Saksi Dalam ‘Aqad Nikah
الجواب
Salah satu rukun daripada rukun-rukun nikah ialah dua orang saksi. ‘Aqad nikah yang dilaksanakan tanpa kehadiran dua orang saksi adalah tidak sah. ‘Aisyah Radhiallâu ‘anhâ meriwayatkan bahawa Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Tidak (sah) pernikahan melainkan dengan wali dan dua saksi yang ‘âdil, dan suatu pernikahan (yang dilaksanakan) tidak sedemikian, maka ia adalah (pernikahan yang) bâthil (tidak sah). (Hadits riwayat Ibn Hibban)
Pada kebiasaannya, saksi dalam majlis ‘aqad nikah itu dipilih dari kalangan ahli keluarga terdekat sama ada daripada pihak keluarga bakal suami atau bakal isteri atas keutamaannya daripada orang lain dalam keluarga berkenaan. Keutamaan itu sama ada dilihat dari sudut pengetahuan agama, umur, kedudukan, hubungan kekeluargaan dan seumpamanya.
Namun yang menjadi persoalan ialah siapakah yang dibolehkan menjadi saksi dalam ‘aqad nikah dan apa pula syarat-syarat yang perlu dipenuhinya?
Syarat-syarat bagi saksi nikah ialah seperti berikut:
1. Islam.
2. Merdeka.
3. Berakal.
4. Bâligh.
5. Lelaki.
6. ‘Âdil, Maksud ‘âdil di sini ialah pada zahirnya tidak fâsiq iaitu tidak melakukan dosa-dosa besar dan tidak berterusan melakukan dosa-dosa kecil.
7. Orang yang boleh mendengar walaupun dengan suara yang tinggi. Tidak diterima kesaksian orang tuli atau orang yang tidur.
Disyaratkan saksi itu hendaklah dia orang yang boleh mendengar kerana perkara yang disaksikan (masyhûd ‘alaih) dalam ‘aqad pernikahan itu ialah ucapan, iaitu saksi mendengar ucapan îjâb dan qabûl ‘aqad nikah.
8. Orang yang boleh melihat. Tidak diterima kesaksian orang buta.
Disyaratkan saksi itu hendaklah dia orang yang boleh melihat kerana kesaksian terhadap suatu ucapan seperti kesaksian dalam ‘aqad nikah tidak dapat ditsabitkan melainkan dengan saksi berkenaan melihat kepada setiap orang yang ber‘aqad ketika masing-masing membuat ucapan îjâb dan qabûl dan saksi juga hendaklah mendengar ucapan tersebut.
9. Orang yang boleh bercakap. Tidak diterima kesaksian orang bisu.
10. Orang yang rasyîd iaitu orang yang mampu mengurus harta dan agamanya. Tidak diterima kesaksian orang yang tidak mampu mengurus harta dan agamanya kerana lemah akalnya.
11. Orang yang tidak mempunyai masalah ingatan disebabkan sifat lalai dan lupa.
12. Orang yang faham bahasa yang digunakan oleh dua orang yang ber‘aqad.
13. Orang yang tidak menjadi wali nikah dalam pernikahan tersebut. Sebagai contoh, seorang bapa telah mewakilkan perwaliannya kepada jurunikah dan bapa tersebut bersama seorang saksi yang lain menjadi saksi pernikahan anak yang dia walikan itu, maka tidak diterima kesaksian bapa berkenaan.
Selain daripada dua orang saksi yang disyaratkan tersebut, sunat dijemput orang-orang salih untuk hadir dalam majlis pernikahan berkenaan dan mendengar ‘aqad nikah.
Orang yang memenuhi kesemua syarat bagi saksi nikah boleh menjadi saksi nikah dan diterima kesaksiannya, sama ada dia adalah daripada pihak keluarga bakal suami atau bakal isteri, sama ada daripada ahli keluarga atau bukan ahli keluarga. Walau bagaimanapun, bagi ahli keluarga bakal isteri yang hendak menjadi saksi dalam pernikahan tersebut hendaklah dipastikan bahawa dia tidak menjadi wali nikah dalam pernikahan tersebut.
Orang-orang yang berhak menjadi wali bagi bakal isteri ialah bapa, datuk (bapa kepada bapa) hingga ke atas, saudara lelaki seibu sebapa, saudara lelaki sebapa, anak lelaki kepada saudara lelaki seibu sebapa hingga ke bawah, anak lelaki kepada saudara lelaki sebapa hingga ke bawah, bapa saudara seibu sebapa sebelah bapa, bapa saudara sebapa sebelah bapa, anak lelaki kepada bapa saudara seibu sebapa sebelah bapa hingga ke bawah, anak lelaki kepada bapa saudara sebapa sebelah bapa hingga ke bawah.
Sebagai gambaran mengenai perkara ini, misalnya bakal isteri mempunyai beberapa orang ahli keluarga yang berhak menjadi wali pernikahannya. Bakal isteri mempunyai tiga orang saudara lelaki yang berhak menjadi wali dan salah seorang dari mereka telah ditentukan menjadi wali dalam pernikahan tersebut. Maka saudara lelaki yang telah ditentukan menjadi wali itu tidak sah menjadi saksi dalam pernikahan tersebut sekalipun dia telah mewakilkan orang lain untuk melaksanakan ‘aqad nikah bagi pihaknya. Adapun dua orang saudara lelaki yang tidak ditentukan menjadi wali itu boleh menjadi saksi sama ada salah seorang dari mereka atau kedua-duanya.
Selain itu antara ahli keluarga yang boleh menjadi saksi ‘aqad nikah itu ialah anak lelaki kepada bakal suami atau bakal isteri. Imam al-Mahalli Rahimahullâh ketika mensyarahkan kitab Minhâj ath-Thâlibîn menyebut mengenai perkara ini dengan katanya:
Ertinya: Dan menurut pendapat al-ashah, adalah sah pernikahan dengan (bersaksikan) dua orang anak lelaki kepada kedua-dua (bakal) suami isteri, iaitu dengan (bersaksikan) dua anak lelaki kepada setiap seorang daripada kedua-duanya (bakal suami atau bakal isteri tersebut), atau seorang anak lelaki kepada salah seorang daripada kedua-duanya (bakal suami atau bakal isteri) dan seorang anak lelaki kepada yang seorang lagi.
Oleh yang demikian, saksi yang terdiri daripada anak lelaki kepada bakal suami dan isteri itu ada empat gambaran:
a. Kedua-dua saksi ialah anak lelaki kepada bakal suami. b. Kedua-dua saksi ialah anak lelaki kepada bakal isteri. c. Kedua-dua saksi ialah anak lelaki kepada kedua-dua pasangan suami isteri tersebut. d. Seorang saksi ialah anak lelaki kepada bakal suami, manakala seorang saksi lagi ialah anak lelaki kepada bakal isteri.
Begitu juga bapa kepada bakal suami boleh menjadi saksi nikah sebagaimana yang disebut oleh asy-Syaikh ‘Amirah al-Burullusi Rahimahullâh dalam kitabnya:
Ertinya: (Adalah sah pernikahan) dengan (bersaksikan) dua orang anak lelaki kepada (bakal) suami isteri, (kedudukan) datuk-datuk juga adalah sama seperti kedua-duanya (anak lelaki kepada bakal suami isteri), dan begitu juga bapa kepada (bakal) suami. Adapun bapa kepada (bakal) isteri, maka sesungguhnya ia (kesaksiannya) tidak sah.
Demikian penjelasan mengenai saksi ‘aqad nikah.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-15808
دليل الألوان
