Mengucap Dua Kalimah Syahâdah Dengan Selain Bahasa Arab
الجواب
Memeluk agama Islam bererti mengubah i‘tiqâd atau kepercayaan dan pegangan daripada agama lain kepada agama Islam dengan mengakui keesaan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dan kerasulan Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wa sallam serta membebaskan dirinya dari setiap agama yang menyalahi agama Islam.
Orang bukan Islam yang mukallaf (berakal dan bâligh) yang hendak memeluk agama Islam dengan kerelaan hatinya adalah sah menjadi muslim dengan mengucap dua kalimah syahâdah. Memadai dia menjadi muslim dengan mengucap dua kalimah syahâdah secara bersendirian walaupun tidak disaksikan oleh orang lain. Ucapan dua kalimah syahâdah itu ialah:
Ertinya: Saya naik saksi bahawa tiada tuhan melainkan Allah dan saya naik saksi bahawa Muhammad itu pesuruh Allah.
Jika orang bukan Islam yang mukallaf datang menyatakan hasratnya hendak memeluk agama Islam dan meminta kepada seseorang untuk membimbingnya mengucap dua kalimah syahâdah, adakah memadai mengucapkannya dengan menggunakan bahasa selain bahasa Arab?
Menurut al-Asya‘irah dan al-Maturidiyyah, mengucap dua kalimah syahâdah itu syarat dalam beriman untuk dijalankan ke atasnya hukum-hakam Islam yang berkaitan dengan urusan keduniaan seperti pengurusan jenazahnya, harta pusakanya, perwalian dan seumpamanya. Jika dua kalimah syahâdah itu diperakui dalam hati sahaja tanpa melafazkannya dengan lisan, maka dia adalah orang yang beriman di sisi Allah Ta‘ala tetapi tidak mencukupi syarat orang beriman untuk dijalankan ke atasnya hukum-hakam Islam yang berkaitan dengan urusan keduniaan. Jika lidahnya sahaja yang melafazkan dua kalimah syahâdah tetapi hatinya tidak turut memperakukannya, maka dia adalah orang yang mencukupi syarat orang beriman untuk dijalankan ke atasnya hukum-hakam Islam yang berkaitan dengan urusan keduniaan tetapi dia tidak beriman di sisi Allah Ta‘ala sebagaimana orang munâfiq.
Maka supaya dijalankan ke atas seseorang itu hukum-hakam Islam yang berkaitan dengan urusan keduniaan sebagai orang yang beriman, hendaklah dua kalimah syahâdah itu dilafazkan sebagai bukti orang beriman dan tidak memadai dengan perakuan dalam hati sahaja kerana ia tersembunyi dan tidak dapat dijadikan sandaran. Inilah pendapat jumhûr ulama.
Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam kitab al-Majmû‘ menjelaskan bahawa orang bukan Islam yang hendak memeluk agama Islam dan dia tidak mahir bahasa Arab, lalu dia mengucap dua kalimah syahâdah menggunakan bahasa selain bahasa Arab adalah sah Islamnya tanpa ada percanggahan pendapat di kalangan ulama. Adapun orang bukan Islam yang mahir bahasa Arab jika dia mengucap dua kalimah syahâdah dengan bahasa selain bahasa Arab menurut pendapat ash-shahîh adalah juga sah Islamnya.
Asy-Syaikh al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh juga menyebut perkara sedemikian dalam kitabnya Mughnî al-Muhtâj, katanya:
Ertinya: Islam (seseorang) adalah sah (dengan mengucap dua kalimah syahâdah) dengan (menggunakan) apa-apa bahasa sepertimana yang dikatakan Ibn Shabbagh dan selain daripada beliau dan (sah) dengan isyarat (bagi) orang bisu.
Perkara penting yang dikehendaki dalam mengucap dua kalimah syahâdah ialah pemberitahuan tentang pengakuannya (i‘tiqâd) terhadap keesaan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dan kerasulan Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wa sallam dan perkara ini terhasil dengan menggunakan apa jua bahasa.
Menurut Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam kitabnya Raudhah ath-Thâlibîn, dapat difahami bahawa orang yang mengucap dua kalimah syahâdah hendaklah memahami makna dua kalimah syahâdah tersebut sebagai syarat sah Islamnya. Katanya:
Ertinya: Maka jika dibimbing orang yang bukan bangsa Arab (mengucap dua kalimah) syahâdah dengan (menggunakan) bahasa Arab, lalu dia melafazkannya sedangkan dia tidak tahu maknanya, dia tidak dihukumkan Islam.
Daripada penjelasan di atas, orang yang memeluk agama Islam adalah sah menjadi muslim dengan mengucap dua kalimah syahâdah dengan bahasa yang difahaminya.
Berkaitan dengan perkara dua kalimah syahâdah ini, perkara yang juga perlu diambil perhatian ialah apabila ada orang bukan Islam yang datang untuk memeluk agama Islam dan meminta bimbing untuk mengucap dua kalimah syahâdah, maka wajib diajarkan kepadanya dengan segera dua kalimah syahâdah supaya dia segera keluar dari kekufuran yang membawanya kekal dalam neraka.
Ucapan dua kalimah syahâdah boleh dilafazkan dalam bahasa Arab bagi orang yang memahami bahasa Arab atau mana-mana bahasa yang difahami oleh orang yang hendak memeluk agama Islam itu, atau mengucap dua kalimah syahâdah itu dengan lafaz bahasa Arab dan diikuti dengan ertinya dalam bahasa yang difahaminya.
Dalam perkara ini, jangan seseorang itu melambat-lambatkan untuk mengajarkan dua kalimah syahâdah tanpa sebarang keuzuran seperti hendak menyelesaikan terlebih dahulu tugas atau kerja. Orang yang melambat-lambatkan mengajarkan dua kalimah syahâdah hukumnya adalah berdosa dan boleh membawa kepada kufur jika dia redha akan kekufuran orang itu. Redha terhadap kekufuran walaupun secara sembunyi adalah termasuk dalam bentuk perkara-perkara yang boleh menyebabkan seseorang itu dihukumkan kafir.
Demikian penjelasan mengenai mengucap dua kalimah syahâdah dengan selain bahasa Arab.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-15788
دليل الألوان
