Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳أحكام متنوعة٠ مشاهدة

Larangan Dalam Mengucap Ta‘ziah

الجواب

Apabila berlaku sesuatu musibah, kita disunatkan untuk mengucap ta‘ziah kepada orang-orang yang ditimpa musibah itu. Salah satu musibah yang disunatkan padanya mengucap ta‘ziah kepada orang-orang yang ditimpa musibah itu ialah apabila berlaku kematian.

Menurut Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam kitabnya al-Adzkâr, ta‘ziah ialah at-tashbîr iaitu mengajak bersabar, menyampaikan hal-hal yang dapat menghibur dan menenangkan ahli keluarga si mati, meringankan kesedihannya dan meringankan musibahnya.

Menurut Imam ar-Ramli dan asy-Syaikh al-Khathib asy-Syarbini Rahimahumallâh, hukum ta‘ziah adalah sunat mu’akkadah (sangat dituntut). Imam an-Nawawi Rahimahullâh menyebut dalam kitabnya al-Adzkâr bahawa ta‘ziah terkandung dalam rangka perintah al-amr bi al-ma‘rûf wa an-nahyi ‘an al-munkar. Ta‘ziah juga termasuk dalam maksud firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dalam surah al-Mâ’idah ayat 2:

Tafsirnya: Dan tolong-menolonglah kamu dalam kebajikan dan ketaqwaan. (Surah al-Mâ’idah: 2)

Menurut Imam an-Nawawi Rahimahullâh, ayat ini merupakan dalil paling kuat dalam pensyariatan ta‘ziah.

Pensyariatan ta‘ziah juga tsabit dalam hadits-hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam. Antaranya hadits daripada ‘Amr ibn Hazm Radhiallâhu ‘anhu, beliau meriwayatkan bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Tidak ada seorang mu’min yang mengucap ta’ziah kepada saudaranya disebabkan musibah (yang menimpa dirinya), melainkan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ akan memakaikannya pakaian kemuliaan pada Hari Kiamat. (Hadits riwayat Ibn Majah)

Ta‘ziah sunat diucapkan kepada semua peringkat ahli keluarga si mati sama ada ahli keluarga yang masih kecil atau dewasa, lelaki ataupun perempuan. Ta‘ziah sunat diucapkan terlebih dahulu kepada ahli keluarga yang paling lemah dan tidak terdaya menanggung derita musibah tersebut.

Ta‘ziah sunat diucapkan sama ada sebelum jenazah dikebumikan ataupun selepasnya. Walau bagaimanapun, mengucap ta‘ziah selepas jenazah dikebumikan adalah afdhal kerana sebelum dikebumikan, ahli keluarga si mati sedang sibuk dengan pengurusan jenazah. Tambahan pula, kesedihan dan kerinduan mereka terhadap si mati yang telah meninggalkan mereka adalah lebih berat setelah jenazah dikebumikan. Sekiranya didapati ada ahli keluarga si mati yang sangat berat kesedihan dan kedukaannya sebelum jenazah dikebumikan, maka dalam hal ini adalah lebih utama diucap ta‘ziah pada ahli keluarga berkenaan sebelum jenazah dikebumikan bagi menenangkannya.

Ta‘ziah boleh disampaikan dengan sebarang ucapan yang mengajak bersabar, mendo‘akan si mati dan ahli keluarganya, menyampaikan hal-hal yang dapat menghibur dan menenangkan ahli keluarga si mati, meringankan kesedihannya dan meringankan musibahnya. Antara ucapan ta‘ziah yang disukai oleh para ulama untuk diucapkan kepada orang Islam yang kematian ahli keluarganya yang beragama Islam ialah:

Ertinya: Semoga Allah membesarkan (melipatgandakan) pahalamu dan memperelok kesabaranmu serta mengampuni mayat ahli keluargamu.

Menurut Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam kitabnya al-Adzkâr, sebaik-baik ucapan ta‘ziah kepada orang Islam yang kematian ahli keluarganya yang beragama Islam ialah ucapan ta‘ziah yang pernah diucapkan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam ini:

Maksudnya: Sesungguhnya apa yang Allah ambil adalah milikNya, dan apa yang Dia beri (juga) adalah milikNya, dan semua itu ada tempoh yang tertentu di sisiNya, maka sabarlah engkau dan berharaplah engkau (kepada kurniaan pahala). (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Menurut Imam asy-Syibramallisi Rahimahullâh, sunat juga hukumnya menjabat tangan ahli keluarga si mati ketika mengucap ta‘ziah kepadanya.

