Kedudukan Sembahyang Ma’mum Yang Batal Sembahyang Imamnya
الجواب
Antara syarat sah sembahyang berjemaah ialah ma’mum hendaklah mengetahui dengan yakin atau berdasarkan dengan sangkaannya yang kuat bahawa sembahyang yang dikerjakan oleh imam tersebut tidak batal. Perkara-perkara yang membatalkan sembahyang imam seperti imam dalam keadaan berhadats, menanggung najis atau selainnya.
Sebagaimana yang diketahui, syarat sah sembahyang itu antaranya ialah suci daripada hadats kecil atau hadats besar seperti junub, haidh atau nifâs. Orang yang mengerjakan sembahyang dalam keadaan berhadats hukum sembahyangnya adalah tidak sah sebagaimana hadits daripada Abu al-Malih daripada bapanya Radhiallâhu ‘anhumâ bahawa Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Allah tidak menerima sembahyang tanpa bersuci. (Hadits riwayat an-Nasa’i dan Abu Daud)
Antara syarat sah sembahyang itu juga ialah suci pakaian, tubuh badan dan tempat sembahyang daripada najis. Tidak sah sembahyang seseorang jika terdapat najis yang tidak dimaafkan pada pakaian, tubuh badan atau tempat sembahyang. Begitu juga, tidak sah sembahyang walaupun dia tidak tahu (jahil) akan kewujudan najis tersebut atau tidak tahu bahawa najis tersebut membatalkan sembahyang. Dalam hal ini, wajib baginya mengulang sembahyang.
Oleh itu, orang yang hendak mengerjakan sembahyang mengikut imam sedangkan dia tahu sejak dari permulaan dia mengikuti imam bahawa imam tersebut batal sembahyangnya kerana berhadats atau kerana menanggung najis, maka hukum sembahyang ma’mum tersebut adalah tidak sah.
Demikian juga, tidak sah sembahyang ma’mum yang tahu mengenai hadats atau najis pada imam namun dia lupa mengenainya, lalu dia mengerjakan sembahyang mengikut imam tersebut. Apabila ma’mum teringat mengenai perkara ini dan menurut pengetahuan ma’mum tidak ada kemungkinan imam tersebut telah bersuci daripada hadats atau najis tersebut, maka wajib bagi ma’mum mengulang sembahyang.
Namun persoalan yang timbul, bagaimana pula kedudukan sembahyang ma’mum jika dia hanya mengetahui bahawa sembahyang imam adalah batal setelah selesai daripada sembahyang berjemaah atau semasa sedang sembahyang?
Orang yang mengerjakan sembahyang mengikut seseorang yang pada sangkaannya mempunyai kelayakan (sah) menjadi imam, akan tetapi setelah selesai sembahyang atau semasa sedang sembahyang jelas kepada ma’mum bahawa imam berkenaan tidak mempunyai kelayakan sebagaimana yang disangkakan oleh ma’mum. Dalam hal ini, kedudukan sembahyang ma’mum adalah tertakluk kepada dua perkara berikut:
i. Perkara yang membatalkan itu tersembunyi.
Perkara-perkara yang membatalkan sembahyang imam itu tersembunyi seperti imam sembahyang dalam keadaan berhadats sama ada hadats kecil atau hadats besar, imam meninggalkan niat sembahyang, imam menanggung najis khafîy pada tubuh badan atau pakaian dan perkara selainnya. Maksud najis khafîy ialah najis yang terdapat di bahagian dalam pakaian imam iaitu ma’mum tidak nampak najis tersebut apabila ma’mum mengamati pakaian imam. Maka kejahilan ma’mum mengetahui perkara-perkara yang tersembunyi seperti perkara di atas adalah suatu keuzuran.
