Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الأخلاق والآداب٠ مشاهدة

Adab Bangun Tidur

الجواب

Keadaan seseorang setiap kali bangun daripada tidur berbeza antara satu waktu bangun tidur dengan waktu bangun tidur yang lain. Ada kalanya seseorang itu bangun dalam keadaan tenang, optimis, bersemangat dan bertenaga. Ada kalanya pula dia bangun dalam keadaan cemas, takut, gelisah, bermalas-malas, keletihan dan sebagainya. Kesemua ini terjadi bergantung kepada banyak aspek dan sebab, antaranya seperti kuantiti dan kualiti tidur, punca terjaga seperti bermimpi dan terkejut, keadaan sekeliling, emosi dan tidak terkecuali juga disebabkan rutin ketika bangun daripada tidur.

Rutin bangun tidur memainkan peranan yang sangat penting dalam menentukan kelakuan dan produktiviti seseorang di pagi hari. Bahkan dengan rutin bangun tidur yang baik dan teratur, seseorang itu boleh saja berkelakuan positif dan menjadi sangat produktif sepanjang hari. Sehubungan dengan itu, agama Islam mengajarkan beberapa adab ketika bangun daripada tidur yang sunat diamalkan dan dapat dijadikan sebagai rutin agar sentiasa bangun dengan penuh sifat positif dan bersemangat dan dapat memulakan hari dengan penuh ceria, lebih teratur dan berdisiplin.

Imam an-Nawawi dan Imam al-Ghazali Rahimahumallâh dan beberapa orang ulama yang lain ada menyebut beberapa adab bangun tidur yang diajarkan oleh Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam. Antara adab-adab tersebut ialah:

1. Mengusap muka.

Sunat hukumnya mengusap muka dan juga mata setelah bangun daripada tidur bagi menghilangkan kesan tidur darinya. Dalam hadits daripada ‘Abdullah bin ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ beliau berkata:

Maksudnya: Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam telah bangun (daripada tidur) lalu Baginda mula mengusap (kesan) tidur dari wajah Baginda dengan tangan Baginda. (Hadits riwayat Muslim)

2. Membaca 10 ayat terakhir daripada surah Âli ‘Imran.

Sunat hukumnya membaca surah Âli ‘Imran dari ayat 190 hingga penghujung surah tersebut selepas bangun daripada tidur sekalipun berhadats kecil. Dalam hadits daripada ‘Abdullah bin ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ beliau berkata:

Maksudnya: Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam telah bangun (daripada tidur) lalu Baginda mula mengusap (kesan) tidur dari wajah Baginda dengan tangan Baginda kemudian Baginda membaca 10 ayat terakhir daripada surah Âli ‘Imran. (Hadits riwayat Muslim)

3. Membaca do‘a dan berzikir kepada Allah Ta‘ala.

Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani Rahimahullâh dalam kitabnya Fath al-Bâri berkata bahawa zikir selepas bangun daripada tidur itu tidak dikhususkan dengan sesuatu yang tertentu, bahkan boleh saja berzikir dengan setiap yang sah dikatakan sebagai zikir seperti membaca al-Qur’an, membaca hadits dan menyibukkan diri dengan ilmu syar‘i. Walau bagaimanapun, menurut Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam kitabnya al-Minhâj fi Syarh Shahîh Muslim, zikir yang lebih baik itu ialah zikir-zikir yang ma’tsûrah, iaitu zikir-zikir yang datang daripada Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam sama ada yang Baginda ajarkan dan perintahkan atau yang Baginda sabdakan sama ada pada peristiwa tertentu atau tidak berkaitan dengan peristiwa tertentu. Antara do‘a dan zikir yang ma’tsûr selepas bangun daripada tidur itu ialah:

(i) Daripada Hudzaifah Radhiallâhu ‘anhu bahawa Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam jika bangun daripada tidur akan membaca do‘a:

Maksudnya: Segala puji bagi Allah yang menghidupkan kami selepas mematikan kami dan kepadaNya jua kebangkitan (segala makhluk). (Hadits riwayat al-Bukhari)

(ii) Daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu bahawa Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam memerintahkan untuk membaca do‘a ini jika bangun daripada tidur:

Maksudnya: Segala puji bagi Allah yang menggembalikan kepadaku rohku, memberiku kesihatan pada tubuhku dan mengizinkanku untuk mengingatiNya. (Hadits riwayat Ibn as-Sunni)