Ahli keluarga si mati yang menerima ucapan ta‘ziah pula sunat membalas ucapan tersebut dengan ucapan seumpama:

Ertinya: Semoga Allah akan mengurniakan kepadamu sebaik-baik ganjaran.

Suatu perkara yang orang ramai sering terlepas pandang mengenainya ialah larangan-larangan yang perlu dijauhi ketika menyampaikan ta‘ziah. Larangan-larangan dalam ta‘ziah ini, jika tidak dipatuhi akan menyebabkan ta‘ziah itu bukan sahaja tidak mendatangkan pahala, bahkan boleh pula menyebabkan dosa kerana larangan-larangan tersebut ada kalanya hukumnya hanya makruh dan ada kalanya pula membawa kepada haram.

Antara larangan-larangan dalam ta‘ziah itu ialah:

i. Mengucap ta‘ziah selepas berlalu tiga hari musibah kematian.

Tempoh mengucapkan ta‘ziah kepada ahli keluarga si mati adalah tiga hari sahaja. Mengucapkan ta‘ziah selepas berlalu tiga hari hukumnya makruh kerana tujuan ta‘ziah ialah menenangkan hati orang yang ditimpa musibah sedangkan pada kebiasaannya hati ahli keluarga si mati menjadi semakin tenang dan kesedihannya menjadi semakin reda selepas berlalu tiga hari, maka dikhuatiri ucapan ta‘ziah tersebut akan menimbulkan kembali kesedihan dan kedukaan mereka.

Bagi orang yang tidak hadir ketika kematiannya kerana sedang musafir atau kerana ada halangan seperti sakit atau kerana belum sampai kepadanya khabar kematian tersebut, maka dia boleh mengucap ta‘ziah kepada ahli keluarga si mati setelah dia kembali dari pelayarannya, atau setelah tiada halangan untuknya bertemu ahli keluarga si mati atau setelah sampai kepadanya khabar kematian itu. Dia mempunyai masa untuk menyampaikan ta‘ziahnya itu dalam tempoh tiga hari setelah dia kembali dari pelayarannya, atau setelah tiada halangan untuknya bertemu ahli keluarga si mati atau setelah sampai kepadanya khabar kematian itu. Sebagai contoh, bagi orang yang tidak hadir ketika kematian seseorang kerana sedang musafir, sekiranya dia belum menyampaikan ta‘ziahnya pada hari dia kembali dari pelayaran itu, dia masih berpeluang untuk menyampaikan ta‘ziahnya itu dalam tempoh tiga hari setelah dia kembali dari pelayarannya.

Selain itu, orang yang tidak dapat hadir itu juga boleh menyampaikan ucapan ta‘ziah dalam bentuk tulisan sepertimana yang disebut oleh Imam ar-Ramli Rahimahullâh dalam kitabnya Nihâyah al-Muhtâj. Oleh yang demikian, dapat difahami bahawa adalah juga memadai dan tercapai tujuan ta‘ziah sekiranya orang yang tidak dapat hadir itu menyampaikan ta‘ziah kepada ahli keluarga si mati melalui surat serta aplikasi-aplikasi perhubungan masakini seperti WhatsApp dan sebagainya.

ii. Ta‘ziah dengan mendo‘akan rahmat dan keampunan untuk si mati yang bukan Islam.

Jika si mati itu adalah orang kafir, maka haram hukumnya mengucap ta‘ziah kepada ahli keluarganya sama ada ahli keluarga tersebut Islam atau bukan Islam dengan mendo‘akan keampunan untuk si mati seperti dengan mengucapkan:

Ertinya: (Semoga Allah) mengampuni mayat ahli keluargamu.

Ketetapan ini adalah kerana memohon keampunan untuk orang kafir hukumnya adalah haram.

