Menjama‘ Sembahyang Fardhu Jumaat Dengan ‘Ashar
الجواب
Orang yang dalam safar tidak diwajibkan mengerjakan sembahyang fardhu Jumaat kerana salah satu syarat wajib Jumaat ialah bermuqîm (menetap) melainkan dia memulakan safar pada hari Jumaat selepas terbit fajar. Meskipun demikian, musafir pada hari Jumaat itu tetap mendapat rukhshah menjama‘ dua sembahyang fardhu sama ada dia musafir yang diwajibkan mengerjakan sembahyang fardhu Jumaat ataupun dia musafir yang tidak diwajibkan mengerjakan sembahyang fardhu Jumaat, asalkan dia memenuhi syarat-syarat tertentu. Hal ini kerana safar adalah salah satu sebab yang mengharuskan seseorang itu untuk menjama‘ sembahyang.
Musafir yang tidak diwajibkan mengerjakan sembahyang fardhu Jumaat boleh memilih antara mengerjakan sembahyang fardhu Jumaat atau mengerjakan sembahyang fardhu Zhuhur. Sekiranya dia memilih untuk mengerjakan sembahyang fardhu Zhuhur, maka dia harus menjama‘ sembahyang fardhu Zhuhur tersebut dengan sembahyang fardhu ‘Ashar secara jama‘ taqdîm atau jama‘ ta’khîr. Akan tetapi jika dia memilih untuk mengerjakan sembahyang fardhu Jumaat, adakah dia boleh menjama‘ sembahyang fardhu Jumaat itu dengan sembahyang fardhu ‘Ashar secara jama‘ taqdîm atau jama‘ ta’khîr?
Hukum menjama‘ sembahyang fardhu Jumaat dengan ‘Ashar adalah harus. Walau bagaimanapun, sembahyang jama‘ fardhu Jumaat dengan ‘Ashar itu hanya boleh dikerjakan secara jama‘ taqdîm sahaja dan tidak boleh dikerjakan secara jama‘ ta’khîr kerana sembahyang fardhu Jumaat itu tidak tertunai jika dikerjakan di luar dari waktunya. Hal ini sebagaimana kata asy-Syaikh Zakariyya al-Anshari Rahimahullâh dalam kitabnya Asnâ al-Mathâlib:
Ertinya: Dan harus menjama‘ (sembahyang fardhu) Jumaat dengan ‘Ashar secara (jama‘) taqdîm sebagaimana yang dinukilkan oleh az-Zarkasyi dan dii‘timâdkan olehnya sepertimana (harus) menjama‘ kedua-duanya (sembahyang fardhu Jumaat dengan ‘Ashar) kerana hujan, bahkan lebih utama (menjama‘ kedua-duanya) dan ditegah (menjama‘ kedua-duanya) secara (jama‘) ta’khîr; kerana sesungguhnya (sembahyang fardhu) Jumaat itu tidak tertunai (dengan) mengakhirkannya (mengerjakannya di luar) dari waktunya.
Cara melaksanakan sembahyang jama‘ fardhu Jumaat dengan ‘Ashar itu sama seperti cara melaksanakan sembahyang jama‘ fardhu Zhuhur dengan ‘Ashar secara jama‘ taqdîm sebagaimana kata asy-Syaikh al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh dalam kitabnya al-Iqnâ‘ fî Hall Alfâzh Abi Syuja‘:
Ertinya: Dan harus bagi musafir (dalam) pelayaran (yang membolehkan sembahyang) qashar untuk menjama‘ antara dua sembahyang Zhuhur dan ‘Ashar pada mana-mana waktu yang dia kehendaki (sama ada secara) taqdîm atau ta’khîr dan (begitu juga) menjama‘ antara dua sembahyang Maghrib dan ‘Isya’ pada mana-mana waktu yang dia kehendaki (sama ada secara) taqdîm atau ta’khîr. Dan (sembahyang fardhu) Jumaat adalah seperti (sembahyang fardhu) Zhuhur dalam (perkara) jama‘ taqdîm.
Oleh kerana cara melaksanakan sembahyang jama‘ fardhu Jumaat dengan ‘Ashar itu sama seperti cara melaksanakan sembahyang jama‘ fardhu Zhuhur dengan ‘Ashar secara jama‘ taqdîm, maka musafir yang menjama‘ sembahyang fardhu Jumaat dengan ‘Ashar itu hendaklah mengerjakan kedua-duanya dalam waktu Zhuhur sahaja.
Contoh lafaz niat sembahyang fardhu Jumaat dan juga ‘Ashar yang dijama‘ secara jama‘ taqdîm itu ialah:
(i) Contoh lafaz niat sembahyang jama‘ fardhu Jumaat:
Ertinya: Sahaja aku sembahyang fardhu Jumaat dua rakaat, dihimpunkan kepadanya (sembahyang fardhu) ‘Ashar, jama‘ taqdîm, tunai mengikut imam kerana Allah Ta‘ala.
(ii) Contoh lafaz niat sembahyang jama‘ fardhu ‘Ashar:
Ertinya: Sahaja aku sembahyang fardhu ‘Ashar empat rakaat, dihimpunkan kepada (sembahyang fardhu) Jumaat, jama‘ taqdîm, tunai kerana Allah Ta‘ala.
