Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الطهارة٠ مشاهدة

Perkara-Perkara Yang Disunatkan Berwudhu’

الجواب

Wudhu’ merupakan satu ibadat yang penting dan istimewa dalam agama Islam. Wudhu’ disyariatkan setahun sebelum hijrah bersama pensyariatan sembahyang fardhu lima waktu pada malam Isra’ dan Mi‘raj.

Wudhu’ mempunyai banyak fadhilat. Antara fadhilat wudhu’ ialah Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ mengasihi orang-orang yang yang sentiasa menyucikan diri. Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ berfirman dalam surah al-Baqarah:

Tafsirnya: Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat dan mengasihi orang yang sentiasa menyucikan diri. (Surah al-Baqarah: 222)

Maksud “orang yang banyak bertaubat” dalam ayat di atas ialah orang yang menyucikan dirinya daripada dosa-dosa. Manakala maksud “orang yang sentiasa menyucikan diri” ialah mereka yang menjaga diri mereka daripada kekotoran, sentiasa membersihkan diri dan sentiasa berada dalam keadaan yang suci daripada hadats besar dan hadats kecil. Mereka inilah orang-orang yang dikasihi Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Melazimkan diri dalam keadaan berwudhu’ adalah salah satu sunnah Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam dan ia merupakan ciri-ciri orang yang beriman. Tsauban Radhiallâhu ‘anhu meriwayatkan bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam telah bersabda:

Maksudnya: Dan ketahuilah oleh kamu bahawa sesungguhnya sebaik-baik amalan kamu adalah sembahyang dan tidak ada sesiapa yang (sentiasa) menjaga wudhu’ melainkan orang yang beriman. (Hadits riwayat Ibn Majah)

Antara kelebihan wudhu’ lagi ialah wudhu’ menghapuskan dosa-dosa kecil. Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu meriwayatkan bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Apabila seorang muslim atau seorang mu’min berwudhu’ lalu dia membasuh mukanya, (maka) keluar daripada mukanya itu semua dosa yang telah dia lihat dengan kedua-dua matanya bersama air (wudhu’) atau bersama titisan air (wudhu‘) yang terakhir. Apabila dia membasuh kedua-dua tangannya, (maka) keluar daripada kedua-dua tangannya semua dosa yang telah dia lakukan dengan kedua-dua tangannya itu bersama air (wudhu’) atau bersama titisan air (wudhu‘) yang terakhir. Apabila dia membasuh kedua-dua kakinya, (maka) keluar semua dosa yang dia jalani dengan kedua-dua kakinya bersama air (wudhu’) atau bersama titisan air (wudhu‘) yang terakhir, sehingga dia selesai (dari berwudhu’) dalam keadaan suci daripada dosa-dosa (kecil). (Hadits riwayat Muslim)

Wudhu’ ada kalanya diwajibkan seperti apabila hendak mengerjakan sembahyang, thawaf, sujud syukur dan sujud tilâwah. Ibadat tersebut tidak sah jika dikerjakan tanpa wudhu’.

Wudhu’ juga ada kalanya disunatkan. Antara sebab disunatkan wudhu’ ialah:

i. Ittibâ‘ iaitu mencontohi perbuatan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam. ii. Sebagai jalan keluar daripada perbezaan pendapat para ulama dalam perkara-perkara yang membatalkan wudhu’. iii. Bagi tujuan ta‘zhîm (memuliakan). iv. Bagi tujuan menghapus dosa.

Perkara-perkara yang disunatkan padanya berwudhu’ kerana ittibâ‘ ialah:

i. Berwudhu’ ketika hendak tidur walaupun dalam keadaan junub. Tuntutan ini berdasarkan hadits daripada ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ bahawasanya beliau berkata:

Maksudnya: Bahawasanya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam apabila Baginda hendak tidur, Baginda berwudhu’ (sebagaimana) wudhu’ Baginda untuk sembahyang. (Hadits riwayat Ahmad)

Dalam hadits yang lain pula, ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ berkata:

Maksudnya: Bahawasanya Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam, apabila Baginda hendak tidur dan Baginda dalam keadaan junub, Baginda membasuh kemaluan Baginda dan berwudhu’ (sebagaimana wudhu’) untuk sembahyang. (Hadits riwayat al-Bukhari)

