalam sembahyang. Ma’mum yang menyaringkan suara ini dikenali sebagai muballigh. Persoalannya adakah ma’mum diharuskan melakukan perbuatan sebegini?

Salah satu daripada syarat sah mengikut imam ialah ma’mum mengetahui perbuatan-perbuatan imam dan mengetahui intiqâlât imam iaitu perpindahan imam daripada satu rukun ke rukun yang seterusnya dalam sembahyang. Terdapat beberapa cara untuk ma’mum mengetahui perbuatan imam dalam sembahyang antaranya ialah dengan melihat imam, melihat kepada ma’mum lain di hadapannya yang mengetahui perbuatan imam atau dengan mendengar suara imam.

Ketika sembahyang berjemaah, imam sunat melafazkan takbîratul-ihrâm dan takbîr intiqâlât dengan jahr (suara nyaring) supaya ia dapat didengar oleh ma’mum dan dengannya ma’mum dapat mengetahui perbuatan imam dan perpindahannya dari satu rukun ke satu rukun yang lain. Begitu juga imam sunat melafazkan salam yang pertama dengan jahr. Manakala bagi ma’mum dan orang yang sembahyang sendirian pula, sunat melafazkan takbîratul-ihrâm, takbîr intiqâlât dan salam dengan suara yang rendah (sirr).

Jika imam dalam sembahyang berjemaah itu seorang perempuan, dia juga dituntut untuk jahr dalam sembahyang pada tempat-tempat tersebut, namun jahr imam perempuan adalah lebih rendah daripada jahr imam lelaki. Walau bagaimanapun, jika ada lelaki asing yang bukan mahram di tempat sembahyang tersebut dan lelaki berkenaan boleh mendengar suaranya, maka dalam hal ini sunat bagi imam perempuan tersebut untuk melafazkannya dengan sirr.

Maksud sirr di sini ialah suara rendah atau perlahan yang hanya dapat didengar oleh dirinya sendiri sahaja dalam keadaan seseorang itu mempunyai pendengaran yang baik dan keadaan di sekelilingnya tidak bising. Tidak memadai suara rendah (sirr) itu dengan menggerakkan lidah sahaja tanpa suara yang dapat didengar oleh dirinya sendiri. Manakala maksud jahr pula ialah suara yang lebih tinggi daripada bacaan sirr sekira-kira dapat didengar oleh dirinya sendiri dan orang lain yang berada dekat dengannya.

Jika suara imam tidak sampai kepada ma’mum atau tidak dapat didengar oleh ma’mum kerana suara imam yang tidak nyaring disebabkan sakit atau kerana suara semula jadinya yang tidak nyaring, kawasan masjid yang luas, bilangan ma’mum yang ramai, ma’mum berada jauh daripada imam dan selainnya, maka tuntutan mengetahui perbuatan imam dan perpindahannya dalam sembahyang ini juga terlaksana dengan mendengar suara muballigh. Muballigh itu sama ada muadzdzin atau sesiapa sahaja daripada kalangan ma’mum yang mengerjakan sembahyang atau bukan daripada kalangan ma’mum dengan syarat hendaklah dia seorang yang dipercayai (tsiqah). Maksud tsiqah di sini ialah seorang yang ‘adl riwâyah, iaitu seorang yang berakal, bâligh, sama ada merdeka atau hamba, lelaki atau perempuan.

Oleh itu, jika suara imam tidak sampai kepada ma’mum kerana sebab-sebab yang dinyatakan tadi, maka sunat bagi muballigh untuk menyaringkan suara pada takbîratul-ihrâm, takbîr intiqâlât dan salam yang pertama selepas imam supaya takbîratul-ihrâm, takbîr intiqâlât dan salam itu sampai kepada semua ma’mum.

Perkara ini disandarkan kepada hadits daripada Jabir Radhiallâhu ‘anhu katanya:

Maksudnya: Rasullullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam sembahyang bersama kami dan Abu Bakr Radhiallâhu ‘anhu berada di belakang Baginda, apabila Rasullullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bertakbîr, Abu Bakr Radhiallâhu ‘anhu pun bertakbîr untuk memperdengarkan (takbîrnya itu) kepada kami. (Hadits riwayat Muslim)

Termasuk juga dalam takbîr intiqalat itu bacaan at-tasmî‘ iaitu bacaan dzikir َ َُسَِعْهللاُلِمَنَحَِدَه. Sunat bagi imam melafazkan bacaan at-tasmî‘ dengan jahr supaya ma’mum tahu mengenai intiqâlât imam dalam sembahyang. Manakala bacaan tahmîd pula iaitu bacaan dzikir َّنَا َرَبُلَكا ْلَْمْد dilafazkan dengan sirr. Adapun bagi ma’mum selain muballigh dan orang yang sembahyang sendirian, melafazkan bacaan at-tasmî‘ dan bacaan tahmîd adalah dengan sirr.

Oleh yang demikian, disunatkan bagi muballigh untuk jahr pada bacaan at-tasmî‘ sebagai pemberitahuan kepada ma’mum mengenai intiqâlât imam dalam sembahyang dan sirr pada bacaan tahmîd sebagaimana perbuatan imam. Imam al-Bajuri Rahimahullâh setelah memberi perjelasan mengenai bacaan at-tasmî‘ secara jahr dan bacaan tahmîd secara sirr menyatakan:

Ertinya: Muballigh menyaringkan suara pada apa yang imam nyaringkan suara padanya dan dia merendahkan suara pada apa yang imam rendahkan suara padanya kerana dia adalah penghantar dan penyampai (kepada ma’mum) apa yang diucapkan oleh imam.

Perlu diketahui bahawa imam dan muballigh yang melafazkan takbîratul-ihrâm, takbîr intiqâlât, at-tasmî‘ dan salam dengan suara yang nyaring itu hendaklah dengan tujuan dzikir sahaja atau dengan tujuan dzikir serta memperdengarkannya kepada ma’mum yang lainnya. Sekiranya dia melafazkan takbîratul-ihrâm, takbîr intiqâlât, at-tasmî‘ dan salam dengan suara yang nyaring itu dengan tujuan semata-mata untuk memperdengarkan kepada ma’mum sahaja, maka batal sembahyangnya.

Demikian penjelasan mengenai muballigh yang menyaringkan suara dalam sembahyang.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-15746

دليل الألوان

آية قرآنيةحديث شريفنص فقهي من كتب العلماءرد اللجنة (المرجع الأساسي للفتوى)رقمرابط لفتوى أخرى مذكورة في النص