Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الصلاة٠ مشاهدة

Mengangkat Dua Tangan Di Tempat Yang Tidak Disunatkan Dalam Sembahyang

الجواب

Menurut para ulama, antara sunat hai’ah dalam sembahyang ialah mengangkat dua tangan dalam sembahyang. Mengangkat dua tangan dalam sembahyang disunatkan ketika melafazkan takbîratul-ihrâm, ketika hendak ruku‘, i‘tidal dan bangkit daripada tasyahhud awwal. Perbuatan mengangkat kedua-dua tangan tersebut adalah disunatkan atas dasar ittibâ‘ (mengikut perbuatan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam).

Menurut Imam Ibn Hajar al-Haitami Rahimahullâh dalam kitabnya al-Minhâj al-Qawîm, cara mengangkat dua tangan itu ialah dengan mengangkat kedua-dua tangan sekira-kira tapak tangannya sejajar bahu, kedua-dua ibu jari tangannya sejajar dengan bahagian bawah telinga, hujung jari tangannya yang selain ibu jari sejajar dengan bahagian atas telinga, kedua-dua telapak tangan dihadapkan ke arah qiblat serta jari-jemari diceraikan pada jarak yang sederhana.

Berkaitan dengan perkara mengangkat dua tangan dalam sembahyang, baru-baru ini tular di media sosial da‘waan bahawa orang yang sembahyang apabila dia mengangkat dua tangannya di tempat yang tidak disunatkan mengangkat kedua-dua tangan seperti mengangkat dua tangan ketika bangkit daripada sujud rakaat pertama boleh membatalkan sembahyang kerana perbuatan tersebut adalah pergerakan yang melebihi tiga kali pergerakan.

Menurut Imam asy-Syarqawi Rahimahullâh dalam Hâsyiyah asy-Syarqawi ‘alâ Tuhfah ath-Thullâb, jika orang yang sembahyang mengangkat dua tangannya bukan di tempat yang disunatkan, maka hukum melakukannya adalah makruh sebagaimana beliau berkata:

Ertinya: Jika dia meninggalkan (perbuatan) mengangkat (dua tangan itu) pada apa yang telah diperintahkan melakukannya atau melakukannya pada apa yang tidak diperintahkan melakukannya, makruh (melakukannya).

Meskipun hukum mengangkat dua tangan bukan di tempat yang disunatkan itu hukumnya makruh, yang menjadi fokus persoalan ialah jika orang yang sembahyang mengangkat dua tangannya bukan di tempat yang disunatkan, adakah melakukannya itu dikira pergerakan yang membatalkan sembahyang?

Jika orang yang sembahyang melakukan suatu perbuatan yang tidak disyariatkan dalam sembahyang dan perbuatan itu bukan daripada perbuatan-perbuatan sembahyang serta perbuatan tersebut dilakukannya sebanyak tiga kali berturut-turut sama ada daripada satu anggota seperti dia melangkahkan kakinya sebanyak tiga kali berturut-turut atau lebih daripada satu anggota seperti dia melangkahkan kakinya sebanyak dua kali berturut-turut dan dia menolehkan kepalanya, maka batal sembahyangnya dengan perbuatan tersebut sama ada dia melakukannya secara sengaja atau kerana lupa.

Begitu juga halnya dengan pergerakan tangan. Jika orang yang sembahyang itu menggerakkan satu tangannya sebanyak tiga kali secara berturut-turut, maka menurut Imam ar-Ramli Rahimahullâh dalam kitabnya Nihâyah al-Muhtâj, pergerakannya sebanyak tiga kali tersebut adalah membatalkan sembahyang. Berbeza halnya dengan menggerakkan jari-jemari sahaja tanpa menggerakkan tapak tangan. Perbuatan menggerakkan jari-jemari secara berturut-turut tanpa menggerakkan tapak tangan itu merupakan perbuatan ringan yang tidak membatalkan sembahyang. Walau bagaimanapun, pergerakan sebanyak tiga kali yang membatalkan sembahyang itu dikecualikan kepada orang yang mengalami penyakit kulit seperti kudis yang dia tidak mampu menahan daripada menggarunya. Imam ar-Ramli Rahimahullâh dalam kitabnya Nihâyah al-Muhtâj berkata:

Ertinya: Dan terkeluar (tidak membatalkan sembahyang) dengan (pergerakan) jari-jemari itu ialah pergerakan tangan, maka ia membatalkannya (sembahyang) jika (pergerakannya itu) sebanyak tiga kali secara berturut-turut, kecuali jika dia menghidap (penyakit) kudis yang dia tidak mampu (menahan) dari menggarunya, dan diambil (faham) daripada (hal) ini bahawa jika dia diuji (dengan situasi) yang memaksanya melakukan pergerakan yang banyak, maka dia dibolehkan dengannya (melakukan melebihi tiga pergerakan).

Menurut Imam Ibn Hajar al-Haitami Rahimahullâh dalam kitabnya Tuhfah al-Muhtâj dan Imam ar-Ramli Rahimahullâh dalam kitabnya Nihâyah al-Muhtâj, mengangkat tangan kemudian mengembalikannya ke tempatnya jika dilakukan secara bersambung-sambung (tanpa berselang di antara mengangkat dan mengembalikan) dalam sembahyang itu dikira sebagai satu pergerakan sahaja. Begitu juga halnya perbuatan mengangkat tangan kemudian meletakkan tangan tersebut di suatu tempat seperti kepala kerana hendak menggarunya dengan jari-jemarinya, maka perbuatan tersebut juga dikira sebagai satu pergerakan.

Imam ar-Ramli Rahimahullâh dalam kitabnya Nihâyah al-Muhtâj berkata:

Ertinya: Dan tangan yang pergi (dari tempatnya) serta kembalinya (ke tempatnya) iaitu secara bersambung-sambung adalah satu kali (pergerakan) sebagaimana (pendapat) yang zhahir. Begitu juga halnya (dikira satu pergerakan) mengangkatnya (tangan) kemudian meletaknya di atas tempat yang digaru.

Berdasarkan perkataan ulama di atas, ini bererti bahawa jika orang yang sembahyang mengangkat dua tangannya bukan di tempat yang disunatkan seperti mengangkat dua tangan ketika bangkit daripada sujud rakaat pertama, maka pergerakan mengangkat dua tangan dan mengembalikannya ke tempatnya itu masih dikira sebagai dua pergerakan yang berturut-turut, iaitu mengangkat dan mengembalikan tangan kanan adalah satu pergerakan, manakala mengangkat dan mengembalikan tangan kiri adalah satu pergerakan. Menurut para ulama, melakukan dua pergerakan itu merupakan perbuatan yang sedikit yang tidak membatalkan sembahyang. Walau bagaimanapun, mengangkat dua tangan bukan di tempat yang disunatkan itu hukumnya makruh.

Demikian penjelasan mengenai mengangkat dua tangan di tempat yang tidak disunatkan dalam sembahyang.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-15843

دليل الألوان

آية قرآنيةحديث شريفنص فقهي من كتب العلماءرد اللجنة (المرجع الأساسي للفتوى)رقمرابط لفتوى أخرى مذكورة في النص