Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳أحكام متنوعة٠ مشاهدة

Mengapa Perlu Membaca Do‘a Qunût Nâzilah

الجواب

Membaca do‘a qunût merupakan salah satu sunat ab‘adh dalam sembahyang fardhu Shubuh dan sembahyang sunat Witir di separuh akhir bulan Ramadhan. Ia sunat dibaca pada i‘tidâl rakaat kedua sembahyang fardhu Shubuh dan pada i‘tidâl rakaat terakhir sembahyang sunat Witir. Apabila ia tidak dikerjakan dalam sembahyang tersebut, maka sunat bagi orang yang bersembahyang itu mengerjakan sujud sahwi.

Menurut asy-Syaikh al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh dalam kitabnya al-Iqnâ‘, pembatasan bacaan do‘a qunut pada sembahyang fardhu Shubuh sahaja tanpa dibaca pada sembahyang-sembahyang fardhu yang lain adalah pada ketika dalam keadaan aman. Menurut asy-Syaikh al-Qalyubi Rahimahullâh sebagaimana yang dinukil oleh Imam al-Bujairimi Rahimahullâh dalam Hâsyiyah Bujairimi ‘alâ al-Khathib, maksud aman di sini ialah tidak berlaku an-nâzilah. Maksud an-nâzilah itu pula ialah bala atau suatu kesusahan yang menimpa suatu kaum.

Sekiranya orang-orang Islam ditimpa an-nâzilah, maka disunatkan juga untuk membaca do‘a qunût pada sembahyang-sembahyang fardhu yang lain. Do‘a qunût yang dibaca dalam sembahyang ketika orang-orang Islam ditimpa bala itu dinamakan do‘a qunût nâzilah. Menurut asy-Syaikh al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh dalam kitabnya al-Iqnâ‘, do‘a qunût nâzilah tidak termasuk dalam perkara sunat-sunat ab‘adh dalam sembahyang. Oleh yang demikian, jika seseorang tidak membaca do‘a qunût nâzilah walaupun ketika orang-orang Islam ditimpa bala, maka dia tidak disunatkan untuk mengerjakan sujud sahwi.

Di Negara Brunei Darussalam, do‘a qunût nâzilah biasa dibaca apabila berlaku sesuatu musibah yang menimpa orang Islam sama ada dalam negara mahupun luar negara. Do‘a qunût nâzilah dibaca ketika sembahyang fardhu berjemaah khususnya di masjid-masjid. Terdapat beberapa persoalan yang timbul mengenai do‘a qunût nâzilah ini, antaranya adakah do‘a qunût nâzilah boleh dibaca dalam sembahyang selain sembahyang fardhu sama ada secara berjemaah atau secara bersendirian? Begitu juga halnya, adakah do‘a qunût nâzilah boleh dibaca apabila bala itu hanya menimpa seorang sahaja dan adakah do‘a qunût nâzilah boleh dibaca apabila bala tidak lagi menimpa orang-orang Islam?

Do‘a Qunût Nâzilah Dalam Sembahyang Fardhu

Hukum membaca do‘a qunût nâzilah dalam sembahyang fardhu lima waktu ketika orang-orang Islam ditimpa bala adalah sunat kerana ittibâ‘ (mengikut perbuatan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam). Menurut Imam Ibn Hajar al-Haitami Rahimahullâh dalam kitabnya Tuhfah al-Muhtâj, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam pernah membaca do‘a qunût nâzilah selama sebulan, Baginda berdo‘a untuk menolak kejahatan pembunuh sahabat-sahabat Baginda dari kalangan al-qurrâ’ yang dibunuh di Bi’r Ma‘unah. Mereka itu ialah sekumpulan sahabat yang diutus oleh Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam kepada penduduk Najd untuk tujuan berda‘wah dan mengajar al-Qur’an kepada penduduknya. Perkara ini ada disebut dalam sebuah hadits daripada Anas Radhiallâhu ‘anhu, beliau berkata:

Maksudnya: Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam membaca do‘a qunût selama sebulan ketika para al-qurrâ’ dibunuh. (Hadits riwayat al-Bukhari)

Menurut Imam asy-Syarwani Rahimahullâh dalam Hâsyiyah Tuhfah al-Muhtâj, bacaan do‘a qunût sepertimana yang disebut dalam hadits di atas dikerjakan oleh Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam selama sebulan secara berturut-turut dalam sembahyang fardhu lima waktu pada i‘tidâl rakaat terakhir. Menurut Imam Ibn Hajar al-Haitami Rahimahullâh dalam kitabnya al-Minhâj al-Qawîm, perbuatan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam membaca do‘a qunût nâzilah selama sebulan itu adalah bagi memohon agar ditolak kemudharatan musuh-musuh Baginda terhadap orang-orang Islam.

