Melafazkan Takbîratul-Ihrâm Beberapa Kali
الجواب
Takbîratul-ihrâm adalah salah satu rukun qauli (berbentuk ucapan atau bacaan) dalam sembahyang iaitu melafazkan takbîr ( َ ُ اَللْ أَُ كب ). Rukun ini dinamakan sebagai takbîratul-ihrâm kerana seseorang yang hendak sembahyang apabila melafazkan takbîratul-ihrâm haram ke atasnya melakukan perkara-perkara yang membatalkan sembahyang yang dia diharuskan melakukannya sebelum melakukan takbîratul-ihrâm seperti makan, minum, berkata-kata atau seumpamanya. Dalam satu riwayat daripada Sayyidina ‘Ali Karramallâhu Wajhah, Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Kunci sembahyang adalah thahârah, pengharamannya (perkara yang harus dilakukan di luar sembahyang) adalah takbîr dan penghalalannya (perkara yang haram dilakukan dalam sembahyang) adalah memberi salam. (Hadits riwayat Abu Daud)
Sembahyang yang dilakukan tanpa takbîratul-ihrâm adalah tidak sah, berbeza dengan takbîr intiqâlât iaitu melafazkan takbîr ( َ ُ اَللْ أَُ كب ) ketika hendak tunduk melakukan ruku‘, sujud dan ketika hendak bangkit daripada sujud dan tasyahhud awwal. Meninggalkan takbîr intiqâlât tidak membatalkan sembahyang walaupun dengan sengaja kerana ia termasuk dalam salah satu perkara yang disunatkan dalam sembahyang.
Salah satu syarat sah takbîratul-ihrâm ialah hendaklah niat menyertai takbîratul-ihrâm. Namun bagaimana kedudukan sembahyang seseorang yang melafazkan takbîratul-ihrâm berulang kali setelah sempurna takbîratul-ihrâmnya yang pertama?
Menurut hukum syara‘, takbîratul-ihrâm bagi setiap sembahyang hanya dilafazkan sekali. Jika seseorang melafazkan takbîratul-ihrâm lebih daripada sekali, maka hukum sembahyangnya adalah tertakluk kepada niatnya melakukan takbîratul-ihrâm sebagaimana berikut:
1. Melafazkan takbîratul-ihrâm beberapa kali dengan niat memulai sembahyang pada setiap takbîratul-ihrâm.
Imam Ibn Hajar al-Haitami Rahimahullâh dalam kitabnya Tuhfah al-Muhtâj menjelaskan:
Ertinya: Dan sekiranya (seseorang) melafazkan takbîratul-ihrâm beberapa kali dengan niat memulai (sembahyang) dengan setiap takbîratul-ihrâm tersebut, (maka) dia (dikira) masuk dalamnya (sembahyang) dengan (takbîratul-ihrâm) yang ganjil dan dia (dikira) keluar (dari sembahyang) dengan (takbîratul-ihrâm) yang genap kerana tatkala dia (sudah dikira) masuk (sembahyang) dengan (takbîratul-ihrâm) yang pertama, dia (dikira) keluar (dari sembahyang) dengan (takbîratul-ihrâm) yang kedua disebabkan niat memulai sembahyang dengannya (takbîratul-ihrâm kedua) mengandungi (niat) memutus (niat takbîratul-ihrâm) yang pertama.
Berdasarkan penjelasan di atas, jika seseorang melafazkan takbîratul-ihrâm beberapa kali dengan niat memulai sembahyang pada setiap takbîratul-ihrâm tersebut, maka takbîratul-ihrâm pada bilangan ganjil dikira sebagai memulai sembahyang, manakala takbîratul-ihrâm pada bilangan genap dikira sebagai keluar daripada sembahyang dan sembahyang menjadi batal.
Sebagai contoh, Ali melafazkan takbîratul-ihrâm pertama dengan niat memulai sembahyang. Kemudian dia melafazkan takbîratul-ihrâm sekali lagi untuk kali kedua juga dengan niat memulai sembahyang. Maka dengan takbîratul-ihrâm kedua (bilangan genap) itu dia dikira terkeluar daripada sembahyang dan sembahyangnya dengan takbîratul-ihrâm yang pertama itu batal disebabkan dia melafazkan takbîratul-ihrâm yang kedua tersebut. Akan tetapi jika Ali seterusnya melafazkan takbîratul-ihrâm untuk kali ketiga (bilangan ganjil) dengan niat memulai sembahyang, maka dia dikira memulai sembahyangnya. Namun jika dia melafazkan takbîratul-ihrâm untuk kali keempat juga dengan niat memulai sembahyang, maka dengan takbîratul-ihrâm keempat (bilangan genap) itu dia dikira terkeluar daripada sembahyang dan sembahyang yang dikerjakannya itu batal disebabkan dengan takbîratul-ihrâm keempat tersebut.
