Lafaz “Nikah” Atau “Kahwin” Dalam ‘Aqad Nikah
الجواب
Nikah ialah ‘aqad yang mengandungi keharusan istimtâ‘ (berseronok-seronok) antara suami isteri menurut apa yang disyariatkan dalam Islam. Asy-Syaikh al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh dalam kitabnya Mughnî al-Muhtâj memberi ta‘rîf nikah ialah ‘aqad yang mengandungi keharusan persetubuhan (suami isteri) dengan lafaz “ ِ ْ إَ نكاح ” atau “ َ ْ تِ زْ ويج ” atau terjemahannya. Antara dalil pensyariatan nikah ialah firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Maka nikahilah sesiapa yang baik bagi kamu daripada perempuan-perempuan (lain). (Surah an-Nisâ’: 3)
Selain itu, terdapat beberapa hadits mengenai nikah atau kahwin antaranya daripada ‘Abdullah bin Mas‘ud Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam pernah bersabda:
Maksudnya: Wahai orang-orang muda, sesiapa yang mampu di antara kamu untuk berkahwin maka berkahwinlah. Sesungguhnya perkahwinan itu menundukkan pandangan dan menjaga kehormatan dan sesiapa yang tidak mampu maka kerjakanlah puasa kerana sesungguhnya puasa itu pengekang (syahwat) baginya.
(Hadits riwayat Muslim)
‘Aqad nikah tidak akan sempurna kecuali dengan memenuhi semua rukun nikah dan syarat. Salah satu daripada rukun nikah ialah shîghah iaitu îjâb dan qabûl.
Îjâb ialah ucapan wali (wali bagi pengantin perempuan) seperti lafaz: “Aku kahwinkan engkau” atau “aku nikahkan engkau dengan anak perempuanku ini”. Qabûl pula ialah ucapan suami (pengantin lelaki) seperti: “Aku mengahwininya”, “aku menikahinya”, “aku terima nikahnya” atau “aku redha menikahinya”.
Ucapan-ucapan di atas adalah antara contoh lafaz îjâb dan qabûl ketika majlis ‘aqad nikah. Persoalannya adakah boleh îjâb dan qabûl itu dilakukan tanpa menyebut perkataan “nikah” atau “kahwin” atau seumpamanya seperti ucapan qabûl dengan perkataan “aku terima” sahaja?
Dalam îjâb dan qabûl, terdapat beberapa syarat yang ditetapkan antaranya hendaklah îjâb dan qabûl menggunakan lafaz ِ ْ إَ نكاح (nikah) atau َ ْ تِ زْ ويج (kahwin). Ini termasuk juga lafaz-lafaz yang terbit daripada kedua-dua perkataan tersebut seperti lafaz îjâb “ َ ََنَ مُزَوِّجُك أ” (aku kahwinkan engkau) atau lafaz qabûl “ُهَا نَكَحْت” (aku menikahinya). ‘aqad nikah tidak sah dengan menggunakan lafaz selain perkataan nikah atau kahwin seperti lafaz ِ َ هبة (pemberian), contohnya: “Aku beri anak perempuanku ini kepadamu” atau ِ ْ إَلَ حل (menghalalkan), contohnya: “Aku halalkan anak perempuanku ini kepadamu” atau lain-lain perkataan yang seumpamanya.
Îjâb dan qabûl itu sah dengan menggunakan terjemahan kedua-dua lafaz ِ ْ إَ نكاح atau َ ْ تِ زْ ويج sekalipun orang yang ber‘aqad itu mempunyai kebolehan bertutur dan faham bahasa Arab dengan syarat hendaklah lafaz itu jelas difahami oleh orang yang ber‘aqad dan saksi-saksi ‘aqad nikah. Antara contoh lafaz dalam bahasa Melayu: “Aku nikahkan engkau” dan “aku terima nikahnya”.
