Bacaan Tasyahhud Bagi Ma’mum Yang Masbûq
الجواب
Duduk tahiyyat awal dilakukan pada rakaat kedua dalam sembahyang yang bilangan rakaatnya melebihi dua rakaat seperti sembahyang Zhuhur, ‘Ashar, Maghrib dan ‘Isya’. Manakala duduk tahiyyat akhir pula dilakukan pada rakaat akhir sebelum memberi salam dalam sembahyang.
Bacaan tasyahhud awwal dan duduk tahiyyat awal adalah termasuk dalam sunat ab‘adh sembahyang. Jika ditinggalkan, sembahyang seseorang tidak batal namun sunat melakukan sujud sahwi pada penghujung sembahyang. Bacaan tasyahhud akhîr ketika duduk tahiyyat akhir pula merupakan rukun qauli iaitu bacaan yang diwajibkan dalam sembahyang. Jika ditinggalkan, sembahyang seseorang itu hukumnya tidak sah.
Membaca tasyahhud awwal adalah sunat sama ada bagi orang yang sembahyang seorang diri (munfarid), bagi imam atau ma’mum. Namun bagi ma’mum yang masbûq dalam sembahyang berjemaah, apakah bacaan tasyahhud yang dituntut bagi ma’mum yang masbûq semasa imam duduk tahiyyat akhir sedangkan ma’mum yang masbûq itu pada rakaat yang kedua, atau semasa imam duduk tahiyyat awal atau tahiyyat akhir sedangkan ma’mum yang masbûq itu pada rakaat selain rakaat kedua.
Bacaan Semasa Duduk Tahiyyat Awal dan Tahiyyat Akhir
Bacaan tasyahhud awwal yang disunatkan ketika duduk tahiyyat awal itu ialah membaca tasyahhud diikuti dengan selawat ke atas Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam. Bacaan tasyahhud awwal tidak disunatkan untuk menambah selawat ke atas ahli keluarga Baginda Shallallâhu ‘alaihi wa sallam dan makruh memanjangkan bacaan tasyahhud awwal dengan membaca do‘a kerana tasyahhud awwal itu adalah bacaan yang ringan. Bacaan tasyahhud awwal dengan lafaz tasyahhud yang paling sempurna yang masyhur serta selawat ke atas Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam itu adalah sebagaimana berikut:
Ertinya: Segala penghormatan, keberkatan, sembahyang serta amal salih adalah bagi Allah. Salam sejahtera, rahmat dan keberkatan Allah ke atasmu wahai Nabi. Salam sejahtera ke atas kami dan para hamba Allah yang salih. Aku naik saksi bahawasanya tiada tuhan melainkan Allah, dan aku naik saksi bahawasanya Nabi Muhammad adalah Pesuruh Allah. Ya Allah! Limpahkanlah selawat ke atas Sayyidina Muhammad.
Bacaan tasyahhud akhîr yang wajib dibaca ketika duduk tahiyyat akhir ialah membaca tasyahhud dan diikuti dengan selawat ke atas Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam sebagaimana bacaan tasyahhud awwal. Setelah selesai daripada bacaan yang diwajibkan, disunatkan menambah selawat ke atas ahli keluarga Baginda dan disunatkan juga membaca selawat yang paling sempurna (akmal) iaitu membaca selawat al-Ibrahimiyyah. Setelah selesai membaca tasyahhud akhîr, disunatkan untuk membaca do‘a-do‘a dan yang afdhal untuk dibaca ialah do‘a yang ma’tsûr.
Bacaan tasyahhud akhîr dengan lafaz tasyahhud yang paling sempurna dan selawat yang paling sempurna ke atas Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam dan ahli keluarga Baginda adalah sebagaimana berikut:
Ertinya: Segala penghormatan, keberkatan, sembahyang serta amal salih adalah bagi Allah. Salam sejahtera, rahmat dan keberkatan Allah ke atasmu wahai Nabi. Salam sejahtera ke atas kami dan para hamba Allah yang salih. Aku naik saksi bahawasanya tiada tuhan melainkan Allah dan aku naik saksi bahawasanya Nabi Muhammad adalah Pesuruh Allah. Ya Allah! Limpahkanlah selawat ke atas Sayyidina Muhammad dan ke atas ahli keluarga Sayyidina Muhammad, sebagaimana Engkau telah limpahkan selawat ke atas Sayyidina Ibrahim dan ke atas ahli keluarga Sayyidina Ibrahim dan berkatilah Sayyidina Muhammad dan ke atas ahli keluarga Sayyidina Muhammad, sebagaimana Engkau telah berkati Sayyidina Ibrahim dan ke atas ahli keluarga Sayyidina Ibrahim di kalangan penduduk seluruh alam, sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Terpuji lagi sangat melimpah kebaikan dan kemurahanNya.