Imam ar-Ramli Rahimahullâh dalam kitabnya Nihâyah al-Muhtâj ketika mensyarah perkataan Imam an-Nawawi Rahimahullâh menjelaskan bahawa membaca do‘a qunût juga adalah sunat dalam sembahyang fardhu selain sembahyang fardhu Shubuh pada i‘tidâl rakaat akhir apabila berlaku an-nâzilah. Adapun bacaan do‘a qunût bagi sembahyang fardhu Shubuh adalah disunatkan secara muthlaq sama ada ketika berlaku an-nâzilah ataupun tidak sebagaimana yang dijelaskan oleh asy-Syaikh al-Qalyubi Rahimahullâh dalam Hâsyiyah Kanz ar-Râghibîn.

Menurut Imam Ibn Hajar al-Haitami Rahimahullâh dalam kitabnya Tuhfah al-Muhtâj, cara membaca do‘a qunût kerana berlaku an-nâzilah pada sembahyang fardhu Shubuh ialah membaca do‘a qunut Shubuh terlebih dahulu kemudian diakhiri dengan do‘a meminta supaya diangkat bala.

Manakala hukum membaca do‘a qunût nâzilah dalam sembahyang fardhu ketika orang-orang Islam tidak ditimpa bala adalah tidak disunatkan bahkan ia adalah makruh sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam Ibn Hajar al-Haitami Rahimahullâh dalam kitabnya Tuhfah al-Muhtâj ketika mensyarah perkataan Imam an-Nawawi Rahimahullâh:

Ertinya: Tidak (disunatkan) qunût padanya (sembahyang-sembahyang fardhu) secara muthlaq iaitu kerana ditimpa bala dan selainnya, maka tidak disunatkan (membacanya) bagi selainnya (bala) bahkan makruh (membacanya) menurut pendapat al-masyhûr kerana tiada periwayatannya (tentang membaca do‘a qunût) bagi selain ditimpa bala.

Imam ar-Ramli Rahimahullâh dalam kitabnya Nihâyah al-Muhtâj ada menjelaskan bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam tidak membaca do‘a qunût nâzilah kecuali ketika ditimpa an-nâzilah. Oleh itu, jika orang-orang Islam pada mulanya ditimpa suatu bala lalu mereka membaca do‘a qunût nâzilah, kemudian bala itu tidak lagi menimpa mereka, umpamanya tidak ada lagi penularan wabak atau bencana alam yang menimpa suatu kaum, maka orang-orang Islam tidak lagi disunatkan membacanya. Jika mereka masih membacanya sedangkan bala sudah terangkat daripada mereka, maka membacanya adalah makruh sebagaimana yang telah dijelaskan oleh Imam Ibn Hajar al-Haitami Rahimahullâh di atas.

Do‘a Qunût Nâzilah Dalam Sembahyang Selain Fardhu

Adapun hukum membaca do‘a qunût nâzilah pada sembahyang selain sembahyang fardhu lima waktu, seperti sembahyang disebabkan nazar dan sembahyang sunat sama ada sembahyang sunat itu disunatkan berjemaah mahupun tidak disunatkan berjemaah padanya, membaca do‘a qunût nâzilah pada sembahyang-sembahyang tersebut adalah tidak disunatkan. Walau bagaimanapun, jika seseorang itu membaca do‘a qunût nâzilah pada sembahyang-sembahyang tersebut ketika ditimpa bala, maka hukumnya adalah tidak makruh. Namun jika dia membacanya ketika tidak ditimpa bala, maka hukumnya adalah makruh.

Manakala membaca do‘a qunût nâzilah pada sembahyang jenazah pula adalah makruh secara muthlaq kerana sembahyang jenazah itu dikerjakan dengan ringan sahaja.

Perkara tersebut adalah sebagaimana yang dijelaskan oleh Imam Ibn Hajar al-Haitami Rahimahullâh dalam kitabnya Tuhfah al-Muhtâj, katanya:

Ertinya: Adapun (hukum membaca do‘a qunût nâzilah pada) selain sembahyang-sembahyang fardhu, maka sembahyang jenazah adalah makruh padanya secara muthlaq kerana ia (pada asasnya) didirikan secara ringan (pendek), dan sembahyang disebabkan nazar dan sembahyang sunat yang sunat dikerjakan secara berjemaah dan selain kedua-duanya hukumnya tidak disunatkan padanya. Kemudian jika dia membaca do‘a qunût padanya disebabkan bala, tidak dihukumkan makruh dan jika tidak (bukan disebabkan bala), maka dihukumkan makruh.