Lafaz nikah atau kahwin itu hendaklah disebut dengan terang dalam setiap îjâb dan qabûl. Asy-Syaikh al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh dalam kitabnya Mughnî al-Muhtâj menyebut:
Ertinya: Dan sekiranya wali berkata: “Aku kahwinkan engkau” hingga penghujungnya (lafaz), lalu suami (pengantin lelaki) berkata: “Aku terima” dan dia membataskan (ucapan qabûl itu) pada lafaz tersebut sahaja, (maka) tidak sah nikah tersebut (dengan ucapan qabûl sedemikian) menurut al-madzhab (pendapat mu‘tamad) kerana tidak ada daripadanya (ucapan qabûl) yang terang (menyebut) salah satu daripada dua lafaz iaitu “nikah” dan “kahwin”, dan niatnya (sahaja) tidak diambil kira.
Berdasarkan nash di atas, jika wali atau wakilnya berkata kepada pengantin lelaki ketika îjâb seperti: “Aku kahwinkan engkau dengan perempuan ini”, lalu pengantin lelaki hanya menyebut lafaz qabûl dengan kata “aku terima”, maka ‘aqad nikah tersebut tidak sah kerana tidak ada sebutan yang terang lafaz nikah atau kahwin. Dalam keadaan ini, jika lafaz nikah atau kahwin itu hanya diniatkan di dalam hati oleh orang yang ber‘aqad, ia tidak diambil kira kerana yang demikian itu dianggap kinâyah dan nikah tidak sah dengan ucapan kinâyah.
‘Aqad nikah tidak sah dengan ucapan kinâyah seperti wali berkata kepada pengantin lelaki: “Aku halalkan anak perempuanku ini kepadamu”. ‘Aqad nikah dengan ucapan kinâyah tidak sah kerana ucapan kinâyah itu perlu kepada niat. Niat pula letaknya di dalam hati dan apa yang ada di dalam hati itu tersembunyi dan tidak boleh dilihat oleh saksi.
Nikah sah dengan lafaz dalam bentuk kata perintah seperti pengantin lelaki berkata kepada wali: “Kahwinkanlah aku dengan anak perempuanmu ini”. Lalu wali berkata: “Aku kahwinkan engkau”, ataupun wali berkata kepada pengantin lelaki: “Kahwinilah anak perempuanku ini”. Lalu pengantin lelaki berkata: “Aku mengahwininya”. Maka ‘aqad nikah seumpama ini sah walaupun pengantin lelaki tidak menyebut “aku terima” kerana ucapannya yang terdahulu itu adalah suatu permintaan yang bersifat terang dan pasti serta menunjukkan keredhaan pihak yang ber‘aqad. Berbeza dengan ungkapan dalam bentuk pertanyaan seperti wali berkata kepada pengantin lelaki: “Adakah awak mengahwini anak perempuan saya?”. Atau pengantin lelaki berkata: “Adakah awak mengahwinkan saya dengan anak perempuan awak?”. ‘Aqad nikah tidak sah dengan lafaz îjâb dan qabûl seperti itu kerana lafaz tersebut adalah suatu pertanyaan dan pertanyaan adalah sesuatu yang bersifat tidak pasti atau tidak terang.
Nikah tidak sah dengan cara bertulis sama ada kedua-dua pihak yang ber‘aqad hadir dalam majlis ‘aqad nikah itu atau tidak hadir kerana ‘aqad nikah dengan cara bertulis adalah kinâyah. Akan tetapi ‘aqad nikah bagi orang yang bisu adalah sah dengan isyarat yang difahami dan tidak hanya difahami oleh golongan cerdik pandai kerana isyarat yang difahami itu menempati lafaz nikah atau kahwin jika dinisbahkan kepada orang yang bisu. Jika isyarat yang dilakukan itu bersifat tidak dapat difahami maka ‘aqad nikah tidak sah kerana yang demikian itu juga menjadi kinâyah.
Oleh yang demikian, lafaz “nikah” atau “kahwin” hendaklah dinyatakan dengan terang dalam ucapan îjâb dan qabûl.
Demikian penjelasan mengenai keperluan menyebut lafaz “nikah” atau “kahwin” dalam ‘aqad nikah.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-15792
دليل الألوان
