Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳النكاح والطلاق٠ مشاهدة

Meminang Perempuan Yang Telah Dipinang

الجواب

Peminangan dalam bahasa Arab ialah khithbah. Maksud khithbah atau peminangan dari sudut syara‘ ialah pernyataan keinginan peminang (khathib) untuk bernikah kepada pihak yang dipinang (makhthûbah), sama ada pihak yang dipinang itu perempuan yang hendak dipinang itu sendiri atau wali perempuan tersebut atau selain kedua-duanya.

Peminangan merupakan suatu perbuatan yang tsabit dilakukan oleh Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam berdasarkan hadits daripada ‘Urwah Radhiallâhu ‘anhu, beliau berkata:

Maksudnya: Sesungguhnya Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam telah meminang ‘Aisyah (dengan mengajukan peminangan Baginda itu) kepada Abu Bakr. (Hadits riwayat al-Bukhari)

Dalam hadits yang lain, ‘Abdullah bin ‘Umar Radhiallâhu ‘anhumâ menceritakan bahawa ketika Sayyidina ‘Umar Radhiallâhu ‘anhu mencari calon suami untuk anak beliau Sayyidatina Hafshah Radhiallâhu ‘anhâ yang menjadi janda, Sayyidina ‘Umar Radhiallâhu ‘anhu berkata:

Maksudnya: Aku telah mendatangi ‘Utsman bin ‘Affan lalu aku menawarkan Hafshah (anakku) kepadanya. Lalu beliau (‘Utsman) berkata: “Aku akan melihat dalam urusanku (memikirkannya)”. Lalu aku pun menunggu beberapa malam sehingga kemudiannya dia menemuiku, lalu berkata: “Sesungguhnya telah nyata kepadaku untuk tidak berkahwin pada hari ini”. (‘Abdullah bin ‘Umar menceritakan lagi) ‘Umar berkata: Lalu aku menemui Abu Bakr as-Shiddiq, aku berkata: “Jika engkau mahu, aku kahwinkan engkau dengan Hafshah binti ‘Umar”. Abu Bakr diam dan dia tidak memberikan sesuatu jawaban pun kepadaku dan dia membuatku sangat marah kepadanya mengatasi (kemarahanku) ke atas ‘Utsman. Lalu aku menunggu beberapa malam sehingga kemudiannya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam meminangnya (Hafshah), maka aku pun menikahkannya (Hafshah) dengan Baginda. (Hadits riwayat al-Bukhari)

Menurut para ulama, seorang lelaki harus meminang perempuan yang belum bernikah dan perempuan yang tidak menjalani ‘iddah. Manakala perempuan yang bersuami pula, maka haram hukumnya bagi seorang lelaki meminangnya. Bagaimanakah pula hukum meminang perempuan yang telah dipinang?

Hukum seorang lelaki meminang perempuan yang telah dipinang tertakluk kepada dua keadaan, iaitu sama ada pinangan awal telah diterima oleh pihak yang dipinang dengan lafaz yang jelas menunjukkan penerimaan pinangan (tashrîh) atau pinangan awal belum diterima atau ditolak oleh pihak yang dipinang.

1. Pinangan Awal Diterima Dengan Lafaz Tashrîh.

Jika pinangan yang dilakukan oleh peminang awal diterima oleh pihak yang dipinang dengan lafaz tashrîh, maka haram hukumnya bagi peminang kedua meminang perempuan yang telah dipinang (tunang) kecuali peminang awal mengizinkannya atau peminang awal meninggalkan tunangnya. Perkara ini dijelaskan oleh Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam kitabnya Raudhah ath-Thâlibîn:

Ertinya: Haram peminangan di atas peminangan orang lain selepas jelas penerimaannya (oleh pihak yang dipinang), melainkan jika orang lain itu (peminang awal) mengizinkan (peminang kedua meminangnya) atau dia (peminang awal) meninggalkan (perempuan yang dipinangnya itu).