Do‘a Qunût Nâzilah Dibaca Secara Jahr

Menurut Imam ar-Ramli Rahimahullâh dalam kitabnya Nihâyah al-Muhtâj berdasarkan apa yang telah difatwakan oleh bapa Imam ar-Ramli Rahimahullâh, do‘a qunût nâzilah sunat dibaca dengan jahr (suara nyaring sehingga dapat didengar oleh orang lain) secara muthlaq bagi imam atau bagi orang yang bersembahyang secara bersendirian, walaupun sembahyangnya itu sembahyang sirriyyah, iaitu sembahyang yang bacaannya secara sirr seperti sembahyang fardhu Zhuhur dan ‘Ashar.

Menurut Imam asy-Syibramallisi Rahimahullâh dalam Hâsyiyah Nihâyah al-Muhtâj, sebab dituntut menyaringkan suara ketika membaca do‘a qunût nâzilah bagi orang yang bersembahyang secara bersendirian namun tidak dituntut untuk menyaringkan suara ketika membaca do‘a qunût Shubuh bagi orang tersebut adalah kerana sangat berhajat supaya diangkat bala yang sedang berlaku. Maka tuntutan menyaringkan suara ketika membaca do‘a qunût nâzilah itu adalah bagi menzahirkan besarnya hajat supaya diangkat bala.

Mengapa Do‘a Qunût Nâzilah Dibaca?

Menurut Imam asy-Syarwani Rahimahullâh dalam Hâsyiyah Tuhfah al-Muhtâj, do‘a qunût nâzilah sunat dibaca untuk memohon kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ supaya diangkat bala yang berlaku sebagaimana yang dapat difahami dari hadits yang diriwayatkan daripada Anas Radhiallâhu ‘anhu, beliau berkata:

Maksudnya: Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam membaca do‘a qunût selama sebulan ketika para al-qurrâ’ dibunuh. (Hadits riwayat al-Bukhari)

Menurut Imam Ibn Hajar al-Haitami Rahimahullâh dalam kitabnya Tuhfah al-Muhtâj, hadits di atas adalah menjadi sandaran terhadap pensyariatan membaca do‘a qunût nâzilah disebabkan bala yang menimpa orang-orang Islam iaitu takut terhadap kejahatan musuh. Menurut beliau lagi, membaca do‘a qunût nâzilah juga disyariatkan disebabkan takut terhadap kemudharatan selain kejahatan musuh. Contoh kemudharatan itu antaranya seperti penularan wabak atau penyakit ta‘un, kemarau, serangan serangga perosak seperti belalang, banjir yang memusnahkan bangunan-bangunan atau tanaman dan seumpamanya.

Bala yang Menimpa Sebahagian Orang Islam

Membaca do‘a qunût nâzilah bukan sahaja disunatkan apabila bala menimpa orang-orang Islam secara umum, bahkan ia juga disunatkan apabila bala itu menimpa sebahagian orang Islam. Bahkan sunat juga membaca do‘a qunût nâzilah walaupun bala itu hanya menimpa seorang sahaja, dengan syarat seorang yang ditimpa bala itu hendaklah mempunyai manfaat besar kepada orang-orang Islam seperti bala yang menimpa seorang alim atau seorang pahlawan Islam yang ditawan oleh musuh Islam kerana orang-orang Islam akan ditimpa mudharat dengan ketiadaannya.

Imam ar-Ramli Rahimahullâh dalam kitabnya Nihâyah al-Muhtâj berkata:

Ertinya: (Disunatkan do‘a qunût) disebabkan bala apabila ia turun menimpa orang-orang Islam walaupun seorang sepertimana pendapat yang telah diperbahaskan oleh suatu jemaah, akan tetapi Imam al-Isnawi Rahimahullâh mensyaratkan padanya (seorang itu hendaklah) manfaatnya memberi kesan (kepada orang-orang Islam) seperti penawanan seorang alim atau seorang pahlawan (Islam), dan ia adalah pendapat yang zhâhir (mu‘tamad).

Asy-Syaikh al-Qalyubi Rahimahullâh dalam Hâsyiyah Kanz ar-Râghibîn juga ada menjelaskan:

Ertinya: Katanya disebabkan bala iaitu (bala) yang umum atau (bala) yang khusus bagi siapa yang membaca do‘a qunût atau (khusus) bagi selainnya dan manfaatnya memberi kesan (kepada orang-orang Islam) seperti (penawanan) seorang alim atau seorang pahlawan (Islam).

Menurut Imam ar-Ramli Rahimahullâh dalam kitabnya Nihâyah al-Muhtâj, orang yang tidak ditimpa bala sunat membaca do‘a qunût nâzilah kerana adanya bala yang menimpa sebahagian orang Islam yang lain.

Demikian penjelasan mengenai hukum dan sebab membaca do‘a qunût nâzilah.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-15766

دليل الألوان

آية قرآنيةحديث شريفنص فقهي من كتب العلماءرد اللجنة (المرجع الأساسي للفتوى)رقمرابط لفتوى أخرى مذكورة في النص