Bersuci Menggunakan Sabun Sertu
الجواب
Sertu bermaksud menyucikan mana-mana bahagian badan atau tempat yang terkena najis mughallazhah dengan cara membasuh tempat yang terkena najis dengan air sebanyak tujuh kali dan salah satu daripadanya adalah air yang bercampur tanah.
Najis mughallazhah ialah najis yang bersumber daripada anjing dan babi termasuk keturunan salah satu daripada kedua-dua binatang tersebut dengan binatang lain.
Cara menyucikan bahagian atau tempat yang terkena najis mughallazhah adalah dengan menghilangkan zat najis terlebih dahulu, kemudian diikuti dengan sertu iaitu membasuh bahagian atau tempat yang terkena najis mughallazhah sebanyak tujuh kali basuhan dengan air muthlaq dan salah satu daripadanya hendaklah air yang bercampur tanah yang suci dengan kadar sekira-kira keruh air tersebut sehingga meliputi keseluruhan bahagian atau tempat berkenaan.
Dalam pada itu, bagi memenuhi keperluan bersuci agar lebih mudah dan cepat digunakan, pelbagai jenama produk sabun sertu dihasilkan dan dijual di pasaran. Produk-produk sabun sertu tersebut ada yang dalam bentuk sabun buku dan ada yang dalam bentuk cecair. Antara bahan kandungan sabun sertu adalah seperti treated clay, sodium palmitate, pogestemon cablin oil, vitamin E, calcium, marine sediment (seaweed) dan sebagainya menurut jenama sabun sertu yang dihasilkan. Namun timbul persoalan, adakah sabun sertu tersebut memadai digunakan untuk bersuci sebagaimana yang dikehendaki syara‘?
Menurut syara‘, bahan yang digunakan untuk sertu ialah air dan tanah sahaja. Air yang digunakan untuk sertu hendaklah air yang suci lagi menyucikan atau air muthlaq. Adapun tanah yang digunakan untuk sertu pula adalah tanah asli sama ada tanah liat atau tanah lumpur sekalipun debu pasir dengan syarat hendaklah bersih daripada najis. Sertu tidak memadai dengan menggunakan tanah yang terkena najis seperti tanah yang bercampur dengan tahi burung atau air kencing anjing.
Sertu juga tidak memadai dengan menggunakan tanah yang musta‘mal iaitu tanah yang telah digunakan untuk tayammum atau untuk menyucikan najis mughallazhah. Maka penggunaan tanah yang musta‘mal untuk kali kedua adalah tidak sah menurut qaul al-mu‘tamad. Selain itu, sertu juga tidak memadai dengan menggunakan tanah yang dibakar dan tanah yang dicampur dengan cecair lain seperti cuka yang mengubah sifat air yang bercampur tanah itu.
As-Sayyid Muhammad ‘Abdullah al-Jurdani Rahimahullâh di dalam kitabnya Fath al-‘Allâm ada menjelaskan khusus bagi tanah yang digunakan untuk sertu bahawa tidak mengapa menggunakan tanah yang bercampur dengan sedikit benda asing yang suci kecuali benda asing yang suci itu banyak sehingga mengubah sifat air yang bercampur tanah itu.
Adapun menggunakan air yang sedia keruh kerana bercampur dengan tanah seperti air sungai yang keruh atau air mengalir yang keruh bercampur dengan tanah adalah memadai kerana ia sudah dikira sebagai air yang bercampur tanah. Imam ar-Ramli Rahimahullâh di dalam kitabnya Nihâyah al-Muhtâj menyebut:
Ertinya: Dan menempati kedudukan tatrîb (air bercampur dengan tanah), air yang keruh seperti air sungai Nil pada hari-hari airnya pasang dan seperti air mengalir yang bercampur dengan tanah.
Sertu dengan menggunakan selain tanah adalah tidak memadai. Menurut Imam an-Nawawi Rahimahullâh di dalam kitabnya al-Minhâj Syarh Shahîh Muslim ketika mensyarahkan hadits mengenai hukum jilatan anjing:
Ertinya: Sabun, usynân (bahan pembersih daripada tumbuhan) dan apa jua yang seumpama kedua-duanya tidak dapat menempati kedudukan tanah (dalam sertu) menurut pendapat al-ashah. Dan tidak ada perbezaan (hukum) di antara adanya tanah dan ketiadaannya menurut pendapat al-ashah.
Imam Ibn Hajar al-Haitami Rahimahullâh di dalam kitabnya Tuhfah al-Muhtâj juga ada menyebut:
Ertinya: Maka tidak dapat menempati kedudukannya (tanah) oleh selainnya seumpama usynân (bahan pembersih daripada tumbuhan) atau sabun.
Oleh yang demikian, hukum menggunakan produk sabun sertu, sama ada sabun sertu itu memadai digunakan untuk bersuci atau tidak adalah tertakluk kepada syarat tanah yang telah dijelaskan di atas. Produk sabun sertu tersebut, sungguhpun ia diperbuat daripada tanah akan tetapi jika ia bercampur dengan bahan-bahan lain yang mengubah sifat air yang bercampur tanah itu, maka ia tidak memadai digunakan untuk sertu. Sebagai contoh, air yang bercampur produk sabun sertu tersebut bukan menjadi air yang bercampur tanah semata-mata, bahkan menjadi air yang berbuih disebabkan bahan campuran sabun atau berbau harum disebabkan campuran bahan haruman.
Adapun sekiranya produk sabun sertu itu hanya diperbuat daripada tanah semata-mata yang tidak bercampur dengan benda lain atau bercampur dengan benda asing yang sedikit dan tidak mengubah sifat air bercampur tanah itu, maka ia memadai dan boleh digunakan untuk sertu. Demikian penjelasan mengenai bersuci menggunakan sabun sertu.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-15828
دليل الألوان