Menurut Imam Ibn Hajar al-Haitami Rahimahullâh dalam kitabnya Tuhfah al-Muhtâj, termasuk juga dalam pengharaman ini peminangan seorang Islam ke atas tunang orang bukan Islam yang muhtaram (selain kafir harbi dan orang murtad). Adapun meminang tunang kafir harbi atau tunang orang murtad, maka tidak diharamkan kerana telah gugur haknya.

Pengharaman meminang tunang orang lain itu berdasarkan hadits daripada Ibn ‘Umar Radhiallâhu ‘anhumâ, beliau berkata:

Maksudnya: Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam melarang kamu membeli atas belian orang lain, dan jangan seorang lelaki meminang atas pinangan saudaranya sehingga peminang sebelumnya (peminang awal) meninggalkan (perempuan yang telah dipinangnya) atau peminang (awal tersebut) memberi izin baginya (untuk meminang). (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Menurut Imam an-Nawawi Rahimahullâh ketika mensyarah hadits di atas dalam kitabnya al-Minhâj fi Syarh Shahîh Muslim, larangan dalam hadits tersebut ialah larangan yang berbentuk haram berdasarkan ijmâ‘ ulama jika pinangan daripada peminang awal itu telah diterima dengan lafaz tashrîh oleh pihak yang dipinang dan peminang awal tidak memberi izin untuk lelaki lain meminang perempuan tersebut dan peminang awal itu tidak meninggalkan perempuan tersebut.

Menurut Imam Ibn Hajar al-Haitami Rahimahullâh dalam kitabnya Tuhfah al-Muhtâj, pengharaman tersebut adalah kerana meminang tunang orang lain itu adalah sesuatu yang menyakiti dan memutus silaturrahim.

Menurut asy-Syaikh al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh dalam kitabnya Mughnî al-Muhtâj, pengharaman meminang tunang orang lain adalah tertakluk kepada syarat-syarat seperti berikut:

a. Peminang mengetahui bahawa perempuan yang hendak dipinang sudah dipinang oleh orang lain dan pinangan tersebut telah diterima dengan lafaz tashrîh.

Menurut asy-Syaikh al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh lagi, penerimaan terhadap suatu pinangan itu diambil kira apabila ia dibuat oleh perempuan yang dipinang itu sendiri iaitu jika perempuan tersebut diambil kira izinnya (ghair mujbirah) atau oleh walinya jika perempuan itu tidak diambil kira izinnya (mujbirah) atau oleh perempuan itu bersama walinya jika peminang itu tidak sekufu atau oleh raja jika perempuan itu gila dan sudah bâligh yang tidak mempunyai bapa dan nenek.

b. Peminang mengetahui keharaman meminang tunang orang lain.

c. Peminangan yang dilakukan oleh peminang awal itu adalah peminangan yang harus dilakukan di sisi syara‘.

Menurut as-Sayyid al-Bakri Rahimahullâh dalam kitabnya I‘ânah ath-Thâlibîn, termasuk dalam maksud peminangan yang harus itu ialah peminangan yang dihukumkan makruh seperti peminang awal tidak mampu menyediakan perbelanjaan dan tidak lagi mempunyai keinginan untuk bernikah.

Oleh itu, jika tidak berlaku syarat-syarat tersebut seperti peminangan oleh peminang awal ditolak oleh pihak yang dipinang atau peminangan pertama dijawab dengan lafaz tashrîh namun peminang kedua tidak mengetahuinya atau peminang kedua tidak mengetahui pengharamannya atau peminang kedua mengetahui pengharamannya namun dia tidak mengetahui bahawa peminangan pertama telah diterima dengan lafaz tashrîh atau peminangan yang dilakukan oleh peminang awal diharamkan oleh syara‘ seperti peminang awal meminang perempuan dalam ‘iddah kerana dicerai suaminya (bukan peminang awal), maka peminangan oleh peminang kedua yang dilakukan dalam kesemua keadaan ini dihukumkan tidak haram sebagaimana yang dijelaskan oleh asy-Syaikh al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh dalam kitabnya Mughnî al-Muhtâj.