Menurut ulama, selain disunatkan berwudhu’ ketika hendak tidur, sunat juga hukumnya berwudhu’ setelah bangun daripada tidur.

ii. Berwudhu’ ketika mandi wajib. Tuntutan ini berdasarkan hadits daripada ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ bahawasanya beliau berkata:

Maksudnya: Sesungguhnya Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam apabila Baginda mandi kerana junub, maka Baginda akan membasuh kedua-dua tangan Baginda kemudian berwudhu’ sebagaimana Baginda berwudhu’ untuk sembahyang. (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Menurut ulama, selain mandi wajib, sunat juga berwudhu’ ketika mandi sunat. Tuntutan sunat berwudhu’ ketika mandi wajib atau mandi sunat ini boleh dilaksanakan sama ada sebelum mandi, semasa mandi atau selepas selesai mandi. Walau bagaimanapun, berwudhu’ sebelum memulakan mandi adalah afdhal.

iii. Ketika orang yang junub hendak makan atau minum. Tuntutan ini berdasarkan hadits daripada ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ, beliau berkata:

Maksudnya: Bahawasanya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam apabila Baginda dalam keadaan junub, lalu Baginda hendak makan atau tidur, Baginda berwudhu’ (sebagaimana) wudhu’ Baginda untuk sembahyang. (Hadits riwayat Muslim)

iv. Ketika orang yang junub hendak mengulangi persetubuhan. Tuntutan ini berdasarkan hadits daripada Abu Sa‘id al-Khudri Radhiallâhu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Apabila seseorang daripada kamu mendatangi (menyetubuhi) isterinya, kemudian dia hendak mengulangi lagi, maka (sebaiknya) hendaklah dia berwudhu’. (Hadits riwayat Muslim)

v. Berwudhu’ semasa marah, kerana wudhu’ dapat memadamkan kemarahan. ‘Athiyyah Radhiallâhu ‘anhu meriwayatkan bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Sesungguhnya marah itu daripada syaitan, dan sesungguhnya syaitan itu dicipta daripada api, dan sesungguhnya api itu dipadamkan dengan air. Maka jika seseorang daripada kamu marah, maka berwudhu’lah. (Hadits riwayat Abu Daud)

Manakala perkara-perkara yang disunatkan padanya berwudhu’ bagi tujuan keluar daripada perbezaan pendapat para ulama mengenai perkara-perkara yang membatalkan wudhu’ pula antaranya ialah:

i. Berwudhu’ selepas berbekam, selepas menjalani al-fashd (mengeluarkan darah yang tidak baik melalui urat) dan apabila keluar darah dari hidung.

ii. Berwudhu’ kerana nu‘as, iaitu tidur yang masih sedar dan masih mendengar percakapan orang sekeliling walaupun dia tidak memahami percakapan tersebut.

iii. Berwudhu’ kerana tidur dalam keadaan duduk yang tetap punggungnya.

iv. Berwudhu’ kerana muntah.

v. Berwudhu’ kerana ketawa ketika sembahyang.

vi. Berwudhu’ kerana memakan sesuatu yang disentuh atau dimasak dengan api, sama ada yang dibakar, dipanggang atau apa sahaja bentuk masakan yang menggunakan api.

vii. Berwudhu’ kerana memakan daging unta atau meminum susunya.

viii. Berwudhu’ kerana syak sama ada berhadats atau tidak. ix. Berwudhu’ bagi lelaki yang menyentuh al-amrad. Menurut asy-Syaikh al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh, al-amrad ialah remaja lelaki yang belum tumbuh janggutnya.

x. Berwudhu’ bagi lelaki yang menyentuh kanak-kanak perempuan.

xi. Berwudhu’ kerana menyentuh rambut bukan mahram.

xii. Berwudhu’ kerana menyentuh khuntsâ.

xiii. Berwudhu’ selepas mengangkat atau menyentuh mayat.

xiv. Berwudhu’ kerana menyentuh kemaluan manusia menggunakan belakang tapak tangan atau menggunakan bahagian di antara jari-jemari.

xv. Berwudhu’ kerana menyentuh buah zakar.

xvi. Berwudhu’ kerana menyentuh kemaluan binatang.

