Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الزكاة والصدقات٠ مشاهدة

Siapa Nazhir Waqaf

الجواب

Waqaf merupakan perkara yang disunatkan untuk mendekatkan diri kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Antara keistimewaan yang diperolehi oleh orang yang berwaqaf ialah pahala yang berterusan sekalipun dia telah meninggal dunia sebagaimana yang disebut dalam hadits daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Apabila seorang insan meninggal dunia, (pahala) amalannya terputus daripadanya melainkan (pahala) daripada tiga (perkara iaitu): Melainkan (pahala) daripada sedekah jâriah (waqaf) atau ilmu yang dimanfaatkan dengannya (oleh orang lain) atau anak salih yang mendo‘akannya. (Hadits riwayat Muslim)

Bagi memastikan manfaat barang yang diwaqafkan itu berterusan diterima oleh pihak penerima waqaf dan pemeliharaan barang-barang yang diwaqafkan serta penyelenggaraannya sentiasa terpelihara dan lain-lain, maka barang yang diwaqafkan itu memerlukan kepada pengelola waqaf yang juga dikenali sebagai nazhir waqaf. Persoalannya, siapakah yang patut bertanggungjawab menjadi nazhir bagi sesuatu waqaf?

Nazhir bagi sesuatu waqaf ialah seseorang yang bertanggungjawab mentadbir urusan-urusan yang berkaitan dengan waqaf, memelihara barang waqaf, mengurus hasil yang diperolehi daripada barang waqaf serta kemashlahatannya, melaksanakan syarat-syarat pewaqaf dan menyalurkan manfaat waqaf kepada pihak penerima waqaf.

Syarat menjadi nazhir bagi sesuatu waqaf ialah Islam, bâligh, berakal, bersifat âdil (iltizam dengan hukum-hakam syara‘ dengan melaksanakan perintah Allah Ta‘ala serta menjauhi laranganNya) dan berkelayakan untuk melaksanakan urusan-urusan waqaf, memiliki keperibadian yang kuat serta berkemampuan untuk melaksanakannya.

Pemilihan atau lantikan nazhir bagi sesuatu waqaf bergantung kepada si pewaqaf itu sendiri sama ada dia mensyaratkannya dalam shighah waqaf atau dia tidak mensyaratkannya. Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam kitabnya Minhâj ath-Thâlibîn berkata:

Ertinya: Jika pewaqaf mensyaratkan pengelolaan (waqafnya itu) kepada dirinya sendiri atau selain dirinya, dipatuhi (syarat pewaqaf itu), dan jika (dia) tidak (mensyaratkannya) maka pengelolaan (waqafnya itu) adalah kepada qadhi (bagi pihak pemerintah) menurut pendapat al-madzhab.

Ini bererti bahawa pemilihan atau pelantikan nazhir bagi sesuatu waqaf mengikut dua keadaan berikut:

1. Mensyaratkan dirinya sendiri atau orang lain sebagai nazhir.

Jika pewaqaf mensyaratkan dirinya sendiri atau selain dirinya sama ada seorang atau lebih untuk menjadi nazhir bagi waqafnya, maka syarat pewaqaf itu hendaklah dipatuhi sepertimana syarat-syarat lain juga dipatuhi. Keharusan mensyaratkan diri sendiri atau orang lain menjadi nazhir bagi waqafnya itu berdasarkan sebuah riwayat mengenai Sayyidina ‘Umar Radhiallâhu ‘anhu, bahawa beliau telah menguruskan sendiri urusan waqaf beliau. Kemudian beliau telah menjadikan urusan waqaf itu untuk diurus oleh anak beliau Sayyidatina Hafshah Radhiallâhu ‘anhâ selama anak beliau masih hidup. Kemudian setelah anak beliau meninggal dunia, urusan waqaf itu diberikan kepada orang-orang yang berkelayakan dari ahli keluarga Sayyidatina Hafshah Radhiallâhu ‘anhâ.

Oleh itu, jika pewaqaf mensyaratkan dirinya sendiri menjadi nazhir bagi waqafnya, maka hendaklah dipatuhi syaratnya kerana pewaqaf adalah orang yang lebih utama memelihara barang yang diwaqafkannya itu dan orang yang lebih peduli terhadapnya bagi meraih pahala yang banyak dan sempurna daripada waqafnya itu.