Peminangan yang dilakukan oleh peminang kedua juga tidak dihukumkan haram jika peminang awal telah memberi izin kepada peminang kedua dan keizinan tersebut bukan diberikan kerana takut atau malu kepada peminang kedua atau peminang awal dengan rela hati meninggalkan perempuan yang dipinangnya itu atau pihak yang menerima pinangan menjauhkan diri daripada peminang awal atau peminang awal menjauhkan diri daripada perempuan yang dipinangnya seperti peminang awal melakukan pelayaran yang jauh sehingga menyebabkan terputus perhubungan di antara peminang awal dengan perempuan yang dipinang. Perkara ini dijelaskan oleh Imam Ibn Hajar al-Haitami Rahimahullâh dalam kitabnya Tuhfah al-Muhtâj.

2. Pinangan Awal Belum Diterima atau Ditolak.

Jika peminangan yang dilakukan oleh peminang awal belum diterima dan belum juga ditolak oleh pihak yang dipinangnya itu dengan lafaz tashrîh, umpamanya pihak yang dipinang itu hanya berdiam diri dan orang yang diam itu pula bukan anak dara yang boleh diambil kira diamnya, maka tidak haram hukumnya bagi peminang kedua meminang perempuan yang telah dipinang oleh peminang awal. Menurut ulama, termasuk juga dalam hal ini peminangan yang dijawab dengan lafaz yang tidak jelas menunjukkan penerimaan atau penolakan pinangan (ta‘rîdh) seperti perempuan yang dipinang berkata kepada peminang awal: “Aku tidak membencimu”. Perkara ini dijelaskan oleh Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam kitabnya Minhâj ath-Thâlibîn, katanya:

Ertinya: Jika (pinangan dari peminang awal) tidak diterima dan tidak ditolak (dengan lafaz tashrîh), tidak haram (meminangnya) menurut pendapat al-azhhar.

Perkara tersebut disandarkan kepada hadits daripada Fathimah binti Qais Radhiallâhu ‘anhâ, beliau menceritakan bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam memerintahkan beliau untuk menjalani ‘iddah setelah beliau dithalaq oleh suaminya Abu ‘Amr bin Hafsh Radhiallâhu ‘anhu. Apabila beliau telah selesai menjalani ‘iddah, beliau mengkhabarkan kepada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bahawa Mu‘awiyah bin Abu Sufyan dan Abu Jahm Radhiallâhu ‘anhumâ kedua-duanya meminang beliau, maka Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Adapun Abu Jahm, maka dia tidak meletakkan tongkatnya daripada bahunya (selalu memukul perempuan). Adapun Mu‘awiyah, maka dia itu seorang yang fakir, tiada harta baginya. Engkau nikahilah Usamah bin Zaid. (Hadits riwayat Muslim)

Menurut asy-Syaikh al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh dalam kitabnya Mughnî al-Muhtâj, hadits di atas menjelaskan bahawa Abu Jahm dan Mu‘awiyah Radhiallâhu ‘anhumâ kedua-duanya telah meminang Fathimah binti Qais Radhiallâhu ‘anhâ. Namun Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam meminang Fathimah binti Qais Radhiallâhu ‘anhâ bagi pihak Usamah Radhiallâhu ‘anhu setelah beliau dipinang kerana Fathimah binti Qais Radhiallâhu ‘anhâ belum menerima mana-mana pinangan dari Abu Jahm dan Mu‘awiyah Radhiallâhu ‘anhumâ.

Demikian penjelasan mengenai meminang perempuan yang telah dipinang.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-15820

دليل الألوان

آية قرآنيةحديث شريفنص فقهي من كتب العلماءرد اللجنة (المرجع الأساسي للفتوى)رقمرابط لفتوى أخرى مذكورة في النص