(iii) Jika berasa takut ketika bangun daripada tidur, maka disunatkan untuk membaca do‘a sebagaimana do‘a dalam hadits daripada ‘Amr bin Syu‘aib Rahimahullâh daripada bapanya, iaitu Syu‘aib bin Muhammad Rahimahullâh daripada datuk bapanya, iaitu ‘Abdullah bin ‘Amr Radhiallâhu ‘anhumâ bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam memerintahkan untuk membacanya apabila berasa takut ketika bangun daripada tidur, iaitu:

Maksudnya: Aku berlindung dengan kalimat-kalimat Allah yang sempurna daripada kemurkaanNya, seksaanNya serta kejahatan hamba-hambaNya, dan daripada godaan-godaan syaitan-syaitan dan (berlindung daripada) mereka mendatangiku. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)

‘Amr bin Syu‘aib Rahimahullâh menceritakan bahawa ‘Abdullah bin ‘Amr Radhiallâhu ‘anhumâ telah mengajarkan do‘a di atas kepada anak-anak beliau yang sudah bâligh dan berakal. Manakala bagi anak-anak beliau yang belum bâligh dan belum berakal, beliau tuliskan do‘a tersebut pada sekeping kertas lalu menggantungnya pada leher mereka.

(iv) Daripada Sayyidatina ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam jika bangun daripada tidur akan membaca:

Maksudnya: Tiada Tuhan melainkan Engkau, Maha Suci Engkau. Ya Allah! Aku memohon ampun kepadaMu atas dosaku dan aku memohon kepadaMu rahmatMu. Ya Allah Tambahlah untukku ilmu dan jangan Engkau palingkan hatiku sesudah Engkau memberi petunjuk kepadaku. Dan kurniakanlah untukku rahmat dari sisiMu. Sesungguhnya Engkau jualah (Tuhan) yang Maha Pemberi. (Hadits riwayat Abu Daud)

)v) Daripada Sayyidatina ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ lagi beliau berkata bahawa Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam jika bangun daripada tidur malam akan

ini Baginda ucapkan sebanyak 10 kali sebagaimana dalam hadits daripada Sayyidatina ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ beliau berkata:

Maksudnya: Adalah (Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam) jika bangun daripada (tidur) malam Baginda akan bertakbîr sebanyak 10 kali, memuji Allah sebanyak 10 kali, mengucap ( ِسُ بْحَان َ هللا ِ وَبَِمْ دِه)

kali, beristighfâr sebanyak 10 kali, mengucap tahlîl ( ٰ ُ َلَ إِلَِلَّ هللا ه َ إ ) sebanyak 10 kali, kemudian membaca (Ya Allah! Sesungguhnya aku berlindung denganMu daripada kesempitan dunia dan kesempitan Hari Kiamat) sebanyak 10 kali, kemudian Baginda memulakan sembahyang (Tahajjud). (Hadits riwayat Abu Daud)

4. Bersiwâk.

Bersiwâk selepas bangun daripada tidur hukumnya sunat, bahkan ia sangat dituntut untuk dilakukan. Dalam hadits daripada Hudzaifah Radhiallâhu ‘anhu beliau berkata:

Maksudnya: Adalah Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam jika bangun daripada (tidur) malam akan menggosok mulut (gigi-gigi) Baginda dengan (kayu) siwâk. (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)

5. Mencuci tangan.

Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani Rahimahullâh dalam kitabnya Fath al-Bârî berkata bahawa Imam asy-Syafi‘i Rahimahullâh dan jumhûr ulama menghukumkan sunat mencuci tangan setiap kali selepas bangun daripada tidur berdasarkan keumuman hadits daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Jika seorang daripada kamu bangun daripada tidurnya, maka hendaklah dia mencuci tangannya sebelum dia memasukkannya ke dalam (bekas yang berisi) air wudhu’nya. Kerana sesungguhnya seorang daripada kamu tidak mengetahui di mana tangannya bermalam (semasa dia sedang tidur). (Hadits riwayat al-Bukhari)

Perbuatan mencuci tangan selepas bangun daripada tidur ini sunat dilakukan sebanyak tiga kali sebagaimana hadits yang lain daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu bahawa Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Jika seorang daripada kamu bangun daripada tidurnya, maka janganlah dia mencelup tangannya ke dalam bekas (yang berisi air) sehingga dia mencucinya sebanyak tiga kali. (Hadits riwayat Muslim)