Di samping itu, musafir yang menjama‘ sembahyang fardhu Jumaat dengan ‘Ashar tersebut hendaklah memenuhi syarat-syarat jama‘ taqdîm yang berikut:
1. Mengerjakan dua sembahyang yang dijama‘ secara tertib.
Musafir yang menjama‘ sembahyang fardhu Jumaat dengan ‘Ashar hendaklah mengerjakan sembahyang fardhu Jumaat terlebih dahulu, kemudian diikuti dengan mengerjakan sembahyang fardhu ‘Ashar. Sekiranya dia mendahulukan sembahyang fardhu ‘Ashar daripada sembahyang fardhu Jumaat, maka tidak sah sembahyang fardhu ‘Ashar yang dikerjakannya itu, bahkan wajib dia mengulang semula sembahyang fardhu ‘Ashar tersebut selepas mengerjakan sembahyang fardhu Jumaat jika dia tetap ingin menjama‘ kedua-duanya.
2. Berniat untuk menjama‘ sembahyang.
Niat menjama‘ sembahyang adalah niat untuk menghimpunkan dua sembahyang fardhu. Musafir yang hendak menjama‘ sembahyang fardhu Jumaat dengan ‘Ashar secara jama‘ taqdîm disyaratkan untuk menghadirkan niat menjama‘ sembahyang secara jama‘ taqdîm dalam sembahyang fardhu Jumaat. Waktu yang afdhal untuk berniat menjama‘ sembahyang itu adalah ketika melakukan takbîratul-ihrâm sembahyang fardhu Jumaat dengan lafaz niat seperti yang telah disebut di atas.
Sekiranya musafir tersebut tidak berniat menjama‘ sembahyang ketika melakukan takbîratul-ihrâm sembahyang fardhu Jumaat contohnya kerana dia terlupa atau belum ada kemahuan untuk menjama‘ sembahyang, kemudian selepas melakukan takbîratul-ihrâm sembahyang fardhu Jumaat dia teringat untuk menjama‘ sembahyang atau timbul kemahuan untuk menjama‘ sembahyang, maka harus dia berniat menjama‘ sembahyang fardhu Jumaat dengan ‘Ashar itu pada bila-bila masa sepanjang mengerjakan sembahyang fardhu Jumaat sebelum selesai salam yang pertama sembahyang fardhu Jumaat tersebut. Niat menjama‘ sembahyang itu memadai dengan lintasan di dalam hati untuk menjama‘ sembahyang fardhu ‘Ashar kepada sembahyang fardhu Jumaat.
3. Mengerjakan dua sembahyang yang dijama‘ secara muwâlâh
Muwâlâh bermaksud berturut-turut dan dalam konteks sembahyang jama‘, muwâlâh bermaksud tidak memisahkan antara dua sembahyang fardhu yang dijama‘ dengan tempoh waktu yang panjang sekalipun kerana uzur seperti gila, lalai atau pengsan.
Kadar waktu yang panjang itu dinilai mengikut ‘urf (adat atau kebiasaan). Hal ini kerana tidak ada ukuran tertentu bagi kadar waktu yang panjang atau pendek itu dalam syara‘ mahupun bahasa. Walau bagaimanapun, Imam Ibn Hajar al-Haitami Rahimahullâh dalam kitabnya Tuhfah al-Muhtâj dan Imam ar-Ramli Rahimahullâh dalam kitabnya Nihâyah al-Muhtâj ada menyebut bahawa waktu yang dikira panjang itu adalah kadar waktu mengerjakan sembahyang dua rakaat yang paling ringkas.
Jika sembahyang fardhu Jumaat itu dipisahkan dengan sembahyang fardhu ‘Ashar dengan tempoh waktu yang panjang sekira-kira kadar waktu mengerjakan sembahyang dua rakaat yang paling ringkas, maka tidak ada lagi rukhshah (keringanan) untuk dia menjama‘ sembahyang fardhu ‘Ashar kepada sembahyang fardhu Jumaat, bahkan wajib dia mengerjakan sembahyang fardhu ‘Ashar tersebut dalam waktunya kerana telah luput salah satu syarat jama‘, iaitu muwâlâh.
4. Berkekalan safar sehingga selesai menyempurnakan takbîratul-ihrâm bagi sembahyang yang kedua.
Safar bagi musafir yang ingin menjama‘ sembahyang fardhu Jumaat dengan ‘Ashar hendaklah berkekalan sehingga selesai menyempurnakan takbîratul-ihrâm bagi sembahyang fardhu ‘Ashar. Sekiranya musafir itu berniat untuk bermuqîm sebelum mengerjakan sembahyang fardhu ‘Ashar seperti dia berniat untuk menetap di tempat dia berada ketika itu empat hari tidak termasuk hari datang dan balik, maka terbatal rukhshah (keringanan) untuk dia menjama‘ sembahyang fardhu ‘Ashar kepada sembahyang fardhu Jumaat, bahkan wajib dia mengerjakan sembahyang fardhu ‘Ashar tersebut dalam waktunya. Walau bagaimanapun, sembahyang fardhu Jumaat yang telah dikerjakannya dengan niat jama‘ adalah sah.
Jika musafir tersebut menjadi bermuqîm setelah melakukan takbîratul-ihrâm sembahyang fardhu ‘Ashar atau sesudah dia selesai mengerjakan sembahyang fardhu ‘Ashar, maka sah jama‘ sembahyang fardhu Jumaat dengan ‘Ashar tersebut.
Demikian penjelasan mengenai menjama‘ sembahyang fardhu Jumaat dengan ‘Ashar.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-15824
دليل الألوان