Jika ma’mum tahu mengenai perkara ini setelah selesai mengerjakan sembahyang bersama imam, maka ma’mum tidak wajib mengulang sembahyangnya. Sebagai contoh, orang yang sembahyang mengikut seseorang dan menurut sangkaannya imam tersebut mengerjakan sembahyang dalam keadaan berwudhu’. Walau bagaimanapun setelah selesai sembahyang berjemaah, ma’mum mendapat tahu bahawa imam mengerjakan sembahyang dalam keadaan berhadats. Dalam hal ini, hukum sembahyang ma’mum adalah sah walaupun imam sembahyang dalam keadaan berhadats besar. Ma’mum tidak wajib mengulang sembahyangnya kerana ma’mum tidak dikatakan cuai dalam meneliti atau memeriksa perkara ini sebelum sembahyang mengikut imam tersebut. Di samping itu, perkara mengenai imam sembahyang dalam keadaan berhadats sama ada hadats kecil atau besar adalah perkara yang tersembunyi, tidak mudah untuk diketahui oleh ma’mum pada kebiasaannya dan ia tidak mempunyai petanda. Malah ma’mum juga memperolehi ganjaran pahala sembahyang berjemaah bersama imam.
As-Sayyid al-Bakri Rahimahullâh menjelaskan perkara ini ketika mensyarah kitab Fath al-Mu’în karangan Imam Zainuddin al-Malibari Rahimahullâh:
Ertinya: Tidak (tidak wajib baginya mengulang sembahyang) jika dia mengikut seseorang yang disangkanya dalam keadaan suci kemudian nyata kepadanya bahawa dia (imam) dalam keadaan berhadats sekalipun hadats besar, atau dia (imam) dalam keadaan bernajis khafîy.
Jika ma’mum tahu mengenai perkara ini semasa sedang mengerjakan sembahyang bersama imam, maka kedudukan sembahyang ma’mum tertakluk kepada dua keadaan berikut:
Pertama, imam masih meneruskan sembahyangnya. Dalam keadaan ini, ma’mum wajib mufâraqah daripada imam tersebut dengan berniat mufâraqah (memutuskan dari mengikut imam). Setelah berniat mufâraqah adalah memadai bagi ma’mum untuk meneruskan dan menyempurnakan sembahyangnya secara sendirian sehingga selesai. Ma’mum tidak wajib memutuskan atau menghentikan sembahyangnya itu dan mengerjakannya dari mula (isti’nâf). Sekiranya ma’mum masih meneruskan sembahyangnya mengikut imam tersebut atau ma’mum meneruskan sembahyangnya secara sendirian tanpa berniat mufâraqah, maka batal sembahyangnya.
Kedua, imam menghentikan sembahyangnya seperti imam keluar meninggalkan tempat sembahyang tersebut. Dalam keadaan ini, ma’mum boleh meneruskan sembahyang secara sendirian sehingga selesai dan tidak wajib berniat mufâraqah.
ii. Perkara yang membatalkan itu jelas.
Perkara-perkara yang membatalkan sembahyang imam itu adalah jelas seperti imam tidak melafazkan takbîratul-ihrâm, imam salah menghadap qiblat, perempuan menjadi imam kepada ma’mum lelaki, imam sembahyang dalam keadaan menanggung najis zhâhir dan seumpamanya. Maksud najis zhâhir ialah najis yang terdapat di bahagian luar pakaian imam iaitu ma’mum akan nampak najis tersebut apabila ma’mum mengamati pakaian imam. Jika ma’mum tidak mengetahui (jahil) mengenai perkara seperti di atas, maka kejahilan ma’mum bukan suatu keuzuran.
Jika ma’mum tahu mengenai perkara ini setelah selesai mengerjakan sembahyang bersama imam, maka ma’mum wajib mengulang sembahyangnya. Sebagai contoh, orang yang sembahyang mengikut imam dan menurut sangkaannya imam tersebut mengerjakan sembahyang dalam keadaan suci daripada najis. Walau bagaimanapun setelah selesai sembahyang berjemaah, ma’mum mendapat tahu bahawa imam mengerjakan sembahyang dalam keadaan menanggung najis zhâhir. Dalam hal ini, hukum sembahyang ma’mum adalah batal dan wajib baginya mengulang sembahyang tersebut kerana kecuaiannya tidak menyelidiki atau memeriksa mengenai perkara ini.
Jika ma’mum tahu mengenai perkara itu semasa sedang sembahyang seperti ma’mum nampak najis yang tidak dimaafkan pada pakaian imam, maka ma’mum wajib menghentikan sembahyangnya kemudian mengerjakan sembahyang dari mula (isti’nâf). Malah tidak memadai dan tidak sah jika dia meneruskan sembahyang secara sendirian dengan berniat mufâraqah.
Demikian penjelasan mengenai kedudukan sembahyang ma’mum yang batal sembahyang imamnya.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-15751
دليل الألوان