6. Membersihkan rongga hidung.

Sunat hukumnya membersihkan had zahir rongga-rongga hidung setelah bangun daripada tidur dengan memasukkan air ke dalamnya kemudian melakukan istintsâr (mengeluarkan air yang dimasukkan itu) sebanyak tiga kali untuk menghalau syaitan yang bermalam pada rongga-rongga hidung tersebut sebagaimana hadits daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu bahawa Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Jika seorang daripada kamu bangun daripada tidurnya, maka hendaklah dia melakukan istintsâr (mengeluarkan air daripada hidung setelah menyedutnya) sebanyak tiga kali, kerana sesungguhnya syaitan itu bermalam pada had zahir rongga-rongga hidungnya (orang yang tidur). (Hadits riwayat Muslim)

7. Berwudhu’ dan mengerjakan sembahyang.

Antara perkara yang sunat dilakukan sejurus bangun daripada tidur ialah berwudhu’ dan mengerjakan sembahyang sama ada sembahyang sunat sekalipun dua rakaat atau sembahyang fardhu Shubuh. Dalam hadits daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Syaitan itu akan mengikat pada hujung tengkuk kepala seorang daripada kamu apabila dia tidur sebanyak tiga ikatan. Dia (syaitan) akan menahan (menguatkan) setiap ikatan pada tempatnya (sambil membisikkan): (Masih berbaki) untukmu malam yang panjang, oleh kerana itu tidurlah. Maka jika dia bangun (daripada tidur) lalu dia berzikir kepada Allah, terlepaslah satu ikatan. Maka jika dia berwudhu’, terlepaslah (lagi) satu ikatan. Maka jika dia bersembahyang, terlepaslah ikatan-ikatannya semuanya. Lalu pada pagi itu menjadi bersemangatlah dia dan tenteram jiwanya. Dan jika sebaliknya (dia tidak melakukan tiga perkara tersebut), maka pada pagi itu menjadi tidak tenteram jiwanya dan dia akan berasa malas. (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Menurut Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam kitabnya al-Minhâj fî Syarh Shahîh Muslim, hadits di atas ini secara zahirnya menunjukkan bahawa sesiapa yang ketika bangun daripada tidur tidak melakukan tiga perkara, iaitu berzikir, berwudhu’ dan mengerjakan sembahyang, maka dia termasuk orang yang jiwanya tidak tenteram dan dia akan berasa malas ketika bangun daripada tidur kerana belum terlepas tiga ikatan syaitan tersebut.

8. Jika seseorang bermimpi suatu mimpi yang disukainya, maka antara adab-adab dalam menyikapi mimpi tersebut ialah memuji Allah Ta‘ala, bergembira dengannya dan menceritakannya, akan tetapi kepada orang yang disukainya sahaja, tidak kepada orang yang dia benci. Dalam hadits daripada Abu Sa‘id al-Khudri Radhiallâhu ‘anhu bahawa beliau mendengar Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Jika seorang daripada kamu bermimpi suatu mimpi (yang) dia menyukainya, maka sesungguhnya ia adalah daripada Allah. Maka hendaklah dia memuji Allah atasnya (mimpi yang baik itu) dan hendaklah dia menceritakannya. (Hadits riwayat al-Bukhari)

Maksud “menceritakannya” dalam hadits di atas ialah menceritakan mimpi yang baik itu hanya kepada orang yang disukai sahaja sebagaimana hadits daripada Abu Qatadah Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Maka jika (seseorang) bermimpi suatu mimpi yang baik, maka hendaklah dia bergembira dan tidak memberitahukan(nya) melainkan (kepada) sesiapa (yang) dia suka. (Hadits riwayat Muslim)

Tergolong dalam maksud “sesiapa yang dia suka” itu ialah orang alim, orang yang ikhlas memberi nasihat, orang yang berpengetahuan dalam penta’wîlan mimpi dan orang yang dikasihi. Menurut al-Qadhi Abu Bakar bin al-‘Arabi Rahimahullâh, orang alim akan menta’wîlkan mimpi yang baik itu dengan sesuatu yang baik sedapat mungkin. Orang yang ikhlas memberi nasihat pula akan membimbing orang yang bermimpi sesuatu yang baik itu kepada apa yang memberinya manfaat dan yang boleh membantunya. Orang yang berpengetahuan mengenai penta’wîlan mimpi pula akan memberitahukan apa ta’wîlan mimpi tersebut ataupun dia akan berdiam sahaja. Manakala orang yang dikasihi pula akan memberitahukan kebaikan mengenai mimpi tersebut jika dia mengetahuinya. Sebaliknya, jika dia tidak mengetahui kebaikan mengenai mimpi tersebut atau dia ragu, maka dia akan berdiam sahaja.