Oleh yang demikian, sekiranya si mati yang bukan beragama Islam itu mempunyai ahli keluarga yang beragama Islam, maka memadai mengucap ta‘ziah kepada ahli keluarganya yang beragama Islam itu tanpa mendo‘akan rahmat dan keampunan untuk si mati yang bukan beragama Islam itu dengan ucapan seperti:

Ertinya: Semoga Allah membesarkan (melipatgandakan) pahalamu dan memberimu kesabaran.

iii. Ta‘ziah dengan mendo‘akan pahala untuk ahli keluarga yang bukan beragama Islam.

Menurut asy-Syaikh al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh, dilarang untuk mendo‘akan pahala untuk ahli keluarga si mati sekiranya ahli keluarganya itu bukan beragama Islam sama ada kafir dzimmi atau kafir harbi, kerana orang bukan Islam pada hakikatnya tidak mendapat pahala. Maka dilarang untuk mengucap ta‘ziah kepada ahli keluarga yang bukan beragama Islam itu dengan ucapan seperti:

Ertinya: Semoga Allah membesarkan (melipatgandakan) pahalamu.

Oleh yang demikian, sekiranya si mati yang beragama Islam itu mempunyai ahli keluarga kafir dzimmi maka harus dan memadai mengucap ta‘ziah kepada ahli keluarganya itu dengan ucapan ta‘ziah yang tidak mengandungi do‘a mendapat pahala untuk keluarganya seperti dengan ucapan:

Ertinya: Semoga Allah mengampuni mayat ahli keluargamu dan memperelok kesabaranmu.

Adapun bagi ahli keluarga kafir harbi atau orang yang murtad pula, maka mengucap ta‘ziah kepada mereka adalah makruh sekalipun ucapan ta‘ziah itu tidak mengandungi do‘a mendapat pahala.

Walau bagaimanapun, sekiranya diharapkan keislaman kafir dzimmi atau kafir harbi itu, maka dalam hal ini sunat hukumnya mengucap ta‘ziah kepadanya tanpa mendo‘akan pahala untuknya.

iv. Ta‘ziah kepada orang kafir dengan tujuan mengagungkannya.

Mengucap ta‘ziah kepada orang kafir, sama ada kafir harbi atau kafir dzimmi boleh membawa kepada haram sekiranya tujuan mengucap ta‘ziah itu untuk mengagungkannya.

v. Mengucap ta‘ziah kepada perempuan muda yang bukan mahram.

Oleh yang demikian, bagi perempuan muda yang kematian ahli keluarga, lelaki yang sunat mengucap ta‘ziah kepadanya hanyalah mahram atau suaminya sahaja dan makruh atas mana-mana lelaki ajnabi yang lain. Bahkan al-‘Allâmah as-Sayyid al-Bakri Rahimahullâh mengatakan dalam kitabnya I‘ânah ath-Thâlibîn, menghukumkannya sebagai haram adalah lebih dicenderungi.

Adapun hukum perempuan muda mengucap ta‘ziah kepada lelaki ajnabi pula, maka menurut Imam Ibn Hajar al-Haitami dan Imam ar-Ramli Rahimahumallâh, hukumnya adalah haram berdasarkan qiyâs kepada hukum haram perempuan muda memberi salam kepada lelaki ajnabi. Manakala bagi lelaki pula, makruh hukumnya menjawab ta‘ziah dari perempuan muda ajnabiyyah sepertimana yang disebut oleh Imam asy-Syarwani Rahimahullâh.

Berdasarkan qiyâs kepada hukum haram perempuan muda menjawab salam daripada lelaki ajnabi, maka menurut Imam asy-Syibramallisi Rahimahullâh haram juga hukumnya perempuan muda menjawab ta‘ziah dari lelaki ajnabi.

vi. Tidak menjaga adab mengucap ta‘ziah.

Antara adab yang perlu dijaga oleh orang yang mengucap ta‘ziah sepertimana yang disebut oleh Imam al-Ghazali Rahimahullâh dalam kitabnya Ihyâ ‘Ulûm ad-Dîn ialah merendah diri (tawâdhu‘), menampakkan rasa dukacita, tidak banyak berkata-kata serta tidak tersenyum-senyum ketika mengucap ta‘ziah.

Demikian penjelasan mengenai larangan-larangan dalam mengucap ta‘ziah.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-15832

دليل الألوان

آية قرآنيةحديث شريفنص فقهي من كتب العلماءرد اللجنة (المرجع الأساسي للفتوى)رقمرابط لفتوى أخرى مذكورة في النص