Perkara-perkara yang disunatkan padanya berwudhu’ bagi tujuan ta‘zhîm pula antaranya ialah:

i. Berwudhu’ kerana hendak membaca al-Qur’an atau mendengar al-Qur’an dibacakan.

ii. Berwudhu’ kerana hendak meriwayatkan hadits, membacanya atau mendengar hadits dibaca atau diriwayatkan.

iii. Berwudhu’ kerana hendak membaca, menulis, mendengar atau mempelajari ilmu-ilmu syara‘ (agama). Begitu juga sunat berwudhu’ kerana hendak membawa kitab-kitab tersebut atau kerana hendak membacakannya kepada orang lain. Yang demikian itu ialah bagi membesarkan dan memuliakan ilmu-ilmu syara‘ serta agar dia berada dalam keadaan yang terbaik ketika bermu‘âmalah dengan ilmu-ilmu berkenaan.

iv. Berwudhu’ kerana hendak berzikir supaya ketika berzikir itu dia berada dalam keadaan yang terbaik. Begitu juga disunatkan berwudhu’ untuk mendengar zikir dan menghadiri majlis-majlis zikir.

v. Berwudhu’ kerana hendak masuk ke masjid atau duduk di dalamnya atau melintasinya bagi membesarkan dan memuliakan masjid.

Adapun perkara-perkara yang disunatkan padanya berwudhu’ bagi tujuan menghapuskan dosa ialah seperti berwudhu’ kerana melihat sesuatu dengan syahwat atau kerana menuturkan kata-kata yang keji seperti mengumpat, berdusta, mengeji, memfitnah dan sebagainya kerana wudhu’ dapat menghapuskan dosa-dosa kecil.

Selain perkara-perkara yang disebut di atas, menurut para ulama, disunatkan juga berwudhu’ kerana perkara-perkara berikut:

i. Berwudhu’ semasa berasa takut, kerana wudhu’ boleh menghilangkan ketakutan.

ii. Berwudhu’ kerana merasa sedih.

iii. Berwudhu’ kerana hendak wuqûf di ‘Arafah serta kerana hendak mengerjakan sa‘i.

iv. Berwudhu’ kerana hendak melaungkan azan atau iqâmah.

v. Berwudhu’ kerana hendak menziarahi kubur para nabi.

vi. Berwudhu’ kerana hendak menziarahi kubur selain para nabi, sekalipun bukan kubur orang-orang salih.

vii. Berwudhu’ kerana hendak membaca khutbah selain khutbah Jumaat.

viii. Berwudhu’ selepas jimâ‘.

ix. Berwudhu’ selepas mendeklamasikan sya‘ir dari jenis yang diharamkan.

x. Berwudhu’ selepas ketawa secara keterlaluan.

xi. Berwudhu’ selepas memotong misai, mencukur bulu ari-ari dan rambut kepala.

xii. Berwudhu’ kerana mengharungi atau melayari laut.

xiii. Berwudhu’ selepas menyentuh berhala.

xiv. Berwudhu’ selepas menyentuh orang yang menghidap penyakit kusta.

Adapun niat wudhu’ bagi perkara-perkara di atas adalah sama dengan niat wudhu’ sepertimana biasa, iaitu dengan niat mengangkat hadats kecil atau dengan niat menunaikan fardhu wudhu’ atau sebagainya.

Asy-Syaikh Sa’id bin Muhammad Ba ‘Ali Ba ‘Isyn Rahimahullâh berkata dalam kitabnya Busyrâ al-Karîm:

Ertinya: Dan dia berniat dengannya pada kesemua ini (dengan niat untuk) mengangkat hadats, atau (menunaikan) fardhu wudhu’ atau yang selainnya daripada niat-niat yang diiktiraf dalam wudhu’.

Demikian penjelasan mengenai perkara-perkara yang disunatkan padanya berwudhu’.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-15782

دليل الألوان

آية قرآنيةحديث شريفنص فقهي من كتب العلماءرد اللجنة (المرجع الأساسي للفتوى)رقمرابط لفتوى أخرى مذكورة في النص