Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳أحكام متنوعة٠ مشاهدة

Kempunan Menurut Pandangan Syara‘

الجواب

Kepercayaan terhadap kempunan wujud dalam kehidupan masyarakat Melayu. Kempunan atau disebut “kapunan” dalam Kamus Bahasa Melayu Brunei bermaksud mendapat kecelakaan yang dipercayai akibat menolak atau menangguhkan ajakan seseorang untuk menjamah makanan atau minuman. Selain itu kapunan juga bermaksud berasa kecewa kerana tidak mendapat sesuatu yang diingini atau yang diidamkan.

Pada kebiasaannya, apabila seseorang itu mempunyai keinginan untuk memakan sesuatu makanan atau dia diajak untuk makan atau minum, dia akan merasa perlu atau terpaksa menjamah makanan atau minuman tersebut walaupun sedikit kerana takut akan ditimpa kecelakaan akibat kempunan. Namun apakah pandangan syara‘ mengenai perkara ini?

Kepercayaan masyarakat Melayu tentang kecelakaan atau malang yang menimpa akibat kempunan mempunyai persamaan dengan kepercayaan masyarakat Arab Jahiliyyah tentang kecelakaan atau malang yang menimpa melalui petanda burung iaitu الط َِّيََة (ath-thiyarah). Ath-thiyarah adalah amalan orang-orang Arab Jahiliyyah yang apabila mereka mempunyai suatu hajat, mereka akan mendapatkan burung yang berada di sarangnya kemudian mengejutkan burung tersebut untuk mendapatkan petunjuk daripada pergerakan burung itu. Jika burung itu terbang ke sebelah kanan mereka, maka mereka akan meneruskan hajat tersebut. Sebaliknya jika burung itu terbang ke sebelah kiri mereka, maka mereka akan berpatah balik dan tidak meneruskan hajat mereka kerana mempercayai adanya sial atau nasib malang yang akan menimpa melalui petunjuk burung tersebut.

Mempercayai adanya sial atau nasib malang yang akan menimpa melalui petunjuk burung adalah perkara yang dilarang dalam Islam. Dalam satu riwayat daripada Ummu Kurz Radhiallâhu ‘anhâ, dia berkata:

Maksudnya: Aku mendengar Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda: “Biarkan burung itu tetap di sarangnya.” (Hadits riwayat Abu Daud)

Menurut asy-Syaikh Syaraf al-Haq Abadi Rahimahullâh dalam kitabnya ‘Aun al-Ma‘bûd, hadits di atas menyatakan bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam melarang orang-orang yang ada bersama Baginda pada ketika itu untuk melakukan ath-thiyarah sehingga Baginda mengatakan kepada mereka supaya membiarkan burung tersebut tetap berada di sarangnya dan melarang mereka mengusir burung tersebut kerana terbang burung itu tidak memberi sebarang kesan sama ada manfaat atau mudharat.

Dalam hadits yang lain daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Tidak ada jangkitan (tanpa takdir Allah), tidak ada sial pada petanda burung terbang, tidak ada sial pada bulan Safar dan tidak ada sial pada burung hantu. (Hadits riwayat Muslim)

Dalam syari‘at Islam, perkara baik dan buruk adalah ketetapan daripada qadha’ dan qadar Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dan bukan datang daripada selainNya. Justeru setiap kecelakaan atau nasib malang itu adalah ketetapan daripada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ sebagaimana firmanNya:

Tafsirnya: Kemudian apabila datang kepada mereka kebaikan (kemakmuran), mereka berkata: “Ini adalah kerana (usaha) kami”. Dan jika mereka ditimpa kesusahan (dengan kelaparan dan kekurangan makanan), mereka melemparkan sebab sial dan malang itu kepada Nabi Musa dan pengikut-pengikutnya. Ketahuilah, sesungguhnya sial dan malang mereka itu adalah ketetapan dari sisi Allah tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui. (Surah al-A‘râf: 131)

Ayat di atas ini menyebut tentang Firaun dan pengikut-pengikutnya yang mengatakan bahawa mereka berhak dan layak mendapat ni‘mat dan rezeki atas usaha, ilmu dan kelebihan mereka sendiri dan mengatakan bahawa sial dan malang yang menimpa mereka adalah disebabkan oleh Nabi Musa ‘Alaihi as-salâm dan pengikut-pengikut baginda. Namun kemudian, Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ membalas kenyataan mereka itu dengan menegaskan bahawa semua yang menimpa mereka sama ada yang baik ataupun yang buruk adalah dengan qadha’ dan qadarNya. Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ menjadikan kebaikan sebagai ujian untuk mengetahui siapa yang bersyukur dan siapa yang ingkar dan Dia juga menjadikan keburukan untuk mengetahui siapa yang bersabar dan siapa yang marah dan tidak dapat menerima ujian itu.

Oleh yang demikian, dalam perihal kepercayaan terhadap kempunan, jika seseorang itu menjamah makanan atau minuman kerana mempercayai kempunan dengan i‘tiqâd bahawa jika dia tidak menjamahnya, yang demikian itu akan menjadi sebab datangnya kecelakaan, maka perbuatan itu berdosa dan kepercayaan itu membawa kepada syirik berdasarkan larangan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam dalam beberapa hadits mengenai kepercayaan terhadap ath-thiyarah yang telah disebutkan. Akan tetapi jika hanya terlintas di hatinya perasaan takut ditimpa kecelakaan kerana tidak menjamah makanan atau minuman kemudian dia berlindung kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ daripada ditimpa sebarang kejahatan dan memohon kebaikan daripadaNya serta bertawakkal kepadaNya, maka yang demikian itu tidak mengapa. Ini berdasarkan hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam apabila Baginda ditanya oleh Mu‘awiyah bin al-Hakam Radhiallâhu ‘anhu, beliau berkata:

Maksudnya: Sesungguhnya di kalangan kami ada orang-orang yang melakukan ath-thiyarah. Baginda bersabda: “Ini adalah suatu (kepercayaan) yang ada dalam dada mereka, maka janganlah ia menghalangi kamu )daripada meneruskan hajat kamu).” (Hadits riwayat Ahmad)

Dalam hadits daripada ‘Urwah bin ‘Amir Radhiallâhu ‘anhu ada menceritakan bahawa pernah disebut di hadapan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam mengenai perkara ath-thiyarah, lalu Baginda menyarankan supaya apabila seseorang itu melihat perkara yang tidak disukainya dari ath-thiyarah, maka hendaklah dia membaca:

Maksudnya: Ya Allah, tidak ada yang (berkuasa) mendatangkan kebaikan melainkan Engkau dan tidak ada yang (berkuasa) menolak keburukan melainkan Engkau. Dan tidak ada daya dan kekuatan melainkan denganMu (kekuasaanMu). (Hadits riwayat Abu Daud)

Demikian penjelasan mengenai kempunan menurut pandangan syara‘.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-15771

دليل الألوان

آية قرآنيةحديث شريفنص فقهي من كتب العلماءرد اللجنة (المرجع الأساسي للفتوى)رقمرابط لفتوى أخرى مذكورة في النص