Adapun jika diceritakan mimpi yang baik itu kepada orang yang tidak disukai, mungkin sahaja kebencian dan kedengkian dalam diri orang yang tidak disukai itu mendorongnya untuk mentafsir mimpi tersebut dengan sesuatu yang tidak disenangi lalu timbul perasaan benci dan dengki dalam diri orang yang bermimpi. Jika tidak timbul perasaan yang demikian, berkemungkinan orang yang bermimpi tersebut akan berasa sedih dan murung pada saat itu disebabkan tafsiran buruk tersebut.

9. Jika seseorang bermimpi suatu mimpi yang tidak menyenangkan, maka antara adab-adab dalam menyikapi mimpi tersebut adalah seperti yang berikut:

(i) Memohon perlindungan kepada Allah daripada kejahatan syaitan dan keburukan mimpi dengan berdo‘a sebagaimana do‘a dalam hadits daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam memerintahkan untuk membaca:

Maksudnya: Ya Allah! Sesungguhnya aku berlindung denganMu daripada perbuatan (jahat) syaitan dan keburukan-keburukan mimpi-mimpi. (Hadits riwayat Ibn as-Sunni)

Do‘a yang lain pula dalam atsar yang shahîh daripada Ibrahim an-Nakha‘i Rahimahullâh, beliau berkata bahawa jika seseorang itu bermimpi sesuatu yang tidak disukainya, maka ketika dia bangun daripada tidurnya hendaklah dia membaca do‘a:

Maksudnya: Aku berlindung dengan apa yang berlindung dengannya malaikat-malaikat Allah dan rasul-rasulNya daripada keburukan yang telah aku lihat dalam mimpiku, (daripada) menimpaku sesuatu yang aku benci daripadanya (keburukan mimpi) di dunia dan akhirat. (Hadits riwayat Ibn Abi Syaibah)

(ii) Berludah ke kiri sebanyak tiga kali ketika bangun daripada tidur.

Menurut Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam kitabnya al-Adzkâr, cara berludah yang dimaksudkan itu ialah menghembus tanpa mengeluarkan air liur.

(iii) Tidak menceritakan mimpi buruk itu kepada orang lain.

(iv) Mengerjakan sembahyang.

(v) Mengubah posisi berbaring jika ingin tidur semula.

Perkara-perkara di atas ini adalah berdasarkan hadits-hadits berikut:

(a) Hadits daripada Jabir bin ‘Abdullah Radhiallâhu ‘anhumâ bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Jika seorang daripada kamu bermimpi suatu mimpi yang dia tidak menyukainya, maka hendaklah dia berludah ke kirinya sebanyak tiga kali dan memohon perlindungan dengan Allah daripada syaitan sebanyak tiga kali dan hendaklah dia menukar (posisi) dari lambung yang dia berada (berbaring) atasnya. (Hadits riwayat Muslim)

(b) Hadits daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Maka sesiapa bermimpi sesuatu yang dia tidak menyukainya, maka janganlah dia menceritakannya kepada siapa pun dan hendaklah dia bangun lalu mengerjakan sembahyang. (Hadits riwayat al-Bukhari)

Di samping adab-adab di atas, terdapat sebahagian kitab syarh hadits yang menyebut bahawa membaca ayat al-Kursi juga merupakan adab dalam menyikapi mimpi buruk. Perkara ini diambil daripada umum sabda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu bahawa Baginda bersabda:

Maksudnya: Jika engkau pergi ke tempat tidurmu, maka bacalah ayat al-Kursi daripada awalnya hingga akhir ayat:, (nescaya) akan sentiasa ada untukmu penjaga daripada Allah, dan syaitan tidak akan menghampirimu sehingga pagi hari. (Hadits riwayat al-Bukhari)

10. Jika seseorang bangun daripada tidur dan ingin tidur semula pada malam hari, maka disunatkan untuk berzikir kepada Allah Ta‘ala sehingga terlelap kembali.

Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam kitabnya al-Adzkâr ada mengumpulkan beberapa zikir yang boleh dibaca jika bangun daripada tidur dan ingin tidur semula pada malam hari dalam satu bab yang khusus. Antara zikir-zikir tersebut ialah:

(i) Daripada Sayyidatina ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam jika bangun daripada tidur pada waktu malam akan membaca:

Maksudnya: Tiada Tuhan melainkan Engkau, Maha Suci Engkau. Ya Allah! Aku memohon ampun kepadaMu atas dosaku dan aku memohon kepadaMu rahmatMu. Ya Allah Tambahlah untukku ilmu dan jangan Engkau palingkan hatiku sesudah Engkau memberi petunjuk kepadaku. Dan kurniakanlah untukku rahmat dari sisiMu. Sesungguhnya Engkau jualah (Tuhan) yang Maha Pemberi. (Hadits riwayat Abu Daud)

(ii) Daripada ‘Ubadah bin ash-Shamit Radhiallâhu ‘anhu, Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda bahawa sesiapa yang bangun daripada tidur pada malam hari lantas membaca zikir di bawah ini kemudian berdo‘a, nescaya akan dipenuhi permohonannya itu. Jika dia berwudhu’ pula lalu mengerjakan sembahyang walaupun hanya dua rakaat dengan berdiri atau duduk, maka sembahyangnya itu juga akan diterima. Zikir yang dimaksudkan ialah:

Maksudnya: Tiada Tuhan melainkan Allah satu-satuNya, tiada sekutu bagiNya. BagiNya (segala) kekuasaan dan bagiNya (segala) pujian dan hanya Dialah yang Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Segala puji bagi Allah, dan Maha Suci Allah, dan tiada Tuhan melainkan Allah, dan Allah Maha Besar, dan tiada daya dan tiada upaya melainkan dengan (kekuasaan) Allah. (Hadits riwayat al-Bukhari)

11. Jika sering terjaga daripada tidur malam, disunatkan untuk mengerjakan sembahyang-sembahyang sunat setiap kali terjaga dan diperintahkan untuk menjadikan sembahyang sunat Witir sebagai penutup sembahyang sunat malam. Dalam hadits daripada ‘Abdullah bin ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ beliau berkata:

Maksudnya: Sesungguhnya beliau (‘Abdullah bin ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma) telah tidur di sisi Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam. Maka Baginda bangun (daripada tidur) lalu bersiwâk dan berwudhu’ dan Baginda membaca:

Tafsirnya: Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi serta pertukaran malam dan siang terdapat tanda-tanda kekuasaan dan kebijaksanaan Allah Ta‘ala bagi orang-orang yang berakal yang dapat memikir dan memahaminya]. Baginda membaca ayat-ayat ini sehingga Baginda mengkhatamkan surah tersebut, kemudian Baginda bangun lalu bersembahyang dua rakaat. Maka Baginda memanjangkan (perbuatan) berdiri, ruku‘ dan sujud pada kedua-duanya (dua rakaat tersebut). Kemudian Baginda beralih (dari sembahyang) lalu tidur sehingga kedengaran bunyi nafas Baginda, kemudian Baginda (bangun dan) melakukan itu (mengulangi semua perbuatan dari bersiwak sehingga tidur) sebanyak tiga kali (maka daripada itu Baginda mengerjakan) enam rakaat. Setiap itu (bangun daripada tidur) Baginda akan bersiwâk, berwudhu’ dan membaca ayat-ayat tersebut, kemudian Baginda mengerjakan sembahyang (sunat) Witir tiga rakaat. (Hadits riwayat Muslim)

Jika seseorang itu telah mengerjakan sembahyang sunat Witir dan dia bangun lagi daripada tidurnya, dia tetap boleh mengerjakan sembahyang sunat syafa‘ (sembahyang sunat yang genap rakaatnya) dan kedudukan sembahyang sunat Witir yang telah dikerjakannya itu tidak terbatal. Oleh yang demikian, dia tidak boleh lagi mengerjakan sembahyang sunat Witir pada malam tersebut kerana sembahyang sunat Witir itu tidak boleh dikerjakan dua kali dalam satu malam.

Demikian penjelasan mengenai adab-adab ketika bangun daripada tidur.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-15763

دليل الألوان

آية قرآنيةحديث شريفنص فقهي من كتب العلماءرد اللجنة (المرجع الأساسي للفتوى)رقمرابط لفتوى أخرى مذكورة في النص