Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الصلاة٠ مشاهدة

Menggabungkan Beberapa Sembahyang Dalam Satu Sembahyang

الجواب

Niat merupakan salah satu rukun dalam mengerjakan sembahyang. Dari sudut bahasa Arab, erti niat ialah kehendak (qashd). Manakala dari sudut syara‘ pula, niat bermaksud kehendak yang disertai dengan perbuatan. Menurut para ulama, niat dalam ibadat bertujuan untuk membezakan sama ada perbuatan yang dilakukan itu adalah ibadat atau adat dan niat juga membezakan status ibadat yang dilakukan sama ada ia adalah fardhu atau sunat.

Mengenai perkara niat sembahyang ini, timbul persoalan adakah boleh seseorang menggabungkan beberapa sembahyang dalam satu sembahyang seperti sembahyang sunat Wudhu’ digabungkan dengan sembahyang sunat Istikharah supaya tidak terlepas pahala yang terkandung di dalamnya? Maksud menggabungkan di sini ialah seperti sembahyang sunat Wudhu’ dan sembahyang sunat Istikharah dikerjakan sebanyak dua rakaat sahaja dengan menyatukan niat kedua-dua sembahyang tersebut. Jika boleh digabungkan, bagaimanakah melaksanakan niatnya? Berikut penjelasan mengenainya.

Ibadat sembahyang itu boleh dibahagikan kepada dua kategori berikut:

i. Sembahyang maqshûdah lidzâtihâ iaitu sembahyang yang dimaksudkan oleh syara‘ untuk dikerjakan secara khusus seperti sembahyang fardhu lima waktu, sembahyang sunat Istisqa’ (memohon hujan), sembahyang sunat Khusuf (gerhana), sembahyang sunat Hari Raya Fithrah, sembahyang sunat Hari Raya Korban, sembahyang sunat Dhuha dan sembahyang-sembahyang sunat rawâtib dan seumpamanya.

ii. Sembahyang ghair maqshûdah lidzâtihâ iaitu sembahyang yang bukan dimaksudkan syara‘ untuk dikerjakan secara khusus bahkan ia dilakukan semata-mata bagi memenuhi tuntutan mengerjakan sembahyang kerana situasi atau keadaan tertentu seperti sembahyang sunat Tahiyyatul Masjid, sembahyang sunat Wudhu’, sembahyang sunat Ihram, sembahyang sunat Istikharah, sembahyang sunat Taubat, sembahyang sunat Thawaf, sembahyang sunat Hajat, sembahyang sunat Zawal, sembahyang sunat Awwabin, sembahyang sunat Safar dan seumpamanya.

Mengenai perkara menggabungkan beberapa sembahyang dalam satu sembahyang, menurut para ulama tidak harus menggabungkan sembahyang yang dikategorikan sebagai sembahyang maqshûdah lidzâtihâ dengan sembahyang maqshûdah lidzâtihâ yang lain seperti:

i. Menggabungkan dua sembahyang fardhu. Contohnya menggabungkan sembahyang qadha’ Zhuhur dengan sembahyang fardhu ‘Ashar.

ii. Menggabungkan sembahyang fardhu dengan sembahyang sunat maqshûdah lidzâtihâ. Contohnya menggabungkan sembahyang sunat Zhuhur (qabliyyah atau ba‘diyyah) dengan sembahyang fardhu Zhuhur atau menggabungkan sembahyang fardhu ‘Isya’ dengan sunat Witir.

iii. Menggabungkan dua sembahyang sunat maqshûdah lidzâtihâ. Contohnya menggabungkan sembahyang sunat Tarawih dengan sembahyang sunat Witir atau menggabungkan sembahyang sunat Dhuha dengan sembahyang sunat Hari Raya Fithrah.

Adapun sembahyang-sembahyang yang harus digabungkan menurut para ulama ialah menggabungkan sembahyang maqshûdah lidzâtihâ dengan sembahyang ghair maqshûdah lidzâtihâ atau menggabungkan sembahyang-sembahyang yang dikategorikan sebagai ghair maqshûdah lidzâtihâ seperti:

i. Menggabungkan sembahyang fardhu dengan sembahyang sunat ghair maqshûdah lidzâtihâ. Contohnya menggabungkan sembahyang fardhu Zhuhur dengan sembahyang sunat Tahiyyatul Masjid.

ii. Menggabungkan sembahyang sunat maqshûdah lidzâtihâ dengan sembahyang sunat ghair maqshûdah lidzâtihâ. Contohnya menggabungkan sembahyang sunat Dhuha dengan sembahyang sunat Tahiyyatul Masjid.

iii. Menggabungkan sembahyang-sembahyang sunat ghair maqshûdah lidzâtihâ. Contohnya menggabungkan sembahyang sunat Wudhu’ dengan sembahyang sunat Tahiyyatul Masjid atau menggabungkan sembahyang sunat Wudhu’ dengan sembahyang sunat Ihram dan sembahyang sunat Thawaf.

Untuk melaksanakan penggabungan sembahyang-sembahyang seperti di atas, hendaklah seseorang itu menyatakan dengan jelas sembahyang yang akan digabungkan dalam niatnya. Sebagai contoh:

i. Lafaz niat menggabungkan sembahyang sunat Wudhu’ dengan sembahyang sunat Tahiyyatul Masjid ialah:

Ertinya: Sahaja aku sembahyang sunat wudhu’ dua raka‘at serta sunat Tahiyyatul Masjid kerana Allah Ta‘ala.

ii. Lafaz niat menggabungkan sembahyang fardhu Zhuhur dengan sembahyang sunat Tahiyyatul Masjid ialah:

Ertinya: Sahaja aku sembahyang fardhu Zhuhur empat rakaat serta sunat Tahiyyatul Masjid kerana Allah Ta‘ala.

Adapun dari sudut pahala dalam penggabungan sembahyang-sembahyang di atas, menurut Imam Ibn Hajar al-Haitami Rahimahullâh dalam kitabnya Tuhfah al-Muhtâj, sekiranya seseorang itu berniat menggabungkan sembahyang sunat ghair maqshûdah lidzâtihâ ke dalam sembahyang yang lain sama ada sembahyang fardhu atau sunat, maka dia juga akan memperolehi pahala sembahyang yang digabungkannya itu. Sebaliknya, jika dia tidak berniat, maka tuntutan sunat mengerjakan sembahyang tersebut tetap jatuh daripada tanggungannya tetapi dia tidak memperoleh pahala sembahyang yang digabungkannya itu. Sebagai contoh, sekiranya seseorang menyertakan niat sembahyang sunat Tahiyyatul Masjid ketika berniat mengerjakan sembahyang sunat rawâtib Zhuhur, maka jatuh tuntutan sembahyang sunat Tahiyyatul Masjid dan dia beroleh pahala sembahyang sunat Tahiyyatul Masjid tersebut. Sekiranya dia tidak menyertakan niat sembahyang sunat Tahiyyatul Masjid, maka tuntutan sembahyang sunat Tahiyyatul Masjid tersebut tetap jatuh daripada tanggungannya tetapi dia tidak memperoleh pahala sembahyang sunat tersebut.

Sekalipun penggabungan sembahyang-sembahyang di atas adalah diharuskan, namun mengerjakan sembahyang-sembahyang yang harus digabungkan itu secara berasingan adalah afdhal.

Demikian penjelasan mengenai hukum menggabungkan beberapa sembahyang dalam satu sembahyang.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-15804

دليل الألوان

آية قرآنيةحديث شريفنص فقهي من كتب العلماءرد اللجنة (المرجع الأساسي للفتوى)رقمرابط لفتوى أخرى مذكورة في النص