Demikian juga seterusnya apabila dia melafazkan takbîratul-ihrâm untuk kali kelima, enam dan seterusnya dengan niat memulai sembahyang. Maka dengan takbîratul-ihrâm pada bilangan genap dia dikira terkeluar daripada sembahyang dan kedudukan sembahyangnya batal dengan bilangan takbîratul-ihrâm yang genap dan dikira dia memulai sembahyang dengan bilangan takbîratul-ihrâm yang ganjil.
Walau bagaimanapun, jika seseorang melafazkan takbîratul-ihrâm beberapa kali dan di antara dua takbîratul-ihrâm itu dia berniat keluar daripada sembahyang atau dia berniat memulai sembahyang di antara dua takbîratul-ihrâm, maka dengan niat tersebut dia dikira terkeluar daripada sembahyang yang dikerjakannya. Dalam keadaan ini, dia dikira memulai sembahyang dengan setiap takbîratul-ihrâm yang dilafazkannya itu sama ada takbîratul-ihrâm pada bilangan ganjil atau pada bilangan genap.
Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam kitabnya Raudhah ath-Thâlibîn jelas menyebut:
Ertinya: Maka sekiranya seseorang berniat memulai sembahyang atau keluar daripadanya di antara setiap dua takbîratul-ihrâm, maka dengan niat itu dia keluar daripada sembahyang dan dengan takbîratul-ihrâm itu dia masuk (memulai sembahyang).
Sebagai contoh, Ali melafazkan takbîratul-ihrâm pertama dengan niat memulai sembahyang, kemudian dia berniat untuk memulai lagi sembahyangnya atau dia berniat untuk keluar daripada sembahyangnya sebelum dia melafazkan takbîratul-ihrâm kedua, maka sembahyangnya dengan takbîratul-ihrâm pertama itu batal disebabkan dia berniat sekali lagi untuk memulai sembahyang atau disebabkan dia berniat untuk keluar daripada sembahyang sebelum dia melafazkan takbîratul-ihrâm yang kedua. Namun sembahyangnya sah dengan takbîratul-ihrâm yang kedua dengan niat memulai sembahyang kerana dengan takbîratul-ihrâm kedua yang dilafazkan itu dia dikira memulai sembahyangnya.
2. Melafazkan takbîratul-ihrâm beberapa kali dengan niat memulai sembahyang hanya pada takbîratul-ihrâm yang pertama.
Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam kitabnya Raudhah ath-Thâlibîn menyebut:
Ertinya: Dan sekiranya seseorang tidak berniat dengan takbîr kedua dan apa yang selepasnya (niat untuk) memulai (sembahyang) dan tidak (juga berniat) keluar (daripada sembahyang), maka sah dia masuk (memulai sembahyang) dengan (takbîratul-ihrâm) pertama, dan takbîr-takbîr yang lain (yang dilafazkannya selepas itu adalah) zikir, tidak batal sembahyang dengannya.
Imam Ibn Hajar al-Haitami Rahimahullâh dalam kitabnya Tuhfah al-Muhtâj ada juga menjelaskan:
Ertinya: Maka jika seseorang tidak berniat demikian itu (memulai sembahyang melainkan dengan takbîr pertama) dan tidak diselangi perkara-perkara yang membatalkan (sembahyang) seperti mengulangi lafaz niat, maka takbîr yang selepas (takbîr) pertama (dikira) zikir dan ia tidak memberi kesan (menjejaskan kesahan sembahyang).
Berdasarkan penjelasan di atas, jika seseorang melafazkan takbîr beberapa kali akan tetapi dia tidak berniat memulai sembahyang melainkan hanya pada takbîratul-ihrâm yang pertama, maka sembahyangnya tidak batal dan sah sembahyangnya itu dengan takbîratul-ihrâm yang pertama. Manakala takbîr kedua atau yang seterusnya yang dilakukan tanpa niat memulai sembahyang dikira sebagai zikir.
Sebagai contoh, Ali melafazkan takbîratul-ihrâm dengan niat memulai sembahyang, kemudian melafazkan takbîr kedua tanpa niat untuk memulai sembahyang, maka dengan takbîr pertama itu dia dikira memulai sembahyangnya dan takbîr kedua dikira zikir yang tidak membatalkan sembahyang.
Menurut Ibn ar-Rif‘ah Rahimahullâh sebagaimana yang disebut oleh para ulama antaranya Imam ar-Ramli Rahimahullâh dalam kitabnya Nihâyah al-Muhtâj, kesemua ketetapan yang dinyatakan mengenai perbuatan melafazkan takbîratul-ihrâm beberapa kali dalam sembahyang ini adalah apabila perbuatan ini dilakukan dengan sengaja. Jika dilakukan dengan sebab lupa maka sembahyang tidak batal.
Demikian penjelasan mengenai melafazkan takbîratul-ihrâm beberapa kali dalam sembahyang.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-15775
دليل الألوان