Jika pewaqaf mensyaratkan orang lain menjadi nazhir bagi waqafnya, maka hendaklah juga dipatuhi syaratnya. Menurut Imam asy-Syarwani Rahimahullâh dalam Hâsyiyah Tuhfah al-Muhtâj, syarat pewaqaf itu hendaklah dipatuhi sama ada pewaqaf menyerahkan tugas nazhir bagi waqafnya itu kepada orang lain semasa pewaqaf masih hidup atau pewaqaf mewasiatkan orang lain untuk menjadi nazhir bagi waqafnya setelah kematian pewaqaf kerana pewaqaf merupakan orang yang melakukan taqarrub kepada Allah Ta‘ala dengan waqafnya itu, maka hendaklah dipatuhi syaratnya sepertimana dipatuhi penyaluran waqafnya dan lain-lain.

Begitu juga halnya jika pewaqaf mensyaratkan dan menentukan seseorang yang khusus untuk menjadi nazhir bagi waqafnya selepas kematian nazhir yang sebelumnya, umpamanya pewaqaf berkata: “Jika nazhir ini meninggal dunia, maka si polan akan ku lantik menjadi nazhir waqaf”, maka ia adalah harus dan hendaklah dipatuhi syarat tersebut.

Jika pewaqaf melantik seseorang menjadi nazhir bagi waqafnya, maka menurut Imam Ibn Hajar al-Haitami Rahimahullâh dalam kitabnya Tuhfah al-Muhtâj, orang yang dilantik menjadi nazhir bagi waqafnya itu tidak disyaratkan melafazkan qabûl sepertimana tidak disyaratkan ke atas wakil melafazkan qabûl ketika dilantik menjadi wakil.

Jika orang yang dilantik menjadi nazhir waqaf itu adalah orang yang termasuk menerima manfaat waqaf, maka dia disyaratkan melafazkan qabûl bagi lantikan tersebut. Menurut Imam Ibn Qasim al-‘Abbadi Rahimahullâh dalam Hâsyiyah Tuhfah al-Muhtâj, orang yang dilantik menjadi nazhir waqaf yang juga menerima manfaat waqaf disyaratkan untuk melafazkan qabûl kerana mengelak sangkaan bahawa dia adalah penerima waqaf yang ditentukan.

2. Pewaqaf tidak mensyaratkan siapa-siapa sebagai nazhir.

Jika pewaqaf tidak mensyaratkan siapa-siapa sebagai nazhir bagi waqafnya sama ada diketahui tiada pensyaratan sedemikian daripada pewaqaf atau tidak diketahui mengenai syarat tersebut, maka qadhi adalah nazhir bagi waqafnya, selagi imam (pemerintah) tidak melantik pihak lain selain qadhi untuk menjadi nazhir waqaf. Qadhi menjadi nazhir waqaf dalam hal ini kerana qadhi merupakan nazhir umum, maka dia adalah lebih utama dan lebih berhak untuk menjadi nazhir waqaf itu berbanding orang lain. Qadhi juga lebih utama menjadi nazhir kerana waqaf itu telah menjadi milik Allah Ta‘ala.

Jika barang yang diwaqafkan itu berada di suatu negeri dan penerima waqaf pula berada di negeri yang lain dan pewaqaf tidak mensyaratkan nazhir bagi waqafnya, maka dalam perkara ini, Imam Ibn Hajar al-Haitami Rahimahullâh dalam kitabnya Tuhfah al-Muhtâj ada mengatakan:

Ertinya: Dan jika (pewaqaf) tidak mensyaratkan (pengelolaan waqafnya) kepada seseorang, maka pengelolaan (waqafnya itu) adalah kepada qadhi iaitu qadhi negeri (tempat berada) sesuatu yang diwaqafkan dari segi memeliharanya seperti penyewaannya, dan (kepada) qadhi negeri penerima waqaf dalam perkara yang selainnya (seperti pengagihan hasil waqaf).

Dari penjelasan nash ulama di atas, dapat difahami bahawa qadhi itu menjadi nazhir bagi waqaf yang tidak disyaratkan siapa nazhir waqaf tersebut. Qadhi yang berada di negeri letaknya barang waqaf berperanan mengelola barang waqaf dan qadhi yang berada di negeri penerima waqaf pula berperanan mengelola selain barang waqaf seperti pengagihan hasil kepada orang yang berhak menerimanya.

Demikian penjelasan mengenai siapa nazhir waqaf.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-15852

دليل الألوان

آية قرآنيةحديث شريفنص فقهي من كتب العلماءرد اللجنة (المرجع الأساسي للفتوى)رقمرابط لفتوى أخرى مذكورة في النص