Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الأطعمة والأشربة٠ مشاهدة

Hukum Memakan Ulat

الجواب

Ulat ialah sejenis binatang kecil yang umumnya lembut dan banyak kakinya yang akan menjelma menjadi kepompong dan seterusnya kupu-kupu. Ulat juga bermaksud segala macam anak serangga yang masih lembut badannya seperti berenga, lundi dan lain-lain. Ulat mempunyai pelbagai bentuk dan jenis antaranya ulat bulu iaitu sejenis ulat yang berbulu badannya, ulat sutera iaitu sejenis ulat yang mengeluarkan benang untuk dijadikan sutera, ulat daripada larva lalat yang ditemui hidup di dalam sayur dan buah-buahan dan ulat sagu iaitu sejenis ulat daripada larva kumbang dan hidup di batang sagu.

Ulat sering dijumpai dalam buah, makanan dan lain-lain. Ada kalanya orang termakan ulat tersebut tanpa disedari. Selain itu, ada pula jenis-jenis ulat tertentu yang sememangnya menjadi makanan biasa bagi puak-puak tertentu. Di sesetengah negara, ulat juga ada disajikan di restoran sebagai menu hidangan. Ada juga orang yang memakan ulat kerana tertarik sebagai makanan eksotik dan berkhasiat. Persoalannya, adakah orang Islam boleh memakan ulat?

Syariat Islam memerintahkan manusia supaya memakan sesuatu yang baik, halal, suci dan tidak memudharatkan. Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Dan dia (Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wa sallam) menghalalkan bagi mereka yang baik-baik dan mengharamkan ke atas mereka (segala) yang buruk. (Surah al-A‘râf: 157)

Imam al-Qurthubi Rahimahullâh di dalam kitabnya al-Jâmi‘ li Ahkâm al-Qur’ân al-Karîm menyebut bahawa yang dimaksudkan dengan َّ ِّ الطَ يبات (yang baik-baik) dalam ayat di atas sebagaimana menurut Imam asy-Syafi‘i Rahimahullâh adalah makanan yang halal di sisi syara‘. Manakala yang dimaksudkan dengan َْ َ الِ بائث (segala yang buruk) pula adalah semua yang haram di sisi syara‘ dan jijik. Maka diharamkan memakan kala jengking, kumbang, cicak dan apa juga yang seumpamanya.

Menurut syara‘, ulat termasuk dalam kategori hasyarât iaitu haiwan kecil atau hama yang melata di bumi. Hasyarât adalah sesuatu yang dianggap menjijikkan dan ia haram dimakan kerana menjijikkan melainkan haiwan tertentu yang dikecualikan seperti belalang dan dhab. Maka ulat seperti ulat sutera, ulat buah dan ulat hijau yang pada kebiasaannya ada di pohon-pohon adalah haram dimakan. Keharaman memakan ulat itu termasuk memakan bangkai ulat kerana ia najis. Larangan memakan bangkai itu disebut dengan jelas dalam firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Diharamkan ke atas kamu (memakan) bangkai. (Surah al-Mâ’idah: 3)

Adapun memakan ulat yang hidup membesar pada sesuatu yang dimakan seperti buah, cuka, kurma, bijirin dan keju tidak dihukumkan haram dengan syarat-syarat berikut:

1) Ulat itu dimakan bersama makanan tempat ia hidup.

Ulat yang bercerai atau terpisah daripada makanan itu haram dimakan kerana kenajisan dan kejijikannya. Ulat yang bercerai daripada makanan sama ada ulat itu dipindahkan ke tempat lain ataupun disebabkan pergerakan ulat itu sendiri adalah haram dimakan sekalipun ulat itu dikembalikan semula kepada makanan tempat asal ulat tersebut dan dimakan bersama makanan itu.

2) Ulat itu sukar dibezakan dengan makanan.

Jika tidak sukar untuk membezakan ulat dengan makanan itu, ia haram dimakan sebagaimana yang dinyatakan oleh asy-Syaikh al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh dalam kitabnya Mughnî al-Muhtâj.

Ertinya: Jika mudah membezakannya (pada rupa dan rasa) seperti epal, sesungguhnya ia haram memakannya (ulat) bersamanya (epal).

3) Tidak bertujuan memakan ulat.

Ulat haram dimakan jika seseorang itu mempunyai tujuan untuk memakan ulat tersebut.

Menurut Imam ar-Ramli Rahimahullâh di dalam kitab Nihâyah al-Muhtâj mengenai memakan ulat ini, beliau ada menyebut:

Ertinya: Dan demikian juga ulat yang lahir (hidup membesar) pada makanan seperti cuka dan buah apabila dia memakan bersamanya (makanan) dalam keadaan (ulat itu) hidup atau mati, halal (memakannya) menurut pendapat al-ashah kerana kebiasaannya sukar membezakannya disebabkan ia (ulat) seperti sebahagian daripadanya (makanan) pada rupa dan rasa. Jika ulat itu (dimakan) bersendirian (tidak bercampur makanan) ia adalah haram.

Dari penjelasan di atas, dapat difahami bahawa semua jenis ulat adalah haram dimakan melainkan ulat yang hidup membesar pada makanan dengan syarat-syarat yang telah disebutkan. Demikian penjelasan mengenai hukum memakan ulat.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-15848

دليل الألوان

آية قرآنيةحديث شريفنص فقهي من كتب العلماءرد اللجنة (المرجع الأساسي للفتوى)رقمرابط لفتوى أخرى مذكورة في النص