Bacaan Tasyahhud Awwal Bagi Masbûq
Menurut Imam Ibn Hajar al-Haitami Rahimahullâh, bacaan tasyahhud awwal adalah bacaan yang ringan sebagaimana yang dijelaskan di atas. Ia disunatkan sama ada bagi orang yang sembahyang sendirian, imam atau ma’mum. Namun bagi ma’mum yang masbûq, bacaan tasyahhud yang dituntut adalah tertakluk kepada beberapa keadaan berikut:
i. Imam pada rakaat akhir dan ma’mum pada rakaat kedua.
Jika imam berada pada rakaat akhir dan melakukan duduk tahiyyat akhir dan ma’mum yang masbûq berada pada rakaat kedua dan duduk tahiyyat awal, maka dalam hal ini ma’mum yang masbûq wajib mengikut imamnya duduk tahiyyat dan sunat baginya duduk iftirâsy iaitu sepertimana duduk tahiyyat awal. Menurut Imam Ibn Hajar al-Haitami Rahimahullâh sunat baginya membaca tasyahhud awwal.
Menurut Imam Ibn Hajar al-Haitami Rahimahullâh lagi, jika ma’mum yang masbûq lebih dahulu selesai bacaan tasyahhud awwal sedangkan imam masih membaca tasyahhud akhîr, maka sunat baginya berdo‘a atau berzikir sehingga imam memberi salam dalam sembahyang.
ii. Imam pada rakaat kedua dan ma’mum pada selain rakaat kedua.
Jika imam berada pada rakaat kedua dan melakukan duduk tahiyyat awal dan ma’mum yang masbûq bukan berada pada rakaat kedua seperti dia pada rakaat pertama atau belum mendapat satu rakaat bersama imam, maka dalam hal ini wajib bagi ma’mum yang masbûq mengikut imam duduk tahiyyat dan sunat baginya duduk iftirâsy serta sunat baginya membaca tasyahhud awwal. Jika ma’mum yang masbûq lebih dahulu selesai bacaan tasyahhud awwal daripada imam, maka baginya sama ada diam, atau berzikir atau menurut Imam Ibn Hajar al-Haitami Rahimahullâh dia berdo‘a, namun berdo‘a atau berzikir itu adalah lebih utama berbanding diam.
iii. Imam pada rakaat akhir dan ma’mum pada selain rakaat kedua.
Jika imam berada pada rakaat akhir dan melakukan duduk tahiyyat akhir dan ma’mum yang masbûq bukan berada pada rakaat kedua seperti dia pada rakaat pertama atau rakaat ketiga atau belum mendapat satu rakaat bersama imam, maka wajib bagi ma’mum yang masbûq mengikut imam duduk tahiyyat akhir dan sunat baginya duduk iftirâsy. Sunat baginya menyempurnakan bacaan tasyahhud akhîr kerana mengikut imam, atau membaca tasyahhud awwal kemudian jika ma’mum yang masbûq lebih dahulu selesai bacaan tasyahhud awwal dia menambah bacaan do‘a atau zikir.
Antara contoh do‘a itu ialah seperti do‘a memohon keampunan bagi dirinya iaitu ِ رَب ِّ اغْفِر ْ ل atau do‘a memohon keampunan bagi dirinya, ibu bapanya dan keseluruhan umat Islam iaitu
Manakala contoh zikir pula antaranya ialah tasbîh ِِّٰل سُ بْحَان َ ا, tahmîd
Demikian penjelasan mengenai bacaan tasyahhud bagi ma’mum yang masbûq.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-15815
دليل الألوان
