Mandi Bagi Orang Yang Baru Memeluk Islam
الجواب
Menjaga kebersihan diri sangat dituntut dalam Islam. Ia bukan saja dititikberatkan dalam perkara-perkara ibadat seperti sembahyang, bahkan dalam rutin hidup seharian pun Islam tetap mendidik umatnya supaya sentiasa menjaga kebersihan diri.
Antara cara membersihkan diri yang paling utama dalam Islam ialah mandi. Dalam Islam, fungsi mandi bukan semata-mata hanya untuk membuang kotoran dan membersihkan badan, bahkan mandi juga berkait dengan kesahan suatu ibadat, contohnya pensyariatan mandi wajib untuk mengangkat hadats besar. Tanpa mengerjakan mandi wajib, sembahyang dan thawaf seseorang tidak sah dan diharamkan atasnya membaca, menyentuh dan membawa al-Qur’an.
Khusus bagi orang yang baru memeluk Islam, terdapat beberapa perkara berkaitan mandi yang perlu diketahui olehnya. Perkara ini boleh dibahagikan kepada dua keadaan iaitu sama ada orang yang baru memeluk Islam itu telah berjunub sebelum dia memeluk Islam atau dia tidak pernah berjunub sebelum dia memeluk Islam.
Di sini akan dijelaskan mengenai keadaan-keadaan ini dan perkara-perkara yang berkaitan dengannya.
i. Orang yang tidak pernah berjunub sebelum memeluk Islam.
Orang yang baru memeluk Islam dan dia tidak pernah berjunub sebelum dia memeluk Islam, sunat atasnya mandi kerana memeluk Islam itu. Mandi ini disunatkan sama ada orang itu pada asalnya adalah kafir, tanpa mengira ia kafir dzimmi (orang bukan Islam yang mendapat perlindungan dan tinggal di negara Islam) ataupun kafir harbi (orang bukan Islam yang memerangi orang Islam) atau pun murtad.
Disunatkan kepada mereka itu mandi adalah berdasarkan beberapa hadits, antaranya hadits yang diriwayatkan daripada Qais bin ‘Ashim Radhiallâhu ‘anhu, beliau berkata:
Maksudnya: Aku telah datang kepada Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam untuk (memeluk) Islam. Lalu Baginda memerintahkanku supaya mandi dengan air dan daun bidara. (Hadits riwayat Abu Daud dan at-Tirmizi)
Mandi sunat kerana memeluk Islam ini disyariatkan kerana mengagungkan dan memuliakan agama Islam. Mandi kerana memeluk Islam ini adalah suatu ibadat. Oleh yang demikian, ia hendaklah dikerjakan setelah memeluk Islam dan tidak memadai dikerjakan sebelumnya kerana ibadat orang kafir sebelum dia memeluk Islam adalah tidak sah.
Sunat mengerjakan mandi kerana memeluk Islam ini dengan menggunakan air dan daun bidara sebagaimana yang diperintahkan oleh Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam dalam hadits riwayat Qais bin ‘Ashim Radhiallâhu ‘anhu di atas. Tuntutan sunat menggunakan daun bidara ini adalah sebagai suatu penekanan dalam menzahirkan kesungguhan untuk menjauhkan diri daripada syirik serta menghapus kesan-kesannya daripada dirinya.
Menurut Imam al-Bujairimi Rahimahullâh, sunat bagi orang yang baru memeluk Islam itu supaya mencukur rambut kepalanya. Tuntutan mencukur rambut ini sunat dikerjakan sebelum mandi kerana ini lebih mudah baginya membersihkan kepalanya dengan sempurna. Perbuatan mencukur rambut ini menurut Imam asy-Syibramallisi Rahimahullâh merupakan tanda nyata seseorang itu menjauhi kesan-kesan kekafiran.
Menurut Imam al-Bujairimi Rahimahullâh lagi, selain disunatkan untuk mencukur rambut kepala, disunatkan juga untuk membuang segala bulu-bulu yang ada di tubuh badan seperti bulu kemaluan, bulu ketiak dan sebagainya. Adapun janggut lelaki serta segala bulu-bulu yang ada di wajah pula, maka tidaklah dituntut untuk mencukurnya.
Menurut Imam Ibn Hajar al-Haitami Rahimahullâh, bagi orang yang tidak pernah berjunub sebelum dia memeluk Islam, sunat juga hukumnya menggabungkan niat mandi kerana memeluk Islam itu dengan niat mandi junub.
ii. Orang yang telah berjunub sebelum dia memeluk Islam.
Menurut para ulama, orang yang telah berjunub sebelum dia memeluk Islam wajib atasnya mengerjakan mandi junub. Diwajibkan atasnya mengerjakan mandi junub kerana pensyaratan suci daripada hadats merupakan salah satu syarat daripada syarat-syarat sembahyang. Menurut Imam an-Nawawi Rahimahullâh, perbuatan memeluk Islam tidak menjadikan seseorang itu dengan sendirinya suci daripada hadats. Oleh yang demikian, sembahyang orang yang baru memeluk Islam tidak sah sekiranya dia tidak berwudhu’ kerana dia berhadats kecil sebelum memeluk Islam. Begitu juga tidak sah sembahyangnya sekiranya dia tidak mandi junub kerana dia berhadats besar sebelum memeluk Islam.
Mandi junub bagi orang yang baru memeluk Islam ini memadai dikerjakan satu kali sahaja sekalipun dia telah berulang kali melakukan persetubuhan atau telah berulang kali mengalami haidh, nifâs dan sebagainya sebelum dia memeluk Islam.
Menurut Imam al-Bujairimi Rahimahullâh, dia boleh menyatukan niat mandi junub itu dengan niat mandi sunat kerana memeluk Islam. Jika dia tidak berniat mandi sunat kerana memeluk Islam ketika dia mengerjakan mandi junub itu, maka sunat baginya untuk mandi sekali lagi untuk mandi sunat kerana memeluk Islam.
Orang yang telah berjunub sebelum dia memeluk Islam adalah lebih utama mencukur rambut kepala dan membuang segala bulu-bulu yang ada di tubuh badannya selepas mengerjakan mandi junub supaya terangkat hadats daripada seluruh rambut serta bulu-bulunya itu.
Demikian penjelasan mengenai mandi bagi orang yang baru memeluk Islam.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-15799
دليل الألوان
